Tuesday, 19 July 2011

Selumbar Kasih

BAB 29

Dahlia bangun untuk menyusun peralatan mengajarnya. Esok, dia akan melaporkan diri di sekolah barunya. Sekolah yang berada di dalam daerahnya tetapi agak jauh ke luar bandar. Dia akan memandu  hingga ke jeti dan meninggalkan keretanya di situ kerana dia akan menyeberangi Sungai Perak untuk sampai  ke sekolahnya.
Pelbagai perasaan timbul di benaknya. Memang dia pernah ke kampong itu tetapi bukan untuk berkhidmat dan berulang-alik tiap-tiap hari. Dia pernah ke situ bersama-sama teman-teman sekolahnya termasuk Haiqal untuk mengikuti Perkhemahan Pengakap  dan Pandu Puteri Peringkat Daerah di Lata Seri Bayu sewaktu dia di tingkatan tiga dulu.
Sudah terlalu lama peristiwa itu berlaku. Dahlia ingat-ingat lupa. Adakah tempat itu masih menarik seperti dulu? Apakah air sungainya yang mengalir di celah-celah batu itu masih dingin seperti dulu? Udaranya yang nyaman dengan suara unggas hutan yang bersahut-sahutan. Terasa damai hati Dahlia mengingati segala kenangan itu.
Dahlia terlena bersama mimpi-mimpi untuk ke sekolah barunya, tempat bertugas rasminya setelah tamat tempoh pengajiannya di universiti. Siapa sangka, guru berijazah sepertinya akan dihantar berkhidmat di sekolah yang terpencil ini? Dulu, dia sering dibayangkan bahawa dia bakal berkhidmat di sekolah menengah tetapi hakikatnya kini, dia bakal bergelumang dengan anak-anak kecil yang mungkin masih berhingus dan terkencing di dalam seluar.
Dahlia terkejut bangun tepat pukul lima setengah pagi dikejutkan alarm telefon bimbitnya. Dia mencelikkan matanya dengan doa kesyukuran kerana masih diberi peluang untuk menikmati keindahan alam ini. Dia bingkas bangun dan menggeliat sedikit sebelum bergerak ke kamar mandinya.
Terasa nyaman tubuhnya dijirus air sejuk yang dingin. Segar kelopak matanya yang sedari tadi hanya memicing. Selesai menunaikan solat Subuh dan berdoa panjang, Dahlia bersiap-siap dan bergerak meninggalkan rumahnya. Sekolah Kebangsaan Seri Bayu didatanginya.
Pagi masih terlalu awal. Sang Mentari belum menampakkan rona. Dahlia memasang lampu keretanya. Jalan masih basah. Bukan kerana hujan tetapi kerana embun yang menitis.  Sesekali, Dahlia menghidupkan viper, membilas cermin yang dibasahi kabus agar terang penglihatan.
Dahlia tidak sempat menikmati keindahan pagi kerana kegelapan masih membungkusi kesuraman pagi. Sesekali, dia berselisih dengan beberapa buah motosikal, mungkin pekerja yang mahu masuk ke ladang. Kira-kira empat puluh lima minit perjalanan, Dahlia tiba di jeti. Dia mematikan enjin keretanya. Dia sudah dimaklumkan untuk meninggalkan kereta di bangsal tepi jeti itu.
Dahlia melangkah keluar. Kelihatan beberapa orang pelajar sekolah menengah berdiri berhampiran jeti, memberi laluan kepadanya. Keheningan pagi dipecahkan dengan bunyi deruan suara enjin motobot membelah sungai.
Sang Mentari keluar perlahan-lahan dari balik bukit. Dahlia dapat melihat jelas riak air di permukaan sungai. Air sungai bagaikan berasap. Bukan berasap sebenarnya tetapi hawa sejuk yang naik bertembung udara panas di permukaan sungai. Dahlia terpegun. Mengagumi keindahan alam ciptaan Tuhan, mensyukuri nikmat ALLAH. Dia disapa oleh beberapa orang anak sekolah menengah yang baru turun dari motobot dengan salam tanda kemesraan.
Penerimaan awal yang baik. Dahlia masuk ke perut motobot. Menunduk sedikit dan duduk di bangku kayu berbumbung zink. Motobot terdiam seketika. Mungkin menantikan penumpang lain yang belum tiba. Kira-kira lima minit kemudian, bot semakin sarat. Yang datang kemudian bagaikan mengerti dengan membiarkan motobot bergerak terlebih dahulu bersama muatannya.
Tiba di seberang, Dahlia termanggu-manggu. Jarak ke sekolahnya berdasarkan petunjuk di tepi jalan, dua kilometer lagi dari jeti itu. Dia menapak perlahan-lahan. Di kiri kanan jalan batu enam kaki itu berceratuk rumah-rumah kampong yang kelihatan samar-samar di celah pohon-pohon pinang dan kelapa yang meninggi.
