"Rasa
cinta kita seperti manisnya epal merah"
Semerah Epal Cinta. Rasa cinta kita
seperti manisnya epal merah. Cerpen untuk peraduan menulis cerpen sempena
pelancaran novel Merah Cinta Epal karya Ridha Reeani. Sekadar hiburan di kala
senggang untuk memeriahkan suasana peraduan. Selamat membaca.
Epal merah itu kubelek-belek dan
kuletakkan kembali di atas meja. Entah untuk kali yang keberapa, aku kurang
periksa. Aku menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan. Ini kiriman
epal yang ke tiga belas kuterima. Ya hari ini 13 Februari, maknanya sudah tiga
belas biji buah epal merah yang tiba di genggamanku. Aku masih tidak tahu
siapakah gerangan pengirimnya. Tahu-tahu, setibanya aku di meja kerjaku, sudah
ada sebiji lagi epal yang terletak elok di atas mejaku. Berbungkus cantik
dengan plastik jernih berbunga mawar merah.
Kiriman
siapakah ini ? Siapakah yang mahu bermain-main denganku? Sesekali, aku
mengerling ke arah Cikgu Mazlia yang berada selang dua meja di hadapanku. Cuba
meneliti reaksinya, kalau-kalau epal itu adalah buah tangan daripadanya. Namun,
tiada reaksi ganjil yang ketara. Cikgu Mazlia tetap seperti itu juga,
tersenyum-senyum sendirian. Sesekali kami bertentang pandang, dia akan
tersenyum dan menundukkan pandangannya.
Cikgu
Mazlia yang pemalu tetapi dalam malu-malu itu ada sesuatu yang kurasakan agak
pelik. Hmm…cuba mencuri tumpuanku, mungkin. Bagaikan ada sesuatu yang cuba
untuk diluahkannya padaku. Aku ini sudah cukup dewasa untuk mengenal hati budi
orang. Sekilas ikan di air, belum tentu kutahu jantan betinanya tetapi sekilas
pandangan Cikgu Mazlia, aku tahu ada perasaan kasih yang tersembunyi di situ.
“Hisy,
Ikram. Dapat epal lagi ?” Danish menyiku bahuku. Aku terkapa-kapa tetapi segera
mengangguk-anggukkan kepalaku.
“Dah
dapat tangkapkah pengirimnya?” Kali ini, aku menggeleng-gelengkan kepala pula.
“Kau
ni apa hal? Angguk geleng angguk geleng. Kau pun nak jadi tak betul macam Mazlia
juga ke?” Selamba saja Danish melontarkan ayatnya. Aku berdengus perlahan. Tak
kuasa hendak melayan Danish. Makin dilayan makin menjadi-jadi pula nanti.
“Mazlia
yang hantar agaknya,” seloroh Danish sambil menarik kerusinya di sisi meja
sebelahku. Hmm…Mazlia? Danish pun nampaknya berfikiran sama sepertiku juga.
Perlukah
aku bersemuka dengan Mazlia untuk mengetahui misteri epal-epal merah ini? Kalau
Mazlia tak mengaku ? Aduh, malulah aku. Entah-entah, dituduhnya aku ini jejaka
perasan. Epal merah itu kuangkat sekali lagi.
“Kalau
kau tak berani makan, bak sini,” pinta Danish. Dan seperti biasa, Danish
menyambut huluran epalku, menarik reben merah yang mengikatnya dan kemudian,
melalukannya di bawah kangkangnya.
“Haa…macam
inilah caranya nak mengelak daripada terkena guna-guna orang,” ujarnya, sempat
menurunkan petua padaku.
“Kenapa
kau tak ludah sekali?” Aku pula sengaja menggiatkannya.
Tuh
tuh! Danish meludah buah epal itu. Ceh! Pengotor punya orang. Aku merungut,
geli-geleman. Danish terkekeh-kekeh ketawa sambil berlalu ke singki. Tiga belas
biji buah epal telah selamat bermukim di dalam perut Danish. Tinggallah aku
yang masih dalam kebingungan.
