Tuesday, 19 July 2011

Selumbar Kasih

BAB 25


Gurindam VI

Ini gurindam pasal yang keenam:
Cahari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
yang boleh dimenyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi,
yang ada baik sedikit budi,


Dahlia tersenyum sendiri membaca gurindam ini. Dia melihat ejaan lama yang digunakan iaitu cahari. Kalau dilihat sekali sahaja perkataan itu muncul, pastilah tidak akan diketahui maknanya. Apabila telah berulang-ulang, mengertilah dia akan maksudnya iaitu cari.
Petang masih awal. Sengaja dia membaca kitab puisi lama ayah sementara menantikan kehadiran Zamani untuk menemaninya ke Perpustakaan Awam Negeri di Larkin. Pelik ya. Memang pelik. Setelah tiada ikatan cinta dengan Zamani, Dahlia lebih selesa menerima pelawaannya untuk keluar bersama.
Sekurang-kurangnya, dia tidak lagi perlu risau Zamani akan berbuat sesuatu yang tidak baik ke atasnya. Lagi pun, kali ini, dia  meminta Zamani membawa Liyana bersama. Dia ingin mengenali gadis itu. Sekurang-kurangnya, dapat melihat gadis yang berjaya menawan hati Zamani, mengalahkan dirinya. Kalah? Dia tidak kalah kerana dia tidak bertanding dengan sesiapapun.
Pedih? Memang pedih. Tapi, apa yang hendak dikatakan lagi. sekurang-kurangnya, memaafkan itu dapat mengurangkan kepedihan dan kekecewaan hatinya. Terkadang, Dahlia sendiri pelik dengan keadaan dirinya. Bagaimana dia boleh menerima kenyataan ini dengan begitu mudah sedangkan selama ini dia begitu bimbang akan kehilangan Zamani.
Dahlia termenung sejenak. Matanya tertumpu ke arah bunga-bunga heliconia yang terbuai-buai dihembus angin petang di kawasan perbukitan itu. Segala kenangan indah bersama Zamani kembali melegari ruang  ingatannya. Dia mengeluh perlahan. Bukan mengeluh kerana kecewa tetapi mengeluh kerana dia telah pergi sejauh itu bersama Zamani.
Sangkanya, Zamanilah yang bakal menemani hidupnya sehingga ke hari tua tapi apa yang berlaku adalah   bersalahan sama sekali dengan impiannya. Sekurang-kurangnya, selama bersama Zamani, Dahlia amat menjaga kehormatan dirinya. Tidak pernah sekali dia membenarkan Zamani menerokai kewanitaannya.
Mungkin juga atas sebab itulah, Zamani jadi bosan lalu mencari gadis lain yang lebih terbuka sikap dan mindanya. Memang Dahlia akui, Zamani pernah menyuarakan rasa bosan kerana Dahlia sering menolak pelawaannya untuk bermesra. Dahlia tidak menyesal malahan dia bersyukur kerana tidak terlajak jauh bersama Zamani.
Dahlia mengerling jam di tangan. Baru tiga puluh minit selepas pukul dua. Masih terlalu awal. Janjinya dengan Zamani ialah pukul tiga petang. Terdengar nada deringan Insya Allah menandakan ada panggilan masuk. Dahlia menarik beg sandang di sisi dan membukanya untuk mengambil telefon bimbitnya. Zamanikah?
Tertera nama Haiqal. Sejak peristiwa tempoh hari, Dahlia semakin akrab dengan Haiqal. Haiqal sering menghubungi dan bertanyakan khabar tentang dirinya. Adakah kerana kehadiran Haiqal juga sedikit sebanyak menjadikan dia tidak terkesan sangat dengan  penyingkiran Zamani? Entahlah. Hanya Dahlia sahaja yang tahu di mana letak hatinya kini.
Sekurang-kurangnya, mujurlah hadir Haiqal di saat kritikal begini. Dahlia tidaklah terlalu bersedih. Kehadiran Haiqal dapat menceriakan hidupnya kerana sikap  ambil berat yang ditunjukkan. Atau, sekurang-kurangnya Dahlia tidaklah bersendirian di dalam dunianya.
“Assalammualaikum, Lia sihat?”
“Alhamdulillah, saya sihat. Haiqal macam mana?”
“Alhamdulillah, saya juga sihat. Maaf kerana mengganggu  Lia. Lia tengah study ke?”
“Tak adalah. Terima kasih kerana menghubungi saya. Sekurang-kurangnya saya tidak bersendirian.” Entah mengapa, boleh terlontar jawapan itu dari bibir Dahlia. Seolah-olah dia juga cuba memancing perhatian Haiqal. Atau sekurang-kurangnya, menduga hatinya.
“Bersendirian? Lia duduk sorang ke?” Dahlia tertawa kecil. Menyedari keterlanjurannya.
“Tak adalah. Maksud Lia emm…maksud saya, saya sendirian masa ni. Bila Haiqal telefon, saya tahu yang saya ada teman untuk diajak berbual.”
“Baguslah kalau begitu. Saya bimbang jika panggilan saya ini mengganggu Lia.”
“Saya lapang petang ni. Sekarang ni di bawah blok, menantikan kawan yang dah janji  nak ke perpustakaan.” Dahlia berterus-terang.
“Kawan lelaki ke perempuan?”
“Kawan lelaki dan perempuan.”
 “Kawannya belum tiba lagi ke?”
“Belum. Janjinya pukul tiga tapi Lia  emm….saya sengaja turun awal. Dapat baca buku sambil menikmati angin petang.”
“Lia…Emm…apa kata, Lia bahasakan diri Lia sebagai Lia saja dengan saya? Saya rasa Lia agak kekok  bila gunakan kata ‘saya’ tu,” prihatin juga rupanya Haiqal dengan kesulitan remeh  yang dihadapi Dahlia. Dahlia tergelak kecil.
“Ya. Baiklah.”
Suasana hening seketika. Dahlia ternampak kereta Zamani memanjat bukit.
“Haiqal. Kawan Lia dah sampailah,” Dahlia memaklumkan.
“Kalau begitu, tak apalah. Lain kali Haiqal call lagi.”
“Baiklah. Terima kasih, ya!”
Perbualan mereka ditamatkan.
Zamani memberhentikan keretanya dan keluar mendapatkan Dahlia.
“Berbual dengan siapa? Mesra nampaknya,” masihkah ada cemburu?