Semuanya masih kelam. Hanya cahaya lampu yang sesekali menerobos keluar melalui dinding papan yang jarang-jarang dan berlubang. Kedinginan pagi membuatkan Dahlia menggeletar menahan sejuk.
 Agak satu pertiga perjalanan, sebuah motosikal berhenti di sisinya, diikuti oleh sebuah motosikal lagi.  Dahlia mengelak, memberikan laluan.
“Cikgu, cikgu baru, ya?” sapa suara lelaki itu.
Dahlia menganggukkan kepala.
“Cikgu pandai naik motor?” Dahlia menoleh, memandang lelaki itu. Masakan dia hendak menumpang motosikal lelaki itu? Belum pernah seumur hidupnya membonceng motor lelaki. Seorang lagi lelaki bermotosikal di belakangnya hanya tersenyum-senyum. Daripada gaya keduanya. Kemungkinan besar mereka  juga guru di Sekolah Kebangsaan Seri Bayu.
“Tak apalah, saya berjalan saja,” Dahlia menolak, lembut.
“Emm.. maksud saya, kalau cikgu pandai naik motor, naiklah motor saya ni. Saya boleh tumpang motor Cikgu Amril di belakang,”
“Oooo…,” guru lelaki itu menongkat motosikalnya. Dia tersenyum sambil bergerak ke arah motosikal di belakang. Mereka berlalu pergi.
“Naiklah, cikgu. Jangan malu-malu,” sakat cikgu yang dipanggil Cikgu Amril tadi sewaktu melintasinya. Dahlia termenung sejenak. Sudah lama dia tidak menunggang motosikal. Motosikal kepunyaan arwah ayah pun tidak pernah disentuh  lagi semenjak dia tamat belajar.
Dahlia menyelak sedikit kain  baju kurung modennya. Dia terkial-kial melangkah. Alamak ! Janggalnya. Akhirnya, Dahlia berjaya juga naik dan membetul-betulkan kainnya. Pedal ditekan, minyak dipulas. Motosikal mulai bergerak. Mula-mula agak perlahan dan melelong-lelong, kemudiannya semakin stabil. Kain tudungnya berkibar-kibar ditiup angin.
Dahlia tiba di perkarangan Sekolah Kebangsaan Seri Bayu. Murid-murid  dan ibu bapa berkelibut. Hari pertama persekolahan. Mungkin ada yang baru hendak mendaftarkan anak-anak di Tahun Satu. Dada Dahlia bergetaran. Dia memberhentikan motosikal di bawah garaj. Sewaktu dia terkial-kial hendak turun, kainnya tersangkut pada pemijak.
Dalam situasi cemas begitu, satu tangan perkasa memaut pinggangnya. Nasibnya  baik. Kalau tidak, pasti Dahlia terjerumus ke dalam longkang. Dahlia menoleh ke belakang, ke arah pemilik tangan yang masih lagi memeluk pinggangnya. Sempat dia memandang tanda nama di baju kemeja lelaki itu, “AQASHAH”.
“Oh, maafkan, saya,” wajah Dahlia memerah.
“Lain kali, hati-hati, ya,” pesan lelaki itu sambil melepaskan pautannya.
Alamak ! Banyak betul kejadian tak terduga hari ni. Dahlia menahan debaran di dadanya. Dia menuju ke bangunan sekolah. Terjenguk-jenguk mencari tanda arah ke pejabat.
“Ikut saya, Cikgu Dahlia,” Aqashah bagaikan mengerti apa yang bermain di mindanya. Dia menyusul di belakang Aqashah. Dahlia ? Bagaimana dia tahu nama aku Dahlia? Mungkin juga dia pun sudah baca tanda nama aku seperti aku juga telah baca tanda namanya. Dahlia bagaikan orang bodoh.
Sekolah yang kecil, guru yang kurang juga murid yang sedikit. Dalam masa beberapa hari sahaja, Dahlia sudah mulai kenal mesra dengan mereka, empat guru lelaki termasuk guru besar dan lima orang guru perempuan termasuk Dahlia.
Beberapa orang guru di bilik guru mulai menyakat, memadan-madankan Dahlia dengan Aqashah. Dahlia hanya tersenyum. Aqashah juga tidak membalas kata-kata mereka. Dia lebih banyak menghabiskan masanya di Bilik Muzik. Hanya sesekali Dahlia bertembung dengannya, itu pun  semasa di jeti atau pun sewaktu rehat di kantin.
Dahlia sendiri sudah mulai belajar membawa motosikal arwah ayah. Dia menghantar motosikal itu ke kedai untuk dibaiki mana yang rosak dan kemudiannya, membeli topi keledar baru. Kini, dia tidak perlu meminjam motosikal Cikgu Aqashah lagi.
