Tuesday, 19 July 2011

Selumbar Kasih

BAB 44

Pulang dari tanah perkuburan. Semuanya tersandar kelelahan di sofa. Dahlia turut sama melepaskan lelah tetapi di dalam mindanya, berserabut dengan rahsia yang disampaikan mama sebelum keberangkatannya menemui Yang Maha Pencipta.
Hatinya menggeladak untuk membaca coretan Mama  Mira tapi ditahannya jua. Sehari-harian Mama Mira menghabiskan masanya di atas loteng, rupa-rupanya dia menuliskan sesuatu.  Sesuatu tentang rahsia yang dipendamkannya selama ini. Dia tidak mahu bercerita secara lisan kerana takut tertinggal bab-bab yang penting.
Dengan menulis, dia dapat meneliti kembali hasil tulisannya dan membetulkan mana-mana  ayat dan maklumat yang salah atau kurang tepat. Tulisan itu juga dapat dijadikan bahan bukti  berbanding dengan pertuturan lisan. Dahlia semakin mengerti tujuan  mama.
Lima hari berkampung di rumah besar itu dengan melakukan tahlil dan doa buat arwah, masing-masing berpamitan untuk kembali ke tugasan dunia yang diamanahkan. Tinggallah Dahlia dan keluarganya berserta Damia di situ. Dahlia  telah berura-ura untuk berpindah kembali ke rumahnya tetapi ditegah Damia.
Kasihan melihatkan keadaan Damia yang ditinggalkan keseorangan, Dahlia menangguhkan dulu hasratnya. Lagipun, dia tidak akan tergamak meninggalkan gadis itu sendirian. Ke mana sahaja dia pergi, pasti akan dibawa adiknya itu bersama-sama.
“Lia, kau bukan anak mama. Kau anak ibu dan ayah yang sebenarnya. Mamalah yang sebenarnya anak pungut, dibawa pulang oleh  ibu dan ayah dan  dipelihara bagai anak mereka sendiri. Kau bukan anak haram, Lia.” Mama menarik nafas dalam-dalam sebelum meneruskannya, “Selama ini mama menyangka bahawa mamalah  anak ibu dan ayah. Mama pun baru tahu dari buku catatan lama ibu. Mama cemburu melihat kau mendapat kasih sayang yang melimpah ruah daripada ibu dan ayah sehinggakan mama rasa terpinggir.”
Suara Mama Mira kian perlahan, Dahlia terpaksa mendekatkan telinganya ke mulut mama.
“Nama ayah yang sebenarnya memang Abdullah bukan Abdul Ghani. Abdul Ghani itu ayah mama. Banyak yang mama nak sampaikan tetapi Lia jangan risau.  Selepas mama tiada, Lia naiklah ke loteng. Ada catatan yang mama sediakan buat Lia dan adik-adik. Juga catatan ibu yang tersimpan di situ.”
Dahlia hampir bingkas bangun saat Mama Mira menuturkan, “Berhati-hatilah dengan Pak Akob, dia ibarat gunting dalam lipatan,” sampai di situ, ungkapan Mama Mira terhenti. Dahlia mengusap dada Mama Mira sambil mengajarnya mengucap.
Saat ini, Dahlia  masih tertanya-tanya, apakah kaitan Pak Akob dalam perkara ini? Pak Akob menjual tanah ladang mereka? Tapi Pak Akob datang juga apabila dihubungi Dahlia untuk memberitahu tentang pemergian Mama Mira. Bertahun dia tidak bertemu orang tua itu. Pak Akob semakin kurus dan tampak jelas ketuaannya.
 Sepanjang-panjang Pak Akob di rumah mereka selepas ketiadaan Mama Mira, Dahlia sentiasa mengawasi lelaki itu. Tiada sebarang tanda pelik yang ditemuinya. Pak Akob tetap Pak Akob yang begitu juga, jarang bercakap tapi wajahnya kekal tenang tatkala berbicara.
Persoalan demi persoalan singgah di benak Dahlia. Dia tidak sabar-sabar lagi untuk memanjat naik ke loteng tapi ditahankan dahulu naluri ingin tahunya itu sehingga usai semua tamu kembali ke kediaman masing-masing. Kunci loteng tersimpan kemas bersamanya. Itu amanat Mama Mira agar tiada siapa yang menceroboh masuk ke syurga dunianya yang turut menyimpan sejarah hidup dan keturunannya.