Misteri
epal merah ini mesti kubongkarkan segera. Mulut celupar Danish bukan boleh
ditutup selama-lamanya. Sekarang ini pun dia sudah mulai memanggil aku ‘tokan’.
‘Tokan’? Apa tu? Tiada dalam kamus Dewan Bahasa pun. Pembekal, katanya. Ceh !
Lagi menambah sakit hatiku. Tokan itukan pembekal dadah. Ya, kerana aku ini
sekarang menjadi pembekal epal merah.
“Hmm..tak
lama lagi, engkau jadi tauke epallah, Ikram,” usik Danish selepas melahap epal
merahku.
“Boleh
saja kalau epal-epal tu engkau tak makan,” sahutku pula tidak mahu mengalah.
Danish tersenyum sumbing, buat muka seposen.
“Engkau
duduklah di sini, fikirkan tentang pengirim epal-epal tu. Aku nak ke kelas ni,”
ujar Danish seraya bangun meninggalkanku. Kelasku akan bermula setengah jam
lagi. Memang bolehlah aku berangan-angan sekejap.
Tatkala
semua teman bergerak menuju ke kelas, tinggal Mazlia yang masih tersenyum
simpul di mejanya. Aku rasa, inilah peluang terbaik untukku bertanyakan tentang
tiga belas biji epal yang hadir di atas mejaku. Aku bergerak perlahan-lahan
menuju ke meja Mazlia. Entah apalah yang dilakukan oleh ‘Cikgu Sewel’ ini,
tersenyum sorang-sorang. Aduh, jahatnya kalau hatiku sudah berbicara.
Ya, ampun.
Aku
pura-pura melintasi mejanya sambil mengerling bukan sekilas tapi berkilas-kilas
kerana aku hendak pastikan apa yang membuatkan Mazlia tersenyum-senyum. Aduhai,
memang sewel cikgu ni. Dia sedang membelek cermin rupa-rupanya. Mentang-mentanglah,
muka comel. Asyik membelek-belek cermin sajalah.
“Err…hmmm…”
Aku berdehem kuat, cuba mengalihkan tumpuannya. Menjadi! Kelam-kabut Cikgu Mazlia
menyembunyikan cermin kecilnya.
“Tak
payah tenung-tenung lagi. Cikgu memang dah comel.” Aduhai, kenapa gatal sangat
mulutku ini? Memuji yang bukan-bukan. Tiba-tiba sahaja boleh membuatkan Mazlia
kembang. Aku menyumpah-nyumpah dalam hati akibat keterlanjuran itu.
“Aaa…err…
Cikgu Ikram…emmm…maaf, saya nak ke kelas.” Cikgu Mazlia tergesa-gesa mengemas
buku ringkasannya dan menarik beg tangannya lalu berlalu meninggalkanku.
Aduhai, selalunya dia yang mengambil peluang untuk berbual denganku tapi
nampaknya kali ini, dia pula yang cuba hendak melarikan diri. Mungkin dia
termalu kerana aku tertangkapnya yang sedang membelek muka di cermin atau mungkinkah
dia sebenarnya ‘tokan’ yang membekalkan epal untukku setiap hari?
Seharian
hari ini aku memikirkan tentang kiriman epal-epal merah itu. Nampaknya tidak
berapa lama lagi, kalau keadaan ini berterusan, aku juga akan sewel seperti
Cikgu Mazlia. Aduhai ! Janganlah ditambahkan berat beban di kepalaku ini.
Bersendirian
di rumah besar ini bukan perkara luar biasa bagiku. Namun terkadang, kesepian
turut meragut ketenanganku. Semenjak kehilangan isteriku tiga tahun yang lalu,
rumah besar ini sepi sesepi-sepinya bagiku. Isteriku pergi buat selama-lamanya,
membawa bersama buah hati kami yang bakal lahir namun belum sempat menjenguk
isi dunia.