Sesekali, hatinya dipagut rasa pilu dan rindu. Dia teringatkan Zamani. Bagaimanakah Zamani sekarang? Di manakah dia ditugaskan? Sudahkah dia berkahwin dengan Liyana? Meskipun telah jauh  ditinggalkan, namun terkadang, Dahlia merindui pemuda itu. Menantikan panggilannya tapi hampa. Mungkin benarlah, Zamani telah melupainya.
Hanya anak-anak didik yang menjadi penawar dukanya. Dahlia melayani anak-anak itu dengan sebaik-baiknya. Senang bercanda dengan mereka. Terkadang, menjadi seorang guru yang tegas, terkadang menjadi seorang ibu yang penyayang, terkadang menjadi seorang kakak yang garang dan terkadang menurunkan tarafnya menjadi seorang kawan kepada anak-anak itu sementelah pula dia dilantik menjadi guru kelas Tahun Satu.
Saat ada anak-anak yang menangis, belum biasa ditinggalkan ibu, Dahlia menjadi kawan yang paling empati. Kadang-kadang, dia juga berpura-pura menangis, sedih kerana tiada ibu  yang menghantarnya ke sekolah, menjadikan anak itu terdiam dan memandang Dahlia, kehairanan. Alih-alih, Si Kecil itu berhenti menangis dan kembali memujuk Dahlia pula.
Hmm…beginilah cabarannya mengajar di sekolah rendah lebih-lebih lagi jika menjadi guru tahun satu. Semua benda,  guru yang perlu sediakan. Bermula dari menulis nama di buku, di kertas lembaran kerja, waima pada kasut sekolah murid  pun terpaksa dituliskan nama besar-besar menggunakan permanent marker pen. Jika tidak, pasti akan tertukar sesama sendiri  selepas selesai sesi mata pelajaran Pendidikan Jasmani di padang.
Malahan, mengasah pensel mereka juga dia lakukan. Ajak mereka ramai-ramai duduk berkeliling bakul sampah dan mengajar mereka mengasah dengan betul. Pastikan sampah pensel tersebut betul-betul masuk ke dalam bakul. Jangan dibiarkan bersepah-sepah di luar.
“Semalam tu, cikgu menangis kenapa?” Dahlia teringat pertanyaan Cikgu Aqashah sehari selepas kejadian dia menangis di kelasnya sewaktu mereka sama-sama berjalan  ke garaj untuk mengambil motosikal.
“Cikgu nampak ke?” Dahlia termalu sendiri.
“Kebetulan…”
Dahlia tersenyum sambil menceritakan keadaan yang sebenar. Tertawa besar Cikgu Aqashah mendengarnya.
“Ooo… saya ingatkan cikgu betul-betul menangis. Risau juga,”
“Cikgu Aqashah risau? Kenapa?”
“Emm…Sebelum tu, panggil saya Shah macam kawan-kawan yang lain, boleh?” pinta Cikgu Aqashah. Dahlia mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Ye lah…takut-takut Lia tak suka mengajar di sini,” tanpa dipinta, Cikgu Aqashah turut memanggilnya Lia, sama seperti teman-teman yang lain. Dahlia hanya tertawa.
Dahlia gembira dengan kerjanya. Dia bisa mengubati luka dan kesedihannya ditemani anak-anak kecil yang comel dan ada pula yang masih meleleh hingus di pipinya. Mengajar mereka mengenal huruf dan angka. Menyanyi dan bercerita. Di sini dia bagaikan menemui ketenangannya.






BAB 30
Pagi masih basah. Dahlia berlari-lari anak. Sudah lama dia tidak bersenam. Pagi-pagi minggu ini dia mengambil kesempatan untuk keluar beriadah. Kawasan sawah padi dilewatinya. Bau basah lumpur tanah sawah ini membangkitkan nostalgianya kepada ayah dan ibu. Saat mereka sama-sama membantu Mak Dah dan Pak Akob di sawah padi, menyemai dan menuai.
Dahlia terpandang pondok usang di tepi sawah. Pondok itu sudah tidak digunakan lagi semenjak sawah padi ini tidak diusahakan. Sawah tidak dapat diusahakan kerana kekurangan air. Walaupun ada tali air dibina bertujuan untuk mengairi sawah padi tetapi ianya masih tidak mencukupi.
Seandainya cukup pun, orang kampong tidak bersedia untuk mengerjakan sawah semula. Jika hanya beberapa kawasan sahaja yang diusahakan, ianya akan menimbulkan kesulitan. Haiwan perosak dari tanah yang tidak diusahakan akan mengganggu tanaman padi yang sedikit.
Daripada menanggung kerugian, nampaknya tanah ini terus terbiar tanpa sebarang usaha untuk memulihkannya. Dahlia singgah sebentar di pondok itu. Mencungkil kembali kenangannya di situ. Dia pernah memasak mi segera bersama kawan-kawan sekolahnya di sini sementara menantikan ibu dan ayah naik dari sawah.
