Friday, 24 February 2012

Budak Lembu

http://www.penulisan2u.my/2011/10/novel-budak-lembu-1/

Penulisan2u

http://www.facebook.com/Penulisan2u

Myfb

http://www.facebook.com/profile.php?id=100000574452312

Komuniti Enovel

http://www.facebook.com/#!/groups/156266277748013/

Semerah Epal Cinta


"Rasa cinta kita seperti manisnya epal merah"

Semerah Epal Cinta. Rasa cinta kita seperti manisnya epal merah. Cerpen untuk peraduan menulis cerpen sempena pelancaran novel Merah Cinta Epal karya Ridha Reeani. Sekadar hiburan di kala senggang untuk memeriahkan suasana peraduan. Selamat membaca.

Epal merah itu kubelek-belek dan kuletakkan kembali di atas meja. Entah untuk kali yang keberapa, aku kurang periksa. Aku menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan. Ini kiriman epal yang ke tiga belas kuterima. Ya hari ini 13 Februari, maknanya sudah tiga belas biji buah epal merah yang tiba di genggamanku. Aku masih tidak tahu siapakah gerangan pengirimnya. Tahu-tahu, setibanya aku di meja kerjaku, sudah ada sebiji lagi epal yang terletak elok di atas mejaku. Berbungkus cantik dengan plastik jernih berbunga mawar merah.

Kiriman siapakah ini ? Siapakah yang mahu bermain-main denganku? Sesekali, aku mengerling ke arah Cikgu Mazlia yang berada selang dua meja di hadapanku. Cuba meneliti reaksinya, kalau-kalau epal itu adalah buah tangan daripadanya. Namun, tiada reaksi ganjil yang ketara. Cikgu Mazlia tetap seperti itu juga, tersenyum-senyum sendirian. Sesekali kami bertentang pandang, dia akan tersenyum dan menundukkan pandangannya.

Cikgu Mazlia yang pemalu tetapi dalam malu-malu itu ada sesuatu yang kurasakan agak pelik. Hmm…cuba mencuri tumpuanku, mungkin. Bagaikan ada sesuatu yang cuba untuk diluahkannya padaku. Aku ini sudah cukup dewasa untuk mengenal hati budi orang. Sekilas ikan di air, belum tentu kutahu jantan betinanya tetapi sekilas pandangan Cikgu Mazlia, aku tahu ada perasaan kasih yang tersembunyi di situ.

“Hisy, Ikram. Dapat epal lagi ?” Danish menyiku bahuku. Aku terkapa-kapa tetapi segera mengangguk-anggukkan kepalaku.

“Dah dapat tangkapkah pengirimnya?” Kali ini, aku menggeleng-gelengkan kepala pula.

“Kau ni apa hal? Angguk geleng angguk geleng. Kau pun nak jadi tak betul macam Mazlia juga ke?” Selamba saja Danish melontarkan ayatnya. Aku berdengus perlahan. Tak kuasa hendak melayan Danish. Makin dilayan makin menjadi-jadi pula nanti.

“Mazlia yang hantar agaknya,” seloroh Danish sambil menarik kerusinya di sisi meja sebelahku. Hmm…Mazlia? Danish pun nampaknya berfikiran sama sepertiku juga.

Perlukah aku bersemuka dengan Mazlia untuk mengetahui misteri epal-epal merah ini? Kalau Mazlia tak mengaku ? Aduh, malulah aku. Entah-entah, dituduhnya aku ini jejaka perasan. Epal merah itu kuangkat sekali lagi.

“Kalau kau tak berani makan, bak sini,” pinta Danish. Dan seperti biasa, Danish menyambut huluran epalku, menarik reben merah yang mengikatnya dan kemudian, melalukannya di bawah kangkangnya.

“Haa…macam inilah caranya nak mengelak daripada terkena guna-guna orang,” ujarnya, sempat menurunkan petua padaku.

“Kenapa kau tak ludah sekali?” Aku pula sengaja menggiatkannya.

Tuh tuh! Danish meludah buah epal itu. Ceh! Pengotor punya orang. Aku merungut, geli-geleman. Danish terkekeh-kekeh ketawa sambil berlalu ke singki. Tiga belas biji buah epal telah selamat bermukim di dalam perut Danish. Tinggallah aku yang masih dalam kebingungan.

Misteri epal merah ini mesti kubongkarkan segera. Mulut celupar Danish bukan boleh ditutup selama-lamanya. Sekarang ini pun dia sudah mulai memanggil aku ‘tokan’. ‘Tokan’? Apa tu? Tiada dalam kamus Dewan Bahasa pun. Pembekal, katanya. Ceh ! Lagi menambah sakit hatiku. Tokan itukan pembekal dadah. Ya, kerana aku ini sekarang menjadi pembekal epal merah.

“Hmm..tak lama lagi, engkau jadi tauke epallah, Ikram,” usik Danish selepas melahap epal merahku.

“Boleh saja kalau epal-epal tu engkau tak makan,” sahutku pula tidak mahu mengalah. Danish tersenyum sumbing, buat muka seposen.

“Engkau duduklah di sini, fikirkan tentang pengirim epal-epal tu. Aku nak ke kelas ni,” ujar Danish seraya bangun meninggalkanku. Kelasku akan bermula setengah jam lagi. Memang bolehlah aku berangan-angan sekejap.

Tatkala semua teman bergerak menuju ke kelas, tinggal Mazlia yang masih tersenyum simpul di mejanya. Aku rasa, inilah peluang terbaik untukku bertanyakan tentang tiga belas biji epal yang hadir di atas mejaku. Aku bergerak perlahan-lahan menuju ke meja Mazlia. Entah apalah yang dilakukan oleh ‘Cikgu Sewel’ ini, tersenyum sorang-sorang. Aduh, jahatnya kalau hatiku sudah berbicara. Ya, ampun.

Aku pura-pura melintasi mejanya sambil mengerling bukan sekilas tapi berkilas-kilas kerana aku hendak pastikan apa yang membuatkan Mazlia tersenyum-senyum. Aduhai, memang sewel cikgu ni. Dia sedang membelek cermin rupa-rupanya. Mentang-mentanglah, muka comel. Asyik membelek-belek cermin sajalah.

“Err…hmmm…” Aku berdehem kuat, cuba mengalihkan tumpuannya. Menjadi! Kelam-kabut Cikgu Mazlia menyembunyikan cermin kecilnya.

“Tak payah tenung-tenung lagi. Cikgu memang dah comel.” Aduhai, kenapa gatal sangat mulutku ini? Memuji yang bukan-bukan. Tiba-tiba sahaja boleh membuatkan Mazlia kembang. Aku menyumpah-nyumpah dalam hati akibat keterlanjuran itu.

“Aaa…err… Cikgu Ikram…emmm…maaf, saya nak ke kelas.” Cikgu Mazlia tergesa-gesa mengemas buku ringkasannya dan menarik beg tangannya lalu berlalu meninggalkanku. Aduhai, selalunya dia yang mengambil peluang untuk berbual denganku tapi nampaknya kali ini, dia pula yang cuba hendak melarikan diri. Mungkin dia termalu kerana aku tertangkapnya yang sedang membelek muka di cermin atau mungkinkah dia sebenarnya ‘tokan’ yang membekalkan epal untukku setiap hari?

Seharian hari ini aku memikirkan tentang kiriman epal-epal merah itu. Nampaknya tidak berapa lama lagi, kalau keadaan ini berterusan, aku juga akan sewel seperti Cikgu Mazlia. Aduhai ! Janganlah ditambahkan berat beban di kepalaku ini.

Bersendirian di rumah besar ini bukan perkara luar biasa bagiku. Namun terkadang, kesepian turut meragut ketenanganku. Semenjak kehilangan isteriku tiga tahun yang lalu, rumah besar ini sepi sesepi-sepinya bagiku. Isteriku pergi buat selama-lamanya, membawa bersama buah hati kami yang bakal lahir namun belum sempat menjenguk isi dunia.

Mengenangi kekasih-kekasih hatiku itu, air mataku mengalir di bawah sedar. Oh Tuhan, telah kuredhai pemergian mereka. Tempatkanlah mereka dalam kalangan kekasih-kekasihMu yang beriman dan beramal soleh, ya Allah. Aku mengasihi mereka namun kasih sayang Allah tidak mampu menandingi kasihku kerana mereka milikMu ya Allah.

“Ikram, tak tidur lagi?” Danish, Si Pengacau ini ada di mana-mana sahaja tempat aku berada.

“Kenapa? Masih terkenangkan Si Pengirim epal merah ke? Kan aku dah kata, Mazlia Sewel tu yang bagi tapi kau tak percaya.” Aku menjeling Danish. Walaupun aku tidak berkenan dengan perangai Cikgu Mazlia tetapi aku tidak suka Danish menggelarnya sewel. Manalah tahu kalau-kalau Si Sewel itu yang menjadi pengganti isteriku kelak. Eh, ke situ pula aku melalut !

“Dah telefon isteri kau?” tanyaku cuba mengalihkan topik bicara.

“Dah…baru lepas bergayut,” sahutnya sambil mencapai surat khabar di hadapanku dan duduk di sofa bersebelahanku.

“Krisis dah tamat?” tanyaku lagi. Terdengar perlahan suara Danish mengekek. Sudah dua malam dia menumpang tidur di rumahku kerana bergaduh dengan isterinya.

“Engkau ketawa kenapa? Dah tamat ke perang engkau? Kalau dah tamat, bolehlah engkau balik sekarang.” Aku sebenarnya sudah biasa bergurau ‘kasar’ dengan Danish. Rasanya setakat ini, Danish tidak pernah ambil hati dengan kata-kataku.

Terhenti tangan Danish yang sedang menyelak-nyelak helaian surat khabar. Aik! Marah ke?

“Kenapa? Kau tak suka aku menumpang di rumah kau ke?” Danish sepertinya berkecil hati dengan ayatku.

“Bukan apa. Aku cuma nak nasihatkan engkau sahaja. Engkau tu dah ada isteri. Tak lama lagi dah nak jadi bapak orang. Kenalah gentleman sikit. Asyik-asyik nak merajuk aje bila bergaduh, apa kes? Aku tak mahu bersubahat,” ujarku menjelaskan kerana aku tidak mahu dia tersalah sangka. Bukan niatku untuk menghalaunya tetapi aku tidak mahu dia terus terbawa-bawa akan sikap masa bujangnya.

Memanglah masa dia belum berkahwin, di rumah aku inilah tempat tidur baringnya. Hinggakan sewaktu hendak dijodohkan dengan Noraini oleh orang tuanya pun, aku yang menjadi penasihatnya. Mak ayahnya beria-ia meminta aku menasihati Danish agar sudi memperisterikan Noraini. Nasib baiklah aku memang mengenali Noraini dan aku tahu, Noraini boleh menjadi pasangan yang secocok buat Danish.

“Kau pula, bila lagi nak kahwin?” Eh, ke situ pula dia menyimpang. Aku tidak mahu menjawab pertanyaannya. Melayan kerenahnya boleh menambahkan lagi pening di kepalaku. Aku bangun menekan punat televisyen dan mencapai remote control di atas meja.