Mengenangi
kekasih-kekasih hatiku itu, air mataku mengalir di bawah sedar. Oh Tuhan, telah
kuredhai pemergian mereka. Tempatkanlah mereka dalam kalangan kekasih-kekasihMu
yang beriman dan beramal soleh, ya Allah. Aku mengasihi mereka namun kasih
sayang Allah tidak mampu menandingi kasihku kerana mereka milikMu ya Allah.
“Ikram,
tak tidur lagi?” Danish, Si Pengacau ini ada di mana-mana sahaja tempat aku
berada.
“Kenapa?
Masih terkenangkan Si Pengirim epal merah ke? Kan aku dah kata, Mazlia Sewel tu
yang bagi tapi kau tak percaya.” Aku menjeling Danish. Walaupun aku tidak
berkenan dengan perangai Cikgu Mazlia tetapi aku tidak suka Danish menggelarnya
sewel. Manalah tahu kalau-kalau Si Sewel itu yang menjadi pengganti isteriku
kelak. Eh, ke situ pula aku melalut !
“Dah
telefon isteri kau?” tanyaku cuba mengalihkan topik bicara.
“Dah…baru
lepas bergayut,” sahutnya sambil mencapai surat khabar di hadapanku dan duduk
di sofa bersebelahanku.
“Krisis
dah tamat?” tanyaku lagi. Terdengar perlahan suara Danish mengekek. Sudah dua
malam dia menumpang tidur di rumahku kerana bergaduh dengan isterinya.
“Engkau
ketawa kenapa? Dah tamat ke perang engkau? Kalau dah tamat, bolehlah engkau
balik sekarang.” Aku sebenarnya sudah biasa bergurau ‘kasar’ dengan Danish.
Rasanya setakat ini, Danish tidak pernah ambil hati dengan kata-kataku.
Terhenti
tangan Danish yang sedang menyelak-nyelak helaian surat khabar. Aik! Marah ke?
“Kenapa?
Kau tak suka aku menumpang di rumah kau ke?” Danish sepertinya berkecil hati
dengan ayatku.
“Bukan
apa. Aku cuma nak nasihatkan engkau sahaja. Engkau tu dah ada isteri. Tak lama
lagi dah nak jadi bapak orang. Kenalah gentleman sikit. Asyik-asyik nak merajuk
aje bila bergaduh, apa kes? Aku tak mahu bersubahat,” ujarku menjelaskan kerana
aku tidak mahu dia tersalah sangka. Bukan niatku untuk menghalaunya tetapi aku
tidak mahu dia terus terbawa-bawa akan sikap masa bujangnya.
Memanglah
masa dia belum berkahwin, di rumah aku inilah tempat tidur baringnya. Hinggakan
sewaktu hendak dijodohkan dengan Noraini oleh orang tuanya pun, aku yang
menjadi penasihatnya. Mak ayahnya beria-ia meminta aku menasihati Danish agar
sudi memperisterikan Noraini. Nasib baiklah aku memang mengenali Noraini dan
aku tahu, Noraini boleh menjadi pasangan yang secocok buat Danish.
“Kau
pula, bila lagi nak kahwin?” Eh, ke situ pula dia menyimpang. Aku tidak mahu
menjawab pertanyaannya. Melayan kerenahnya boleh menambahkan lagi pening di
kepalaku. Aku bangun menekan punat televisyen dan mencapai remote control
di atas meja.
“Kalaulah
yang mengirimkan epal merah itu seorang perempuan, aku gerenti, perempuan itu
mesti minat gila kat engkau.” Danish sudah mula mengarang cerita. Aku pura-pura
tidak dengar. Chanel 801 kutekan dan kukuatkan volumenya. Apa-apa
sajalah Danish ni. Sekejap-sekejap sewel, sekejap-sekejap gila…entah-entah, dia
pula yang mereng.
“Kenapa
engkau tak mahu makan epal tu, ya? Engkau ingat epal tu ada racun macam dalam
cerita Snow White,kan? Aku makan tak jadi apa-apapun.” Danish menguatkan
suaranya melebihi volume televisyen. Kasihan pula aku melihat keadaan
Danish yang tidak jemu-jemu membuat andaian. Punat remote control
kutekan sekali lagi, meninggalkan layar hitam di skrin televisyen. Aku menoleh
menghadapnya.