Di pondok inilah tempat dia menunggu ayah dan ibu sambil membayangkan bahawa pondok kecil ini adalah rumahnya. Dia akan menyanyi-nyanyi lagu-lagu yang diajar guru di sekolah seperti lagu kegemarannya, Rumah Kecil.
Rumah kecil di tepi sawah,
Walau kecil nampaknya indah,
Rumah bersih udara segar,
Sungguh aman bila belajar.

Dahlia meneruskan lariannya. Baju panas biru firusnya telah dibasahi peluh. Dahlia melompat, menyentuh dedaunan dari pohon yang merimbun di tepi jalan. Rintik-rintik embun membasahi tangannya. Diraup tapak tangannya yang basah ke muka, terasa kesegaran yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Sebuah kereta melintas di sebelahnya dan terhenti di  tepi jalan. Langkah Dahlia turut terhenti. Haiqal.
“Lia, mari naik,” terjengul wajah Haiqal dari tempat pemandu.
“Tak apalah,” Dahlia menolak.
“Lia, marilah,” rupa-rupanya Haiqal tidak keseorangan, Mak Cik Piah ada bersama-sama. Dahlia serba salah. Dihampirinya orang tua itu dan disalami serta dikucup tangannya.
“Tak apalah, mak cik. Lia saja jalan-jalan nak sihatkan badan. Asyik terperuk je kat rumah, badan pun tak berpeluh,”
“Baiklah. Mak cik pun nak ke pekan Lenggong sekejap ni. Nak ke pasar beli barang. Tengah hari nanti, Lia datang makan di rumah, ya,” pelawa orang tua itu sebelum berlalu pergi. Rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari.
Dahlia mengangguk-angguk kecil dan mengiringi pemergian mereka dengan pandangan matanya. Haiqal sempat melambai-lambaikan tangan.
Dahlia meneruskan lariannya. Melewati kawasan perumahan baru yang masih sepi dibungkus hawa pagi. Masih belum hidup sepenuhnya. Lenggong, sebuah pekan kecil di timur negeri Perak yang lebih dikenali dengan nama Bandaraya Pra-sejarah ini didatanginya.
Tinggal di pekan kecil yang tidak terdedah dengan pencemaran udara dari asap kilang dan pembangunan tidak melemahkan semangat Dahlia. Malahan dia gembira menjadi anak jati lembah subur ini. Lembah yang masih kaya dengan khazanah alam semulajadi. Masih mengekalkan keindahan alam flora dan faunanya.
Lembah Lenggong dikelilingi oleh  banjaran Bintang dan Kledang yang megah membentengi lembah bertuah ini. Malahan gua-gua batu kapurnya masih menjadi tarikan utama pelancong untuk diterokai juga tarikannya sebagai Pusat Pekasam Kebangsaan.
Puncak Bukit Teh yang dahulunya pernah terkenal dengan pengeluaran teh segar dan berkhasiatnya, tampak berbalam-balam disepuh gumpalan awan pagi. Kawasan ladang teh yang khabarnya akan dibangunkan  dan dimajukan semula dengan bantuan FAMA. Di puncak bukit itu juga terdapat sebuah ladang kuda dan dusun-dusun penduduk setempat.

Dahlia tiba di rumah Haiqal kira-kira pada pukul 11 pagi. Mak Cik Piah dan Safiyyah di dapur sedang kalut menyediakan masakan. Ada tetamu istimewa, katanya. Sebentar kemudian, dia turut bersama mereka menyediakan hidangan tengah hari. Hatinya turut tertanya-tanya tentang siapakah gerangannya tetamu istimewa itu.
Haiqal keluar sebentar dengan menaiki keretanya untuk menjemput tetamu istimewa tersebut. Mereka semua menjengah keluar rumah untuk menyambutnya yang tiba tidak berapa lama kemudian.
“Kenalkan, Salinah. Salinah, ini Dahlia,” sebenarnya Dahlia telah mengenali Salinah. Masakan tidak, bukankah dia yang turut mengiringi rombongan Haiqal di majlis pertunangan mereka? Namun, Dahlia biarkan kenyataan itu sepi di lubuk hatinya. Tangannya pantas dihulur untuk menyalami Salinah, gadis ayu bertudung litup yang berjaya menambat hati Haiqal.
 Hidangan tengah hari dinikmati dengan penuh selera. Air asam ikan bakar Dahlia yang menjadi tumpuan Haiqal. Salinah agak malu-malu tetapi Haiqal mampu meredakannya. Dia membantu meletakkan lauk-pauk di dalam pinggan Salinah. Dahlia turut menyaksikan kemesraan itu.
Namun tidak berapa lama kemudian, Dahlia turut terkesima. Haiqal turut meletakkan secubit daging ikan tenggalan masak lemak cili api di dalam pinggannya. Dahlia pura-pura tidak mengendahkannya.