“Kalaulah yang mengirimkan epal merah itu seorang perempuan, aku gerenti, perempuan itu mesti minat gila kat engkau.” Danish sudah mula mengarang cerita. Aku pura-pura tidak dengar. Chanel 801 kutekan dan kukuatkan volumenya. Apa-apa sajalah Danish ni. Sekejap-sekejap sewel, sekejap-sekejap gila…entah-entah, dia pula yang mereng.

“Kenapa engkau tak mahu makan epal tu, ya? Engkau ingat epal tu ada racun macam dalam cerita Snow White,kan? Aku makan tak jadi apa-apapun.” Danish menguatkan suaranya melebihi volume televisyen. Kasihan pula aku melihat keadaan Danish yang tidak jemu-jemu membuat andaian. Punat remote control kutekan sekali lagi, meninggalkan layar hitam di skrin televisyen. Aku menoleh menghadapnya.

“Kau boleh tolong aku ?” tanyaku.

“Boleh, boleh.” Danish seakan teruja hendak menolongku. Segera dilipatnya helaian akhbar dan diletakkan di atas meja.

“Tolong pinangkan Si Pengirim epal merah untukku,” ujarku, cuba berlagak serius.

“Haaa? Mazlia Sewel? Engkau nak suruh aku pinangkan Mazlia Sewel untuk kau ? Oh, tidak ! Tidak ! Tolonglah. Carilah orang lain. Aku boleh rekomenkan engkau perempuan lain.”Danish mengangkat kedua-dua belah tangannya separas bahu.

“Habis tu, tadi engkau kata, engkau sanggup nak tolong aku. Tadi tu beria-ia sangat. Kenapa sekarang tak boleh?” Aku masih ingin mengujinya. Sengaja berpura-pura kecewa. Lama Danish terdiam.

“Aku tak berapa berkenan engkau dengan Mazlia. Sebab tu aku tak mau tolong tapi kalau engkau dah berhajat sangat, apa lagi yang boleh aku buat ?” Aku tertawa besar mendengar kata-kata Danish. Menjadi juga dramaku ini.

“Tak adalah. Aku bergurau saja. Lagipun, aku bukan ada sesiapa lagi untuk dibawa bergurau. Walaupun engkau sewel tapi engkaulah sahabat baikku,” sambungku kemudiannya.

Danish membulatkan matanya memandangku. Aku tertawa berdekah-dekah. Danish tidak jadi memarahiku. Mungkin dia tahu, aku hanya bergurau. Gurau kasar !

“Dah la. Aku nak balik. ‘Mem’ aku dah lama tunggu tu. Tinggallah engkau sorang-sorang layan jiwang,” Danish bangkit menuju ke bilik. Mungkin hendak mengangkut segala harta-bendanya selama dua malam dia bermusafir di sini.

“Engkau tak mahu temankan aku lagi ? Tak kasihankah tinggalkan aku sorang-sorang? ” Tanyaku, masih cuba mengusik.

“Apa barang layan engkau. Bukan boleh dapat apa-apa pun. Aku nak baliklah.”

Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat tingkah Danish. Bergaduh sedikit, merajuk. Bergaduh sedikit, merajuk. Nasib baiklah merajuknya ke rumah aku. Ada juga teman buatku. Dibuatnya melencong ke tempat lain, tentu padah jadinya.

“Ikram. Aku balik dulu.” Danish yang sudah siap berpakaian memohon diri.

“Haa…jangan nak merajuk-rajuk lagi.”

“Aku bukan merajuklah. Bini aku tu, asal aku balik kerja saja, cakap aku busuk. Jangankan kata nak tidur dengan aku, nak bersalam dengan akupun dia tutup hidung. Dah tu, dia cakap dia benci tengok muka aku. Maunya tak meluap naik darahku?” Hmm..itulah kisah sebenarnya, ya?

“Orang mengandung. Biasalah macam tu. Pembawaan budak namanya tu. Tak lama lagi, eloklah tu. Kau kena bersabarlah banyak-banyak. Jangan ditinggalkan isteri kau tu sorang-sorang.” Aku menasihatinya lagi.

Saat Danish berlalu pergi, aku terkenangkan Hanis, isteriku yang juga pernah mengandungkan anak kami. Hanis tak banyak karenahnya sewaktu mengandung. Kasih sayangnya terhadapku tetap melimpah ruah. Tidak kurang walaupun sedikit. Tidurnya mahu di lenganku sahaja. Makannya masih mahu bersuap. Mungkin Hanis sengaja ingin tinggalkan kenangan manis buat kukenang selamanya sehinggakan amat sukar untuk kucari pengganti dirinya.

*********************************

Hari yang keempat belas. Aku tidak terima buah epal pagi ini. Kukerling meja Cikgu Mazlia yang kosong. Ke mana dia? Mungkin misteri pengirim epal merah bakal terjawab hari ini. Aku tersenyum sendirian. Memang sah-sahlah Si Sewel Mazlia yang empunya epal. Tak perlu menjadi detektif Conan, aku sudah dapat menyudahkan penyiasatan ini. Siapa lagi? Dia tiada, epal pun tiada. Memang dialah.

“Hai, Ikram. Tak ada epal untuk aku pagi ni?” Wah, Danish! Pagi-pagi lagi sudah datang menuntut buah epal.

“Banyaklah engkau punya epal. Sejak bila aku mula buka dusun epal ni?” Danish ketawa berdekah. Engkau ketawa ya, Danish. Ketawalah. Aku tak marah sebab hari ini rahsia pengirim epal merah sudah terbongkar.

“Kan aku dah cakap. Si Sewel tu yang bagi epal merah tu. Hari ni dia kena hadiri taklimat Coral Speaking peringkat zon. Confirm la dia tak sempat nak letakkan epal merah atas meja engkau. Lagipun, engkau datang awal hari ni,kan? Engkau hendak perangkap Si Sewel tu,kan?”

Hisy, Danish ni. Banyak betul andaian dia. Bertepatan pula dengan andaianku.

“Ya, betul. Betullah tu.” Ada sedikit nada kecewa di situ. Kecewa? Kenapa, ya?

“Habis tu, jadi tak engkau nak wakilkan aku pergi meminang Si Sewel tu?”

“Hisy, Danish. Jaga sikit mulut tu. Isteri kau tengah sarat mengandung tu. Jangan nak mengata-ngata orang. Tak baik, tau. Lagipun, Cikgu Mazlia itupun apa kurangnya. Cantik manis bertudung litup lagi. Cuma hati aku yang masih tidak mampu untuk menerima orang lain dalam hidupku.” Bukan niatku untuk membela Mazlia tetapi aku tidak mahu Danish terus merendah-rendahkannya sedangkan kami bekerja di bawah satu bumbung.

“Oh, maaf. Maafkan aku ya, Ikram.”

“Kenapa pula nak minta maaf dengan aku? Kau kena minta maaf daripada Mazlia, tau.” Danish mengangguk-anggukkan kepalanya. Mulutnya sudah tidak lagi mengomel yang bukan-bukan. Aku berharap agar selepas ini aku tidak akan mendengar lagi gelaran sewel itu keluar dari mulutnya.

Tengah hari itu, aku ingin segera bergegas pulang.

“Assalammualaikum, cikgu.” Suara halus itu gemersik menerobosi cuping telingaku. Aku segera berpaling. Seorang gadis berjilbab dengan purdah yang menutupi wajahnya, berdiri tegak di belakangku.

“Waalaikummussalam…err…siapa ya?” Aku tidak tahu, siapa gerangan gadis di hadapanku ini. Bagaimana bisa aku mengenalinya sedangkan aku cuma nampak dua biji bebola matanya yang merenung ke arahku.

“Boleh kita berbual sebentar ?” tanyanya pula.

Aku bergerak ke arah meja batu di bawah pokok ketapang. Gadis itu menyusuliku dari belakang. Kami duduk berhadap-hadapan. Cuaca agak kering namun gadis ini tampak tenang-tenang sahaja bagaikan tidak terpanggang dek panas mentari ini. Aku jadi malu sendiri kerana saat ini, ikatan tali leherku telah kulonggar dan sebutir butang baju kemejaku di bahagian kolar baju telah kukeluarkan dari lubangnya.

“Cikgu, saya Nur Saedatul Akmar,” ujarnya memperkenalkan diri. Aku terbata-bata. Siapa ya kenalanku yang namanya sebegini?

“Saedatul dari Kampong Permatang Damai.” Saedatul. Saedatul. Permatang Damai. Permatang Damai. Peluh merenik di dahiku.

“Nur Saedatul Akmar binti Shahidan !!!” Aku hampir terlompat saat kuseru nama itu. Terkejut dengan lontaran kuat suaraku sendiri. Si Gadis tertunduk. Mungkin malu atau mungkin juga sedang mentertawakan gelagatku. Mana aku tahu apakah yang berlaku di sebalik kerudung hitamnya itu.

************************

“Cikgu, nah buah epal.” Tersenyum gadis kecil berusia sembilan tahun itu sambil menghulurkan tiga biji buah mangga epal kepadaku.

“Hmmm…ini bukan epallah. Ini mangga epal,” ujarku membetulkan.

“Eh, cikgu ni. Ini epal hijaulah, cikgu. Bila masak warnanya bertukar kuning. Kita tahulah sebab mak kita yang tanam.” Si Kecil itu masih tidak mahu mengalah. Aku tertawa kecil.

“Pernah tengok epal merah ?” tanyaku lagi. Si Gadis mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Tapi mak kita tak tanam epal merah. Mak kita cuma tanam epal hijau.”

“Pokok epal tak boleh ditanam di negara kita. Ianya hanya ditanam di negara yang beriklim sejuk sahaja,” aku cuba menerangkan.

“Iya ke cikgu? Tapi mak kita boleh tanam epal hijau.” Aku tersenyum melihat wajah naïf Saeda.

“Nanti cikgu bawa epal hijau dan epal merah. Lepas tu, Saeda bandingkan dengan buah epal hijau Saeda ni,” ujarku lagi.

“Kita pun pernah tengoklah epal merah dan epal hijau tu. Ini pun epal juga kan, cikgu.” Aku tertawa melihat tingkah Saeda.

“Yelah, yelah. Mangga epalpun, epal jugalah.”

“Cikgu suka makan epal ni?”

“Suka tapi cikgu lebih suka mangga epal yang kuning.”

“Oooo…nanti kita bawa epal kuning ya, cikgu.” Saeda berlari ke arah rakan-rakannya yang sedang bermain Jan Jan Jala Itik di tepi tapak perhimpunan.

Tidak lama aku bersama Saeda kerana aku cuma guru sementara di situ. Waktu itu umurku sembilan belas tahun dan aku melamar kerja sebagai guru sandaran sementara menantikan surat panggilan ke universiti. Sewaktu aku meninggalkan Saeda, dia menangis tersedu-sedu.

“Kita tak sempat nak bagi buah epal kuning kat cikgu. Epal kita masih hijau lagi. Nanti, kita janji, kita nak cari cikgu. Kita nak bagi epal kuning.” Aku terharu mendengar kata-kata Saeda. Sekolah Kebangsaan Permatang Damai bukanlah asing bagiku. Hanya kira-kira sepuluh kilometer sahaja dari kediaman orang tuaku. Tapi selepas meninggalkan kampong, aku tidak lagi bertemu Saeda. Lebih-lebih lagi setelah aku berumahtangga dan tinggal menetap di Bandar Baru Bangi ini.