“Emm…mana Liyana?” sengaja Dahlia mematikan pertanyaan Zamani dengan pertanyaan juga.
“Liyana tak dapat datang. Dia menziarahi ibu saudaranya di hospital,” sahut Zamani sambil membuka pintu kereta. Dahlia teragak-agak. Rasa sedikit cuak. Betul ke?
“Lia tak percaya? Tak percaya, boleh call dia. Tanya sendiri,” Dahlia kehilangan  arah. Dia menurut sahaja. Melangkah masuk ke perut kereta dan membiarkan Zamani menutupnya kembali. Hmm…layanan yang cukup mesra. Seingat Dahlia, Zamani tidak pernah berbuat begitu selama mereka berkasih dulu.
Kata Zamani, dia tidak mahu terlalu memanjakan Dahlia. Dahlia kena pandai berdikari dan jangan terlalu bergantung kepada orang lain. Jangan terlebih manja meskipun dengan kekasih sendiri. Itu alasan Zamani dan Dahlia akur.
Janji ke perpustakaan diteruskan. Sebenarnya, tiada apa yang Dahlia hendak cari di situ. Semua tugasannya telah diselesaikan. Tujuan utamanya hanyalah ingin bertemu Liyana. Itu sahaja. Terlanjur sudah ke perpustakaan, dia memilih beberapa buah koleksi cerpen.
Selalunya, semasa di perpustakaan, Dahlia hanya membaca cerpen. Dia tidak suka membaca novel kerana tidak dapat dihabiskan dalam masa sejam dua.  Buku-buku novel hanya jadi pilihan untuk dipinjam dan dibawa pulang sebagai bahan bacaan masa lapang di dormnya.
Zamani mengotakan janji untuk mencari bahan tugasan assignmentnya. Dahlia biarkan sahaja. Dia membaca cerpen yang dipilihnya sambil duduk bertentangan Zamani di meja yang terletak di sudut perpustakaan tingkat tiga itu. Meja kegemaran mereka setiap kali bertandang ke situ.
Dahlia kian melarut dalam bacaannya. Tidak sedar Zamani telah berhenti menulis dan bersandar di bangku sambil memandang ke arahnya. Agak lama Zamani merenungi gadis itu sehingga Dahlia memanggungkan kepalanya melihat Zamani. Zamani kekal memandangnya tanpa sebarang reaksi.
“Kenapa abang pandang Lia macam tu?” bisik Dahlia. Mungkin renungan Zamani mencetuskan ketidakselesaan di hatinya.
“Kenapa? Salah jugakah kalau hanya memandang?” pertanyaan yang tidak dijawab oleh Dahlia. Dia meneruskan bacaannya.
“Lia tak penat ke?”
“Hmmm…penat juga. Abang?”
“Abang penat juga tapi nasib baiklah ada mak we yang sudi temankan,” Dahlia berpura-pura tidak mendengar usikan Zamani. Dia merenung jam di pergelangan tangan. Sudah hampir dua jam mereka terperap di situ.
“Alamak! Sudah terlewat ni,” Zamani merenung Dahlia.
“Kenapa?”
“Belum solat Asar,” Zamani turut melihat jam tangannya.
“Ya. Kita pergi solat dulu sebelum pergi makan, ya.” Katanya  memberikan cadangan.
“Emm…tak mengapalah. Kita terus balik. Lagipun Lia tak bawa telekung ni,” Dahlia sengaja memberi alasan walhal di dalam beg sandangnya memang sentiasa ada berisikan kain telekung.
Zamani tahu, Dahlia memang tidak pernah menggunakan telekung di masjid atau surau melainkan telekung kepunyaannya sendiri. Dia kurang yakin dengan kebersihan telekung berkenaan. Setelah sekian lama bersama, Zamani telah tahu kesukaan dan kebencian Dahlia.
Tapi mengapa, ya? Mengapa mereka tidak ditakdirkan untuk bersama? Meskipun Dahlia terconggok di hadapannya, namun Zamani tahu, dia telah kehilangan gadis itu. Mungkin bukan jodoh mereka berdua yang dijanjikan Allah sejak di loh mahfuz lagi.
Zamani menghantar Dahlia pulang ke Blok Kasihnya  sebelum dia sendiri berangkat pulang ke bloknya. Setelah  perpisahan mereka, Zamani lebih menghargai setiap detik dan hari-hari bersama Dahlia. Setelah kehilangan Dahlia, barulah dia menyedarinya bahawa dia amat mengasihi gadis itu.
Tapi apakan daya. Aku orang berdosa, Lia. Aku orang kotor. Aku tidak layak berdampingan denganmu, Dahlia. Aku sebenarnya malu denganmu, Lia. Aku sangka aku seorang lelaki gagah tetapi rupa-rupanya aku terlalu lemah. Imanku rapuh serapuh ranting yang reput dimakan ulat. Maafkan aku, Lia. Ampunkan aku ya Tuhanku.
Tuhanku, Dulu pernah Kau kurniakan kebahagiaan kepadaku dan aku bersyukur di atas segala anugerahMu itu.
Tuhanku, Kini Kau ragut kembali kebahagiaan itu dan aku terkapai-kapai sendirian.
Tuhanku, Biar apapun yang berlaku, aku tidak pernah menyalahkan takdirMu.
Dan, izinkan aku untuk terus berada di dalam rahmatMu, ya ALLAH.





BAB 26

Langit petang kelihatan mendung menandakan hari akan hujan. Seminggu lagi, kampus bakal ditinggalkan. Kamar kecil di Blok Kasih akan kehilangan Dahlia dan Alina. Namun, penghuni yang lain pasti akan menyusul tiba tika semester baru dibuka tahun hadapan.
            Dahlia menerima pelawaan Zamani untuk keluar bersama, berdua sahaja tanpa Liyana. Mungkin buat kali yang terakhir sebelum mereka berpisah, membawa haluan masing-masing. Dahlia sabar menantinya di anak Tangga Maksiat. Tangga Maksiat? Hmm…tangga di astaka ini tempat siswa-siswi, lelaki dan perempuan  bertemu dan berbual-bual. Kalau ada pertandingan sukan dan perlawanan bola sepak, di tangga inilah juga mereka melepak.
Kerana kegunaannya untuk lelaki dan perempuan, Dahlia namakannya Tangga Maksiat. Langit kelihatan bertambah mendung. Dahlia berdoa agar Zamani cepat tiba sebelum hujan menyirami bumi ALLAH.
