BAB 11
Shamira berlari-lari anak masuk ke rumahnya. Tidak sabar untuk berjumpa dengan kedua ibu bapanya. Tidak sabar untuk mengemukakan keputusan peperiksaannya. Dia mendapat keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Darjah Limanya.
Shamira adalah anak yang bijak. Dia sering mendapat markah yang tertinggi dalam peperiksaannya mengatasi rakan-rakan sekelas yang lain. Dia petah berbicara dan sering terpilih untuk mewakili sekolah dalam acara debat dan bercerita.
Guru-guru juga menyayangi Shamira kerana tingkah laku yang sopan hasil didikan sempurna ayah dan ibunya. Walaupun Shamira anak tunggal dan dimanjakan sepenuhnya namun dia tidak pernah dilekakan dengan keadaan itu.
Shamira rajin belajar dan cepat menangkap ilmu yang dicurahkan. Dia juga memiliki kecerdasan interpersonal. Sifatnya yang empati terhadap orang lain, mudah berkawan, mudah mesra dan mudah bekerja dalam kumpulan menjadikan dia disayangi oleh kawan-kawannya.
Mungkin juga kerana dia berasal dari keturunan orang yang baik-baik. Ayahnya seorang ahli perniagaan. Membuka sebuah kedai kain dan menjadi imam di surau yang berhampiran dengan rumah mereka. Ibu pula mengambil upah menjahit pakaian dan mengajar anak-anak tetangganya di kejiranan itu mengaji al-Quran pada waktu malam.
“Ibu, ibu,” Shamira terus melaung-laungkan nama ibunya. Namun hampa. Mungkin ibu di bilik jahitannya, Shamira mengagak. Shamira berlari menuju ke tingkat atas. Tiada. Berlari pula menuruni tangga menuju ke dapur.
“Ibu, ibu,” sekali ini bagaikan sayup-sayup terdengar suara sahutan dari luar sana. Shamira membukakan pintu belakang. Ibu ada di situ, sedang membelek tanaman herbanya, lengkuas, serai, cekur,pegaga dan pelbagai lagi ulam-ulaman yang melengkapi taman itu.
“Hmmm, ada apa Sayang?” sapa Sang Ibu, lunak. Shamira mengibar-ngibarkan slip keputusan peperiksaan di tangannya sambil menghampiri ibu. Tangannya meraih tangan ibu lalu dikucup sejenak.
Ibu menyambut huluran kertas nipis itu dan menelitinya. Setitik demi setitik air matanya mengalir.
“Tahniah, nak. Terima kasih juga kerana menghadiahi ibu kejayaan ini.”
Malam itu, ayah pulang awal. Mereka ke Restoran Cheng Ho, meraikan kejayaan Shamira. Ayah juga menghadiahkan sebuah jam tangan kepada Shamira manakala ibu memberikan wang sebanyak RM200 sebagai tanda penghargaan.
Kehidupan mereka sekeluarga cukup bahagia. Kemewahan dan kebahagiaan yang melimpah-ruah. ALLAH mengurniakan rezeki yang banyak agar hambaNya tidak lalai dalam mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangannya.
Kerana kemewahan hidupnya, Haji Abdul Ghani tidak keberatan untuk memelihara anak saudaranya, Zabidin. Zabidin adalah anak ketiga adik lelakinya, Yaakob. Waktu itu Shamira berada di dalam tingkatan satu di sekolah yang berhampiran taman perumahan mereka.
Walaupun mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh kerana kecemerlangannya dalam peperiksaan sekolah rendahnya, namun Shamira tidak mahu berenggang dengan kedua ibu bapanya. Akhirnya, dia memilih untuk bersekolah di sekolah menengah aliran biasa dalam kelas Rancangan Khas yang disediakan khas untuk anak-anak pintar sepertinya tetapi enggan ke sekolah berasrama penuh.
Zabidin yang di dalam tingkatan dua juga bersekolah di sekolah yang sama dengan Shamira. Kini, Shamira telah punya teman. Mereka berulang-alik ke sekolah bersama-sama. Ibu dan ayah tidak perlu risau lagi. Zabidin bukan sekadar menjadi teman tetapi juga turut menjadi pelindung dirinya.
BAB 12
Dahlia mengheret beg pakaian berodanya menuruni tangga bas. Selepas tiga minggu menghabiskan cuti bersama mama dan adik-adiknya, Dahlia pulang sekejap ke rumah peninggalan ibu dan ayah.
Peluang yang sedikit ini perlu digunakan sebaiknya. Dia tidak pasti lagi bilakah dia dapat pulang menjenguk rumah kampong kesayangannya ini atau lebih tepat lagi, mengunjungi pusara ibu dan ayah. Selepas berakhirnya cuti semester akhir ini, dia akan kembali ke kampus, bergelut dengan mata pelajaran yang diambilnya dan menggenggam scroll ijazah yang menjadi impiannya.
Pohon-pohon nyiur yang melambai bagaikan menggamit kepulangannya ke desa nan permai ini. Anak-anak kecil bermain sambil berlarian di batas sawah. Sawah yang telah lama kering- kontang dan tidak diusahakan lagi. Dulu, di dalam sawah inilah Dahlia bergelumang sambil membantu Mak Dah mengusahakannya.
Ibu dan ayah Dahlia, sesekali turun juga membantu Mak Dah. Mereka tidak mengerjakan sawah kerana ayah Dahlia sentiasa sibuk di kebun sawitnya yang ketika itu masih kecil dan memerlukan penjagaan yang rapi.
Dahlia terhenti sejenak. Suasana hening seketika seakan memberi peluang untuk Dahlia mengimbau kenangan lampaunya.Teringat dia saat berlari-lari di atas batas mengejar burung-burung ciak yang turun makan padi. Dan sesekali tergelincir, berdebur jatuh ke petak sawah yang berair. Pulang dari sawah, badannya penuh berlumpur. Bagaikan terhidu haruman lumpur yang pernah melekit di tubuhnya.