*********************

“Err…cikgu.” Lamunanku terhenti. Saeda berada nyata di hadapanku kini tapi aku tidak dapat menatap wajahnya. Masihkah dia semanis dulu ? Kalaulah dapat kuselak purdah hitam ini, pasti dapat kuketahui semanis manakah wajah Saeda sekarang. Aduh, astagfirullahhaazim. Kenapa pula datang pemikiran yang bukan-bukan ini?

“Cikgu, kita datang nak bagi buah epal kuning yang kita janjikan dulu.” Aku terdengar suara Saeda bersama sedikit iringan tawa halus.

“Saeda masih ingat, ya?”

“Kita masih ingat. Cikgu pun pernah berjanji dengan kita dulu. Cikgu ingat tak lagi ?” Janji? Aduh !!! Apa pula janjiku itu ? Macam-macam sajalah budak Saeda ini.

Saeda meletakkan seplastik mangga epal yang sudah kekuningan di hadapanku.

“Kita nak balik dulu, cikgu. Kita cuma datang nak tunaikan janji kita dan lagi satu, kita nak minta maaf sebab hari-hari minta Farha letakkan epal merah di atas meja cikgu. Cikgu makan tak epal tu?” Aduh, epal merah Saedakah selama ini? Apa hubungannya dengan Farha, murid Tahun Lima itu? Wah, pandai pula Si Kecil itu menyimpan rahsia. Patutlah tersenyum-senyum sahaja dia memandangku setiap kali berpampasan di jalanan.

****************

Seminggu kemudian, emak menelefonku, meminta aku pulang. Ada urusan penting, katanya. Tapi aku tahu, urusan itu pastinya berkaitan dengan perihal pilih-memilih menantunya. Emak tidak jemu-jemu untuk mencarikan jodoh buatku selepas pemergian Hanis.

“Kali ini siapa pula, mak?” tanyaku tidak mahu membiarkan emak terus bermain tarik tali.

“Mak dah berjumpa dengan ibu bapanya. Dengan empunya badan pun emak dah jumpa. Katanya, dia redha menjadi isteri kamu. Lagipun kamu memang dah berjanji nak berkahwin dengannya.” Aduh, mak ! Perempuan sewel manalah pula yang emak dah berjumpa ni ? Siapa pula yang pernah kujanjikan untuk berkahwin dengannya ini? Emak buat aku bertambah pening.

“Kalau kamu tak nak balik pun tak apa, Ikram. Tapi hujung minggu ni, mak nak pergi hantar cincin tanda.”

“Eh, mak! Mak! Mak jangan nak buat hal.”

“Buat hal apanya pula? Bukankah minggu lepas dia dah pergi jumpa kamu? Dia kata dia setuju untuk terima kamu.”

“Jumpa saya? Isy, mak ni. Mana ada orang perempuan datang jumpa saya, mak.” Aku masih sahaja mahu cuba melepaskan diri daripada perangkap emak.

Memanglah aku berkata benar. Sebenar-benarnya tiada yang tidak benar melainkan benar belaka. Dalam pada itu, ligat kepala otakku memikirkan tentang perempuan yang datang bertemuku dalam seminggu yang lalu.

“Saeda!!!!” jeritku di bawah sedar.

“Haa…iyalah tu. Saedalah nama budak perempuan tu,” emak menjawab dari seberang sana. Aduh!!! Gagang telefon jatuh terkelepuk di atas lantai.

*********************

“Macam mana Saeda boleh terima pinangan emak abang?” Aku merenungi wajah isteriku, Nur Saedatul Akmar yang usianya sepuluh tahun lebih muda daripadaku. Tanganku mengelus-ngelus rambutnya yang ikal mayang dan tidak pernah dijamah oleh mata nakal lelaki lain.

“Bukankah abang yang pernah berjanji nak mengahwini kita bila kita besar nanti ?”

Sesungguhnya, sampai saat ini, aku masih memikir-mikirkan, masa bila aku melafazkan janji tersebut tetapi gagal. Oh, ingatan jangka panjangku mungkin sudah lama luput.

“Masa kita bagi buah mangga epal tu, abang cakap, nanti bila kita dah besar, abang nak kawin dengan kita. Lepas tu kita lari pergi bermain dengan kawan-kawan kita. Abang ingat tak?” Sedikit-sedikit, kenangan itu menjelma kembali. Memanglah aku mudah melupainya kerana aku sekadar bergurau waktu itu tapi mana mungkin aku mengakuinya saat ini. Di saat kami sedang dalam perjalanan untuk menyulam bahagia.

“Emm…buah epal kuning atau mangga epal, ya?” Aku sekadar ingin mengusik Saeda dan sebagai balasannya, satu cubitan singgah di pahaku. Nasib baik aku tidak melatah. Kalau tidak, pasti tetamu yang masih berada di luar sana kehairanan.

“Epal merahlah tanda cinta, bang. Eh, abang makan tak epal yang kita kirim tu?” Waduh, tiba-tiba sahaja Saeda boleh timbulkan isu ini. Bagaimana mahu kujawab? Jujur atau tidak ?

“Abang tak berani makan, ya?” Mungkin Saeda sekadar menduga tapi apa boleh buat seandainya dugaan itu benar.

“Err…emmm…ya…Danish yang makan.” Terkekeh tawa Saeda mendengar pengakuanku.

“Nasib baik abang jujur. Kalau tidak, kita piat sekali lagi.”

“Saeda tahukah abang tak makan epal-epal tu?”

“Tahu…Abang Danish yang bagitahu.” Hisy, Si Mulut Tempayan itu, siapa lagi ? Memang tak boleh jadi tempat menyimpan rahsia.

“Apa hubungan Saeda dengan Farha?” tanyaku untuk mendapatkan kepastian.

“Sebenarnya, kita menyewa bilik di rumah mak ayah Farha selama belajar di Bangi tu. Sekali tu, kita ternampak gambar abang dalam foto kelas Farha. Bila kita selidik, memang sahlah itu abang yang kita cari-cari selama ini.” Aku termenung mendengar cerita Saeda. Saeda mencariku? Masih punya banyak rahsia yang belum tersingkap rupa-rupanya.

“Bila balik kampong, kita bagitahu mak yang kita dah jumpa cikgu kita yang kita rindu sangat-sangat tu. Mak kita ketawa saja sebab mak kita kenal dengan mak abang tapi kita tak tahu. Bila mak abang datang ke rumah, dia bagitahu suruh kita jumpa abang. Sebab itulah hari tu, kita pergi ke sekolah abang.”

“Kenapa Saeda cari abang? Kenapa Saeda tak pilih mana-mana kawan lelaki yang sebaya Saeda? Abang kan dah tua? Sepuluh tahun tau, beza umur kita. Sekarang abang dah tiga puluh dua. Saeda baru dua puluh dua. Belum habis belajar lagi.”

“Kita buat solat istikharah. Kita nampak abang. Kita tahu, kita memang ada jodoh dengan abang.” Oh Tuhan ! Saeda buat solat istikharah? Malunya aku. Aku cuma buat sujud syukur sahaja selepas mendapat berita bahawa Saeda sudi menjadi isteriku. Aku tiada pilihan lain selain daripada Saeda.

“Macam mana dengan pengajian Saeda?”

“Kita akan belajar seperti biasa kalau abang izinkan. Lagipun, selepas ini kita tak perlu menyewa di rumah Farha lagi. Abang boleh hantar terus kita ke kampus.”

“Saeda ni banyak cakap, ya?”

“Dulu pun, kita ada banyak perkara nak cakap dengan abang tapi masa tu kita belum ada apa-apa ikatan sebab tu kita tak berani cakap apa-apa lagi.” Saeda terdiam. Lama diamnya membuatkan aku berasa cuak. Bahunya terhenjut-henjut. Saeda menangis.

“Saeda…kenapa?” Aku memeluk bahunya.

Saeda berpaling ke arahku dan membalas pelukanku.

“Maafkan kita kalau kita buat abang tak selesa.” Rasa bersalah pula aku kerana menegur Saida sebentar tadi.

“Saeda jangan menangis lagi. Malam ini malam kita. Kita tidur ya, sayang,” aku memujuk Saeda. Lampu tidur kumalapkan. Maafkan abang, Hanis. Izinkan abang mengisi kekosongan hidup ini sekali lagi. Aku tahu Hanis pasti akan bahagia melihat kebahagiaanku kini.




Tamat

1255 am….14 Feb 2012.

Thursday, 21 July 2011

Sebuah Amanah


Aku seorang guru. Bukan cita-citaku tetapi takdir telah meletakkan aku di sini. Bukan aku tidak bersyukur dengan kerjayaku ini tetapi terkadang jiwa terseksa dan paras amarah melambung semaksimanya apabila terpaksa memikul bebanan tugasan yang bertimpa-timpa.

Aku meneliti setiap maklumat guru yang perlu diperbetul. Ada perubahan untuk tarikh naik pangkat, tarikh pergerakan gaji serta tangga gaji. Sudah ramai guru sekolah ini yang telah dinaikkan pangkat ke gred DGA32, ada yang hakiki dan  ada juga yang Khas Untuk Penyandang (KUP).
Ini bermakna aku sebagai guru data EMIS perlu bertindak pantas, mengemaskinikan maklumat peribadi mereka secepat mungkin kerana mereka perlu didaftarkan untuk menduduki peperiksaan PTK bulan Ogos nanti.

Mataku semakin berpinar-pinar apabila terlalu lama menghadap skrin komputer. Kepala pun sudah mula berdenyut-denyut. Selepas ini aku perlu pula menyemak data SMM kerana seorang daripada murid sekolah ini telah bertukar ke sekolah lain.

******************************

Hari ini merupakan hari terakhir Peperiksaan Kendalian Sekolah Rendah Semester Pertama. Aku sedang tekun menanda kertas Bahasa Melayu Penulisan Tahun Enam. Penyemakan kertas ini perlu disegerakan kerana markahnya akan dikumpulkan sebelum cuti pertengahan semester satu oleh guru kelas Tahun Enam untuk dianalisa bersama-sama mata pelajaran lain.

Aku perlu pastikan semua tugasanku beres sebelum pulang untuk bercuti. Menanda kertas penulisan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Terkadang, rasa sakit hati membaca karangan murid yang tunggang-langgang. Tulisan yang buruk, ejaan yang salah. Kosa kata dan tanda baca jangan cakaplah, lingkup….

“Sudah Tahun Enam tetapi masih belum dapat membezakan huruf ‘b’ dan ‘d’,” gerutu hatiku tatkala membaca karangan hasil tulisan Aiman.

Entahlah, UPSR semakin hampir, perkara seremeh ini masih terus berlaku. Perlukah seorang guru Bahasa Melayu Tahun Enam mengajar muridnya membaca dan menulis ? Bagaimana dengan murid-murid yang lain ? Sekarang ini sedang berlangsung Program Gerak Gempur UPSR. Murid-murid didedahkan dengan pelbagai teknik menjawab soalan bukannya program pemulihan membaca dan menulis.