  Entah apakah petanda, apakah alamatnya, pertemuan yang terakhir ini diiringi dengan curahan air hujan seolah-olah turut sama menangisi perpisahan ini.
Dahlia mengekori langkah Zamani, menyusuri kaki lima Holiday Plaza. Orang ramai kelihatan berpusu-pusu mencari tempat berteduh. Dahlia menggigil kesejukan. Zamani menarik tangan Dahlia untuk berlindung di dalam bangunan yang tersergam indah itu.
Dahlia menepis tangan Zamani. Tindakan refleksi di luar kawalan. Dia terus berpeluk tubuh dan Zamani seakan mengerti isyarat itu. Mereka masuk melalui pintu besar yang dijaga oleh seorang pengawal keselamatan. Suasana di dalam Holiday Plaza kelihatan meriah. Hujan lebat di luar sana tidak mencacatkan segala aktiviti manusia yang berada di dalam perut bangunan itu.
Orang ramai yang bersimpang-siur itu seolah-olah terlalu sibuk dengan tugasan mereka. Dahlia selalu kehilangan Zamani di celah-celah orang ramai itu. Dia tertinjau-tinjau ke segenap sudut mencari Zamani tetapi hampa.
“Itulah, orang nak pegang tangan tak nak. Kan dah sesat ni.” Terdengar satu suara dekat dengan cuping telinganya. Dahlia segera berpaling. Zamani hanya tersenyum. Geram hati Dahlia dengan gelagat pemuda itu.
Zamani mengajak Dahlia ke suatu sudut yang agak kurang pengunjungnya iaitu di  ruang pameran buku. Dahlia mengekori langkah Zamani. Lega hatinya kerana dapat meloloskan diri daripada kesesakan manusia yang berbilang bangsa itu.
“Bang…,” bisik Dahlia.
“Hemm….”
“Cuba tengok sekeliling kita. Tak ada orang Melayu, pun. Semua orang Cina aje.” Zamani menoleh ke sisinya setelah mendengar komen Dahlia.
“Aaaa…iyalah.” Dia segera mencapai sebuah buku yang terdapat di situ. Buku bahasa Cina. Mereka berdua tertinjau-tinjau tetapi tidak ada satupun buku yang berbahasa Melayu atau Inggeris.
“Buat tak tahu saja, Lia. Kita dah tersilap masuk ruang pameran ni. Ini pameran buku bahasa Cina sahaja.” Dahlia rasa nak tergelak tetapi ditahannya sahaja apabila dilihatnya Zamani sedang membelek-belek sebuah buku di situ. Mereka berpura-pura berbincang tentang isi buku itu secara serius walaupun pada hakikatnya mereka tak faham satu  apapun tentang isi buku berkenaan.
“Marilah kita keluar dari sini. Lia dah rasa nak pecah perut ni,” ajak Dahlia sambil cuba menahan tawanya. Beberapa orang pengunjung pameran itu memandang hairan ke arah mereka berdua. Zamani segera menarik tangan Dahlia sebelum sempat Dahlia menegahnya daripada berbuat demikian. Berderau darahnya dengan perlakuan Zamani. Dia tidak suka diperlakukan begitu.
Mereka kembali  menyusuri deretan kedai di sepanjang bangunan itu. Sesekali, Dahlia terlanggar beberapa orang pengunjung yang kelihatan tergesa-gesa menghayunkan langkah. Zamani sekali lagi mengambil peluang ini untuk memegang tangan Dahlia.
“Lia, abang laparlah. Mari kita pergi makan.” Dahlia tidak membantah. Mereka mendaki tangga menuju ke sebuah restoran, restoran mewah di tingkat teratas. Sekali lagi Zamani menarik tangan Dahlia keluar dari restoran itu. Dahlia termanggu-manggu kehairanan.
“Kenapa?” soal Dahlia.
“Kalau nak makan b*** panggang, bolehlah kat sini,” sahut Zamani sambil tertawa.
Sebaik sahaja keluar dari restoran itu, mereka memandang kembali ke arah pintu masuk. Terpampang nama restoran dalam tulisan Cina. Tertawa besar Dahlia setelah menyedari kesilapan mereka.
Akhirnya, mereka singgah di restoran makanan segera, KFC dan menjamu selera ala Barat di situ. Hari yang riang dan menggembirakan. Baik Dahlia mahupun Zamani, mereka tidak mahu memikirkan kemungkinan-kemungkinan selepas ini.
Dahlia dan Zamani masuk ke Pasaraya Parkson’s Grand. Mereka  menaiki eskalator menuju ke tingkat teratas iaitu bahagian stationery. Dahlia terus melangkah tanpa menyedari kehilangan Zamani.
Sebentar kemudian, dia nampak Zamani sedang terbongkok-bongkok di sebalik rak buku.
“Cari apa kat situ?” tegur Dahlia tanpa mengesyaki apa-apa terhadap Zamani yang sedang membelakanginya. Zamani terus menjerit kecil, terperanjat.
“Kenapa?” Dahlia juga terkejut. Zamani tertawa memanjang.
“Abang nak menyorok dari Lia, lah,” Zamani menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.
“Alahai, kenapa tak cakap dari tadi? Kalau Lia tahu tentu Lia buat-buat tak nampak tadi.” Mereka tertawa senang.
Hampir sepetang mereka menghabiskan masa bersama, ketawa dan bergembira tanpa mahu memikirkan apa yang bakal berlaku di kemudian hari. Itu janji mereka, untuk menciptakan kenangan terindah selama bersama meskipun kisah percintaan antara keduanya bakal menjadi sejarah. Kusimpan wujudmu dari sepi ke sepi. Kutoreh hatimu dengan pisau naluri. Diammu sendu, hangatmu rindu.



Hari  ini merupakan hari terakhir Dahlia di universiti. Selepas ini, dia dan kawan-kawannya bakal bertebaran di muka bumi Malaysia untuk menaburkan khidmat bakti sebagai pendidik. Dahlia juga telah menerima surat petempatannya di negeri Perak tetapi dia tidak tahu  ke daerah manakah di dalam negeri tersebut dia bakal  ditugaskan.