Melangkah kaki, menjejaki halaman rumah, hati Dahlia dipagut rasa sayu seketika. Segala kedamaian yang pernah hadir di kediaman ini serasakan kosong tidak bermaya. Rumput karpet penutup bumi yang ditanam arwah ayah menghiasi permukaan halaman semakin menghijau. Beberapa rumpun serai yang berjajar sepanjang lereng tepi halaman bagaikan rumpun bunga hijau yang cantik dipandang, terliuk-lentok disapa pawana petang.
Rumah ini tetap terjaga meskipun Dahlia hanya pulang sekali-sekala. Mak Dah dan Pak Akob telah diamanahkan untuk melihat-lihatnya. Amanah itu telah dilaksanakan sebaik mungkin oleh kedua orang tua itu. Mungkin mengenang budi yang telah ditaburkan oleh ibu dan ayah Dahlia.
Sebelum Haji Abdul Ghani @ Abdullah dan Mak Wan kembali ke kampong ini, memang Pak Akob dan Mak Dah yang menjaga rumah ini. Mereka turut bekerja mengusahakan kebun getah kepunyaan Haji Abdul Ghani iaitu abang Pak Akob sendiri. Pendapatan yang diperoleh dibahagi sama rata.
Haji Abdul Ghani tidak banyak berkira. Jarang dia mengambil wang bahagiannya. Wang itu selalu disedekahkan kepada orang-orang kampong yang memerlukan. Wang itu juga disedekahkan ke surau di kampong mereka. Bagi Haji Abdul Ghani, pendapatan hasil perniagaannya di bandar sudah cukup untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Apalah gunanya duit ringgit yang banyak sedangkan hati sentiasa diusik walang. Bagaikan sudah ada waad antara keduanya, saling bantu-membantu antara satu sama lain. Keikhlasan hati Haji Abdul Ghani menjanjikan pulangan yang setimpal kepadanya.
Walaupun datang menetap di kampong ini kira-kira dua puluh tahun yang lalu, Haji Abdul Ghani tidak mengambil kembali kebun getahnya. Kebun itu diserahkan terus ke dalam jagaan adiknya, Pak Akob. Dia sendiri membeli sebidang tanah dan mengusahakan tanaman kelapa sawit.
Kini, kebun kelapa sawitnya telah mengeluarkan hasil yang lumayan. Semenjak ketiadaan ayah Dahlia, Alang Bidin yang diamanahkan untuk mengusahakan kebun itu di bawah pemantauan Pak Akob. Wang hasil kedua-dua kebun inilah yang menyara hidup Dahlia di kampus dan dia tidak perlu membuat pinjaman daripada tabung PTPTN.
Seperti juga kedua ayah dan ibunya, Dahlia juga tidak banyak berkira. Cuma kali ini, pengurusannya lebih bersistematik. Dengan bantuan Pak Akob, dia menjazamkan hasil pendapatan untuk bahagiannya itu dibahagikan kepada lima bahagian lagi iaitu untuk dirinya sendiri dan adik-adiknya yang seramai empat orang itu.
Bagai Dahlia, biarlah sedikit tapi sama merasa. Dahlia sendiri membuka akaun untuk adik-adiknya tanpa pengetahuan mereka. Biarlah wang itu digunakan saat mereka memerlukannya kelak. Bagi Dahlia, dia memegang prinsip, tetap menabung walaupun dilimpahi wang ringgit.
Sebanyak manapun wang ringgit, akan habis jua jika tidak ditadbirkan dengan baik. Peringatan itu memberikan kesedaran kepada Dahlia untuk menabung demi masa depannya. Biarpun sedikit tetapi tetap ada dan berterusan.
Dahlia meninggalkan beg pakaiannya di tepi tangga kayu. Dia bergerak menuju ke belakang rumahnya, melewati buaian besi tempat dia dan keluarganya selalu bersantai. Selalunya ibu ada di belakang pada waktu-waktu petang begini.
Ibu? Dahlia bagaikan tercari-cari wajah ibunya. Namun, harapan hanya tinggal harapan. Ibu yang pergi buat selama-lamanya tidak mungkin akan kembali lagi. Beberapa rumpun aloe vera ibu kelihatan subur di dalam pasu-pasu besar. Dahlia ingat benar, ibu selalu menyapukan lendir aloe vera itu di lutut atau sikunya saat dia luka akibat terjatuh semasa berlari atau belajar menunggang basikal.
Banyak jasanya pokok aloe vera ini kerana khasiatnya yang pelbagai. Saat Dahlia demam di tengah malam, lendir aloe vera ini jugalah yang digunakan oleh ibu untuk disapu di dahi dan ubun-ubunnya bagi mengurangkan panas badan.
Rumah orkid kesayangan ibu, Dahlia kunjungi. Ianya hanya berbumbung jaring hitam dan mempunyai banyak tempat gantungan. Tujuannya adalah untuk menjaga keamatan cahaya dan memberikan aliran udara yang baik bagi keperluan pertumbuhan pokok orkid yang sihat dan cepat berbunga.
Bagai terlihat senyuman ibunya menguntum di bibir tatkala menyaksikan tumbuhan orkidnya berbunga lebat, ungu, kuning, merah, jingga dan putih. Ibu, hanya kesepian yang menyelubungi rumah orkidmu kini.
Terdengar suara memberi salam, Dahlia bergegas ke hadapan.
“Oh, Mak Dah,” sapa Dahlia, mesra menyantuni ibu (nenek) saudaranya itu.
“Bila Lia sampai?”
“Baru sebentar Mak Dah. Belum sempat naik ke rumah lagi pun,” jelas Dahlia.
“Mak Dah datang ni nak siram pokok bunga,” ujar Mak Dah tanpa dipinta.
Mak Dah mendapatkan paip di tepi tangga. Dahlia membongkok untuk memegang hujung getah paip.