Sebelum PKSR, aku memanggil Hafiz ke mejaku. Kuhulurkan sehelai kertas dan kupinta dia membaca petikan itu. Tergagap-gagap dia membaca sambil mengeja dan akhirnya dia terhenti pada perkataan ‘perempuan’ yang terdapat dalam petikan tersebut. Sehingga ke akhir waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Hafiz masih belum dapat menyebut perkataan itu.

“Ya, Allah. Sabarkanlah hatiku ini....”  Ikutkan hati, mahu sahaja aku bagi penampar muka Si Hafiz ni. Nasib baik anak orang, kalau anak aku, dah lama makan pasir budak ni.

Selesai menanda kertas penulisan, aku beralih pula ke Matematik Tahun Lima. Semua ini mesti kuselesaikan segera agar tiada kerja yang tertangguh.

Bahasa Melayu sudah, Matematik sudah, Sivik dan Muzik pun sudah. Aku bergegas menyelak fail untuk mencari senarai nama murid Tahun Lima. Sebagai guru kelas, aku perlu memungut markah daripada setiap orang guru mata pelajaran untuk kelasku. 

Ha, di sini masalah akan timbul lagi. Memungut markah peperiksaan memang satu masalah yang besar.

“Cikgu-cikgu ni pun satu. Tak pernah nak faham-faham. Bukannya tahu nak hantar keputusan periksa. Selagi tak diminta, selagi itulah diperamkan sahaja.” Mulutku membebel sendirian.

“Cikgu, ini ada jadual ganti. Tolong gantikan Cikgu Murssyid yang tak datang,” Pelayan pejabat datang menghulurkan ‘surat cinta’.

(Dalam hati)“Masya Allah, tengah tenat-tenat cam gini pun nak kena gantikan kelas orang lagi.” Hati yang telah tersedia panas semakin menggelegak. Sambil mulut mengukirkan senyuman pahit, tangan terus jua menurunkan tandatangan.

Jangan banyak komen, nanti lain pula ceritanya.

Aku segera mengemaskan meja kerjaku yang berselerak. Senarai nama murid kelas 5B kuselitkan di celah buku ringkasan. Aku ke kelas 3B untuk menggantikan Cikgu Murssyid. Dalam perjalanan ke sana, sempat aku menggamit Faiz, murid Tahun 4A yang sedang berdiri di koridor kelasnya.

“Tolong saya, berikan kertas ini kepada Cikgu Nelly. Minta dia isikan markah Sains 5B.” Faiz tersenyum sambil menyambut huluran senarai nama murid 5B.

Untuk dapatkan kesemua markah peperiksaan ini, paling kurang, masa satu minggu diperlukan. Pihak atasan sudah mula meminta keputusan daripada guru-guru kelas. Ini lagi satu, tak faham-faham. Macam mana guru kelas nak kemukakan keputusan kalau markah pun belum diperoleh daripada guru-guru lain.

“Cikgu, saya dapat nombor berapa ?” tersengih-sengih Masyitah di sisi mejaku.

“Kamu tak nampakkah saya banyak kerja ni ? Yang kamu sibuk-sibuk nak tahu pasal keputusan periksa kamu ni kenapa ?” Nyalang mataku memandang Masyitah.

“Dah, pergi duduk di tempat kamu. Jangan ganggu saya, saya sibuk ni. Kamu tak faham ke ?” Terkedip-kedip mata Masyitah menerima herdikanku.

Seminggu kemudian, barulah aku boleh duduk di hadapan skrin komputer. Mengisi markah menggunakan aplikasi SAPR16HC. Masa rehat yang diperuntukkan tidak sempat digunakan untuk berehat. Ada tugasan yang lebih penting perlu diutamakan.

Kerja-kerja yang menimbun perlu dibawa pulang ke rumah untuk diselesaikan. Pada masa ini, anak-anak pun dilarang mengganggu. Jika ada yang menghampiri, paling koman pun, pasti anak patung pooh akan melayang ke kepala. 

“Mama banyak kerja. Jangan ganggu. Nak makan, pergi ke dapur. Ambil sendiri. Mama dah sediakan kat atas meja tu.” 

Fuh, selesai satu masalah apabila markah siap diisi! Markah murid berdasarkan gred, analisis mata pelajaran serta markah murid Hikmah dicetak. Selesai mencetak slip keputusan individu, aku menurunkan tandatangan untuk 30 orang murid 5B.

“Ketua-ketua Panitia diminta mengadakan mesyuarat kali ketiga untuk membincangkan keputusan PKSR 1. Sila isikan markah Headcount dan buat analisis bagi setiap mata pelajaran. Sila serahkan minit mesyuarat kepada saya secepat mungkin”. Arahan lagi. 

Aku ? Biasalah. Orang gila kerja. Guru Kelas – aku, Ketua Panitia pun – aku. Panggil guru-guru untuk menghadiri mesyuarat panitia, taipkan minit mesyuarat, buat analisis keputusan peperiksaan.... Fuh, apa lagi kerja yang menanti ?

“Guru-guru Tahun Enam, sila buat analisis keputusan peperiksaan bagi mata pelajaran masing-masing. Kenal pasti kelemahan calon dan perancangan untuk mengatasinya. Gunakan borang yang disediakan ini.”

Ah, belum sempat aku membetulkan urat belikat, dah tiba kerja baru. Hai, kalaulah suami aku orang kaya, dah lama aku berhen......... Ahhhhh. Tensionnya....

*****************************************

Ketukan di pintu utama mengejutkan lamunanku. Aku mencapai selendang dan bergegas membukanya. Seorang pemuda tampan berkaca mata, tegak berdiri di hadapanku sambil tersenyum.

“Cikgu...”

Aku masih terpinga-pinga. Siapa ya ?

“Cikgu, saya Johari.”

Oppss! Baru aku ingat. Johari anak muridku dua belas tahun yang lalu. Waktu itu usianya dua belas tahun, kini dua belas tahun berlalu, dia sudah berusia dua puluh empat tahun. Sudah menjadi seorang pemuda yang kacak.

Suamiku menjengah lalu menjemput dia masuk.

“Saya datang nak jemput cikgu sekeluarga ke majlis perkahwinan saya.”

Berbual dengan Johari membangkitkan nostalgiaku ke beberapa belas tahun yang lalu. Sewaktu aku mula-mula menjadi seorang pendidik. Bermula daripada hanya seorang murid yang berkebolehan sederhana malahan pernah menjadi penghuni kelas pemulihan, Johari kini sudah beroleh pekerjaan yang baik dan berjaya dalam hidupnya.

Sedikit rasa bangga menyelinap ke dalam sanubariku.

Sebelum berangkat pulang, Johari sempat meluahkan kata-kata ini buatku, “Cikgu, saya nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada cikgu. Dulu saya seorang murid yang lemah dan nakal tetapi cikgu tak pernah jemu-jemu mendidik saya.”

Kelu lidahku mendengar kata-kata Johari.

“Nasib baiklah cikgu mengajar saya dengan bersungguh-sungguh sehingga saya menjadi orang yang berguna seperti sekarang.”

Kata-kata Johari bagaikan azimat buatku. Malam ini, aku tidak dapat melelapkan mata. Kata-kata itu terlalu bermakna buatku. Sedikit demi sedikit, pelbagai kenangan indah semasa bergelar pendidik ini kujelajahi.

Satu demi satu wajah anak-anak didikku silih berganti mengunjungi benak ini. Terasa sayu dan sesungguhnya aku merindui wajah-wajah itu.... Wajah yang tulus dan suci. Wajah yang penuh pengharapan. Wajah yang perlu dibelai dan dikasihi.
Teringat aku akan Mazni, rakan sekelas Johari. Gadis kecil serba kekurangan. Datang ke sekolah dengan muka comot dan pakaian yang kotor. Kemahiran membaca dan menulis masih tidak mampu dikuasai meskipun telah berada di tahun tiga namun bercita-cita tinggi, pramugari.
Saat kuajukan pertanyaan kepada teman-temannya, kenapa suka mengejek nama kawan-kawan terutamanya Mazni, kata mereka, nama itu tidak ‘sedap’. Kenapa? Kerana Mazni tak pandai, ya? Berlumba-lumba mereka mengangguk-anggukkan kepala.
Akhirnya, kupinta mereka keluarkan sehelai kertas. Tuliskan nama masing-masing di penjuru kiri sebelah atas  kertas berkenaan. Kemudian, tuliskan nama pilihan masing-masing jika diberi peluang untuk menukar nama dan nama yang tidak disukai. Lipat kertas itu baik-baik  dan serahkan kepadaku.
Mula-mula, mereka agak malu-malu. Tapi, kuperjelaskan. Itu semua  rahsia. Rahsia antara aku dengan si penulis. Tak akan kubocorkan nama idaman mereka dan  keputusannya, hanya seorang murid yang menulis nama sendiri sebagai nama idaman. Murid  itu adalah seorang murid lelaki yang agak bijak dalam kalangan teman-teman.
Beberapa orang teman  turut menulis  nama murid tersebut sebagai nama idaman mereka. Murid perempuan pula lebih suka memilih nama artis….hmm Ning Baizura…rasa-rasanya Siti Nurhaliza belum begitu popular sekitar awal tahun 90an. Mungkin sebab itulah tiada yang memilih namanya.
Ada juga anak lelaki yang memilih nama guru kesukaan mereka seperti Shahruddin, Nazif dan sebagainya. Aku tersenyum sendiri tatkala menatap catatan mereka…
“Cikgu dah janji aaa… tak akan bocor rahsia kami,” senyumku  semakin melebar mendengar peringatan  itu.
“Tak…cikgu tak akan bocorkan,” dan sesungguhnya, aku memang pemegang amanah yang amanah kerana sehingga ke hari ini, aku  tidak pernah membocorkan rahsia sebenar mereka.
“Zulkarnain, kenapa tak suka nama Zulkarnain?” Zulkarnain hanya menyengih.
“Sedap kan , nama Zulkarnain tu,” akhirnya, kuceritakan serba sedikit tentang sejarah seorang tokoh bernama Iskandar Zulkarnain. Selepas itu, Zulkarnain  cepat-cepat menukar balik nama idamannya kepada nama asalnya.
Saat kutanyakan mereka tentang nama yang paling dibenci, hampir seluruh kelas menyebut serentak…Mazni. Mazni lagi. Kasihan Mazni. Dia tak ambil kisah apa orang nak cakap kerana dalam ramai-ramai yang menyebut bencikan nama  Mazni itu adalah Mazni sendiri.
“Mazni, kenapa kamu pun tak suka nama kamu?” Mazni tersengih, kerang busuk.
“Kan sedap nama tu. Mazni adalah nama heroin dalam novel Badai Semalam. Nanti kamu cari novel tu. Kamu boleh baca. Lagipun, nama yang diberi oleh emak dan ayah kamu adalah nama yang terbaik buat kamu. Cari maksud nama kamu. Nanti kamu akan suka dengan nama itu.”
“Sekarang ni memang la kamu tak suka Mazni. Tengoklah satu hari nanti, bila Mazni  dah besar, dah pandai bergaya, mesti ramai yang jatuh cinta dengan Mazni,” satu kelas mengaum dengan irama “booo”.
Kali terakhir aku bertemu Mazni di pasar malam kira-kira lima tahun  yang lalu, dia  menggendong seorang anak kecil. Tersentak bahuku saat disentuh seorang wanita muda yang cantik saat aku sedang memilih bawang besar.
“Emmm…siapa ya?”
“Cikgu, cikgu tak kenal saya ke? Saya la…Mazni,”
“Mazni? Ya, Allah,” aku terkejut. Kupeluk Mazni dan kuraih bayi di dukungannya ke pangkuanku.
“Mazni datang dengan siapa? Suami mana?”
“Abang ada kat sana,” kata Mazni menunjuk ke satu arah yang suram dalam keriuhan pasar malam. Aku tak nampak dengan jelas tapi aku  tahu, dia menunjuk ke arah suaminya.
Seingatku, Mazni kawin awal. Paling awal berbanding dengan rakan sekelasnya yang lain. Saat teman-temannya bergelumang dengan buku-buku pelajaran di sekolah menengah, Mazni telah dipinang orang. Sebaik sahaja  mendapat perkhabaran dia akan berkahwin, aku menangis.
Mazni tidak tahu aku menangis. Aku menangis kerana aku bimbang Mazni akan disakiti. Aku bimbang Mazni akan didera dan macam-macam lagi prasangka negatif yang timbul lebih-lebih lagi setelah kutahu, bakal suaminya hampir sebaya ayahnya sendiri.
Alhamdulillah, pertemuan ini menamatkan prasangka burukku. Mazni bahagia dan sentiasa kudoakan agar Mazni tetap bahagia sehingga ke penghujung usianya.