“Makanlah lagi, Lia. Sikit benar makannya tu. Bila badan nak berisi,” rungut Mak Cik Piah sambil menambahkan nasi ke pinggan Dahlia. Sesekali seperti Dahlia yang diraikan dan bukannya Salinah, tunangan Haiqal.
“Cukup, mak cik. Lia dah kenyang. Kalau Lia lapar nanti, Lia makan lagi,” Dahlia menolak lagi dan cepat-cepat menghabiskan baki nasinya. Dia tidak mahu Salinah tersalah sangka.
Selesai makan tengah hari, Dahlia dan Safiyyah ke dapur untuk membasuh pinggan mangkuk. Mak Cik Piah, Pak Sudin  dan Salinah di ruang tamu, berbual-bual. Mungkin Salinah agak kekok kerana ini kali pertama dia berziarah ke rumah bakal mertuanya selepas majlis pertunangan mereka dulu.
Haiqal? Haiqal seperti biasa, turut kalut di dapur membantu Dahlia dan Safiyyah. Dia cuma beranjak ke ruang tamu apabila diarahkan Safiyyah.
“Apalah abang ni. Kak Salinah dibiarkan saja di depan tu?” rungut Safiyyah.
“Apa…dia tak tahu ke ini rumah  bakal mak mentua dia? Biasa-biasakanlah diri, tolong-tolonglah mana yang patut. Sampai bila nak buat muka malu macam ni? Penyegan sangat ke? Kalau segan, nak kawin tak segan pula. Tak gitu, Lia?”
Dahlia hanya buat muka selamba. Lantak engkaulah. Tunang engkau. Pandai-pandailah engkau nak membentuknya.
“Aa ah…ye la. Masa Kak Lia mula-mula datang rumah kita dulu pun, dia tak kekok, kan. Siap buat air asam ikan bakar kegemaran abang lagi,” sampuk pula Safiyyah.
“Kak Lia kamu ni lain, Fiyyah. Dia satu dalam sejuta. Beruntunglah sesiapa yang dapat memilikinya,” Dahlia biarkan dua beradik itu memberikan pendapat masing-masing sehingga Haiqal berlalu pergi.
 “Kak, Fiyyah rasa, lepas ni Kak Salinah kena belajar buat air asam dengan akaklah. Abang Haiqal tu suka sangat dengan masakan akak. Mulutnya tak putus-putus menyebut nama akak tapi kenapa dia bertunang dengan Kak Salinah, ya?”
“Hish, Fiyyah. Tak baik cakap macam tu. Kita doakanlah kebahagiaan mereka,” nasihat Dahlia. “Emm…mana Fiyyah tahu, masa kali pertama akak datang sini, akak buat air asam? Bukankah  masa tu Fiyyah tak ada di rumah?.”
“Alah, semua orang bagitahu. Ayah puji akak. Mak pun sama. Abang Haiqal lebih-lebih lagilah. Semua orang suka akak,” Dahlia terkedu.
Selesai mengemas pinggan mangkuk, Safiyyah meminta izin untuk menunaikan solat Zohor. Dahlia tinggal mengelap meja.
“Ooo…inilah rupanya Dahlia yang selalu disebut-sebut abang Haiqal dan Mak Piah, ya?” Dahlia tersentak. Kedatangan Salinah secara mendadak, mengejutkannya. Meskipun suaranya perlahan dan dilunakkan namun Dahlia dapat rasai ada sesuatu yang tak kena dalam nada suara itu. Nada cemburu atau mungkin tak puas hati.
“Emm…Salinah. Duduklah.”
“Dahlia ni anak luar nikah yang dipelihara Haji Dolah dan Mak Wan, kan?”
Sekali lagi, Dahlia bagaikan dipanah halilintar. Air matanya seakan mahu menitis dari tubirnya. Pertama kali, secara berdepan, dia diajukan dengan pertanyaan itu. Tanpa berselindung dan tanpa beralas. Terasa harga dirinya diinjak lumat-lumat. Hancur-luluh tanpa meninggalkan serpihan. Teramat hina di pandangan mata seorang Salinah.
“Salinah, awak cakap apa tadi?” tersembul Haiqal di muka pintu dapur, mungkin terdengar pertanyaan Salinah. Salinah serba salah.
“Err… tak ada apa-apa, Haiqal. Kami cuma berbual-bual kosong sahaja,” pintas Dahlia cuba menjernihkan keadaan. Dahlia berlalu pergi. Masuk ke bilik Safiyyah dan menunaikan solat Zohor. Dia cuba menahan sebak di dadanya. Seandainya di rumah, pasti telah lama terburai air mata kepiluannya.
Terdengar deru enjin kereta dihidupkan di bawah rumah. Mungkin Haiqal menghantar Salinah pulang. Dahlia, sedari tadi hanya berkurung di bilik itu. Tidak berani menampakkan mukanya di hadapan Salinah. Bimbang akan ada lagi pertanyaan-pertanyaan yang bakal mengguris hatinya. 