“Tak payah lah, Lia. Lia kan baru sampai. Penat pun belum hilang lagi. Biarkan Mak Dah yang buat. Lia rehat dulu. Nanti kita sama-sama ke rumah Mak Dah. Mak Dah ada buat cucur udang. Boleh kita makan sambil berbual-bual.”
Dahlia akur. Dia duduk berayun kaki di buaian besi tepi halaman. Memerhatikan Mak Dah yang melakukan kerjanya dengan cepat. Cekap dan pantas Mak dah menyelesaikan kerjanya.
“Tiga hari lepas Pak Akob dah datang pangkas pokok mengkudu yang tinggi melampai.”
Dahlia akui, taman mini atau lebih tepat laman terapinya ini telah diselenggarakan dengan baik. Tiada lalang yang memanjat tangga atau daun-daun kering yang berserakan di halaman.
Pokok-pokok ulaman ibu yang bernilai estetika seperti peria katak ( Momordica subangulata) dan pudina (Mentha Arrensis) juga sedang subur menjamah hari. Malahan pokok pegaga (Centella asiatica) ibu juga menjalar megah hampir memenuhi sepertiga ruangan halaman ini bersaing dengan rumput karpet penutup bumi.
“Duit sawit, Alang Bidin dah ‘bank-in’kan semalam. Mak Dah ingat Dahlia tak balik sebab tu Mak Dah suruh Alang Bidin bank-in cepat-cepat takut Dahlia tak ada duit,” terang Mak Dah.
“Terima kasih, Mak Dah. Dahlia belum sempat ke bank lagi.”
“Duit getahnya, Mak Dah sudah serahkan ke surau seperti yang Lia minta,” Dahlia segera teringat pesanannya, duit itu hendak digunakan untuk majlis tahlil arwah kedua orang tuanya. Semoga keduanya aman bersemadi di sana.
Pagi-pagi esok Dahlia akan menziarahi pusara keduanya. Dalam berkira-kira itu, mereka tiba di tangga rumah. Ketibaan mereka disambut oleh Pak Akob.
“Haaa…Dahlia. Elok pun Lia dah balik ni. Kebetulan, malam ni majlis tahlil untuk arwah ibu dan ayah Dahlia diadakan di surau kita,” Dahlia terkedu. Kepulangannya tepat pada masanya.
BAB 13
Cuti akhir semester tamat. Dahlia kembali ke kampusnya untuk meneruskan pembelajaran bagi memiliki segulung ijazah. Tahun ketiga di universiti, bukan bermakna dia boleh bersuka-ria dan bergembira, masih banyak perkara yang perlu dipelajari.
“Lia, kereta ayah Dahlia dah boleh keluar dari bengkel,” itu berita yang dibawa oleh Mak Dah lewat panggilannya petang tadi setelah dua bulan kembali ke kampus. Dahlia teringatkan Proton Wira Aeroback hijau metallic arwah ayah. Warna hijau lumut pilihannya dan turut dipersetujui ayah dan ibu.
Kini, setelah ketiadaan ayah dan ibu, Wira Hijau itu bakal menjadi miliknya. Banyak juga harta yang ayah tinggalkan buat Dahlia. Dahlia terfikir juga, seandainya ayah dan Pak Akob adik beradik tetapi kenapa Pak Akob tidak memiliki harta kekayaan seperti arwah ayah?
Dahlia tidak tahu. Selama ini, dia menyangka ayahnya adalah anak lelaki tunggal seperti yang pernah diberitahu ibu. Rupa-rupanya ayah dan Pak Akob memiliki ayah yang sama tetapi daripada ibu yang berlainan. Nenek iaitu ibu kepada ayahnya yang tidak sempat dikenali Dahlia mewarisi perniagaan tekstile daripada keluarganya. Setelah berkahwin, Datuk Dahlia yang mengusahakan perniagaan itu .
Darah keturunan ahli perniagaan itu diwarisi pula oleh ayah Dahlia (sebenarnya datuk). Selepas mereka merantau ke pedalaman Perak dengan membawa Dahlia yang masih lagi bayi merah di bedungan, kedainya diuruskan oleh pekerja yang diamanahkan. Dan sekarang ini kedai itulah yang diusahakan oleh Mama Mira.
Mama Mira menaik taraf kedai berkenaan. Daripada hanya menjual tekstile, dia juga turut membuka sebuah butik bersebelahan kedai kain berkenaan. Fesyen keluarannya yang menarik, menjadi kegemaran golongan elit di sekitar bandar. Tanpa kelulusan yang tinggi tetapi bersandarkan usaha dan minat yang mendalam, juga bantuan daripada pekerja yang pernah diamanahkan untuk menguruskan kedai tersebut, perniagaan warisan keluarga itu tetap kekal utuh hingga sekarang.
Dahlia tidak tahu bahawa berbekalkan wang perniagaan yang lumayan itulah, ayahnya membeli tanah di kampong ini kebetulan ianya kepunyaan kawan karibnya yang kebetulan juga pada waktu itu berura-ura untuk berpindah ke luar Negara iaitu ke Mesir.
Pak Akob yang waktu itu tidak punya apa-apa pekerjaan di kampong asal mereka bersetuju dengan senang hati untuk menguruskan tanah tersebut, menjadikannya sebuah ladang getah. Pak Akob berpindah terlebih dahulu ke kampong itu untuk menguruskannya sehinggalah ayah Dahlia, Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Abdullah pindah ke kampong berkenaan.
Setelah berpindah itulah, baru Pak Cik Dolah membeli sebidang tanah dan diusahakan pula dengan tanaman kelapa sawit. Rezeki mereka sekeluarga memang melimpah-ruah dan kesenangan itu turut dinikmati oleh orang-orang Kampong Permatang Damai.