Hatiku melonjak-lonjak untuk kembali ke sekolah esok hari. Semangatku untuk mengajar berkobar-kobar. Aku ingin kembali menjadi guru yang disayangi oleh anak-anak didikku. Aku ingin menjadi seorang guru yang baik. Aku ingin menjadi seorang pekerja yang bertanggungjawab.Aku ingin berbakti kepada anak bangsa dan tanahairku dengan seikhlasnya.

Hari, cepatlah siang. Ya, Allah, aku ingin mengasuh amanahMu ini dengan sebaik-baiknya. Aku ingin melahirkan lebih ramai Johari dan Mazni. Aku ingin segera memohon maaf daripada Masyitah. Oh, Tuhan! Kabulkanlah permintaan hambaMu ini.

Kesimpulannya, bukan aku seorang yang buat kerja banyak, cikgu-cikgu lainpun macam itu juga..... Dedikasi buat guru-guru di seluruh daerah Hulu Perak yang telah mengajar dengan bersungguh-sungguh dan guru-guru di seluruh Malaysia. Terima kasih, cikgu. 

Tuesday, 19 July 2011

Maafkan Mama

“Kahwinlah, bang,” suamiku hanya terdiam mendengar sarananku. Memang sejak mula lagi, dia hanya mendiamkan diri saat kuajukan cadangan itu. Diam dan diam sahaja. Bantah tidak, setuju pun tidak. Geleng tidak , angguk pun tidak.

Sudah acapkali kusuarakan. Namun suamiku masih membisu.  Si kecil kami, Danisha tiga tahun, berlari-lari memeluk kakinya. Suamiku membongkok, mengangkat Danisha dan memeluknya  erat.

“Kalau abang sayangkan Nina dan anak-anak kita, kahwinlah bang. Nina redha,” sekali lagi aku bersuara. Kini dengan deraian air mata yang kian lebat menyeberangi pipiku. Suamiku melepaskan kucupan bertalu-talu ke pipi anakanda kami, silih berganti, kiri dan kanan, seolah-olah tidak mendengar ungkapanku.

“Abang…”

“Sudahlah, Nina. Abang penat. Abang nak mandi dan berehat sekejap. Kalau Nina perlukan apa-apa, panggilkan abang, ya.” Itulah penyudah jawapan suamiku. Aku hanya menatap derap langkahnya meninggalkanku, kosong.

Walau macam mana penatpun dia, tidak pernah sekalipun dia meninggikan suaranya kepadaku. Tetap melayani karenahku seperti biasa meskipun terkadang tampak jua keruh di wajahnya. Mungkin kerana dia juga rasa bersalah atau mungkin juga kerana simpati dengan keadaanku.

Namun, selama mana dia mampu bertahan? Melayani isteri yang tidak lagi mampu memenuhi tuntutannya sebagai suami? Aku tahu. Aku kini serba kekurangan. Aku bukan lagi seorang isteri yang sempurna. Allah telah menarik kembali kekuatan dan kesempurnaan yang pernah dianugerahiNya kepadaku suatu ketika dahulu.

Menyesal? Apa lagi yang hendak dikesalkan. Semuanya sudah berlaku. Nasi sudah menjadi bubur. Sekurang-kurangnya, aku patut bersyukur. Aku masih diberi kesempatan untuk bertaubat dan memohon ampun daripada suamiku. Masih punya waktu untuk menatap wajah-wajah kesayanganku, anak-anak dan ibu bapaku.

Tapi, Syahed? Syahed pergi sebelum sempat bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah,  isteri dan anak-anaknya. Ya Allah, alangkah besarnya dosaku. Aku mohon keampunan daripadaMu, ya Tuhan.

Aku mengengsot perlahan-lahan di birai katilku, cuba mencapai kerusi roda di sudut dinding. Tadi, kerusiku di tepi katil ini tapi entah siapa pula yang menolaknya ke situ hingga jauh ke sudut dinding. Mungkin Danisha yang berlari memeluk ayahnya tadi.

Terdengar derapan di luar kamar. Tersembul wajah suamiku di muka pintu.

“Nina nak ke mana? Kenapa tak panggil abang?” suamiku menerpa ke arahku, memelukku yang hampir terjerumus ke lantai.

“Nina nak ke bilik air, bang. Kalau kerusi roda Nina di sini, Nina boleh pergi sendiri,” terangku agar suamiku tidak memarahiku.

“Abang ada di rumah, Nina. Apa gunanya abang ini? Abang boleh bantu Nina ke bilik  air.”

“Maafkan Nina, bang. Bukan abang yang tidak berguna tapi Nina ni yang selalu menyusahkan abang. Nina yang tak berguna, bang,” aku semakin sayu.

“Nina jangan asyik nak menyalahkan diri sendiri pula. Bersyukurlah dengan apa yang telah Allah berikan selama ini. Nina selamat. Itu yang paling utama. Abang perlukan Nina. Anak-anak perlukan Nina.”

“Nina tahu, abang tak perlukan Nina. Siapalah Nina ini. Nina hanya menjadi beban buat abang. Kalau abang nak kahwin, kan Nina dah izinkan. Tinggalkan Nina. Nina boleh jaga diri Nina sendiri.”

“Jaga diri sendiri? Tadi tu apa yang Nina buat? Kalau abang tiada tadi, dah tentu tersembam Nina di lantai, kan?”

“Iyalah. Nina lemah. Nina tak berdaya. Nina memang tak guna. Tinggalkan Nina. Nina nak bersendirian.”

“Haa…dah mulalah tu. Nina kena faham. Abang dan anak-anak sayangkan Nina. Kami nak Nina bahagia. Kami nak Nina pulih seperti sediakala.”

“ Abang tu yang sengaja tak nak faham. Nina cakap Nina nak bersendirian.  Nina bosan, tahu tak? Asyik-asyik tengok abang. Asyik-asyik tengok anak-anak. Bising lagi,” aku sengaja nak naikkan darah suamiku. Agar dia tinggalkan aku dan cari perempuan lain tapi selepas kata-kata itu kuluahkan, aku menghamburkan air mataku.

Sebenarnya, aku amat takut kehilangannya. Kalau dia tiada, siapa yang nak bawa aku ke bilik air? Siapa yang nak mandikan aku? Aku masih belum biasa menggunakan kerusi roda ini. Kudratku  dengan kekuatan satu kaki ini masih terlalu lemah.

Biasanya, selepas mendengar omelanku, suamiku akan mendiamkan diri. Diam seperti tunggul. Mungkin dia tidak mahu memanjangkan cerita itu. Atau mungkin dia sudah bosan mendengarkan cerita yang berulang-ulang itu.

Selepas ke bilik air, suamiku menghantar aku ke bilik. Membaringkan aku di katil dan menarik selimut menutupi kakiku. Kakiku yang cuma tinggal sebelah sahaja lagi.

“Nina nak apa-apa lagi?”

Aku hanya menggeleng, lesu.

Suamiku melangkah ke luar tanpa memberitahu aku ke manakah tujuannya. Aku gelisah lagi. kalau sebentar tadi, aku yang beria-ia menyuruh dia mencari pengganti diriku tetapi kini, sebelum peristiwa buruk itu berlaku, aku telah mulai rasa kehilangannya.

Air mataku merembes lagi. Baru aku perasan. Sewaktu menyambut aku yang hampir jatuh dari katil tadi, aku sempat
tercium bau haruman parfume di lehernya. Haruman yang pernah menggetarkan jiwa gadisku suatu ketika dahulu.

Suamiku berwangi-wangian. Hendak ke manakah dia? Dengan siapakah temu janjinya? Jiwaku meruntun. Tapi aku tahu, suamiku tidak akan berpergian lama. Dia mesti pulang awal. Dia perlu membantu aku mengambil wuduk untuk solat Maghrib. Tapi siapa tahu? Mungkin dia terlupa. Atau mungkin dia pun sudah bosan untuk melayani karenahku yang pelbagai.

Aku mencapai kitab terjemahan al-Quran di sisi. Di kesempatan ini, aku masih diberi peluang untuk membaca dan menambah ilmu pengetahuan serta amal ibadatku. Ya Allah, masih terimakah Engkau akan segala amal ibadatku setelah kulakukan dosa besar sebelum ini?

Aku meraup kedua telapak tanganku ke muka. Terasa dingin sekali. Rumahku juga sepi. Sesepi hatiku yang keseorangan.
Kenapa aku rasa sepi sedangkan kesepian ini yang kudambakan dulu? Aku benci dengan riuh rendah suara anak-anakku, berlari, bermain dan bergurau senda.

Aku inginkan ketenangan. Tenang daripada segala hiruk-pikuk itu. Kini apa yang aku temui? Hanya kesepian dan keseorangan. Di mana anak-anakku? Aku merindui suara mereka. Aku merindui jerit tangis mereka.

Ya, Allah! Jangan dirampas anak-anakku dari sisiku. Rampas? Adakah Allah sekejam itu? Sedangkan semua yang kumiliki selama ini adalah pemberian Allah. Pinjaman daripada Yang Maha Agung. Ya, Allah! Aku berprasangka buruk terhadapMu. Ampunkan aku ya, Allah.

Terdengar deruan enjin kereta memasuki perkarangan rumah. Kutahu, itu bunyi enjin kereta suamiku. Aku tersenyum. Telah kujangkakan. Suamiku pergi tak kan lama.

Sebentar kemudian, terdengar suara-suara kecil dan besar saling bertingkah. Kukenali, itu suara suami dan anak-anakku. Anak-anakku telah pulang? Aku tidak sabar menunggu mereka datang menerpa ke arahku. Aku telah bersedia mendepangkan tanganku untuk memeluk mereka.