Ada sendu ada  gembira. Mungkin gembira bagi teman-teman sekampus tetapi bagi Dahlia, tiada apa-apa perasaan sebaik sahaja dia  meninggalkan kampus ini melainkan kesedihan. Dahlia tahu, tiada siapa yang bakal menyambut kepulangannya. Tiada siapa yang merindui kepulangannya.
Anehnya perjalanan masa tetapi lebih aneh manusia yang melalaikannya. Dahlia merenungi segenap ruang kamarnya. Ruang yang banyak menyimpan kisah suka dan dukanya. Ruangan yang menjadi tempat untuk dia menyendiri dan menyiapkan tugasan kuliahnya.
Kesedihan membaluti hatinya kerana dia bakal berpisah dengan ruangan sempit ini. Pelik. Teman-teman lain sedih kerana akan berpisah dengan teman-teman seperjuangan tetapi Dahlia bersedih kerana akan berpisah dengan kamarnya. Kamar yang dikongsi bersama Alina.
Barangan Alina yang sudah siap dikemaskan, terlonggok di sudut bilik. Menunggu masa bapanya datang menjemput. Alina keluar sebentar. Katanya, ingin  bertemu Ikram dan makan tengah hari bersama.
Dahlia hampir terlupa, hubungan cinta pasangan dua sejoli itu telah dieratkan dengan ikatan pertunangan dua minggu yang lalu. Dahlia turut serta meraikan majlis kesyukuran dan menjadi pendamping Alina sewaktu gadis itu disarungkan cincin oleh ibu Ikram. Jelas terbayang kebahagiaan di raut wajah gadis itu, menggambarkan kegembiraan hatinya.
Dahlia tumpang gembira. Dalam keriuhan majlis di rumah Alina, dia tiba-tiba kesepian. Alina sendiri menyangkakan bahawa Dahlia juga  sedang menyulam bahagia bersama Zamani. Tidak terfikir di mindanya bahawa temannya itu hanya bersandiwara.
Abang Alina, Aiman sering mencuri pandang Dahlia. Pandangan yang penuh bererti. Ada kasih, ada harapan di dalamnya. Dahlia menyedari situasi itu tetapi dia berpura-pura tidak memahaminya.
“Lia, kalaulah engkau masih kosong, teringin aku nak padankan kau dengan abang aku ni tapi apakan daya, hati engkau telahpun dimiliki,” Dahlia hanya tersenyum kelat mendengar bisikan Alina.
“Lia, pandu kereta hati-hati, ya,” pesan Aiman di tangga sewaktu Dahlia ingin bergerak meninggalkan rumah mereka. Dahlia meneguk liur. Perasaannya tersentuh. Dia mengangguk-angguk kecil. Mungkin Aiman tidak berani berlebih-lebih kerana menyedari kedudukannya di hati Dahlia.
Sejak mengenali Alina, dia turut mengenali Aiman,abang kembar Alina yang menuntut di sebuah universiti di utara tanah air.  Aiman yang agak pendiam dan jarang bersuara. Tidak seperti Alina yang lincah dan periang. Berbeza benar perwatakan kembar tidak seiras berlainan jantina ini.
Dahlia memadamkan wajah Aiman daripada ingatannya. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan, cuba menjejaki ketenangan.  Telefon bimbitnya mengeluarkan irama lagu Insyaallah dendangan Maher Zain.  
Dahlia menatap skrin telefon, mengharapkan panggilan daripada Zamani. Mungkin sebagai panggilan terakhir sebelum kampus ini ditinggalkan tetapi nama Haiqal yang tertera di situ.
“Lia bertolak balik bila?”  tanya Haiqal.
“Hari ni Lia balik tetapi singgah dulu di rumah Mama Mira. Dua tiga hari di sana, barulah Lia balik kampong. Lagipun ada perkara yang Lia kena uruskan sebelum balik.”
“Hari Ahad nanti, Lia dah ada di kampong lah, ya.”
“Insya Allah, kenapa?”
“Nak jemput Lia datang ke rumah. Ada nak buat majlis kesyukuran nanti,”
“Hmm…insya Allah, ada.”
“Lagi satu, jangan lupa. Mak pesan, suruh Lia singgah dulu masa balik nanti.”
“Ya. Insya Allah.”
Perbualan ditamatkan. Wajah Haiqal berlegar di ruangan minda Dahlia. Mungkin majlis kesyukuran kerana Haiqal juga baru menamatkan pengajian sepertinya. Dahlia  sedikit mengeluh. Alangkah bahagianya mereka yang masih memiliki ibu dan ayah. Masih ada yang menyambut kepulangan dan mengadakan majlis kesyukuran.
Dahlia bergegas mengangkut barangannya ke kereta. Boot kereta dibuka untuk memuatkan  barangannya. Tiada banyak barang yang dibawa Dahlia. Tiga kali berulang-alik, selesai sudah semuanya. Berpeluh-peluh Dahlia melakukan kerja itu sendirian. Boot kereta ditutup perlahan.
Baru sahaja  terniat untuk menghubungi Alina, gadis itu telah tercongok  di hadapannya.
“Lia dah nak berangkat ke?”
“Ya,”
“Dah makan tengah hari?”
“Lia singgah di jalan sahaja nanti,”
Mereka beriringan menuju ke bilik penginapan.
“Mana Zamani?”
Dahlia terkial-kial untuk menjawabnya. Sesungguhnya, dia tidak tahu ke manakah pemuda itu menghilang di saat-saat terakhir sebelum mengucapkan selamat tinggal.
“Entahlah,”jujur jawapan Dahlia.
“Hmm..apa-apa sajalah kamu, Lia,” mereka terus menapak. Tiba di bilik, Alina menghulurkan  satu bungkusan, “ Abang Aiman minta tolong sampaikan,” Dahlia menyambut huluran itu dengan ragu-ragu.
Dia  membelek-belek bungkusan berbalut kertas bunga bercorak hati warna merah darah. Tampak cantik dan ceria.
“Hmm…abang Aiman pesan, buka apabila Lia dah sampai di kampong,”Dahlia akur. Diletakkan bungkusan itu di atas katil, bersebelahan beg sandangnya.
Mereka mengucapkan  selamat tinggal dan  berbalas-balas pelukan. Ada tawa, ada tangis, sambil berjanji untuk saling berhubungan biarpun jauh di mata.
“Jangan lupa, datang ke majlis aku bulan Jun nanti,”
“Insya Allah. Tiada aral yang melintang, aku pasti datang,”
“Kau datang lebih awal, ya. Aku tunggu.”