Sebuah surau baru yang serba lengkap kemudahan prasarananya, disumbangkan oleh Pak Cik Dolah. Selepas menunaikan haji buat kali yangkedua, Pak Cik Dolah lebih dikenali dengan nama Haji Dolah kerana sebelum ini dia adalah Haji Abdul Ghani. Gelaran haji yang diperoleh sebelum dia tiba di kampung ini tetap menjadi rahsia sehingga kini.
“Mak Dah, biarlah Pak Akob guna dulu kereta tu sementara Lia di sini,” Dahlia memberikan keizinannya.
“Takkan Pak Akob nak guna sampai dua buah kereta, Lia,” pintas Mak Dah.
“Err, maksud Lia, biar Pak Akob tengok-tengokkan kereta arwah ayah tu sementara Lia di sini. Bukan apa Mak Dah. Kalau dibiarkan aje tanpa dijaga, Lia takut kereta tu rosak pula. Sesekali kena dihidupkan enjinnya,” Terang Dahlia panjang lebar.
“Oh, ya. Mak Dah faham. Nanti Mak Dah sampaikan pada Pak Akob,” senang hati Dahlia mendengar pengakuan Mak Dah. Keluarga bapa saudaranya (sebenarnya, datuk saudara) itu memang boleh diharapkan untuk memikul amanah itu. Mungkin mengenangkan budi yang ditaburkan oleh arwah Haji Dolah tanpa bersyarat.
Sesekali, hati Dahlia begitu teringin untuk melihat kereta arwah ayah tetapi sesekali timbul pula nyilu di hatinya tatkala terkenangkan tragedi ngeri, nahas yang menimpa ibu dan ayah sehingga mengorbankan nyawa keduanya sewaktu menaiki kereta berkenaan. Tanpa sedar, air matanya mengalir lagi.
Rutin hariannya dilalui seperti biasa meskipun tanpa ayah dan ibu yang sentiasa meniupkan kata-kata semangat. Kehidupan hari ini, Dahlia lalui berbekalkan kata-kata semangat yang pernah diluahkan oleh ayah dan ibu selama dua puluh tahun usianya bersama- sama mereka. Meskipun tiada lagi keduanya di sisi buat membantu dirinya tatkala menongkah arus kehidupan, Dahlia tetap berpegang kepada amanat keduanya.
Sesukar manapun kehidupannya di saat ini, dia akan tetap jua melaluinya. Bersama doa dan harapan agar dia tidak kecundang di pertengahan jalan. Perhubungannya dengan Zamani tetap berlangsung seperti biasa.
Namun sekarang iaitu selepas peristiwa dia dicium tanpa sedar oleh Zamani, dia jadi lebih berawas. Dia tidak mahu Zamani mengambil kesempatan lagi dan mengulangi perbuatannya. Sebelum ada apa-apa ikatan yang sah antara keduanya, mereka haram untuk berdua-duaan apatah lagi bersentuhan kulit.
Keluar bersama Zamani hanya untuk tujuan tertentu seperti mengunjungi perpustakaan negeri, mencari bahan rujukan dan membeli barangan keperluan harian. Tidak lagi dia mahu menerima pelawaan Zamani untuk berpeleseran di taman bunga atau di tepi pantai. Kepada pemuda itu dinyatakan dengan jujur sebab-musababnya.
Biarlah mereka bercinta kerana ALLAH. Bercanda hanya apabila telah diizinkan. Ada hikmahnya di sebalik kejadian itu. Dahlia lebih berhati-hati, menjaga auratnya dan tutur katanya. Dia tidak mahu cara dia berpakaian bakal mengundang ghairah di mata Zamani. Dia juga tidak mahu tutur katanya dan suara manjanya yang mungkin boleh menggoda nafsu kejantanan Zamani.
Sungguh. Kalau suatu perkara yang tidak baik menimpa dirinya, dia tidak akan menyalahkan Zamani tetapi seumur hidup dia akan menyalahkan dirinya. Dia yang tidak pandai menjaga diri, menjaga kehormatan dan maruah yang diamanahkan oleh ALLAH.
“Sayang, petang nanti kita keluar,” ajak Zamani sewaktu mereka sedang menikmati minum pagi di kafetaria.
“Petang nanti Lia dah janji dengan Alina nak pergi melawat Puan Mariya di hospital,” jelas Dahlia. Profesor Mariya, pensyarah Prinsip Teknologi Pengajaran mereka yang baru dimasukkan ke hospital kerana mengalami tekanan darah tinggi. Zamani tunduk mengacau sirap limaunya dengan penyedut minuman dan menghirupnya sedikit.
“Marilah kita pergi sama-sama,” pelawa Dahlia.
“Emm… tak apalah. Petang esok, boleh agaknya,”
Lia termenung seolah-olah mengingati sesuatu.
“Insya ALLAH. Rasa-rasanya petang esok Lia free,” Zamani tersenyum mendengar persetujuan Dahlia.
Petang itu, Dahlia bersiap-siap untuk keluar dengan Alina. Mereka menuju ke perhentian bas sambil berbual-bual. Dahlia mengenakan blaus kain kapas ungu muda dipadankan seluar sama warna dan tudung ungu tua. Tampak lebih kasual dan santai. Dia tidak lupa mengenakan maksom ( sarung lengan) dan sarung kaki berwarna kulit untuk memastikan agar auratnya terjaga.
Memang betul, sejak kejadian dicium Zamanilah, menjadikan dia sebegini. Namun hakikat sebenarnya ialah sejak dia mengetahui status sebenar dirinya. Kalau sekadar anak angkat atau anak pungut, dia masih dapat menerimanya. Tetapi, status anak luar nikah menjadikan dia lebih tahu diri.
Jangan sampai dia sendiri pula yang melahirkan anak luar nikah. Nauzubillah, begitu jauh sekali layangan fikirannya menyimpang. Itu yang membuatkan dia berhati-hati. Jangan sampai sejarah yang merantai hidupnya kembali mewarnai hidup anaknya kelak. Dia ingin dijadikan isteri dan melahirkan anak-anak yang sah taraf.