Aku sudah tidak sabar-sabar lagi. Lima orang putera puteriku pasti sudah merinduiku sepertimana aku merindui mereka. Cepatlah, anak-anakku. Mama sudah tidak sabar ni. Kalaulah aku sempurna. Kalaulah aku masih memiliki kedua-dua belah kakiku ini, pasti aku sudah lama menerpa ke arah mereka. Menyambut mereka di muka pintu lagi. Tapi, apakan daya.

Kuhitung detik demi detik. Tiada siapa yang menjengah ke bilik tidurku. Tanganku yang sedia terdepang semakin lemah, jatuh perlahan-lahan di sisiku. Saat kudengar lagi sayup-sayup suara mereka, kuangkat semula tanganku sambil menantikan kehadiran mereka. Detik itu berlalu lagi dengan penuh kehampaan.

Aku betul-betul kecewa. Jiwaku dipanah kepiluan. Tidak sudikah mereka menatap wajahku lagi? Mama yang telah mengandung dan melahirkan kalian? Membesarkan kalian dengan penuh kasih sayang dan belai manja? Hanya sedetik mama terleka dalam mengejar kemilau gemilang dunia.  Berdendamkah kalian?

Sepanjang aku menghuni hospital dan kini dibawa pulang kerumah, anak-anakku dititipkan di rumah  ibu mertuaku. Hanya Danisha yang sesekali dibawa pulang suamiku dan memelukku itupun dengan keizinan suamiku. Katanya, dia tidak mahu Danisha menggangguku. Aku sebagai mamanya, kenapa perlukan syarat yang  begitu dan begini?

Akhirnya, aku merebahkan tubuhku. Berbaring dan kemudiannya mengiring ke tepi, membelakangi pintu. Merajuk? Selama aku sakit, tidak pernah sekalipun mereka menziarahiku di hospital. Sehingga aku pulang, mereka masih tidak mahu bertemuku. Hina sangatkah aku ini?

“Syhh…diam, jangan bising. Mama tidur.” Itu suara Danish, anak sulungku. Suara yang kurindui tapi mereka tidak singgah di bilikku. Pasti mereka sedang terjingkit-jingkit menuju ke bilik sebelah sebab sebentar kemudian, kudengar derik pintu bilik sebelah sana dibuka. Hatiku tersayat pilu.
“Nina, Nina. Bangun. Jangan tidur. Dah Maghrib ni, tak baik,” kudengar suara suamiku, berbisik perlahan di cuping telingaku. Pantas kuseka air mata yang membanjiri mukaku.

***********************************************************************************
“Abang pergi! Jangan balik-balik lagi!” aku menghamburkan amarahku sambil membalingkan botol sos cili yang masih berbaki ke arah suamiku. Mujur dia sempat mengelak. Kalau tidak….

Botol sos yang pecah berderai, memuntahkan sos merah pekat  memenuhi ruang tamu. Punah segala gaya keinggerisan yang cuba kuterapkan di sudut itu.

Pagi keluar. Petang keluar. Malampun keluar lagi. Memanglah aku naik hantu. Entah apalah projek yang diusahanya sekarang? Setahu aku, dia sudah lama tidak mendapat projek besar. Sudah ramai kontraktor bertauliah. Sudah banyak saingannya. Alih-alih, suamiku hanya duduk goyang kaki.

Apa dia nak hairan? Tidak bekerjapun masih boleh berpeleseran. Cukup bulan, aku terima gaji. Bermakna, dia pun akan merasa habuannya sama. Gajiku yang digunakan untuk semua urusan. Daripada bab makan minum dan pakaian anak-anak sehinggalah ke bil-bil dan bayaran hutang pinjaman rumah dan kereta.

Selama mana aku mahu bersabar? Kalau dia dapat membantu aku di rumahpun, adalah juga faedahnya. Ini tidak. Aku keluar bekerja, dia pun keluar. Anak-anak dihantar ke Taska. Pulang petang, dia masih belum pulang. Pulang sekejap itu pun kerana nak mandi dan makan.

Buat rumah ni macam hotel. Duduk di hotel pun kena bayar sewanya juga. Ini tidak. Dari A sampailah ke Z, akulah yang menanggung semuanya. Manalah hatiku ini tak sakit. Jangankan kata nak berjalan makan angin, nak menziarahi emak dan ayah di kampungpun, dia tiada kesempatan.

“Nina, kamu jangan nak berlebih-lebih,” Tanpa disangka-sangka, dia kembali ke arahku. Belum pernah suamiku memarahiku sebelum ini. Apapun perbuatanku, dia hanya memekakkan telinga. Mungkin menyedari hakikat dirinya yang banyak bergantung hidup padaku. Tapi untuk kali ini, tidak lagi.

Anak-anak kami yang berlima itu saling berpelukan di tepi tangga. Aku sudah tidak pedulikan perasaan mereka. Apa yang aku tahu, hatiku sakit sekarang. Kalau dulu, aku punya prinsip untuk tidak bertengkar dengan suamiku di hadapan anak-anak. Kini, prinsip itu telah kubenamkan dalam-dalam.

“Abang jangan berani nak pukul saya,” kuugut suamiku sebelum sempat tangannya mencecah ke mukaku. Langkah suamiku terhenti.

“Awak ingat saya takut ke?” ugutnya pula.

Aku berawas juga. Kebelakangan ini, sukar hendak kutelah perangai suamiku. Terkadang barannya terserlah juga walau pun belum pernah sekalipun dia menyakitiku.


**********************************************************************************
“Bang, saya kena menghadiri  kursus selama lima hari di Pulau Langkawi,” kusuarakan kepada suamiku saat dia pulang lewat malam itu.Tiada lagi kata ganti diri ‘Nina’ yang kugunakan untuk membahasakan diri dengannya. Terhenti gerak tangan suamiku yang sedang menggapai tuala di ampaian.

“Berapa hari?”Tanyanya pohon kepastian.

“Lima.”

Suasana kembali sepi. Sebenarnya, berat hati ini untuk menghadiri kursus berkenaan lebih-lebih lagi untuk meninggalkankan si kecilku, Danisha yang baru berusia setahun, masih menyusu di badan. Namun demi tuntutan kerja,  terpaksa kupenuhi jua.

“Sepanjang saya tiada, jangan diabaikan anak-anak. Danisha telah saya ajarkan menyusu botol sepenuhnya. Hantar dia dan Damia ke Taska dan ambil sebelum pukul lima setengah petang. Danish pula ada kelas tambahan pukul tiga hingga lima petang. Selepas ambil Danish, terus pergi ambil Danisha dan Damia. Danish boleh pegang Danisha.”  Panjang lebar pula arahanku. Bimbang jika suamiku terlupa. Suamiku hanya memasang telinga. Pasti tugasnya menjadi lebih berat selepas ini.

“Danial dan Dalila, macam biasa. Pagi ke sekolah, pukul satu balik. Petang pukul tiga hantar ke Sekolah Agama Rakyat. Pukul enam baru pulang. Jangan lewat ambil, takut mereka merayau-rayau di bandar.” Tambahan kepada pesananku yang berjela-jela.

“Emm…Danish tak balik tengah hari?”  Oh, ya. Aku hampir terlupa.

“Danish tak balik. Dia solat di surau sekolahnya. Boleh buat kerja sekolah sementara tunggu kelas tambahan petang. Jangan lupa beri dia duit belanja lebih. Ini saya tinggalkan duit belanja untuk lima hari ini.” Kuserahkan not RM50 sebanyak sepuluh keping kepada suamiku.

“Duit tu, banyak.  Berikan kepada Danish buat bayar yuran tuisyennya bulan ini, lima puluh ringgit,” kujelaskan lagi agar suamiku lebih memahaminya.

Sebelum melangkah ke tangga bas, masih ada lagi rentetan pesanan yang kutinggalkan buat suamiku.

“Jangan lupa, bang. Jangan biarkan Dalila memasak. Nanti dia lupa nak tutup dapur gas. Pisau dan gunting sudah saya letakkan dari kabinet, rak paling atas. Jangan disepah-sepahkan benda-benda tajam di bawah. Jangan bagi Damia main guli abangnya, takut tertelan.”

“Ya, sudah…sudah. Abang faham. Abang faham semuanya. Nina  tu, jaga diri baik-baik. Selamat berkursus,” katanya cuba menoktahkan pesanan-pesananku. Beberapa orang teman sekursus sudah mulai menjeling-jeling sambil tersenyum ke arahku.

“Lagi satu, bang,” aku menjenguk ke luar tingkap. “ Jangan dibiarkan budak-budak tu mandi sendirian. Lantai bilik air tu licin. Jangan benarkan ….,”

“Ya, ya…abang faham…selamat jalan…,” Bas yang kutumpangi bergerak perlahan-lahan. Aku menarik nafas panjang dan duduk di bangkuku.

Hanya jasadku yang bergerak bersama kelajuan bas ini tetapi jiwaku, nun jauh kutinggalkan di rumah, bersama anak-anakku.

**************************************************************************
“Cikgu Nina. Menung aje ni. Kenapa? Teringatkan anak-anakkah atau teringatkan bapa anak?”

Aku tersenyum mendengar gurauan Tuan Syahed, fasilitatorku sepanjang kursus ini. Selama tiga hari di sini, aku semakin dapat mengawal perasaan kerinduan dan kebimbanganku terhadap anak-anak. Namun, apa yang pasti, aku tetap menghantar mesej kepada suamiku untuk mengingatkan dia tentang perjalanan tugasannya sepanjang hari.

Seawal jam enam pagi, aku telah menelefon. Mengejutkan dia agar bangun tidur. Aku tidak menghantar mesej kerana aku tidak akan berpuas hati selagi tidak mendengar suaranya menyambut panggilanku, sekaligus menandakan bahawa dia telah terjaga.

Pukul dua belas empat pukul lima, “Bang, ambil Danial dan Dalila”. Pukul dua empat puluh lima, “Bang, hantar Danial dan Dalila ke SAR”. Pukul empat empat puluh lima, “Bang, ambil Danish”. Pukul lima tiga puluh, “Bang, ambil Damia dan Danisha di Taska”. Pukul lima empat puluh lima, “Bang, ambil Danial dan Dalila di SAR”.

Dan setiap mesej daripadaku dibalas oleh suamiku dengan, “ok”. Selagi aku tidak menerima balasan “ok” daripadanya, selagi itulah aku akan terus menghantar semula mesej yang sama.

Lima hari di Pulau Langkawi, jiwaku meronta-ronta untuk kembali. Tidak sabar untuk menatap wajah suami dan anak-anakku. Lima hari meninggalkan mereka, menerbitkan rasa rindu yang teramat sangat.

“Jangan lupa, ya. Tuan-tuan dan puan-puan. Selepas ini, kita akan ada lagi kursus lanjutan. Tempat dan masanya akan diberitahu kemudian.” Jelas kedengaran suara Tuan Syahed memberikan penerangan. Aku sendiri sebenarnya, sudah mula menyukai kursus ini. Dapat menenangkan fikiranku yang selama ini bergelumang dengan anak-anak murid dan buku-buku sekolah.

Sesekali dapat berkursus, dapatlah juga aku merehatkan minda. Selepas ini, dapatlah pula aku mengajar dengan lebih bersemangat kerana telah bertambah ilmu di dada.