“Insya Allah.”
Dahlia berangkat meninggalkan blok penginapannya. Menuruni  bukit menuju ke pagar utama. Melewati barisan bangunan-bangunan yang menempatkan bilik kuliah, kafetaria, perpustakaan dan pejabat serta fakulti-fakulti pendidikan.
Dia singgah sebenar di kuaters penginapan pensyarah, hajatnya untuk bertemu  Ustazah Rahmah yang tidak sempat ditemui di kampus tadi. Alhamdulillah. Ustazah ada di penginapannya. Ibu tunggal itu tinggal di situ bersama seorang anak lelakinya yang akan menduduki peperiksaan SPM pada  tahun hadapan. Dua orang puteranya berada di Jordan, melanjutkan pelajaran dalam bidang Usulluddin.
“Masuk dulu, Lia. Ummi dah siapkan makan tengah hari. Boleh kita makan bersama-sama.”
Dahlia agak keberatan.
“Jangan  segan-segan, Lia.  Ummi pun sorang-sorang ni. Boleh Lia temankan,”
Dahlia menerima pelawaan ustazahnya. Mereka makan dan setelah itu, menunaikan solat Zohor berjemaah sama-sama.
“Lia, mungkin hujung tahun depan iaitu selepas Syafiq menduduki SPMnya, ummi nak merantau ke Mesir. Kalau Lia berminat, hubungilah ummi, ya.” Pelawa Ustazah Rahmah sewaktu Dahlia menyalami tangannya.
Ustazah Rahmah tahu  akan keadaan diri Dahlia yang telah kehilangan ibu dan ayah dan juga rahsia dirinya yang sebenar. Banyak kisah kedukaannya diluahkan kepada Ustazah Rahmah. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya.
Perjalanan diteruskan ke rumah Mama Mira. Seperti biasa, Mama Mira di kedainya. Tinggal Addin dan Ashraf  di rumah. Adlin pula sejak diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh selepas mendapatkan keputusan cemerlang 5A dalam UPSRnya, agak jarang pulang kecuali cuti pertengahan semester dan cuti akhir tahun. Damia mengikut Mama Mira ke  kedai.
Gembira dua beradik itu menyambut kedatangan Dahlia. Meskipun tinggal berdua, kedua beradik itu tidak bergaduh. Kedatangan Dahlia sekurang-kurangnya menjadi peneman mereka.
“Mama sibuklah Cik Lia. Papa pun tak sihat. Asyik keluar masuk hospital saja,” pertama kali Dahlia mendengar adiknya itu menyebut tentang khabar Papa Rashid.
“Papa sakit apa?”
“Entahlah, Addin dengar, penyakit tiga serangkai?”
“Tiga serangkai? Apa tu?”
“Kencing manis, darah tinggi dan jantung,” jelas Ashraf.
“Ooo…begitu,”
“Mak Tua pun tak larat nak jaga papa lagi,”
“Mak Tua?” Dahlia kehairanan.
“Isteri pertama papa,” sahut Addin.
“Mak Tua pun sakit juga,”
“Sakit apa?”
“Kencing manis. Jari kaki dah kena potong. Sekarang ni kena sorong dengan kerusi roda,”
“Mama sihat?”
“Mama selalu sakit kepala tapi mama kena jaga papa.  Mak Tua pun dah baik. Dah tak marah-marah mama lagi,”
Betullah sangkaan Dahlia. Mama Mira bermadu  dan mungkin sekarang ini hubungan kedua madu itu telah pulih kerana keadaan hidup mereka. Harap-harapnyalah….






BAB 27
Dahlia singgah sebentar di rumah Mak Cik Piah, emak Haiqal dalam perjalanannya pulang ke kampong. Keadaan rumah itu agak rapi. Persekitarannya kemas dengan rumput yang baru dipotong. Pohon-pohon kelapa yang tumbuh berjajar di sisi rumah, melambai-lambai menyambut ketibaan Dahlia. Suasana yang begitu damai dan mempesonakan.
Dahlia memberhentikan keretanya. Melihat Mak Cik Piah yang berlari-lari anak menyambut ketibaannya. Safiyyah menyongsong di belakang emaknya.
Seperti anaknya sendiri, Mak Cik Piah memperlakukan Dahlia. Diterkam dan dipeluknya anak gadis itu sambil bertangis-tangisan. Tercuit hati Dahlia dengan perlakuan itu. Seterusnya, dia menyalami Safiyyah. Safiyyah mengambil beg di tangan Dahlia dan menjinjingnya masuk ke rumah. Dahlia menuruti langkahnya sambil jalan beriringan  Mak Cik Piah.
Becok mulut Mak Cik Piah memberitahu Dahlia perihal majlis yang akan diadakan Ahad nanti.
“Majlis tu bertujuan untuk menyambut kepulangan Haiqal kerana dah habis belajar,”
Dahlia mengangguk-anggukkan kepala melayan celoteh orang tua itu.
“Sambil-sambil tu nak dilangsungkan pertunangan Haiqal dengan Salinah, anak Pak Bedul tepi bendang tu,”  Dahlia tersentak. Semua itu di luar jangkauannya.
“Kira-kiranya macam majlis doa selamat sebelum turun tanggalah ni,” cerita Mak Cik Piah tanpa mempedulikan perasaan Dahlia ketika  itu. Apa diharap padi di seberang……
“Mak cik pun tak tahu macam mana Haiqal boleh pilih Salinah. Dulu mak cik  ingatkan nak bermenantukan Lia. Tapi kata Haiqal, Lia dah ada teman di universiti,” Mak Cik Piah membongkarkan impiannya.
Salah Dahlia juga. Dia yang mudah sangat berterus-terang, menceritakan perihal perhubungannya dengan Zamani dulu. Mungkin Haiqal tidak menaruh harapan ke atas gadis yang hatinya telahpun dimiliki.
“Lia tak payah balik dulu, lah.  Duduk di sini sampai selesai majlis kita tu nanti,”
“Tak boleh, mak cik. Lia dah janji dengan Mak Dah dan Pak Akob nak pulang hari ni. Nanti diorang tertunggu-tunggu pulak,” sekadar alasan untuk menyelamatkan dirinya.
“Ooo…  ya tak ya juga,”
Mak Dah akur. Dahlia juga turut menguburkan impian dan harapannya untuk  bersama Haiqal. 