Rumah Haiqal sepi. Dahlia terlelap rupa-rupanya. Dia bergegas bangun dan bersiap-siap untuk balik ke rumahnya. Baru sahaja kakinya menapak untuk keluar bilik, dia terdengar suara Haiqal berbual-bual dengan emaknya.
“Lia mana, mak?”
“Lia di bilik Safiyyah, tidur barangkali,”
“Mak, betul ke Lia tu anak luar nikah?”
Lama menyepi, baru terdengar suara Mak Cik Piah menjawab, “Betul. Dari mana Haiqal tahu?”
“Haiqal dengar Salinah bertanyakan Lia tadi,”
“Apa? Salinah tanya Lia? Tak tahu adab langsung budak tu,” sungut Mak Cik Piah.
“Memang. Haiqal pun marah sangat dengan dia tadi.”
Keadaan kembali menyepi.
“Kasihan Lia, mak,” terdengar kembali suara Haiqal.
“Ya, Haiqal. Mak pun kasihankan dia. Kalau tidak kerana dia anak luar nikah, sudah lama mak pinangkan dia untuk kau. Tapi mak tak mahu bermenantukan anak yang tak sah tarafnya itu,” Dahlia bungkam. Kalau tidak telinganya sendiri yang mendengarnya, pasti dia tak kan percaya.
“Ooo…sebab itulah mak tak setuju bila Haiqal minta mak pinangkan Lia untuk Haiqal. Ya?” Suasana kembali hening. Sebilah jarum jatuh ke lantai pun, pasti terdengar bunyinya. Dahlia menahan debar di dadanya, seakan menahan nafas, bimbang degup jantung dan tarikan nafasnya didengari dua beranak yang sedang berlabun itu.
“Tapi mak. Haiqal tak kisah dengan status Lia. Dibandingkan dengan Salinah, Dahlia seribu kali lebih baik dari itu,”
“Hmm…betul kata kamu tu, Haiqal. Mak pun rasa begitu.  Tapi apa boleh buat, mak dah terlanjur pinangkan Salinah untuk kau. Lagi pun, Haiqal pun memang dari dulu sukakan Salinah, kan?”
“Bukan suka lah, mak. Haiqal cuma kasihankan dia. Haiqal nak bantu dia. Masa mula-mula masuk universiti dulu, Haiqal dah tanamkan tekad. Sebaik sahaja menggenggam duit gaji yang pertama, Haiqal nak bertunang dan pasangan Haiqal tu adalah orang susah dan tidak bekerja. Niat Haiqal nak bantu naikkan taraf hidup mereka,”
“Mak tahu hasrat murni Haiqal tu. Tapi, tengoklah sekarang ni. Beza benar percakapan dan perlakuan orang yang berpelajaran dengan orang yang tidak berpelajaran. Walau pun bekerja, Dahlia tidak kekok di dapur. Masakannya pun sedap-sedap belaka.”
“Mak rasa lah, agak-agaknya, mahukah Dahlia terima Haiqal, ya?”
“Haiqal, kau dah bertunang. Tak lama lagi dah nak kawin. Jangan nak buat tak tentu pasal.”
“Alah, mak. Baru bertunang saja. Kan lebih baik putus sekarang daripada rumah tangga porak-poranda kerana perbezaan pandangan. Lagi pun masa Haiqal bertunang dulu, Haiqal baru habis belajar. Belum sempat menggenggam duit gaji yang pertama macam janji Haiqal . Mak yang tak sabar-sabar nak pinang Salinah tu.”
“Ikut suka kamulah, Haiqal. Mak tak mahu masuk campur. Ini urusan hidup dan masa depan kau. Fikirlah baik-baik.”
Dahlia berundur perlahan, menuju ke bilik. Mencari kekuatan baru sebelum melangkah meninggalkan rumah  itu.





 BAB 31
Air sungai beralun agak keras, diterjah kipas motobot yang bergerak  di dadanya. Hawa dingin yang segar berhembus ke wajah Dahlia, menampar-nampar agak kencang. Tudungnya berkibar-kibar ditiup angin  pagi. Dahlia memegang hujung kain tudungnya  bagi mengelakkannya terus berkibaran.
Pandangannya jatuh ke tengah sungai. Air kuning pekat yang membuak-buak bagaikan teh susu Pak Itam di kantin sekolah. Sesekali, air yang kuning pekat itu menerpa dan terpercik ke mukanya. Dahlia tidak peduli. Dibiarkan sahaja air dingin itu hinggap di wajahnya dan menuruni pipinya. Cuma sesekali dia mengesatnya pabila air itu semakin banyak di muka.
Kira-kira lima belas minit merentasi sungai itu, mereka tiba  di seberang. Dahlia biarkan penumpang di hujung bot keluar dahulu dan seperti biasa, Pak Din akan membongkok keluar dari tempat memandu untuk menyorong motosikal Dahlia ke tebing. Dahlia masih kekok untuk menyorong motosikal dari atas bot ke tebing melalui sekeping papan kecil yang diletakkan sebagai titi.