Biarlah apapun anggapan Zamani. Biarlah Zamani tidak tahu hingga ke akhirnya. Biarlah Zamani tahu sendiri asalkan bukan dari mulutnya dan dia sendiri mahu lihat reaksi pemuda itu setelah mengetahui kebenaran yang ditutup kemas selama ini.
Sewaktu bas melewati Dataran Bandaraya, Dahlia dapat melihat sekilas lalu, seorang pemuda sedang memimpin tangan seorang gadis manis melintas jalan besar. Darah Dahlia berderau, menyirap naik ke muka. Dia memusingkan badannya, menjenguk keluar tingkap bas untuk memastikan matanya tidak salah memandang.
Benar. Dia. Tapi, dia dengan siapa? Siapa gadis manis berseluar jeans biru ketat dengan blaus putih sendat dan rambut panjang melepasi pinggang. Ke manakah mereka? Tampak begitu mesra dan sekali lagi terlihat si gadis memaut manja lengan si teruna. Dahlia meneguk liur, payau.
“Lia, kenapa?” tegur Alina di sisi. Dahlia terpaku.
“Lina nampak apa yang Lia nampak, kan?” Dahlia masih teragak-agak. Telunjuknya digerak-gerakkan antara mata Alina dengan arah pasangan yang telah pun jauh di belakang sana. Sambil berdoa, semoga bukan ‘dia’ yang dilihatnya.
“Hmm…nampak,” ungkapan Alina mengesahkan bahawa mata Dahlia tidak berbohong. Sepanjang perjalanan pergi dan balik mereka menyepi. Alina membiarkan Dahlia tenggelam dalam lamunannya. Dia tidak mahu mengusik hati temannya yang berduka di saat ini.
Serasakan seluruh jiwanya hancur menyaksikan keintiman yang sepintas lalu itu. Sandiwara dunia percintaan yang baru sahaja dimainkan oleh Zamani. Dalam hatinya, dia menangis kehibaan. Terasakan terlalu pedih kesakitan yang menikam di lubuk jiwanya.
Perjalanan hidup ini masih terlalu jauh. Masih terlalu banyak rintangan dan pancaroba yang mesti dihadapi. Tiada siapa yang dapat menduga dan meramal apa yang bakal berlaku di kemudian hari. Dahlia tidak terdaya lagi untuk menelan segala keperitan ini.
Kehidupan hari ini masih tidak dapat untuk menggambarkan kehidupan yang akan ditempuhi pada masa akan datang. Mungkin saat ini merupakan saat yang paling manis, saat yang paling membahagiakan…..namun dapatkah kemanisan dan kebahagiaan ini berkekalan? Mampukah Dahlia mempertahankan kemurnian cintanya sedangkan di pihak Zamani telah tampak tanda-tanda keretakan?
Zamani….sedalam manakah cintanya? Seteguh manakah pendiriannya?
Zamani….bukan watak ciptaan di dalam drama tetapi pelakon realiti yang membintangi drama kehidupan di pentas dunia nyata.
Zamani….terlalu murahkah harga cintanya?
Zamani….serapuh manakah hatimu sehingga sanggup kau menabur kasih di setiap kesempatan yang mendatang?
Dahlia….mampukah dia bertahan?
Dahlia….apakah yang dapat dilakukannya kini?
Dahlia….dalam diam dia disakiti.
Dahlia….dalam diam dia dikhianati.
Dahlia….dalam senyum dia terluka, luka yang tidak diketahui bilakah tarikh sembuhnya. Luka yang tidak dapat dimengertikan oleh sesiapapun. Bahkan Dahlia sendiri masih keliru di dalam pelariannya sendiri. Kolam air matanya seakan sudah kering untuk merembeskan segala resah yang membelenggu.
Zamani terlalu sukar untuk dihindari. Zamani adalah sebahagian daripada hidupnya. Walaupun puas sudah dia cuba mencari salah Zamani agar dia bisa membencinya. Namun, kebencian itu sememangnya tidak pernah wujud di hatinya. Seagung manakah cinta seorang Dahlia? Setulus manakah kasihnya Dahlia?
BAB 14
“Lia, kenapa nak batalkan pertemuan kita petang ni?” kedengaran kesal nada suara Zamani. Dahlia hanya tertunduk lesu. Serasakan tidak sanggup dia menatapi wajah pemuda di hadapannya. Wajah yang selalu dirindui dan disandarkan harapan agar dapat menjadi pendamping hidupnya di masa akan datang.
Suara riuh siswa-siswi yang masuk ke kafetaria semakin membingitkan. Dahlia tidak peduli semua itu. Dia tunduk menguis-nguis bucu alas meja yang berwarna merah hati itu. Membiarkan Zamani berteka-teki. Sehingga ke satu saat, air matanya bergenang.
Zamani semakin dapat meneka pokok permasalahannya. Teringat tentang janjinya bersama Liyana petang semalam. Aduhai, adakah Dahlia tahu tentang perkara itu?
“Lia, petang nanti kita keluar. Tunggu abang di tempat biasa. Kita selesaikan masalah ini.” Titik. Itulah penamat perbincangan singkat itu sehingga mereka bertemu semula petang ini.
Berat hati Dahlia untuk menerima pelawaan Zamani. Petang ini bakal menoktahkan perhubungan mereka. Dahlia tidak sanggup untuk menghadapi kenyataan ini. Kehilangan kedua ibu dan ayah sudah cukup untuk meranapkan seluruh hidup Dahlia.
Kini, kenyataan yang bakal diluahkan oleh Zamani pasti akan melumatkan lagi sejarah hidupnya. Air mata Dahlia kembali berderuan. Biarlah Zamani bercinta dengan siapapun. Biarlah Zamani berlaku curang sekalipun, dia tidak akan melarangnya. Asalkan Zamani tidak meninggalkannya. Wahai kekuatan, hadirlah dalam dirinya untuk mendepani segala masalah dan kekalutan ini.