Surat Mama Mira,
Assalammualaikum anakanda Dahlia.
Mama tidak tahu dari mana mahu mama mulai.  Apa yang mama harapkan, Lia faham apa yang mama akan cuba sampaikan. Sengaja mama tuliskan semua  ini agar setelah mama tiada nanti, Lia dapat membaca coretan ini. Mama ingin agar Lia tahu bahawa mama benar-benar telah insaf.
Maafkan mama atas keterlanjuran mama selama ini. Mama menyesal kerana menyusahkan hidup Lia. Sengaja mama lakukan perbuatan sedemikian kerana mama cemburu dengan keberuntungan Lia.
Dahlia sayang,
Rahsia besar yang ingin mama sampaikan kepada kepada Lia ialah Lia adalah anak kandung ibu dan ayah. Sesungguhnya, Lia bukanlah anak pungut atau anak haram daripada zuriat mama seperti yang dikatakan Pak Akob. Memangnya selama ini, mama menyangka bahawa Lia adalah anak kandung mama seperti yang diberitahu Pak Akob.
Kita tiada ibu dan ayah lagi tetapi nasib baiklah ibu juga turut membuat catatan rentetan hidupnya. Lia boleh baca diari ibu yang mama letakkan bersama-sama coretan mama ini.  Apa yang diberitahu oleh ibu dan ayah selama ini adalah benar tetapi telah diselewengkan oleh Pak Akob selepas pemergian ibu dan ayah kita.
Lagi satu Lia, sebenarnya mama hanyalah anak angkat ibu dan ayah Lia. Nama sebenar ayah sememangnya Abdullah dan juga Abdul Ghani kerana menghormati permintaan datuk dan nenek. Dalam sijil lahir ayah tertera namanya sebagai Abdul Ghani @ Abdullah. Cuma di dalam kad pengenalan sahaja tidak dimasukkan nama Abdul Ghani. Mungkin berlaku sedikit kesilapan teknikal di situ. Ibu pula Wan Amira manakala nama sebenar mama ialah Shamira. Mama harap Lia telah faham dengan semua penjelasan ini.
Memang benar mama telah mengandungkan anak luar nikah pada usia mama 13 tahun kerana  mama telah diperkosa oleh seseorang yang tidak mama kenali sepeninggalan ibu dan ayah menghadiri majlis tahlil di rumah temannya. Ibu dan ayah lewat pulang kerana terlibat dalam kemalangan di jalan raya. Setelah ibu dan ayah pulih dan setelah mama hamil, barulah rahsia itu terbongkar.
Mama mengalami tekanan perasaan yang amat kronik dan gangguan mental selepas bersalin.Mama juga tahu bahawa proses kehamilan dan kelahiran adalah salah satu fasa perubahan dalam kehidupan seorang wanita yang mana ia boleh mendatangkan ketidakseimbangan dalam diri wanita tersebut. Ia boleh dianggap sebagai satu proses kematangan diri.  Bagi mama pula, mungkin menghadapi masalah kerana mama hamil dalam usia yang terlalu muda.
Mama menghidapi penyakit mental selepas bersalin iaitu gangguan  kemurungan postpartum atau meroyan dan psikosis postpartum, juga disebut Skizofrenia. Keadaan ini jarang dijumpai tetapi serius dan berlaku dalam setiap 500 - 1000 jumlah kelahiran. Gejala penyakit ini timbul dengan pantas dan biasanya berlaku selama beberapa hari sehingga dua atau tiga minggu selepas bersalin. Walaupun begitu,risiko tetap tinggi selepas beberapa tahun  kemudian.
Mama mengalami gangguan tidur, perubahan selera makan dan juga mudah resah. Mama sentiasa berfikir untuk membunuh diri dan melakukan pembunuhan. Memang mama berperasaan dan kelakuan yang pelik. Antara lain gejala psikosis ialah mama seperti mendengar suara walaupun pada zahirnya tiada orang di sekeliling (halusinasi) atau kepercayaan yang tidak rasional (delusi).
Bayi yang mama kandung sebenarnya, telah meninggal dunia sewaktu dilahirkan. Semua ini ada tercatat di dalam buku catatan ibu. Mama tidak tahu semua itu kerana mama ditahan  di wad selepas melahirkannya dan mama tidak tahu apakah yang berlaku selepas itu.