Motobot bergoyang-goyang, terumbang-ambing ke kiri dan ke kanan. Dahlia yang sudah bersedia untuk bangun, kembali terduduk di pangkin kecil dalam bot. Bimbang tidak dapat mengimbangi diri. Jika itu yang berlaku, pasti dia akan terdorong sehingga memungkinkannya untuk jatuh ke dalam sungai.
Dahlia mendaki tebing sungai bersimen yang agak curam. Sesekali, dia mencapai akar-akar pokok yang berseliratan di tepi tebing untuk membantunya melonjak ke atas dengan lebih mudah. Selesai mengucapkan terima kasih kepada Pak Din, dia menunggang motosikalnya menuju ke sekolah. Merentasi kawasan kampong yang  cukup tenang dan mendamaikan.
Dahlia membawa anak didiknya bersenam di tengah padang. Seronok melihat mereka termengah-mengah berlari hingga ke hujung padang. Murid-murid sudah tahu rutin pengajaran Dahlia. Sebaik sahaja turun ke padang, mereka terus berlari mengelilinginya sebanyak dua kali sebagai aktiviti memanaskan badan tanpa menunggu arahan Dahlia.
Selesai dua pusingan, Dahlia sudah siap sedia menunggu di tengah padang untuk memulakan aktiviti keregangan. Murid-murid menuruti pergerakan Dahlia yang mulai meletakkan kedua tangannya di pinggang. Dalam kiraan lapan, mereka sama-sama mendongakkan kepala ke atas, ke bawah, ke kiri dan ke kanan.  Aktiviti itu diteruskan bermula dari anggota atas badan hingga tamat di hujung jari kaki.
            Selepas itu, Dahlia akan mengajarkan murid-muridnya tentang kemahiran pembelajaran pada  hari itu untuk mencapai objektif yang disasarkan.  Murid-murid Tahun Lima itu diajarkan kemahiran membaling dan menyambut bola. Balingan atas, balingan sisi dan balingan bawah lengan iaitu kemahiran asas dalam permainan bola baling.
Dahlia turut serta bersama murid-muridnya. Berdiri di tengah-tengah bulatan besar dan melakukan tunjuk cara balingan. Selepas itu, murid-murid berganti-ganti melakukan balingan. Dahlia merenung jam di tangan. Dua puluh minit lagi waktu Pendidikan Jasmani akan tamat.
Dia mengarahkan murid-muridnya berhenti. Membahagikan mereka kepada dua kumpulan secara rawak dan mengadakan permainan kecil iaitu permainan bola baling. Riuh-rendah suara murid-murid itu bermain dan sesekali ditingkah oleh suara Dahlia memberikan arahan.
Lima belas minit bermain, Dahlia meniupkan wisel penamat. Berdengung suara anak-anak didiknya meminta diteruskan permainan. Dahlia membiarkan sahaja suara-suara itu. Dia memegang tangan di pinggang sambil mengarahkan murid-muridnya mengambil jarak agak tidak bersentuhan antara satu sama lain.
Mereka melakukan aktiviti kelonggaran bermula dari kaki naik ke kepala dan diakhiri dengan sorakan , ‘hooh’ selepas menarik nafas. Murid-murid mengucapkan terima kasih sebelum berlalu pergi.
“Cepat. Pergi tukar pakaian kamu. Jangan berlenggang-lenggok lagi. Nanti cikgu yang masuk lepas ni tertunggu-tunggu kamu,” laung Dahlia sambil membalingkan bola yang digunakan sebentar tadi ke arah Rahman yang berpusing memandang ke arahnya.
“Tolong simpan di stor sukan,” arah Dahlia sebagai penutup pengajarannya.
Badan Dahlia melekit dan berpeluh-peluh. Dia menuju ke bilik guru. Memusingkan tombol kawalan kelajuan kipas di dinding bersebelahan pintu masuk dan baru bergerak ke mejanya.
“Hai, siapa sebenarnya yang bersenam ni? Cikgu ke anak murid?” sapa Cikgu Lam. Dahlia tersenyum mendengar usikan Cikgu Lam, satu-satunya guru berbangsa Cina di sekolah mereka.
“Seronok juga dapat berpeluh ni. Rasa ringan badan,”
“Ya, betul tu. Pandai awak, ye. Sambil mengajar sambil bermain. Patutlah budak-budak tu seronok sangat. Tak sabar-sabar nak tunggu  Cikgu Lia masuk,”sampuk pula Cikgu Ain. Anak Cikgu Ain salah seorang murid di dalam kelas Tahun Lima.
“Tapi, kadang-kadang tu rasa tak selesa pula. Badan melekit-lekit dan panas,” balas Dahlia sambil mengipas-ngipas badannya dengan sebuah buku bagaikan tidak cukup tiupan angin daripada kipas yang tergantung di siling.