“Lia jangan lupa. Datang ke sini sebelum hari Ahad. Boleh tolong-tolong Safiyyah dan mak cik siapkan barang hantaran,” Dahlia mengangguk-angguk lesu sewaktu menyalami Mak Cik Piah. Haiqal masih belum pulang, sejak dia tiba di rumah itu dan hingga kini  saat untuk berangkat pulang, kelibat Haiqal masih tidak kelihatan.
Dahlia meneruskan perjalanannya. Fikirannya kosong. Dia tidak mahu menyesakkan fikirannya dengan memikirkan  apa-apa lagi. Dia ingin selamat tiba di terataknya. Dia ingin berehat dan memulihkan semangatnya.
Tapi, Dahlia hanyalah seorang perempuan yang tidak sekuat manapun ketabahannya. Air matanya mengalir tanpa henti. Kesedihan yang teramat sangat atas kehilangan orang-orang tersayang yang bertimpa-timpa.
Kepalanya kembali berdenyut-denyut. Dia menguatkan semangatnya. Tumpuan sepenuhnya perlu diberikan kerana dia sedang memandu. Beberapa buah kenderaan memotong keretanya yang dipandu agak perlahan.
Akhirnya, Dahlia selamat sampai di rumahnya. Dia memarkirkan keretanya di garaj, mengangkat beg pakaiannya ke dalam rumah dan membiarkan barang-barang lainnya di bahagian bagasi keretanya. Terlalu penat untuk mengangkatnya sekarang.
Dahlia membuka pintu biliknya. Sedih dan pilu. Dia merebahkan badannya di atas katil. Tekaknya terasa perit. Diteguk liur yang terasa amat payau. Dahlia tersedu. Air matanya keluar lagi tanpa dipinta. Biarlah. Biar dia menangis sepuas-puasnya. Melepaskan beban perasaan  penanggungan batin yang tersemat di jiwanya.
Zamani, Haiqal…silih berganti. Zamani, pemuda yang pernah diluah  perasaan cintanya. Pemuda yang pernah berkongsi kisah suka dan duka. Haiqal, pemuda yang dalam diam disandarkan harapan  agar bisa menjadi pengganti Zamani yang meninggalkannya demi mengejar cinta lain. Aiman…
Teringatkan Aiman, Dahlia teringatkan bungkusan yang dikirimkan melalui Alina, adik kembar Aiman merangkap teman baik Dahlia sepanjang pengajiannya. Dahlia bergegas mencapai beg sandangnya. Dikeluarkan bungkusan kiriman Aiman.
Kertas bunga  bercorak hati warna merah darah itu dikoyakkannya perlahan dan penuh hati-hati. Dari bungkusan itu dikeluarkan pula sebuah bingkai gambar.  Dahlia berdebar-debar dan dadanya semakin bergetaran saat terpandang lukisan wajahnya di dalam bingkai itu. Tandatangan di bawahnya, Aiman, terselit di celah ranting sekuntum mawar merah.
Pandai melukis  rupa-rupanya anak muda ini. Sehelai sampul surat jatuh di atas permaidani. Dahlia tunduk mengambilnya dan mengeluarkan isinya,
“Lia,
Aku tidak pandai melukis tapi simpanlah lukisan ini di sudut hatimu sebagai tanda kau pernah singgah di hatiku meskipun hanya sebagai teman. Teman? Aku tidak pernah berteman denganmu tetapi potretmu ini sentiasa menemaniku. Simpanlah potret ini kerana aku tidak layak untuk menyimpannya. Kudoakan agar kau bahagia menjalani hidup ini.
Bila rindu itu datang lagi, kenangan mengusik perasaan. Bagaikan titik-titik hujan yang menyirami bumi, selembut sutera. Bila rindu itu datang lagi, air mata menjadi peraih sepi, melahirkan kepedihan pada pelangi petang.
Bila rindu itu datang lagi, aku menyedari, yang tinggal hanyalah sebuah sendu yang kelayuan. Bersama nyanyian malam, rindu itu datang lagi. Berlabuh di pantai kesepian, menanti sebuah harapan. Aku tidak menjanjikan apa-apa buat kau bawa bersama rindu. Hanya sekeping hati yang luka.
Salam penuh kesyahduan, jauh dari lubuk hatiku,
Aiman.”
Dahlia melipat  bingkisan itu dan disisipkan ke dalam sampulnya. Dia kembali menatap wajahnya yang dipotretkan.
Terdengar salam dari luar rumah. Dahlia menjengukkan kepala.
“Lia, datang ke rumah malam ni, ya. Mak Dah sediakan makan malam,” Mak Dah menyampaikan hasratnya dan tangannya lincah menyiram pokok bunga di halaman rumah Dahlia.
“Baik, Mak Dah. Insya Allah, Lia sampai nanti. Lia nak mandi dulu, Mak Dah,” sahut Dahlia sambil menarik tuala di ampaian. Dia menuju ke kamar mandi untuk membersihkan dirinya.
Tiba di perkarangan rumah Mak Dah, rumah itu terang-benderang bagaikan  ada majlis yang sedang berlangsung.
“Haa…itu dia. Orang yang diraikan  sudahpun tiba,”
Dahlia terharu. Tidak disangka, Mak Dah mengadakan majlis itu untuk menyambut kepulangannya dan meraikan kejayaannya yang telah tamat belajar dan kini bakal bergelar pendidik. Sangkanya, tiada siapa yang akan menyambut kepulangannya.
“Lia kena posting di mana nanti?” tanya Mak Cik Biah.
“Negerinya Peraklah, mak cik. Tapi daerahnya belum tahu lagi. Tunggu surat arahan dari JPN,” terang Dahlia panjang lebar. Entah penerangan bagi kali yang ke berapa atas pertanyaan yang sama. Klise.Namun Dahlia tidak jemu menjawabnya.
Sudah berapa umur Lia sekarang? Bila nak kawin? Dengan siapa? Pertanyaan-pertanyaan popular untuk Dahlia di malam itu dan Dahlia terpaksa melayaninya demi menjaga hati semua orang. Dan sebenarnya, Dahlia sendiri gembira dengan situasi ini. Dia terasa dihargai dan tidak hanya bersendirian mendepani hidup di dunia ini setelah ketiadaan ibu dan ayah…juga setelah ketiadaan Zamani dan Haiqal.