Apa yang mama ingat, apabila mama sedar, mama sedang menjalani proses pemulihan. Psikoterapi sokongan dan terapi kognitif didapati berkesan buat mama, Ubat-ubatan diberikan  kepada mama untuk mengawal gejala-gejala sehinggakan mama turut diberikan terapi "elektrokonvulsif” . Kehamilan yang tidak dirancang inilah yang menjadikan mama menghadapi tekanan mental yang parah.
Mama dibekalkan dengan ubat antikemurungan (antidepresi) seperti  Trisiklik (Tricyclic),RIMAs (Reversible Inhibitors of Monoamine Oxidase type A),SSRIs (Selective Serotonin Reuptake Inhibitors) dan SNRIs (Serotonin and Noradrenaline Reuptake Inhibitors)iaitu ubat yang digunakan untuk melegakan tanda-tanda kemurungan. Ia juga mempunyai kesan penenang.
Kesan sampingan ubat trisiklik yang biasa adalah kering mulut, menggeletar, peningkatan degupan jantung, sembelit, mengantuk dan kenaikan berat badan, kesukaran untuk membuang air kecil, rasa hendak pitam dan jatuh. Mama juga tidak bolah makan makanan yang mengandungi Tyramine seperti keju,  cokelat, dadih, sos soya kerana ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi.
Setelah pulih, mama masih bergantung dengan ubat tidur yang merupakan kategori ubat sedatif yang bertindak pada sistem saraf pusat dan menolong mengatasi masalah kesukaran untuk tidur.Mama juga mengambil ubat Benzodiazepines iaitu ubat yang selalu digunakan untuk merawat keresahan dan masalah kesukaran untuk tidur.
Jika tidak mahu terlalu bergantung dengan ubat tidur,  mama perlu mengamalkan beberapa  cara  untuk mengatasi kesukaran untuk tidur iaitu  tidur pada waktu yang telah ditetapkan dan menjauhi minuman berkafein seperti kopi atau teh pada waktu malam. Mama juga akan tidur hanya jika benar-benar mengantuk.
Walaupun kemungkinan kerosakan hati adalah kecil apabila ubat diambil pada dos yang telah disarankan, ianya masih perlu dipertimbangkan pada setiap individu terutama mama yang turut mengambil ubat-ubatan lain termasuklah ubat penahan sakit.Mungkin sakit mama kali ini mempunyai perkaitan dengan sejarah penyakit mama di masa lampau.
Dahlia semakin berkobar-kobar. Dia tidak sabar untuk mengetahui pengakhir cerita mama tetapi dia perlu bersabar. Membacanya secara tenang agar lebih mudah memahaminya. Dahlia menandakan muka surat terakhir bacaannya.
Dia bergegas  ke bawah. Aqashah dan anak-anak sedang leka menonton rancangan kartun kegemaran mereka di Astro Ceria. Dahlia juga semakin ceria.  Aku bukan anak pungut. Aku bukan anak haram. Hatinya berbunga. Rasa tidak sabar untuk memberitahu suami tersayang, hakikat dirinya yang sebenar. Walaupun pernah mendengar rahsia itu daripada mulut mama sebelum keberangkatannya menemui Ilahi, tetapi Dahlia belum memaklumkan perihal itu kepada suaminya.
Aqashah sendiri amat teruja dengan perkhabaran itu. Patutlah budi pekerti Dahlia luhur dan bersopan. Rupa-rupanya dia memang dari keturunan orang yang baik-baik. Dahi isterinya dikucup mesra sebagai tanda kesyukuran yang tidak terhingga.
Sambungan surat Mama Mira.
Anakanda Dahlia,
            Sebaik sahaja pulih sedikit, mama dilamar oleh seorang insan yang bersimpati dengan nasib mama. Walaupun Papa Rasyid sebaya ayah tapi dia sanggup menerima mama yang telah tidak punya  apa-apa lagi.
Papa Rasyid menjaga mama dengan baik walau pun niat asalnya pernah dibantah keras oleh isteri dan anak-anaknya. Mama sendiri  tidak mengharap yang lebih daripada Papa Rasyid. Cukup apa yang telah diberikannya selama ini. Memberikan gelaran isteri kepada mamapun sudah cukup untuk menghidupkan mama kembali. Dan gelaran isteri itu juga adalah merupakan anugerah yang amat mama hargai.