Zamani? Siapa aku untuk menyekat kebebasannya? Aku bukan isterinya. Aku bukan siapa-siapa padanya. Aku hanya seorang kekasih yang tidak pernah dijanjikan pengharapan yang tinggi. Dahlia sedar, sejak akhir-akhir ini, tumpuannya kurang terhadap Zamani. Pergaulan mereka semakin terbatas. Bukan atas kehendak sesiapa tetapi atas kehendak Dahlia sendiri.
Kurang memberikan perhatian bukan bermakna tidak mengasihinya kerana perasaan cinta yang mendalam tetap utuh buat Zamani seorang. Dahlia semakin berkeluh-kesah. Biarlah Zamani tidak datang. Sekurang-kurangnya aku masih punya satu hari lagi untuk menjadi kekasihnya. Dalam diam-diam, Dahlia berdoa.
“Assalammualaikum, Sayang. Dah lama sampai?” Dahlia sedikit tersentak dengan sapaan Zamani.
“Waalaikummussalam,” Ada getaran di dalamnya.
Zamani mengambil tempat duduk di bangku batu berhadapan Dahlia. Wajah mereka bertentangan.
“Lia sudah makan?” pertanyaan lembut menandakan keprihatinannya, mencairkan seluruh perasaan Dahlia. Dahlia sekadar mengangguk perlahan. Zamani dapat melihat perubahan yang jelas pada diri gadis yang pernah bertakhta di hatinya itu.
Tudungnya bukan lagi singkat dan bergaya terkini tetapi bertudung litup dan labuh yang menutupi dadanya. Tetap cantik dan trendy ala Pearl Haya. Tidak lupa juga blause longgar ala busana muslimah tersarung di tubuhnya. Tiada seincipun yang terdedah kecuali muka dan tangannya.
Dalam diam-diam, Zamani mengagumi anak gadis ini. Gadis yang tidak tenggelam dalam arus kemodenan. Gadis yang sentiasa menjaga batas susilanya. Namun sejauh manakah kasih sayangnya terhadapku? Sukar sungguh bibirnya yang manis ini menuturkan kata-kata cinta yang lunak buatku. Sampai bila aku harus bertahan dengan keegoan ini?
Dahlia sombong? Dahlia ego? Ya, Dahlia ego. Cukup berat dirinya untuk meluahkan kata cinta dan segalanya aku yang harus memulai, getus Zamani. Dahlia kaku dan bisu sahaja. Malahan, selama lebih dua tahun percintaan mereka, banyak benar pantang-larangnya.
Ah, hipokrit! Masakan pasangan kekasih tidak boleh berpegangan tangan. Tersentuh sikitpun merajuk, menangis. Macamlah sentuh tangan pun boleh mengandung. Zamani mencemik.
“Kenapa, bang?” Soal Dahlia melihat perubahan Zamani.
“Tak ada apa-apa,” pantas Zamani meningkah. Dan sebenarnya, kalaulah dia masih ingat, kerana pantang-larang itulah dulu dia jatuh cinta dengan Dahlia. Gadis istimewa yangditemuinya, satu dalam seribu. Masih membawa bekalan adat sopan dan kesantunan gadis Islam yang tinggi.
Namun sekarang, kerana pantang larang itu juga dia jadi sedikit muak. Pelik memang pelik. Nak pegang tak boleh, ajak kawin tak nak. Entah apalah yang ada dalam fikirannya. Macam bermain dengan teka-teki pula.
“Abang tengok Lia murung aje kebelakangan ini. Kenapa Lia? Apa lagi yang mengganggu pemikiran Lia? Terkadang abang rasakan seolah-olah abang tidak wujud di hadapan Lia. Lia hadir tetapi tiada….,” Zamani menyuarakan rasa hatinya. Sekurang-kurangnya Dahlia berasa sedikit lega kerana Zamani tidak menyentuh sebarang isu yang berkaitan perpisahan.
Kalau boleh, Dahlia tidak mahu isu itu diperdebatkan. Biarlah Zamani tidak tahu apa yang telah disaksikannya semalam. Dia tidak sanggup kehilangan Zamani. Melihat Zamani berduaan dengan perempuan itu pun dia sudah merasai kehilangan seluruh jiwa dan raganya.
Air mata Dahlia tidak dapat ditahan-tahankan lagi. Empangannya bagaikan pecah. Laju sahaja ia turun menerjuni pipi. Jika tidak kerana pantang-larangnya, sudah tentu Zamani akan mengelus lembut pipi itu, mengesat air mata dan menyapu duka di hati kekasihnya. Namun apakan daya, dia juga tidak mahu Dahlia makin menjauhkan diri hanya kerana tindakannya itu.
“Lia, bertenanglah sayang. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Tiada kekusutan yang tidak dapat dirungkaikan. Jangan terlalu bersedih. Abang tahu, Lia kuat. Lia tabah. Bangkitlah semula. Pandanglah dunia ini dengan segala keindahannya.” Zamani memang pandai bermain dengan kata-kata. Bijak menyusun ayat.
Dahlia makin teresak-esak. Kelu lidahnya untuk menuturkan sebarang kata. Ucapan Zamani begitu berkesan di hatinya. Zamani, Zamani…kalaulah engkau tahu kenapa aku jadi begini. Dahlia melirih.
Zamani membiarkan Dahlia melayani laranya. Dihulurkan sehelai tisu buat mengesat air mata yang meluruh. Dia sendiri sebenarnya bimbang andainya kesedihan Dahlia itu adalah disebabkan kecurangannya semalam, bersama Liyana.
Sukar Zamani menolak pelawaan Liyana, gadis penjual bunga di kiosk berhampiran pasar tani. Gadis manis yang diajak bermain mata sekadar untuk suka-suka tetapi rupa-rupanya turut tertarik dengan dirinya. Sukar juga untuk Zamani menolak kata hatinya, gadis itu punyai kuasa magnet yang mampu menariknya.