“Cikgu Nina. Jangan lupa, ya. Sediakan kertas kerja dan kita akan buat program lanjutan untuk memberi penerangan kepada guru-guru lain di daerah kita nanti tentang dapatan kita dalam kursus ini.” Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala. Tuan Syahed meletakkan kepercayaannya kepadaku walhal ada lagi beberapa orang guru lain dari daerah kami yang menghadiri kursus ini. Aku rasa dihargai.

Tiba di pintu rumah, aku menarik nafas panjang. Cuba menenangkan fikiran. Tidak tahu apakah yang bakal kutemui di dalam sana. Apa yang pasti, aku sudah dapat membayangkan, ruang tamu gaya keinggerisanku pasti sudah bertukar menjadi medan pertempuran tentera  British dengan Jepun di zaman penjajahan dulu. Singki di dapur pasti dipenuhi pinggan mangkuk dan bagaikan kapal Titanic karam, pecah terhempas ke bongkah ais.

Aku harus bersedia dengan semua situasi  ini. Aku masih tercegat di ambang pintu. Biar apapun keadaannya, aku harus menghadapinya. Kukuakkan daun pintu perlahan-lahan, tak berkunci. Aku menjengah. Hmm…di luar jangkaan. Ruang tamuku kemas dan teratur. Tiada tanda-tanda diselerakkan. Malah lebih kemas daripada sewaktu aku pergi dahulu.

Aku terjingkit-jingkit ke dapur, ingin melihat keadaan dapurku dan singkiku. Sangkaanku sekali lagi meleset. Singkiku bersih. Dapurku juga teratur dan kemas. Semua pinggan mangkuk tersusun rapi di raknya. Ibu mertuaku pula sedang menyuap Danisha dan Damia makan.

“Assalammualaikum, mak. Bila sampai?” kusantuni ibu mertuaku selayaknya.

“Waalaikummussalam. Nina, kau dah balik? Marilah makan,” Ibu mertuaku masih tidak menjawab pertanyaanku.

Danisha dan Damia menerpa ke arahku. Kupeluk mereka erat-erat. Melepaskan  kerinduanku selama lima hari meninggalkan mereka.

“Mak sampai bila?” Tanyaku lagi, mohon kepastian.

“Dah lima hari mak di sini. Hisyam yang ambil mak. Takkan Syam tak bagitahu Nina?” Hmmm… pandai suamiku, ya? Diam-diam dia ambil ibunya untuk menjaga rumah kami sepanjang ketiadaanku.

“Abang ke mana, mak?”

“Ke sekolah ambil anak-anak  katanya,”

“Kan masih awal lagi ni?” Aku menatap jam di tangan, baru pukul empat petang.

“Mak suruh dia singgah beli barang di kedai,”

“Danisha dan Damia duduk dengan Mak Tok ke? Tak pergi Taska ke?” Tanyaku kepada Damia yang berusia empat tahun. Dia menggeleng-gelengkan kepala.

“Mama, nanti kami nak duduk dengan Mak Tok lagi, ya?”  bagitahu Damia.

“Seronok ke duduk dengan Mak Tok?”

“Seronok. Mak Tok ajar ngaji. Mak Tok ajar ABC…,” petah Damia bercerita. Ibu mertuaku tersenyum melihat gelagat anak-anakku.

***********************************************************************
“Bang, minggu depan Nina kena pergi kursus lagi,” beritahuku kepada suamiku.

“Lama?”

“Lima hari.”

“Di mana?”

“Pulau Pangkor.”

“Asyik ke pulau sahaja. Kenapa?”

“Manalah Nina tahu. Nina ni menerima arahan sahaja. Tapi abang tak risau, kan. Nanti emak abang boleh datang temankan anak-anak,” suamiku tersenyum mendengar usikanku.

Pemergian kali ini tidak lagi kutinggalkan dengan pesanan yang berbakul-bakul. Aku tahu, suamiku pasti akan membawa ibunya ke rumah kami. Ibu mertuaku pula tidak banyak cerewetnya. Mungkin kerana dia pun keseorangan selepas kematian ayah mertuaku lapan tahun yang lalu.

“Cikgu Nina, saya tengok awak ceria sahaja dalam kursus ini. Tidak seperti kursus yang lalu. Awak asyik sugul dan muram sahaja,” Tuan syahed memberikan komen. Aku tersenyum. Memang kali ini, jiwaku lebih lapang. Kalaulah dulu suamiku memberitahu tentang kesediaan ibunya menemani anak-anak dan menguruskan rumah kami, pasti aku tidak akan sesugul itu.

“Biasalah Tuan Syahed. Mula-mula dulu, memang peninglah sikit. Sekarang ni dah semakin ok,” kataku memberi alasan.

“Jangan panggil saya tuan. Panggil nama saya, Syahed,”pinta Tuan Syahed.

“Tuan pun sama. Jangan panggil saya Cikgu Nina. Panggil Nina.”

Kuakui, aku semakin rapat dengan Syahed. Dia juga rajin bercerita tentang keluarganya. Syahed seorang suami yang bertanggungjawab dan seorang ayah yang penyayang. Ke manapun perginya, dia tidak pernah lupa untuk membelikan cenderahati kenangan buat isteri dan anak-anaknya.

Cuba kubandingkan keperibadiannya dengan suamiku. Suamiku dulupun begitu. Seorang suami yang bertanggungjawab dan penyayang. Selalu membelikan aku hadiah yang mahal-mahal. Sewaktu menguruskan projeknya di Surabaya, dia membawa pulang kepadaku ole-ole dari Indonesia.

Begitu juga sewaktu  projeknya sedang giat dilaksanakan di China. Bukan sedikit diangkutnya kain sutera China. Sehinggakan aku boleh menghadiahkannya kepada ibu dan sanak saudaraku di kampong. Suamiku pemurah orangnya.

Tapi kini, projeknya semua tidak menjadi. Mungkin sebab itu dia sedikit tertekan dan terkadang dapat kulihat tekanan itu berdasarkan tingkah lakunya. Walaupun belum pernah naik tangannya ke badanku tetapi sesekali  suaranya meninggi, menengkingku.

“Kenapa Nina? Dah termenung  pula,” sedikit demi sedikit, masalahku, kuluahkan kepada Syahed. Seorang yang sudi mendengar luahan hatiku dan bersimpati dengan nasibku.

Hubungan kami  makin akrab dan aku tidak sedar, sejak bilakah aku mulai bergantung harap kepadanya. Apa yang pasti, kami semakin mesra. Aku terlupa tentang hubungan kami yang terlarang kerana aku bahagia bersamanya. Kini, aku semakin merindui kehadirannya. Gelak tawanya. Usik-usikannya. Menjadikan aku terasa kembali muda.

Aku terlupa dengan usiaku yang bakal menginjak ke angka empat puluh pada tahun ini. Aku lupa bahawa aku masih punya lima pasang mata yang menagih simpati dan kasih sayang daripadaku. Aku lupa bahawa aku masih lagi isteri orang dan suamiku adalah seorang lelaki yang pernah merajai hatiku selama ini.

Cinta menjadikan aku alpa. Cinta? Mustahil aku jatuh cinta sekali lagi. Tetapi sesungguhnya, jiwaku sedang dilamun asmara.  Aku ingin bersendirian. Bersendirian melayani angan-anganku bersama Syahed. Suamiku mungkin tidak menyedarinya kerana dia masih tetap dengan rutin hariannya. Pagi, petang, siang, malam sama sahaja.

Aku sudah jelak dengan perangainya. Namun, aku juga bertuah. Dengan aktivitinya itu, bermakna aku bisa terbang bebas tanpa sebarang gangguan dan tanpa sebarang sekatan. Damia dan Danisha langsung kutitipkan kepada ibu mertuaku di rumahnya dengan alasan, aku kini semakin sibuk. Sibuk berkursus dan sibuk menambahkan pendapatan kerana suamiku tidak bekerja.

Dengan ketiadaan ibu mertua di rumahku, aku semakin bebas melayang. Tiada lagi mata-mata yang mengintai setiap tingkah-lakuku. Danish, Danial dan Dalila, telah kudapatkan seorang pemandu van sewa khas  untuk menghantar dan mengambil mereka di sekolah. Kenapa selama ini tidak pernah kufikirkan tentang kesenangan ini?

Akhirnya, hubunganku dengan anak-anak menjadi semakin renggang. Aku tidak tahu sejak bilakah jarak yang memisahkan antara kami terbina. Dalila, anak manja yang suka mengadu dan banyak kaletahnya itupun sudah semakin jauh dariku. Aku sendiripun sudah tidak punya banyak kesempatan untuk melayaninya.

Bagaimana dia mahu bermanja denganku? Baru sahaja membuka mulut untuk bercerita, aku segera memintasnya, “Dalila, mama sibuk. Tolong jangan ganggu mama”. Walhal pada masa itu, aku asyik berchatting dengan Syahed di facebook. Banyak sangat tanyanya, aku pasti akan menengking.

Danial pula, sudah beberapa kali menerima habuan tanganku. Berbirat belakangnya dengan lima bekas jari tanganku. Nakalnya menjadi-jadi. Sewaktu aku sedang asyik melayani teman facebookku, dia datang membawa segelas air. Entah macam mana, kakinya terlanggar kaki meja dan air yang dibawanya tertumpah ke atas ribaku. Nasib baik atas riba, kalau atas laptop? Memang sengaja nak cari penyakit budak ni.

Puas hatiku dapat membelasah Danial. Semoga lepas ini dia lebih berhati-hati. Tidak sedikit pun tercuit hatiku tatkala mendengar lolongan Danial. Malah, aku jadi semakin membara. Bingit telingaku mendengarnya.

“Diam Danial, diam!” Jerkahku. Danial yang ketakutan, menangis teresak-esak sambil berkata, “Danial bawakan air itu untuk mama. Tentu mama dahaga, kan.” Aku tidak peduli. Sebelum sempat aku menambah bilangan biratan jari di tubuh kecil Danial, Danish telah datang menyelamatkan adiknya.

“Pergi kamu semua dari sini. Jangan nak ganggu aku,” jeritku menyinga.  Anak-anakku menikus. Selepas mereka pergi, aku menutup pintu bilik dan menguncinya dari dalam. Barulah aman sikit duniaku. Barulah selesa aku hendak menatap gambar-gambar kursus di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Cameron Highland dan  terkini, Batu Feringgi dalam facebookku yang baru diuploadkan oleh Syahed.

**********************************************************************************
“Kita nak ke mana ni, Sayang?”

“Kita ke syurga.  Ya, Darling.”

“Memanglah ke syurga. Tapi, syurganya di mana?” Syahed hanya tersenyum dan menjeling nakal ke arahku.

“Darling nak ke mana?” tanyanya pula.

“Nak ikut Sayang ke mana saja,” sahutku, melunakkan suara.

“Hmmm…kalau begitu, diam saja. Kita akan ke syurga bersama-sama.”

Setelah lama berkasih dan memendam perasaan, kini kami dapat terbang bebas bersama-sama tanpa gangguan sesiapa. Aku kini bersama-sama Syahed, mencari keindahan dunia. Dalam mindaku, aku inginkan keseronokan. Aku ingin lupakan segala masalahku. Kuingin tinggalkan segala penderitaanku jauh-jauh. Aku tidak ingin mengingati semua itu.