Sebagai isteri kedua, mama tidak mendapat layanan yang sepenuhnya. Mama faham. Hidup mama adalah untuk berkongsi segala-galanya. Mama bersalin anak-anak, seorang demi seorang meskipun tanpa bantuan daripada Papa Rasyid. Walaupun dia mengasihi mama tetapi dia tidak boleh berada bersama mama sepenuhnya.
Kehadiran Aqashah dalam hidup Lia menggugat ketenangan mama. Perhatian dan kasih  sayang yang ditunjukkannya kepada Lia membuatkan mama cemburu.  Mama tidak pernah merasa dikasihi sebagaimana Aqashah mengasihi Lia.
Dan mama sendiri kurang percaya apabila Aqashah turut melayan mama dengan baik. Mama lupa di mana letaknya diri mama. Lebih-lebih lagi setelah mama baca buku catatan ibu. Setelah mama tahu bahawa mama hanyalah anak angkat dan Lia pula bukanlah anak mama, mama rasakan peluang mama untuk bersama Aqashah semakin cerah.
Mama menagih kasih Aqashah walaupun Aqashah hanya menganggap bahawa mama hanyalah ibu mentuanya yang memang selayaknya dihormati. Mama mohon maaf Lia. Mama cuba menggoda Aqashah namun Aqashah tidak semudah itu untuk ditakluki.
Lia,
Maafkan mama atas semua ini. Mama tahu, mama silap. Mama melakukan kesilapan yang besar kerana cuba memporak-porandakan rumahtangga Lia. Ampunkan mama, Lia.
Lia,
Mama mohon maaf. Sebenarnya, mama telah merancang untuk merampas tanah yang ayah tinggalkan untuk Lia. Mama berpakat dengan Pak Akob untuk memusnahkan Lia namun semua rancangan itu gagal. Sebab itulah mama mengambil keputusan untuk pulang ke kampong dan mengelola sendiri tanah-tanah ladang ayah.
Lagipun, Pak Akob ada memberitahu bahawa Lia tak pernah ambil kisah dengan semua harta itu malahan Lia turut membuat simpanan untuk anak-anak mama. Maafkan mama sekali lagi, Lia. Sehebat mana prasangka dan layanan buruk mama pada Lia, Lia tidak pernah membantah. Mama menyesal, Lia.
Untuk pengetahuan Lia, mama hampir berjaya membolot semua harta Lia tapi di saat-saat akhir, Pak Akob berpaling tadah. Dia menjual semua tanah itu tanpa memberitahu mama dan membolot wang hasil jualannya seorang diri. Sebab itulah, mama minta supaya Lia berhati-hati dengan Pak Akob.
Dahlia terkedu. Adakah Pak Akob sekeji itu? Apakah dosa yang telah dilakukannya sehingga Pak Akob ingin menghancurkannya? Sudah lupakah Pak Akob akan jasa-jasa ayahnya sehinggakan mereka sekeluarga hidup mewah dan disegani orang kampong?
Membaca surat Mama Mira menjadikan Dahlia semakin bingung. Jika benarlah kata-kata Mama Mira ini, apakah tindakan yang boleh dilakukannya? Mustahil Pak Akob masih memusuhinya. Dia sudah tidak punya apa-apa harta peninggalan ayah kecuali tanah dan rumah kampungnya yang semakin uzur. Perusahaan ayah di sinipun sudah diserahkan sepenuhnya kepada Mama Mira dan adik-adiknya.
Dahlia meneruskan pembacaannya. Tiada isi penting lagi selepas itu. Hanya kata nasihat dan yang paling kerap ialah pengulangan permohonan ampun dan maaf. Sudah lama Dahlia maafkan mamanya. Malahan peluang terakhir bersama-sama mama dan menyelami hati budinya amat mahal buat Dahlia walaupun setelah  mengetahui  bahawa dia tiada langsung pertalian darah dengan Mama Mira.
Tangannya menyentuh buku catatan ibu. Buku yang sudah agak lusuh dan buku itu pernah dilihat Dahlia di bilik ibu di kampong tetapi Dahlia tidak berani untuk menyentuhnya apatah lagi membaca isi kandungannya meskipun setelah ketiadaan ibu. Mungkin kerana sedari kecil, dia diajar ibu dan ayah agar tidak menceroboh hak peribadi dan kerahsiaan orang lain.
Saat ini, hatinya benar-benar tercuit untuk membaca catatan ibu. Dahlia  membuka helaian demi helaian halaman buku catatan berkenaan. Tiada yang bersalahan dengan penjelasan yang diberikan Mama Mira. Kalaulah dari dulu lagi buku catatan ini dibacanya, tentu sudah lama jiwanya pulih. Tapi apakan daya. Dahlia tidak menyesali takdir. Mungkin telah tersurat, takdirnya sedemikian.