Liyana senang didampingi. Gadis manis lapan belas tahun yang periang dan senang diajak bercanda. Berbeza dengan Dahlia yang lebih banyak bermuram durja bagaikan telah lama lupa untuk bergurau-senda. Seringkali tenggelam dalam dunianya yang asing dan misteri.
“Abang, jangan tinggalkan Lia. Lia sayangkan abang. Lia cintakan abang,” hanya ayat itu yang mampu terbit dari bibir mulus Dahlia setelah esakannya mereda. Aku tidak boleh terus hidup dalam air mata. Aku masih muda. Aku inginkan kebahagiaan bukan kedukaan. Zamani masih berbicara di dalam dunianya.
“Abang,” Zamani tersentak.
“Eh, ada apa Lia? Apa yang Lia cakap tadi?”
“Emm…tak ada apa-apa, bang. Terima kasih kerana sudi menemani Lia.”
Petang itu berlalu tanpa disentuh walaupun secebis tentang peristiwa hati Dahlia yang terluka. Bagi Dahlia, andainya cinta itu satu anugerah, telah diserahkannya anugerah itu buat Zamani seorang. Tapi setelah kejadian lewat petang semalam, masih tersedia lagikah anugerah itu buat Zamani?
Bagaimana Zamani menilai cintanya? Itu terpulanglah kepada Zamani sendiri. Seorang lelaki yang bijak mampu mencorakkan hidup seorang perempuan. Sejauh manakah kebijaksanaan Zamani? Perjalanan cinta mereka masih terlalu jauh. Masih banyak likuan yang perlu mereka harungi. Berjayakah mereka? Gagalkah mereka? Hanya keadaan dan kuasa Allah yang mampu menentukannya.
Bagi Dahlia sendiri, dia semakin meragui kesetiaan Zamani. Bagaimana mahu merintis hidup bersama seandainya di hati, berselirat benang keraguan dan prasangka? Yang pastinya, Dahlia tidak berani untuk mengambil risiko itu. Dia terlalu takut untuk menerima kenyataan yang pedih.
Jalan paling mudah ialah, melupakan Zamani secara perlahan-lahan. Belajar menerima ketentuan ini dan jangan diletakkan segunung harapan. Bimbang tidak kesampaian dan akhirnya diri sendiri yang merana. Dahlia tidak mahu gagal dalam bercinta tetapi Dahlia juga tidak mahu gagal dalam hidupnya.
Cinta sesama manusia boleh dipupuk. Kegagalan dalam bercinta bukanlah penamat segalanya. Gagal bercinta? Kecewa? Sebenarnya, Dahlia belum gagal tapi dia telah merangka-rangka kemungkinan itu. Dia perlu bersedia untuk menerima kegagalan dan kekecewaan.
Bertanding untuk merebut cinta Zamani? Tidak. Dia tidak terdesak sampai ke situ. Seandainya dirinya bukan pilihan Zamani, dia redha. Meskipun keputusan di tangan Zamani tetapi sebagai perempuan, dia juga punya hak untuk menentukan pilihannya sendiri.
Dapatkah Dahlia memenangi cintanya? Mampukah Dahlia mengharungi liku-liku hidupnya? Terdayakah Dahlia mendepani segala rintangan yang bakal ditempohinya? Dan, apakah benar jalan yang sedang Dahlia lalui kini?
Dia ingin bangkit semula dari segala kerumitan ini. Tidak mahu diri terus dilekakan oleh kecintaan duniawi. Peranannya lebih besar dalam hal membangunkan Islam. Dia perlu menjadi wanita Islam yang kuat dan tabah. Berjihad dan kalau dapat, syahid dalam menegakkan hukum ALLAH. Bukannya hanyut di dalam arus percintaan yang penuh kepura-puraan.
Setitis air mata yang gugur….
Lihatlah rerama biru itu. Kini ia terbang lagi. Hilang di awan tinggi. Kehadiranmu pun sepertinya. Menghibur buat sementara dan kemudian terbang. Hilang di hujung mataku….
Dalam diarinya dicatatkan, ‘Aku tidak ingin menabur cintaku di sini…’ Dan Dahlia, pelarian hidupnya semakin mencabar.
BAB 15
Aiman menghabiskan seluruh masanya di dalam bilik sempit itu. Bukan sejam atau dua jam tetapi telah seharian dia di situ. Bermula seawal subuh tadi hingga sekarang melarat ke angka dua belas tengah malam. Kelekaannya melorek dan melukis potret menjadikan dia terlupa masa yang pantas berlalu. Bukan hari ini sahaja malahan telah seminggu dia berkurung di bilik ini.
Nasib baiklah telefon bimbitnya telah ditetapkan nada deringan di setiapkali masuknya waktu solat. Aiman berhenti memotret hanya seketika buat menyahut panggilan wajib menyembah Ilahi. Selepas itu, dia kembali melarut di dalam tugasannya.
Melukis tanpa model di depan dan tanpa perlu mencari ilham. Ilhamnya datang dari perspektifnya sendiri. Hanya mindanya yang membayangkan wajah sang model manakala jari-jemarinya ligat melakarkan wajah itu. Melukis menggunakan mata hati bertaut di minda dan dizahirkan di kanvas putih. Bersama sekuntum senyuman manis yang meleret di wajah gadis idaman.
Semakin lama, semakin jelas wajah yang dilakarkan. Aiman begitu teliti menyudahkan kerjanya. Dia tidak mahu ada sedikitpun kecacatan yang akan merosakkan wajah lukisannya. Meskipun tidak sehebat Leonardo da Vincci dengan Monalisanya, namun Aiman tetap memiliki bakatnya yang tersendiri dan semulajadi.
Jari jemarinya begitu cekap mengoles dan mengukir wajah sang ratu idaman kalbu. Tiada siapa yang tahu, siapakah gadis idaman Aiman. Hanya dia dan bilik sempitnya sahaja yang menyimpan rahsia itu. Jelas terpancar kepuasan di wajahnya setelah lukisan itu berjaya disiapkan.