Alang Bidin yang paling sibuk malam itu. Dia yang berpeluh-peluh mengangkat hidang. Dan tidak jemu-jemu tersenyum ke arah Dahlia. Tetapi, memandang Alang Bidin menjadikan Dahlia teringatkan peristiwa pencerobohan yang berlaku ke atasnya tiga tahun yang lalu. Masih segar lagi peristiwa itu di ingatannya. Dahlia  membalas, jengkel.
Teringatkan kedunguan Alang Bidin, Dahlia turut teringatkan cerita yang disampaikan Haiqal tentang sebab musabab Alang Bidin jadi begitu. Ianya membuatkan Dahlia tersenyum sendiri. Kenapalah Alang Bidin jadi dungu, ye ? Kalau dia jadi bionic man, kan bagus.  Dah elok kena current electric tu…
Pak Akob di depan melayani orang-orang tua yang terdiri daripada orang surau dan ketua kampong. Majlis berakhir pada pukul sebelas malam tetapi beberapa orang tetamu masih lagi tinggal berbual-bual dengan Pak Akob di anjung. Dahlia membantu Mak Dah dan Sakinah, anak kedua Mak Dah membersihkan pinggan mangkuk dan mengemas.




BAB 28
Dahlia mengemas barang-barang yang dibawa balik dari kampus. Menyusunnya di dalam bilik, dalam kabinet dan di atas rak. Bingkai gambar pemberian Aiman, digantung di dalam bilik, di hujung katilnya. Sengaja dia letakkan di situ dan bukannya di kepala tidur. Sekurang-kurangnya, dia boleh menatap potret itu setiap kali dia berbaring di katilnya dan sebelum matanya terlena.
Dahlia duduk dibirai katilnya melepaskan lelah. Pandangan matanya tidak terlepas daripada potret wajahnya yang tersenyum dalam bingkai berwarna emas di dinding. Ada ketulusan pada kepolosan wajah itu. Dahlia tidak melihat ketulusan dan kepolosannya tetapi dia melihat ketulusan dan kepolosan Aiman di sebalik wajahnya itu. Ketulusan wajah pelukis bukannya ketulusan wajah model lukisannya.
Dahlia hanya merenung tanpa perasaan. Selama mengenali Aiman, tidak pernah terlintas di mindanya untuk berkasihan dengan pemuda itu. Abang Alina, baginya seperti abangnya sendiri. Bagaimana mahu mengasihi Aiman  sedangkan memandangnya pun tidak menimbulkan perasaan. Bagaimana aku mahu mengasihi orang yang tidak mampu membangkitkan perasaanku?
Mujur juga Aiman tahu kisah percintaannya dengan Zamani. Jika tidak, pasti agak sukar untuknya menepis kehadiran Aiman tanpa mengguris perasaannya. Sekurang-kurangnya, Aiman tahu diri bahawa dia tidak diperlukan dalam hati dan perasaan Dahlia.
Terdengar alunan Insyaallah. Dahlia mencapai telefon bimbitnya.
“Assalammualaikum, Lia,” suara Haiqal sayup di hujung sana tapi dekat di telinga Dahlia.
“Waalaikummussalam,” sahut Dahlia menyembunyikan debarannya.
“Mak pesan, suruh Lia datang esok. Kalau Lia izinkan, pagi-pagi esok saya pergi ambil Lia,”
“Emm…tak apa, Haiqal. Esok Lia pergi sendiri,”
“Mak tak bagi Lia bawa kereta. Mak nak Lia ikut sama dalam rombongan itu. Naik kereta bersama-sama mak, ayah dan Safiyyah,”
“Tak boleh, sebab lepas majlis tu, Lia nak terus ke Ipoh. JPN dah hantar surat minta Lia ke JPN untuk mendapatkan  nama sekolah Lia.”
Alasan Dahlia diterima.
 Dahlia mematikan perbualannya. Makin lama berbual dengan Haiqal, makin parah pula dirasakan luka di hatinya.
Selepas Subuh, Dahlia mengemas rumahnya ala kadar. Membasuh pakaian dan menjemurnya di ampaian dalam rumah. Mengenakan baju kurung moden kain chiffon berwarna kuning lembut corak flora digayakan dengan tudung polos berwarna senada.
Dia bergerak ke halaman, menuju ke garaj. Sewaktu ingin membuka pintu keretanya, Dahlia terlihat kelibat seseorang di balik pohon ixora berbunga kuning yang merimbun. Langkah Dahlia terhenti. Dadanya berdegup kencang. Janganlah ada sesiapa yang cuba berbuat onar terhadapnya.
Bayang-bayang manusia itu semakin cepat berlari meninggalkan perkarangan rumah Dahlia seakan menyedari, kehadirannya terkesan. Dahlia cepat-cepat masuk ke perut keretanya. Mengunci pintu dan baru menghidupkan enjin tanpa menunggu pintu itu terkunci secara automatic semasa kereta bergerak nanti.
Dahlia meninggalkan rumahnya menuju ke rumah Haiqal di Kampung Banggol Belimbing. Tiada tetamu luar di rumah Haiqal. Hanya ada ibu bapa dan adiknya, Safiyyah. Dan kini, Dahlia tiba untuk turut sama memeriahkan majlis itu walaupun hatinya tidak semeriah mana.
Bezanya kehadirannya kali ini disambut oleh Haiqal.
“Terima kasih Lia kerana sudi datang.”
“Lia ingat pesanan Mak Cik Piah.”
“Mak di atas. Memang menunggu kedatangan Lia.”
“Haiqal, kenapa berbual-bual di bawah tu? Ajak Lia naik ke atas, cepat,” laung Mak Cik Piah dari jendela rumah.
“Naik memanglah ke atas, mak. Mana ada naik ke bawah,” sempat lagi Haiqal bergurau sambil mengenyitkan mata ke arah Dahlia. Dahlia hanya tersenyum mendengar gurauan Haiqal.
Dahlia melangkah ke ambang pintu,langkahannya terhenti di situ. Gemuruh darahnya melihat warna barang hantaran Haiqal. Warna  ungu, warna kesukaannya. Dia pernah berangan-angan untuk menggunakan warna  itu sebagai tema hari persandingannya. Persandingan? Ah, Dahlia malu sendiri, siapalah yang sudi menjadi pasangan pengantinnya?
“Haa..Lia. kenapa tercegat lagi kat situ? Mari masuk. Tolong mak cik.”