Dahlia memeluk buku catatan itu erat-erat bagaikan sedang memeluk jasad ibunya. Seluruh kerinduan dicurahkan sambil mutiara matanya membasahi pipi. Terima kasih, ibu. Terima kasih, ayah. Lia sayangkan ibu dan ayah. Saat sendu mulai menguasai diri, Dahlia bagaikan baru tersedar. Dia tidak boleh berterusan begini. Aqashah dan  anak-anak memerlukannya.







BAB 45 (AKHIR)
Dahlia sedang mencuci pinggan di dapur saat terdengar deringan loceng pintu ditekan berkali-kali. Dia bergegas ke ruang tamu dan menjenguk melalui jendela kaca memandang ke pintu pagar. Terlihat dua tiga orang di pintu pagar rumahnya sambil meninjau-ninjau ke dalam.
Pak Akob? Dahlia memerhati dengan penuh debar. Juga ada bersamanya, Mak Dah dan Alang Bidin. Dahlia cuba menahan debar di dadanya dan berlagak setenang yang mungkin. Dia membuka pintu utama dan bergerak menuju ke pintu pagar.
Membuka mangga yang berkunci dan mempelawa Pak Akob sekeluarga masuk ke rumah. Mak Dah menerpa ke arahnya dengan pelukan dan tangisan yang panjang. Dahlia terharu. Dia mempersilakan mereka semua masuk.
Saat kakinya melangkah ke muka pintu, tersembul Aqashah yang telah siap berpakaian baju melayu cekak musang. Dia hendak ke surau berdekatan untuk menunaikan solat Zohor berjemaah. Dia sempat menyalami Pak Akob dan Alang Bidin sambil mempersilakan mereka masuk.
Dahlia merenung suaminya seakan-akan meminta simpati. Aqashah yang telah melangkah untuk menyarungkan selipar seakan baru tersedar. Bahaya meninggalkan Dahlia bersama orang-orang yang disebut sebagai ‘bahaya’ oleh Mama Mira lewat suratnya yang lalu.
Dia membatalkan hasratnya untuk ke surau tetapi sebaliknya, masuk semula ke rumah untuk memuliakan tetamunya dan seterusnya, menuju ke biliknya, menunaikan solat di awal waktu.
Dahlia menyiapkan hidangan tengah hari dan menjemput keluarga sebelah ayahnya itu makan. Hatinya masih lagi tertanya-tanya tentang hajat kedatangan tetamu ini.
Selesai makan dan menunaikan solat, mereka bersantai-santai di ruang tamu. Dahlia masih ternanti-nantikan Pak Akob memulakan bicara.
“Lia, Pak Akob datang ni ada hajat.”
Dahlia memang sudah menduganya sedari awal lagi. Jika tiada hajat, mustahil Pak Akob tersesat ke mari. Kali terakhir Pak Akob menziarahi mereka ialah saat Mama Mira meninggal dunia.
“Pak Akob nak minta maaf. Pak Akob banyak buat salah pada Lia. Pak Akob berbohong menyatakan Lia anak luar nikah Shamira sedangkan Pak Akob tahu bahawa Mira adalah anak kandung Abdullah dan Wan Amira.” Pak Akob memberitahu apa yang kini telah pun berada dalam pengetahuan Dahlia.
“Sebenarnya, Pak Akob memusuhi ayah kamu secara diam-diam. Ayah kamu beruntung kerana walaupun kami satu bapa tapi hidup dia lebih mewah kerana ibunya orang berharta. Ayah kamu baik orangnya tapi Pak Akob yang menaruh rasa sakit hati terhadapnya.” Dahlia hanya memasang telinga mendengar penjelasan Pak Akob.
“Pak Akob marah sangat dengan ayah kamu terutamanya selepas Alang Bidin tinggal bersamanya. Memang Pak Akob tahu, Alang Bidin yang mencemarkan Shamira tetapi Pak Akob tak tergamak nak berterus-terang dengan ayah kamu. Ayah kamu pula bawa Shamira dan Bidin ke Mekah. Kononnya hendak menunaikan umrah tetapi rupa-rupanya dia berdoa di hadapan Baitullah agar orang yang merosakkan anaknya diberikan pembalasan.” Sampai di sini, Pak Akob berhenti berbicara. Dia terbatuk-batuk kecil.