“Kau
boleh tolong aku ?” tanyaku.
“Boleh,
boleh.” Danish seakan teruja hendak menolongku. Segera dilipatnya helaian
akhbar dan diletakkan di atas meja.
“Tolong
pinangkan Si Pengirim epal merah untukku,” ujarku, cuba berlagak serius.
“Haaa?
Mazlia Sewel? Engkau nak suruh aku pinangkan Mazlia Sewel untuk kau ? Oh, tidak
! Tidak ! Tolonglah. Carilah orang lain. Aku boleh rekomenkan engkau perempuan
lain.”Danish mengangkat kedua-dua belah tangannya separas bahu.
“Habis
tu, tadi engkau kata, engkau sanggup nak tolong aku. Tadi tu beria-ia sangat.
Kenapa sekarang tak boleh?” Aku masih ingin mengujinya. Sengaja berpura-pura
kecewa. Lama Danish terdiam.
“Aku
tak berapa berkenan engkau dengan Mazlia. Sebab tu aku tak mau tolong tapi
kalau engkau dah berhajat sangat, apa lagi yang boleh aku buat ?” Aku tertawa
besar mendengar kata-kata Danish. Menjadi juga dramaku ini.
“Tak
adalah. Aku bergurau saja. Lagipun, aku bukan ada sesiapa lagi untuk dibawa
bergurau. Walaupun engkau sewel tapi engkaulah sahabat baikku,” sambungku
kemudiannya.
Danish
membulatkan matanya memandangku. Aku tertawa berdekah-dekah. Danish tidak jadi
memarahiku. Mungkin dia tahu, aku hanya bergurau. Gurau kasar !
“Dah
la. Aku nak balik. ‘Mem’ aku dah lama tunggu tu. Tinggallah engkau sorang-sorang
layan jiwang,” Danish bangkit menuju ke bilik. Mungkin hendak mengangkut
segala harta-bendanya selama dua malam dia bermusafir di sini.
“Engkau
tak mahu temankan aku lagi ? Tak kasihankah tinggalkan aku sorang-sorang?
” Tanyaku, masih cuba mengusik.
“Apa
barang layan engkau. Bukan boleh dapat apa-apa pun. Aku nak baliklah.”
Aku
hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat tingkah Danish. Bergaduh sedikit,
merajuk. Bergaduh sedikit, merajuk. Nasib baiklah merajuknya ke rumah aku. Ada
juga teman buatku. Dibuatnya melencong ke tempat lain, tentu padah jadinya.
“Ikram.
Aku balik dulu.” Danish yang sudah siap berpakaian memohon diri.
“Haa…jangan
nak merajuk-rajuk lagi.”
“Aku
bukan merajuklah. Bini aku tu, asal aku balik kerja saja, cakap aku busuk.
Jangankan kata nak tidur dengan aku, nak bersalam dengan akupun dia tutup
hidung. Dah tu, dia cakap dia benci tengok muka aku. Maunya tak meluap naik darahku?”
Hmm..itulah kisah sebenarnya, ya?
“Orang
mengandung. Biasalah macam tu. Pembawaan budak namanya tu. Tak lama lagi,
eloklah tu. Kau kena bersabarlah banyak-banyak. Jangan ditinggalkan isteri kau
tu sorang-sorang.” Aku menasihatinya lagi.
Saat
Danish berlalu pergi, aku terkenangkan Hanis, isteriku yang juga pernah
mengandungkan anak kami. Hanis tak banyak karenahnya sewaktu mengandung. Kasih
sayangnya terhadapku tetap melimpah ruah. Tidak kurang walaupun sedikit.
Tidurnya mahu di lenganku sahaja. Makannya masih mahu bersuap. Mungkin Hanis
sengaja ingin tinggalkan kenangan manis buat kukenang selamanya sehinggakan
amat sukar untuk kucari pengganti dirinya.