Kepada suamiku, kukhabarkan yang aku bakal berkursus lagi. Suamiku tidak tahu, kursusku kali ini hanya dihadiri oleh dua orang peserta iaitu aku dan Syahed. Aku lupa tentang malaikat yang sentiasa mengiringiku  di bahu kiri dan kananku, yang ditugaskan untuk menulis segala  amal baik dan jahatku.

Bersama Syahed, aku dilayan bagaikan bidadari. Aku mendapat semula masa remajaku. Wajahku kembali merona merah saat tersipu-sipu malu diusik Syahed. Sudah terlalu lama aku tidak merasai suasana itu.

“Darling, kenapa diam?” sapa Syahed saat aku termenung. Jam di dash board menunjukkan ke angka  sepuluh malam. Malam masih muda. Ke manakah tujuan Syahed? Kami sedang melewati lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Mungkin Syahed mahu menuju ke Kuantan. Itu pernah disuarakannya dulu. Dia teringin hendak membawaku berbulan madu di Cherating.

Berbulan madu? Itu semua tidak mungkin. Aku masih isteri Hisyam manakala Syahed pula masih suami orang. Tiba-tiba, aku bagaikan baru tersedar. Hisyam? Bagaimana kalau Hisyam juga curang denganku sebagaimana aku curang dengannya kini?

Mana Hisyam? Mana Danish? Mana Danial? Mana Dalila? Mana Damia? Mana Danisha? Ya, Allah. Apa yang telah aku lakukan? Selama ini aku hanya meluahkan rasa hatiku terhadap Syahed melalui bicara-bicara kami di facebook sahaja. Namun kini, kami telah melangkaui batasan.

“Syahed, kita pulang,” suaraku tiba-tiba.

“Pulang?” Syahed terkejut. Nasib baik dia tidak brek mengejut.

“Ya. Kita pulang. Cukuplah dosa yang telah kita buat selama ini. Dosa di facebook, dosa bicara dan dosa pandangan ghairah kita. Cukuplah Syahed. Nina tak sanggup lagi.” Tubuhku menggeletar.

“Kenapa ni, Darling? Apa yang tak kena?” Syahed cuba mengawal tekanan suaranya.

“Syahed tahu tak? Apa yang kita lakukan ini adalah maksiat. Berdosa besar kita, Syahed. Kita pulang, Syahed. Hantarkan Nina pulang. “ Luahku semakin merayu.

“Bertenanglah, Darling. Kita pergi tak lama. Esok lusa kita baliklah,” Syahed tetap bersahaja. Mungkin dia sudah membayangkan kemesraan yang bakal berlaku di bilik hotel di Pantai Cherating sebentar lagi.

“Syahed, kita balik,” aku tidak merayu lagi. Kini suaraku kedengaran tegas.

“Hey, come onlah Nina. Susah payah aku minta izin isteriku untuk keluar. Dah berhabis duit aku tempah chalet di Cherating. Senang-senang engkau nak batalkan, ya?” Suara menggoda Syahed selama ini bertukar menjadi garau. Aku terkedu. Jangan-jangan Syahed telah menjadi syaitan.

Dalam diam-diam, aku berdoa. Ya Allah, selamatkanlah aku daripada perbuatan terkutuk dan keji  ini. Hindarilah aku dari syaitan yang direjam. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja lancar mulutku membacakan ayat kursi yang telah tersedia kuhafal.

Syahed menekan pedal minyak keretanya. Kereta meluncur laju. Mungkin cuba menggambarkan kemarahan hatinya. Aku memegang kuat beg tanganku. Ya Allah, apa yang cuba Syahed zahirkan?

Kereta terus memecut laju. Memintas beberapa buah lori panjang yang merangkak perlahan di lebuh raya, sekaligus. Aku semakin cuak. Lampu di kiri kanan jalan semakin jarang-jarang. Sekilas pandang, satu kilau cahaya terang menuju tepat ke arah kami. Aku tidak sempat berbuat apa-apa. Bunyi satu dentuman kuat memecah keheningan malam.

***************************************************************************
“Mama, mama,” kubukakan kelopak mataku perlahan-lahan. Dalila tunduk mencium dahiku. Kuusap lembut rambut anak gadisku, mesra.

“Mana Danish? Mana Danial? Mana Damia? Mana Danisha?”

“Kami di sini, mama.” Anak-anak menyerbu ke arahku. Kupeluk mereka erat-erat. Lenyap segala prasangka burukku yang menuduh mereka tidak mengasihiku  lagi.

“Maafkan  mama, anak-anakku,” kuciumi pipi mereka seorang demi seorang.  Buah hatiku, kekasihku, nyawaku, anak-anakku.

“Hati-hati, kaki mama masih sakit,” peringatan daripada suamiku buat anak-anak kami. Atau mungkin peringatan buatku yang seakan terlupa akan kehadirannya.

Anak-anak menyisih ke tepi. Memberi ruang kepada papanya mengambil giliran. Aku membuka luas depaan tanganku. Suamiku menghampiriku dan memelukku, erat. Aku menangis semahu-mahunya.

“Ampunkan Nina, bang,” aku tidak peduli akan mata anak-anakku yang memandang. Suamiku membuka pelukannya luas-luas. Memberi peluang kepada anak-anak untuk sama-sama berpelukan. Lama kami bertangis-tangisan sebelum melepaskan pelukan. Aku tidak peduli akan kesakitan dan perit di kakiku kerana rasa kebahagiaan dan kecintaan ini melebihi segalanya.

“Kenapa tak lawat mama di hospital?”

“Papa bawa kami melawat mama tiap-tiap hari tapi masa tu mama belum sedar lagi,” jelas Danish meredakan kegusaranku.

“Bila mama dipindahkan ke wad biasa, kami pergi melawat lagi tetapi selalunya mama sedang tidur. Papa cakap, jangan kacau mama. Mama perlukan rehat,” adu pula Dalila.

“Papa cakap, sebaik sahaja mama pulang, papa nak buat kenduri,” jolok Danial.

“Bukan kendurilah, Danial. Majlis doa selamat dan kesyukuran sebab mama dah kembali,” Danish membetulkan adiknya.

“Samalah tu, kenduri mama dah balik, kan?” aku dan suamiku tertawa melihat telatah anak-anak. Kebahagiaan kembali menyelinap dalam keluarga kami. Semoga Allah  mengizinkan kami untuk terus bersama. Jangan diuji lagi kami dengan ujian yang maha berat itu. Tidak tertanggung rasanya bahu ini memikulnya.

Selepas anak-anakku berlalu pergi, terngiang-ngiang kata-kata mereka di telingaku… “Majlis doa selamat dan kesyukuran sebab mama dah kembali”…..”Kenduri mama dah balik”…Apa maknanya itu? Mama dah kembali? Mama dah balik? Bukan mama dah kembali dan balik dari hospital agaknya tetapi mama dah kembali dan balik ke pangkuan mereka.

Ya Allah. Kami bernaung di bawah kebesaranMu. Amin………….

Tamat…………

11.30 pm……21 Februari 2011
· · Share · Delete

    • Fida Yosni Terharunya...good job my frenz...!! Mmg ramai sekarang kisah camni dlm msyarakt kita..nauzibillah ....
      February 22 at 9:45am ·
    • Noor Azihan Sulaiman tq...tu sbb xnak guna nma kengkawan, sian kt kwn2 aku yg solehah.. cuma pnjm nama hisyam je (aizul)hehehe.....
      February 22 at 9:47am ·
    • Rohana Mohamad Baguz2, good job, zihan keep it up!!!
      February 22 at 10:27am ·
    • Noor Azihan Sulaiman Tq ana...........
      February 22 at 10:30am ·
    • Noor Azihan Sulaiman Tq Wan Su.............
      February 22 at 10:45am ·
    • Shahzy Hana mak ndak... blk spital nnt yong bc... hehehheee... ari ni ada check up...
      February 22 at 10:45am ·
    • Noor Azihan Sulaiman kay...take care of ur self yong..........
      February 22 at 10:47am ·
    • Shahzy Hana thanks, mak ndak... doakan suma ok... insya Allah.. amin....
      February 22 at 10:48am · · 1 personLoading...
    • Juriah Mohamed Tahniah.
      February 22 at 3:14pm ·
    • Ain Halim akak, sdhnye, best sgt,
      February 22 at 3:48pm ·
    • Shahzy Hana mak ndak...soooooooooooooooo touching.. good job!..2 thumbs up!!
      February 22 at 4:48pm ·
    • Aizul Hisham nak lagi..nak lagi...nanti way crita kekawan sekolah lak..kasi wa watak nakal....he he he
      February 22 at 5:44pm ·
    • Suzana Abdul Samad sedey2.....watak hisham tu macam baik je kan.....suami misthali.....
      zihan, watak jahat memang sesuai ngan aizul.....hehehe
      February 22 at 8:38pm ·
    • Fida Yosni Aizul & Zana : join x reunion??tak confirm kat event yg aku anta pun..!!
      February 22 at 9:16pm ·
    • Nihayatul Hasna Latipah Best..best..best...
      February 22 at 9:19pm ·
    • Noor Azihan Sulaiman Pn. Ju, Ain, Yong, Aizul, Za, Tipah : Thanks........
      February 23 at 9:28am ·
    • Noor Azihan Sulaiman ainul, BB: Thanks.....
      February 23 at 9:36am ·
    • Shahzy Hana tp kan mak ndak.. kn ubah skit2 ler.. nntkan mesti ada yg kata mcm kat 'trologi cinta' punya drama jer... mcm karya sharifah abu salem... klu mak ndak pernah bc buku dia ler.... hehehehee
      February 23 at 9:40am ·
    • Suzana Abdul Samad fida: aku 50/50 ni......sebab date nye....tapi nanti aku confirmkan b4 date line.....
      February 23 at 9:47am ·
    • Noor Azihan Sulaiman Yong: Byk citer mndak dikatakan ada psmaan ngan citer lain wp ianya bdasarkan pgalaman sndiri...for eg; Mawar Pudar Warna.... naper ye?
      February 23 at 9:58am ·
    • Shahzy Hana hehehhee.. bkn apa mak ndak... dah ada yg 'jadi' perang.. msg2 kata citer dia punya... benda kecik pun nak kecoh... hehehheee.... takut mak ndak stress lak....
      February 23 at 10:20am ·
    • Aizul Hisham bila reunion tu..
      February 23 at 10:29am ·
    • Suzana Abdul Samad aizul: 26 mac 2011 ni....hg dok ipoh je....dekat je tuh....
      February 23 at 11:13am ·
    • Aizul Hisham wat kat na akak oiiiiiii
      February 23 at 7:53pm ·
    • Ainul Fauziah Dato Talha Aizul...ang join ler, wat kt Impiana Casaurina.
      February 23 at 8:08pm ·
    • Aizul Hisham jadikkkkkkk...berapa kosnya...
      February 23 at 8:18pm ·
    • Ainul Fauziah Dato Talha ok cun, 50henget sorang...
      February 23 at 8:19pm ·
    • Aizul Hisham soloke leh bawa keluarga...
      February 23 at 8:23pm ·
    • Ainul Fauziah Dato Talha bole bwa famili kot nk...bdk2 4-12thn 30henget...
      February 23 at 8:28pm ·