Kasihan Mama Mira. Sehingga ke saat kematiannya, dia tidak tahu siapakah yang telah merosakkannya. Tapi mungkin itu lebih baik daripada dia tahu dan mencederakan lagi hati dan perasaannya.
“Pak Akob marah kerana ayah kamu bertindak terburu-buru. Kalaulah dia bersabar sedikit, tentu kami boleh satukan Bidin dan Shamira. Tapi apa yang jadi? Bidin jadi sasau dan Shamira sendiri mengalami tekanan jiwa yang parah.” Air mata Dahlia mengalir tanpa sedar mendengar penjelasan Pak Akob. Tidak tahu kepada siapa hendak ditujukan kesedihan itu. Dan dia juga tidak tahu kenapa Pak Akob mahu berterus-terang dengannya sekarang.
“Sebab itulah apabila ayah dan ibu kamu meninggal, Pak Akob berbohong menyatakan  bahawa Shamira adalah ibu kandung kamu. Pak Akob sengaja hendak mendera perasaan kamu. Pak Akob juga berkomplot dengan Shamira untuk memusnahkan kamu.” Dahlia teringatkan peristiwa dia dikejar di jalan raya dan kehormatannya hampir dicabuli. Angkara siapakah itu? Ingin dia bertanyakan soalan itu sekarang tetapi dia tidak sampai hati. Namun, penjelasan Pak Akob ini bagaikan telah menerangkan segala-galanya.
Dahlia menoleh ke arah Mak Dah yang sudah mulai menangis teresak-esak. Alang  Bidin pula tetap terus melongo di sofa, dengan muka kering tak bersalahnya.
“Mak Dah dan Bidin tak terlibat dalam perancangan ini. Mereka tak tahu apa-apa,” Pak Akob bagaikan menjawab pertanyaan hati Dahlia.
Pak Akob membuka briefcase yang dibawanya dan mengeluarkan beberapa dokumen lalu dihulurkan kepada Dahlia. Dahlia menyambut dan membelek-beleknya. Geran tanah.
“Bukankah Pak Akob telah menjual tanah ini?”
“Sebenarnya, memang Pak Akob bercadang untuk menjualnya tetapi rupa-rupanya, urusannya terlalu sukar kerana ianya masih atas nama ayah Lia. Hanya warisnya sahaja yang layak untuk menguruskannya. Jadi, Pak Akob hanya menyewakan tanah itu kepada orang yang Pak Akob minta supaya dia mengaku membeli tanah itu apabila ditanya oleh Shamira.”
Jalan yang gelap di hadapan semakin terang.
“Tuan Haji Daud Mansor di mana Pak Akob?”
“Selepas Lia memberikan keizinan kepada Pak Akob untuk menguruskan harta tinggalan ayah Lia, Tuan Haji Daud Mansor tidak lagi berkhidmat sebagai peguam untuk keluarga Lia.” Terjawab sudah teka-teki kehilangan peguam ayah Dahlia itu.
 “Lia, semasa melarikan diri dulu, Pak Akob tak bagitahu Mak Dah. Pak Akob cuma katakan bahawa Pak Akob nak bawa Mak Dah menunaikan haji di Mekah. Kami pergi mengikut pakej mewah kerana inginkan keselesaan,” Pak Akob menarik nafas panjang. Manusia mudah jadi gelap mata dengan wang ringgit yang menjadi harta dan daki dunia.
“Tapi malangnya, selama di sana, jiwa Pak Akob tak tenang. Pak Akob asyik teringatkan Lia dan dosa-dosa yang Pak Akob lakukan,” suara Pak Akob semakin tersekat-sekat. Dia menangis.
“Mak Dah tak tahu, Lia. Mak Dah ingatkan Pak Akob kamu cuma sakit biasa. Tapi Lia, bila setiap kali mengunjungi kaabah, Pak Akob asyik bertanyakan, di mana kaabah? Mak Dah jadi hairan ,” Mak Dah yang semakin tenang, menyambung cerita Pak Akob.
“Pak Akob tak nampak kaabah, Lia. Mungkin inilah dosa Pak Akob. Memakan harta anak yatim,” Pak Akob kembali bersuara.