*********************************
Hari
yang keempat belas. Aku tidak terima buah epal pagi ini. Kukerling meja Cikgu Mazlia
yang kosong. Ke mana dia? Mungkin misteri pengirim epal merah bakal terjawab
hari ini. Aku tersenyum sendirian. Memang sah-sahlah Si Sewel Mazlia yang
empunya epal. Tak perlu menjadi detektif Conan, aku sudah dapat menyudahkan penyiasatan
ini. Siapa lagi? Dia tiada, epal pun tiada. Memang dialah.
“Hai,
Ikram. Tak ada epal untuk aku pagi ni?” Wah, Danish! Pagi-pagi lagi sudah
datang menuntut buah epal.
“Banyaklah
engkau punya epal. Sejak bila aku mula buka dusun epal ni?” Danish ketawa
berdekah. Engkau ketawa ya, Danish. Ketawalah. Aku tak marah sebab hari ini
rahsia pengirim epal merah sudah terbongkar.
“Kan
aku dah cakap. Si Sewel tu yang bagi epal merah tu. Hari ni dia kena hadiri
taklimat Coral Speaking peringkat zon. Confirm la dia tak sempat nak
letakkan epal merah atas meja engkau. Lagipun, engkau datang awal hari ni,kan?
Engkau hendak perangkap Si Sewel tu,kan?”
Hisy,
Danish ni. Banyak betul andaian dia. Bertepatan pula dengan andaianku.
“Ya,
betul. Betullah tu.” Ada sedikit nada kecewa di situ. Kecewa? Kenapa, ya?
“Habis
tu, jadi tak engkau nak wakilkan aku pergi meminang Si Sewel tu?”
“Hisy,
Danish. Jaga sikit mulut tu. Isteri kau tengah sarat mengandung tu. Jangan nak
mengata-ngata orang. Tak baik, tau. Lagipun, Cikgu Mazlia itupun apa kurangnya.
Cantik manis bertudung litup lagi. Cuma hati aku yang masih tidak mampu untuk
menerima orang lain dalam hidupku.” Bukan niatku untuk membela Mazlia tetapi
aku tidak mahu Danish terus merendah-rendahkannya sedangkan kami bekerja di bawah
satu bumbung.
“Oh,
maaf. Maafkan aku ya, Ikram.”
“Kenapa
pula nak minta maaf dengan aku? Kau kena minta maaf daripada Mazlia, tau.”
Danish mengangguk-anggukkan kepalanya. Mulutnya sudah tidak lagi mengomel yang
bukan-bukan. Aku berharap agar selepas ini aku tidak akan mendengar lagi gelaran
sewel itu keluar dari mulutnya.
Tengah
hari itu, aku ingin segera bergegas pulang.
“Assalammualaikum,
cikgu.” Suara halus itu gemersik menerobosi cuping telingaku. Aku segera
berpaling. Seorang gadis berjilbab dengan purdah yang menutupi wajahnya,
berdiri tegak di belakangku.
“Waalaikummussalam…err…siapa
ya?” Aku tidak tahu, siapa gerangan gadis di hadapanku ini. Bagaimana bisa aku
mengenalinya sedangkan aku cuma nampak dua biji bebola matanya yang merenung ke
arahku.
“Boleh
kita berbual sebentar ?” tanyanya pula.
Aku
bergerak ke arah meja batu di bawah pokok ketapang. Gadis itu menyusuliku dari
belakang. Kami duduk berhadap-hadapan. Cuaca agak kering namun gadis ini tampak
tenang-tenang sahaja bagaikan tidak terpanggang dek panas mentari ini. Aku jadi
malu sendiri kerana saat ini, ikatan tali leherku telah kulonggar dan sebutir
butang baju kemejaku di bahagian kolar baju telah kukeluarkan dari lubangnya.
“Cikgu,
saya Nur Saedatul Akmar,” ujarnya memperkenalkan diri. Aku terbata-bata. Siapa
ya kenalanku yang namanya sebegini?