Bilik larangan yang sentiasa dikunci, hinggakan ibunya sendiripun tidak pernah dibenarkan memasuki bilik itu meskipun saat dia berada di kampus. Mengambil jurusan seni lukis di universiti memang bertepatanlah dengan minat dan kecenderungannya.
Jiwa orang seni ini sensitif. Mungkin benarlah ungkapan itu buat diri Aiman. Seorang pemuda yang penuh misteri dan pendiam juga pemerhati agung gelagat manusia. Di tangannya sentiasa ditemani sebuah buku lukisan dan pensel. Setiap waktu senggangnya diisikan dengan melorek dan melakar.
Semua benda yang dilihatnya, kalau boleh ingin dilakarkan, diabadikan di dada putih kertas lukisan berkenaan. Kehidupannya bagaikan ceria dengan cara menghasilkan karya-karya seni sama ada gambar pemandangan, suasana persekitaran dan potret serta ragam manusia yang pelbagai, ditemui sepanjang masa.
Aiman tidak pandai berbicara. Hanya lukisannya yang memaparkan rasa hati bagaikan membenarkan ungkapan bahawa sebuah lukisan menggambarkan sejuta perasaan. Siapakah yang sudi menemani kesepian hatinya? Hati sepi seorang seniman.
Aiman tidak sepi saat ditemani puluhan lukisannya. Dia bukan pelukis agung. Karyanya pun tidak sebanyak mana. Belum gah seantero dunia. Cukup sekadar kepuasan yang dikecapi saat menyudahkan hasil seninya. Bukan nama yang dikejar hanya kerana sifat kasihnya atas keindahan ciptaan Ilahi selama mana hayat dikandung badan.
Namun, terdetik juga hajat di hatinya untuk mengadakan pameran solo dan membuka galeri suatu ketika nanti. Suatu ketika saat lukisan yang dihasilkannya telah bertambah jumlahnya. Ingin juga dia mengabadikan karya seninya buat tontonan umum. Insan kecil berjiwa besar.
Malam semakin dingin. Sang Pungguk mulai bernyanyi sepi, memecah keheningan malam. Aiman seakan baru tersedar. Hampir seminggu dia mengambil masa untuk menyiapkan potret ini. Potret gadis idaman yang dipuja dalam diam.
Hidupku
dalam hidupmu
segar mekar
menguntum indah
harapan hati
Jika matimu
dalam hayatku
matilah aku
Termimpi rasa kini
rindukan wajah seri
walaupun kutahu
jarak waktu kini
memaksa kau dan aku
Kudrat yang membara
Dalam hidupku
Adalah kudrat hatiku
Waktu tetap akan mencari
kembali pada dirimu
di tanah senyuman mesra kita
menabur kasih suci bersih
Kaulah kekasih.
Dalam sepi itu masih sempat dia berpuisi. Bahasa puitis yang hadir secara tiba-tiba di kala jiwanya merindui sang kekasih. Sang kekasih yang entah di mana laranya. Mengingati sang kekasih membuatkan dia lupa makan minum dan tidur baringnya. Apakah ini yang dinamakan cinta?
Melarik rindu dalam diam. Melara keseorangan. Siapa yang dapat meneka hatinya? Cinta tak semestinya bersatu apatah lagi aku bercinta sorang-sorang. Jiwanya meruntun. Wajah gadis manis yang tersenyum di dada lukisan direnungnya. Wajah nan ayu namun di sebaliknya terpendam kedukaan. Aiman bagaikan dapat menyelami kedukaan itu.
Bukan di wajah itu sebenarnya yang terlukis kedukaan tapi di jiwanya sendiri yang merana. Lukisan itu sekadar menzahirkan kedukaan di lubuk hatinya.
Aiman bangun sambil menggeliat perlahan. Dia dalam cuti semester. Kesempatan dalam percutian inilah yang digunakan untuk melayani minatnya yang satu ini. Mujur ibu sentiasa ada untuk memantaunya. Sang ibulah yang sering mengingatkan dia tentang ketetapan waktunya.
Sekadar mengingatkan bukan mengganggu konsentrasinya. Aiman menuju ke kamar mandi. Membersihkan diri sambil merehatkan mindanya. Berada di bawah pancuran air dingin, membiarkan butiran jernih itu menimpa kepalanya, ah, nikmat yang alangkah !
Lama Aiman menghabiskan masanya di kamar itu walaupun ibu sering berpesan, jangan mandi pada waktu malam nanti mudah dihinggapi penyakit. Sekali-sekala apa salahnya. Dia menyudahkan mandiannya. Mengambil wudhuk dan berdoa selepasnya.
Biarpun jiwa sedang dilamun asmara, kewajipan beribadat jangan dilalaikan. Jangan sampai badai asmara meragut kewarasan fikiran. Semua yang datang daripada ALLAH,. Jadi, bermohonlah kepada ALLAH untuk mendapat keredhaannya.
Aiman sedar, jiwanya perlu kuat. Sebagai anak muda tonggak negara, dia perlu memiliki jiwa yang kental. Hanya terkadang, tatkala hati dihiris rindu, dia bagaikan alpa seketika akan tanggungjawab diri terhadap agama.
Ya, ALLAH. Kau lindungilah aku. Berikanlah aku kesempatan untuk terus hidup di dalam keberkatanMu. Panjangkanlah usiaku dalam beramal ibadat kepadaMu. Redhakanlah perjalanan hidupku ini. Kurniakanlah ketetapan yang baik buatku. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui segala apa yang sedang bermain di mindanya kini.
Selesai solat dan bermunajat, barulah terasa ketenangan menyelubungi jiwanya. Aiman bergerak ke katilnya. Merebahkan badan di situ dan menarik selimut menutupi sekujur tubuhnya. Semoga potret ini bakal menemani hari-hari sepinya.
No comments:
Post a Comment