“Sudahlah tu Pak Akob. Lia dah lama maafkan Pak Akob dan Mak Dah. Nanti kalau ada rezeki, Mak Dah dan Pak Akob boleh ke sana lagi. Kita boleh pergi sama-sama. Kali ini kita bermohon agar Alang Bidin bisa sembuh. Yang berlalu biarkanlah berlalu. Tiada gunanya kita mengingatinya lagi,” Dahlia yang sedari tadi hanya membatukan diri kini telah mulai bersuara.
“Betul tu, Pak Akob. Lagipun, Lia bukan ada siapa-siapa lagi saudara-maranya di dunia ni kecuali keluarga Pak Akob. Lia selalu mendoakan yang baik-baik untuk Pak Akob sekeluarga,” Aqashah juga mulai bersuara.
Awan mendung kian berarak pergi. Segala sesuatu yang baik itu pastilah dengan kehendak Allah Taala juga. Dahlia bersyukur kerana terpilih untuk dilimpahi rahmatNya.


SEKIAN

Terima kasih.




Kosa kata merujuk Kamus Dewan edisi keempat.
Sanubari = jantung hati, perasaan dalam hati atau batin.
Menyanggah = membantah, menyangkal.
Tatarias  = cara menghias sesuatu seperti muka, rambut dan lain-lain.
Termeterai = Tersimpul, terikat
Mayapada = dunia
Langsing = bunyi nyaring yang mendesing.
Derik = Bunyi seperti papan bersanggit (lebih kecil daripada derak)
Kapuk = Peluk, dakap
Lengking = bunyi yang kuat.
Tilik = penglihatan (yang teliti dan bersungguh-sungguh),tenung.
Bagasi = Tempat barang pada basikal (motokar dan lain-lain)
Mengongoi = Menangis terisak-isak(berkenaan kanak-kanak)
Khusyuk = Dengan penuh minat atau sepenuh hati.
Audiens = Para penonton
Basa-basi = Adat-istiadat, sopan-santun.
Sedondon = Sama warna atau corak.
Tebak = Menduga, menelah, mengagak.
Telat = Terlewat, terlambat.
Sebal = Berasa kesal.
Terbata-bata = Ragu-ragu, bimbang.
Bergelandangan = Berkeliaran, bertualang, berjalan-jalan tanpa tujuan.
Terpanar = Tercengang-cengang(kerana kehairanan), termangu-mangu.
Walang = Dukacita, gelisah, khuatir.
Waad = Janji.
Melarik = Mengukir
Sutrah = Pengadang yang diletakkan di hadapan orang yang sedang bersolat sebagai penanda agar memudahkan orang lain melintas di hadapan pengadang atau penanda tersebut.
Bowling kinetic –Istilah bagi orang yang membetulkan sesuatu yang tidak mampu dilakukan lagi seperti seorang pemain boling, selepas membaling bolanya, dia akan menyengetkan badannya seolah-olah meminta bola berkenaan mengikut arahannya.
BAB 24 –* Kertas  kerja bertajuk Zikir Ma’thurat dibentangkan di Nadwah Kefahaman Islam Pegawai-pegawai Kanan ATM di Institut Aminudin  Baki Sri Layang oleh Ustaz Uthman El-Muhammady.
Klise = Ungkapan yang sudah terlalu sering digunakan hingga tidak lagi terdapat keistimewaannya atau kesannya.
Menggeladak = Bergemuruh, berbunyi dengan kuat.
Berlabun = Berbual-bual.
Iltizam = Penuh tanggung jawab dalam melakukan sesuatu, komitmen.
Tebak = Teka, duga, telah.
Iffah =  Pengekangan hawa nafsu
Pawana = Angin, bayu
Janubi = Selatan
Berjeda = Berhenti sebentar
Menjazamkan = Memutuskan, menentukan
Kemelankolian = Keadaan murung, hiba
Maklumat tentang kejadian asal-usul manusia diperoleh daripada  Adnan Oktar seorang ilmuan yang menggunakan nama pena, Harun Yahya. Dilahirkan di Ankara pada tahun 1956. Sebagai seorang da'i dan ilmuwan terkemuka asal Turki, beliau sangat menjunjung tinggi nilai akhlaq dan mengabdikan hidupnya untuk mendakwahkan ajaran agama kepada masyarakat. Adnan Oktar memulai perjuangan intelektualnya pada tahun 1979, yakni ketika menuntut ilmu di Akademi Seni, Universitas Mimar Sinan.

No comments:

Post a Comment