“Saedatul
dari Kampong Permatang Damai.” Saedatul. Saedatul. Permatang Damai. Permatang
Damai. Peluh merenik di dahiku.
“Nur
Saedatul Akmar binti Shahidan !!!” Aku hampir terlompat saat kuseru nama itu.
Terkejut dengan lontaran kuat suaraku sendiri. Si Gadis tertunduk. Mungkin malu
atau mungkin juga sedang mentertawakan gelagatku. Mana aku tahu apakah yang
berlaku di sebalik kerudung hitamnya itu.
************************
“Cikgu,
nah buah epal.” Tersenyum gadis kecil berusia sembilan tahun itu sambil
menghulurkan tiga biji buah mangga epal kepadaku.
“Hmmm…ini
bukan epallah. Ini mangga epal,” ujarku membetulkan.
“Eh,
cikgu ni. Ini epal hijaulah, cikgu. Bila masak warnanya bertukar kuning. Kita
tahulah sebab mak kita yang tanam.” Si Kecil itu masih tidak mahu mengalah. Aku
tertawa kecil.
“Pernah
tengok epal merah ?” tanyaku lagi. Si Gadis mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Tapi
mak kita tak tanam epal merah. Mak kita cuma tanam epal hijau.”
“Pokok
epal tak boleh ditanam di negara kita. Ianya hanya ditanam di negara yang
beriklim sejuk sahaja,” aku cuba menerangkan.
“Iya
ke cikgu? Tapi mak kita boleh tanam epal hijau.” Aku tersenyum melihat wajah
naïf Saeda.
“Nanti
cikgu bawa epal hijau dan epal merah. Lepas tu, Saeda bandingkan dengan buah
epal hijau Saeda ni,” ujarku lagi.
“Kita
pun pernah tengoklah epal merah dan epal hijau tu. Ini pun epal juga kan,
cikgu.” Aku tertawa melihat tingkah Saeda.
“Yelah,
yelah. Mangga epalpun, epal jugalah.”
“Cikgu
suka makan epal ni?”
“Suka
tapi cikgu lebih suka mangga epal yang kuning.”
“Oooo…nanti
kita bawa epal kuning ya, cikgu.” Saeda berlari ke arah rakan-rakannya yang
sedang bermain Jan Jan Jala Itik di tepi tapak perhimpunan.
Tidak
lama aku bersama Saeda kerana aku cuma guru sementara di situ. Waktu itu umurku
sembilan belas tahun dan aku melamar kerja sebagai guru sandaran sementara
menantikan surat panggilan ke universiti. Sewaktu aku meninggalkan Saeda, dia
menangis tersedu-sedu.
“Kita
tak sempat nak bagi buah epal kuning kat cikgu. Epal kita masih hijau lagi.
Nanti, kita janji, kita nak cari cikgu. Kita nak bagi epal kuning.” Aku terharu
mendengar kata-kata Saeda. Sekolah Kebangsaan Permatang Damai bukanlah asing
bagiku. Hanya kira-kira sepuluh kilometer sahaja dari kediaman orang tuaku.
Tapi selepas meninggalkan kampong, aku tidak lagi bertemu Saeda. Lebih-lebih
lagi setelah aku berumahtangga dan tinggal menetap di Bandar Baru Bangi ini.
*********************
“Err…cikgu.”
Lamunanku terhenti. Saeda berada nyata di hadapanku kini tapi aku tidak dapat
menatap wajahnya. Masihkah dia semanis dulu ? Kalaulah dapat kuselak purdah
hitam ini, pasti dapat kuketahui semanis manakah wajah Saeda sekarang. Aduh,
astagfirullahhaazim. Kenapa pula datang pemikiran yang bukan-bukan ini?
“Cikgu,
kita datang nak bagi buah epal kuning yang kita janjikan dulu.” Aku terdengar
suara Saeda bersama sedikit iringan tawa halus.
“Saeda
masih ingat, ya?”
“Kita
masih ingat. Cikgu pun pernah berjanji dengan kita dulu. Cikgu ingat tak lagi
?” Janji? Aduh !!! Apa pula janjiku itu ? Macam-macam sajalah budak Saeda ini.
