Tuesday, 19 July 2011

Suatu Waktu Dahulu

 Aku tiba di JB pada waktu Subuh. Selepas itu, ambil teksi ke Tarom. Tiba di rumah, hanya junior sahaja yang ada. Tidak ada seorang pun member seangkatan yang tiba walaupun sebelum ini telah berjanji untuk sama-sama berkumpul di rumah lama.

Selepas berehat sebentar, aku bersendirian jalan kaki ke maktab untuk pendaftaran. Di situlah baru aku bertemu dengan teman-teman sekelas. Bersama Kak Kadishah dan dua orang member lagi, kami ambil teksi ke bandar. Makan di Kebayan, Kota Raya. Aku cuba bersikap seceria yang mungkin walaupun di dalam hati tiada siapa yang tahu…

Balik ke rumah, aku sendirian lagi. Selepas itu barulah Kak Bee tiba. Bersama Kak Bee, aku ke Kompleks MAWAR untuk majlis rehersal. Di situlah baru kutemui teman-teman serumah. Inah datang bersama keluarganya dan menginap di hotel.
Hanya aku dan Kak Bee balik menginap di rumah sewa lama. Esoknya, aku bersendirian lagi kerana Kak Bee ke Kompleks MAWAR dengan …..nya. Kak Kadishah telefon dan daripada bersendirian, lebih baik aku bersama-sama dia ke Kompleks MAWAR.

Aku bersiap dan berjalan kaki ke rumah sewaan Kak Kadishah. Melewati lorong-lorong dan jalan-jalan yang dahulunya pernah kulalui dengan perasaan gembira tetapi kini adalah sebaliknya. Terasa sebak bila aku melintasi rumah ……..untuk ke rumah Kak Kadishah kerana rumah mereka berdekatan. Waktu itu aku rasa kosong……….

Tiba di Kompleks  MAWAR, bertemu lagi teman-teman dan pensyarah-pensyarah dan dalam keriuhan itu aku tetap sunyi dan kehilangan. Terasa kesal di hati kerana menghadiri majlis ini…..

Balik ke rumah sewa, sendirian lagi. Baru aku sedari betapa asingnya rumah ini / persekitaran ini bagiku. Walaupun junior ramai namun aku terasa sunyi kerana tiada teman seangkatan…atau mungkin juga kerana air mataku yang telah banyak tertumpah kerna menangisi sebuah kehilangan…..

Kak Bee tiba kemudiannya dan berkemas-kemas untuk balik Kelantan. Rasa sayu hatiku untuk melepaskannya…dan aku menangis lagi di dalam hatiku. Selepas itu, aku berehat dan tidur kerana bas yang akan aku naiki akan bertolak pada pukul 10.30 malam nanti. Masih panjang masaku di sini.

Terjaga dari tidur pada waktu Asar, aku rasa betul-betul sepi dan sunyi. Di luar rumah, cuaca mendung menambahkan rasa sedihku. Cepat-cepat aku berkemas, mandi, solat dan tunggu teksi. Waktu itu, junior-junior sedang tidur cuma Amie (Salmiza) yang sedang bersolat. Aku tunggu Amie menyudahkan solatnya dan selepas itu barulah aku bertolak ke bandar.

Selepas simpan beg, aku berjalan-jalan di sekitar bandar. Asingnya JB bagiku. Setelah berada di dalam perut bas barulah aku berasa lega. Tiba di Ipoh, aku tinggalkan segala  kesedihan / kenangan di JB.  Aku tidak ingin kembali lagi ke sana. Semua kenangan yang pernah kukutip di dadanya hanya membuatkan aku bertambah pilu dan menderita. Aku ingin balik dan memulakan hidup baru…

Aku tiba di Lenggong pada hari Isnin dan pada hari Selasa, aku ke sekolah semula. Waktu itu aku tidak kecewa lagi kerana aku sudah laksanakan tugasku…bertemu dengannya untuk dapatkan kepastian walaupun aku tidak berpeluang untuk menerangkan perihal sebenar dan membela diri…………….

Mulai  hari itulah, aku belajar untuk melupai dia…juga JB. Terlalu pahit rasanya kecewa itu sehinggakan aku terlupa akan kemanisan yang pernah kuhirup selama meniti usia remajaku di situ. Aku benci JB. Aku benci MPMK…dan aku tidak pernah memasang niat untuk menjejakinya  lagi….

Sehinggalah pada penghujung 2009, apabila aku membuka akaun facebookku…….. Aku kembali bertemu teman-teman yang pernah kukenali semasa di JB dan MPMK… Aku cuba mengingati kembali kenangan indah yang pernah kuciptakan di sana…aku ingin mengembalikan rasa kecintaanku terhadap JB dan MPMK namun masih agak sukar meskipun aku sudah punya sebuah keluarga yang bahagia.

Bagaikan tidak pernah ada kenangan manis aku di sana…kenapa, ya ? Rasa rindu untuk bertemu teman-teman tetap sahaja membara malahan aku sering bermimpi ke sana…tapi tidak pernah aku berusaha untuk bertentang mata dengan kawan-kawan….masih ada rasa yang membelenggu…

Sehinggalah tanggal 14 Julai 2011…saat kuterima perkhabaran sedih tentang kehilangan seorang teman….Allahyarhamah  Intan Zuhairani binti Ibrahim…aku kembali merenungi diri. Jiwaku meronta-ronta untuk bertemu dengan teman-temanku….adakah sehingga ada kehilangan yang seterusnya, kami masih tidak akan dapat bertemu ? Siapakah yang bakal menyusul pergi selepas ini ?

Saat coretan ini kunukilkan, aku tidak mampu menahan air mata ini daripada terus mengalir keluar dari empangannya……… maafkan aku yang terlupa untuk mengucapkan terima kasih pada kenangan yang banyak mengajarku erti dewasa. Ikhlas dari lubuk hatiku yang paling dalam, maafkan aku teman-teman andai ada kekhilafan yang aku lakukan. Jika punya kesempatan, aku ingin bertemu kalian sekali lagi……

1.30 am
19 Julai 2011

No comments:

Post a Comment