Dahlia melangkah bendul, menuju ke arah Mak Cik Piah. Menyalami orang tua itu dan mencium tangannya. Mak Cik Piah memeluk dan mengucup dahi Dahlia. Haiqal hanya memandang drama itu dari sisi. Sayang benar Mak Cik Piah dengan anak gadis ini. Sekurang-kurangnya, terubat juga hati Dahlia yang sedang rawan.
Sebenarnya, bukan apa sangat yang minta ditolong oleh Mak Cik Piah. Dia hanya meminta Dahlia menemaninya berbual-bual sambil menyiapkan hiasan bunga-bungaan hantaran. Dahlia sendiri sebenarnya amat gemar dengan seni  kraf tangan gubahan ini. Laju sahaja jari-jemarinya menyusun bunga dan membuat gubahan.
Mak Cik Piah sendiri kagum dengan kebolehan Dahlia. Bakat semulajadi yang diwarisi daripada ibunya, barangkali. Haiqal juga tidak ketinggalan. Turut membantu sambil sesekali bergurau mengusik ibunya yang latah. Lupa sejenak Dahlia akan kesedihannya.
Majlis Haiqal berjalan lancar. Dahlia sendiri pun tidak tahu bagaimana dia boleh setabah ini. Mungkin kerana melihat ketenangan Haiqal dan Haiqal sendiri pun tidak pernah menyuarakan apa-apa perasaan terhadapnya, menjadikan Dahlia dapat berpura-pura bagi menutupi kesedihan hatinya.
Dahlia membasuh pinggan mangkuk di singki manakala Mak Cik Piah anak-beranak dan jiran tetangga sedang sibuk menyusun barang hantaran daripada pihak perempuan di atas rumah.
“Lia…”
Dahlia terus membilas  sebiji gelas.
“Lia…”
Gelas itu ditiarapkan di atas rak kayu.
“Lia…”
Dahlia mengambil sebiji gelas lagi. Gelas yang telah siap bersabun itu mahu dibilasnya.
“Lia…,”suara Haiqal ditinggikan  sambil tangannya menutup paip air. Mungkin Dahlia tidak mendengar suaranya kerana ditingkah deruan air paip yang mengalir itu. Tangan mereka bersentuhan. Darah Dahlia menyirap bagai terkena kejutan elektrik. Dia tersalah abah mendengar suara Haiqal di hujung kupingnya.
“Lia berangan-angan, ya,” serkap Haiqal sambil tangannya mengambil gelas bersih  di tangan Dahlia. Dahlia tidak membantah tetapi dia tetap meneruskan tugasannya. Membasuh lagi sebiji gelas.
“Aik, dah tak ada suara ke?” Jolok Haiqal. Dahlia tetap membisu. Dia kematian kata-kata.
“Lia tahu, sang bangau tu kalau dia merajuk, dia sorokkan kepalanya di bawah kepaknya. Tapi kalau Lia yang merajuk, Lia nak sorokkan kepala di mana, ya? Di bawah ketiak macam ni?” Haiqal berkata-kata sambil cuba meletakkan kepalanya di bawah ketiak.
Dahlia tertawa besar dengan gurauan Haiqal.
“Ada-ada sajalah kamu ni, Haiqal,” tawa Dahlia masih belum reda.
“Haa…dah ketawa pun, baru nampak manis,” cuit Haiqal sambil merenjis air di tangannya ke muka  Dahlia. Dahlia cuba mengelak.
“Hai, Haiqal. Buat apa tu?  Kan dah basah baju Lia,” suara Mak Cik Piah dari muka pintu dapur. Dahlia tersentap, malu.
“Alah, mak ni. Nak bergurau sikit dengan Lia pun, tak boleh ke?”
“Bukan tak boleh tapi jangan nak berlebih-lebih pula. Dulu, mak nak pinangkan Si Dahlia ni, kamu tak nak. Kamu nak kan Si Salinah anak Pak Bedul tu jugak. Haa…sekarang, jangan nak usik-usik Lia pula.” Amaran Sang Ibu.
“Dah…dah…pergi naik ke atas tu. Tolong lipat segala tikar tu. Sapu sekali sampah-sarap tu.” Haiqal berlalu pergi sambil matanya sempat mengenyit ke arah Dahlia.
“Bukan Haiqal yang tak nak Lia, mak. Lia tu sendiri yang dah ada buah hati. Tak kan lah Haiqal nak kacau daun pulak, mak. Kalau Lia masih solo, memang Haiqal tak teragak-agak nak jadikan dia menantu mak.” Sempat Haiqal membidas kata-kata ibunya sebelum hilang di balik tabir.
“Dah, Lia. Mari duduk sini. Rehat dulu. Dah habis basah baju Lia tu,” arah Mak Cik Piah sambil menarik kerusi di meja makan. Dahlia menghampiri Mak Cik Piah.
“Bukan Haiqal yang buat basah ni, mak cik. Memang dah basah terkena air masa Lia membasuh tadi,” entah mengapa, Dahlia seakan ingin membela Haiqal pula.
“Emm…mak cik tahu,” Mak Cik Piah menuangkan air kopi ke dalam dua biji cawan. Sebiji didorong ke hadapan Dahlia.
“Terima kasih, mak cik,” Dahlia berbahasa.
Mereka menikmati air kopi pekat sambil berbual-bual.
“Lia, kalau mak cik tanya, Lia jangan marah, ya,” Dahlia meneguk kopinya, berdebar.
“Betul ke Lia dah ada buah hati seperti yang dikatakan Haiqal?” Dahlia terdiam sejenak. Mencari kata-kata yang sesuai untuk menyusun ayat.
“Sebenarnya, dulu tu memang ada. Cuma berkawan-kawan saja. Tapi nampaknya tak serasi. Sekarang ni, kami bawa haluan masing-masing,” penjelasan yang panjang agar bisa memuaskan hati ibu Haiqal.
Mak Cik Piah mengerutkan kening.
“Ooooo…..Dah lama ke putus?”
“Dah lama mak cik.”
“Haiqal tahu?”
“Tak…”
“Ooooooo….” Makin panjang ‘o’ Mak Cik Piah.
“Ooo mak cik o..o…o… mak cik,” Haiqal muncul terus mencuit pinggang ibunya. Apa lagi, orang tua itu terus melatah sambil terjoget-joget.
Dahlia berundur pergi. Meninggalkan dua beranak itu.

No comments:

Post a Comment