Saeda
meletakkan seplastik mangga epal yang sudah kekuningan di hadapanku.
“Kita
nak balik dulu, cikgu. Kita cuma datang nak tunaikan janji kita dan lagi satu,
kita nak minta maaf sebab hari-hari minta Farha letakkan epal merah di atas
meja cikgu. Cikgu makan tak epal tu?” Aduh, epal merah Saedakah selama ini? Apa
hubungannya dengan Farha, murid Tahun Lima itu? Wah, pandai pula Si Kecil itu
menyimpan rahsia. Patutlah tersenyum-senyum sahaja dia memandangku setiap kali
berpampasan di jalanan.
****************
Seminggu
kemudian, emak menelefonku, meminta aku pulang. Ada urusan penting, katanya.
Tapi aku tahu, urusan itu pastinya berkaitan dengan perihal pilih-memilih
menantunya. Emak tidak jemu-jemu untuk mencarikan jodoh buatku selepas
pemergian Hanis.
“Kali
ini siapa pula, mak?” tanyaku tidak mahu membiarkan emak terus bermain tarik
tali.
“Mak
dah berjumpa dengan ibu bapanya. Dengan empunya badan pun emak dah jumpa.
Katanya, dia redha menjadi isteri kamu. Lagipun kamu memang dah berjanji nak
berkahwin dengannya.” Aduh, mak ! Perempuan sewel manalah pula yang emak dah
berjumpa ni ? Siapa pula yang pernah kujanjikan untuk berkahwin dengannya ini?
Emak buat aku bertambah pening.
“Kalau
kamu tak nak balik pun tak apa, Ikram. Tapi hujung minggu ni, mak nak pergi
hantar cincin tanda.”
“Eh,
mak! Mak! Mak jangan nak buat hal.”
“Buat
hal apanya pula? Bukankah minggu lepas dia dah pergi jumpa kamu? Dia kata dia
setuju untuk terima kamu.”
“Jumpa
saya? Isy, mak ni. Mana ada orang perempuan datang jumpa saya, mak.” Aku masih
sahaja mahu cuba melepaskan diri daripada perangkap emak.
Memanglah
aku berkata benar. Sebenar-benarnya tiada yang tidak benar melainkan benar
belaka. Dalam pada itu, ligat kepala otakku memikirkan tentang perempuan yang
datang bertemuku dalam seminggu yang lalu.
“Saeda!!!!”
jeritku di bawah sedar.
“Haa…iyalah
tu. Saedalah nama budak perempuan tu,” emak menjawab dari seberang sana.
Aduh!!! Gagang telefon jatuh terkelepuk di atas lantai.
*********************
“Macam
mana Saeda boleh terima pinangan emak abang?” Aku merenungi wajah isteriku, Nur
Saedatul Akmar yang usianya sepuluh tahun lebih muda daripadaku. Tanganku
mengelus-ngelus rambutnya yang ikal mayang dan tidak pernah dijamah oleh mata
nakal lelaki lain.
“Bukankah
abang yang pernah berjanji nak mengahwini kita bila kita besar nanti ?”
Sesungguhnya,
sampai saat ini, aku masih memikir-mikirkan, masa bila aku melafazkan janji
tersebut tetapi gagal. Oh, ingatan jangka panjangku mungkin sudah lama luput.
“Masa
kita bagi buah mangga epal tu, abang cakap, nanti bila kita dah besar, abang
nak kawin dengan kita. Lepas tu kita lari pergi bermain dengan kawan-kawan
kita. Abang ingat tak?” Sedikit-sedikit, kenangan itu menjelma kembali. Memanglah
aku mudah melupainya kerana aku sekadar bergurau waktu itu tapi mana mungkin
aku mengakuinya saat ini. Di saat kami sedang dalam perjalanan untuk menyulam
bahagia.
“Emm…buah
epal kuning atau mangga epal, ya?” Aku sekadar ingin mengusik Saeda dan sebagai
balasannya, satu cubitan singgah di pahaku. Nasib baik aku tidak melatah. Kalau
tidak, pasti tetamu yang masih berada di luar sana kehairanan.
“Epal
merahlah tanda cinta, bang. Eh, abang makan tak epal yang kita kirim tu?”
Waduh, tiba-tiba sahaja Saeda boleh timbulkan isu ini. Bagaimana mahu kujawab?
Jujur atau tidak ?
“Abang
tak berani makan, ya?” Mungkin Saeda sekadar menduga tapi apa boleh buat
seandainya dugaan itu benar.
“Err…emmm…ya…Danish
yang makan.” Terkekeh tawa Saeda mendengar pengakuanku.
“Nasib
baik abang jujur. Kalau tidak, kita piat sekali lagi.”
“Saeda
tahukah abang tak makan epal-epal tu?”
“Tahu…Abang
Danish yang bagitahu.” Hisy, Si Mulut Tempayan itu, siapa lagi ? Memang tak
boleh jadi tempat menyimpan rahsia.
“Apa
hubungan Saeda dengan Farha?” tanyaku untuk mendapatkan kepastian.
“Sebenarnya,
kita menyewa bilik di rumah mak ayah Farha selama belajar di Bangi tu. Sekali
tu, kita ternampak gambar abang dalam foto kelas Farha. Bila kita selidik,
memang sahlah itu abang yang kita cari-cari selama ini.” Aku termenung
mendengar cerita Saeda. Saeda mencariku? Masih punya banyak rahsia yang belum
tersingkap rupa-rupanya.
“Bila
balik kampong, kita bagitahu mak yang kita dah jumpa cikgu kita yang kita rindu
sangat-sangat tu. Mak kita ketawa saja sebab mak kita kenal dengan mak abang
tapi kita tak tahu. Bila mak abang datang ke rumah, dia bagitahu suruh kita
jumpa abang. Sebab itulah hari tu, kita pergi ke sekolah abang.”
“Kenapa
Saeda cari abang? Kenapa Saeda tak pilih mana-mana kawan lelaki yang sebaya
Saeda? Abang kan dah tua? Sepuluh tahun tau, beza umur kita. Sekarang abang dah
tiga puluh dua. Saeda baru dua puluh dua. Belum habis belajar lagi.”
“Kita
buat solat istikharah. Kita nampak abang. Kita tahu, kita memang ada jodoh
dengan abang.” Oh Tuhan ! Saeda buat solat istikharah? Malunya aku. Aku cuma
buat sujud syukur sahaja selepas mendapat berita bahawa Saeda sudi menjadi
isteriku. Aku tiada pilihan lain selain daripada Saeda.
“Macam
mana dengan pengajian Saeda?”
“Kita
akan belajar seperti biasa kalau abang izinkan. Lagipun, selepas ini kita tak
perlu menyewa di rumah Farha lagi. Abang boleh hantar terus kita ke kampus.”
“Saeda
ni banyak cakap, ya?”
“Dulu
pun, kita ada banyak perkara nak cakap dengan abang tapi masa tu kita belum ada
apa-apa ikatan sebab tu kita tak berani cakap apa-apa lagi.” Saeda terdiam.
Lama diamnya membuatkan aku berasa cuak. Bahunya terhenjut-henjut. Saeda
menangis.
“Saeda…kenapa?”
Aku memeluk bahunya.
Saeda
berpaling ke arahku dan membalas pelukanku.
“Maafkan
kita kalau kita buat abang tak selesa.” Rasa bersalah pula aku kerana menegur
Saida sebentar tadi.
“Saeda
jangan menangis lagi. Malam ini malam kita. Kita tidur ya, sayang,” aku memujuk
Saeda. Lampu tidur kumalapkan. Maafkan abang, Hanis. Izinkan abang mengisi kekosongan
hidup ini sekali lagi. Aku tahu Hanis pasti akan bahagia melihat kebahagiaanku
kini.
Tamat
1255
am….14 Feb 2012.
No comments:
Post a Comment