Terdengar ketukan di pintu. Dahlia menoleh. Tersembul wajah Syamsul, murid Tahun Dua.
“Ya, Syamsul. Nak apa?”
“Eerr…Cikgu Aqashah nak pinjam betik-betik,” jawab Syamsul tergagap-gagap.
“Apa? Betik-betik? Apa benda tu? Cikgu Aqashah nak buah betik ke?”
“Tak…Cikgu Aqashah nak yang betik-betik tu,” ulang Syamsul sambil menunjuk cara bagaikan menekan sesuatu dengan hujung kedua ibu jarinya. Apa ya? Semua guru di bilik guru cuba membantu tetapi tidak dapat mentafsirkan apakah permintaan yang dibuat oleh Cikgu Aqashah.
“Macam ni lah, Syamsul. Kamu pergi semula ke bilik Cikgu Aqashah. Suruh dia tulis apa yang dia nak pada sehelai kertas. Kemudian, kamu bawa semula ke sini,” Dahlia mencadangkan jalan penyelesaian.
Syamsul berlari pergi dan datang semula tidak lama kemudian.
“Ha…apa dia? Bak sini saya tengok,” Dahlia mencapai secebis kertas dalam genggaman Syamsul dan membacanya, ‘Nak pinjam kalkulator, boleh?’ Tulisan Cikgu Aqashah.
Dahlia tertawa besar. Apalah jauh benar bunyinya, kalkulator dengan betik-betik. Dahlia mencapai beg kecil yang diisikan dengan peralatan menulis. Aqashah memanggilnya sebagai ‘Beg Doremon’ kerana semua benda yang selalu ingin dipinjamnya ada di dalam beg itu. Gunting kecil, pen merah, pen biru, pen hitam, stapler, pemadam, pembaris, liquid paper,  gam, selotep, penebuk lubang, kalkulator dan segala macam benda keperluan seorang guru ada di dalamnya.
Teringat Dahlia akan perbualannya dengan rakan-rakannya suatu masa dulu, “Kalau cikgu diberi  peluang untuk minta elaun, elaun apa lagi yang cikgu nak minta?”
“Elaun alat tulis.”
“Kenapa?”
“Dakwat pen merah cepat habis. Banyak sangat menanda buku murid,” bilik guru dipenuhi dengan gelak tawa.
“Tak payah minta elaunlah. Tunggu saja Hari Guru, bukan saja pen merah, pen hitam dan biru pun berlambak,” pintas Cikgu Amril.
Hmm… betul juga tu. Teringat Dahlia, tahun pertama dia menyambut Hari Guru. Maklumlah, guru kelas Tahun Satu. Apa sangatlah yang boleh diberikan oleh murid-murid itu. Nasib baiklah juga ada ibu bapa yang prihatin, menyediakan hadiah bagi pihak anak-anak.
Bukan hadiah yang menjadi harapan guru-guru. Cukuplah sekadar tanda ingatan. Sebagai ucapan terima kasih atas penat lelah mendidik mereka selama ini. Walaupun hanya secebis nota ucapan buatan sendiri, sudah cukup untuk membuahkan rasa terharu kerana dihargai.
Bertembung Cikgu Aqashah di kantin sekolah, Dahlia bercerita tentang kelucuan yang berlaku atas utusan yang dihantar Aqashah untuk meminjam barang.
“Macam mana kalkulator boleh jadi betik-betik, Cikgu Shah?”
“Hemm…saya dah sebut kalkulator tapi dia tak boleh nak sebut. So, saya cakap la, benda yang kita petik-petik untuk mengira tu. Itulah gamaknya, petik-petik jadi betik-betik?”
“Nasib baik saya tak suruh Pak Hamid panjat pokok betik,” Pak Hamid ialah tukang kebun di sekolah mereka.  Mereka sama-sama tertawa.
“Itu belum begitu hebat lagi tu. Di kampong saya lagi hebat. Ada seorang pak cik tu, dia tak panggil kalkulator ni kalkulator tapi dia panggil eskalator. Hebat, kan?”
Hampir tersedak Dahlia dibuatnya.  Cepat-cepat dicapai gelas berisi air dan diteguknya.
“Kenapa boleh jadi macam tu?”
“Masa tu, kami adakan mesyuarat untuk aktiviti korban di kampong. Semua orang sibuk berbincang tentang jumlah kewangan yang dikutip. Susah sikit la nak buat kiraan, kan. Pak Cik Midon Eskalator ni tunjuk kat atas peti televisyen dan cakap, “ Aqashah, tolong ambil eskalator atas tv tu, senang  pak cik nak kira.” Masa tu saya yang paling dekat dengan televisyen tu.”
“Habis tu, apa yang awak buat?”
“Saya? Hemm…rasa nak pecah perut tahan gelak. Orang lain tak perasan agaknya sebab masing-masing sibuk bercakap. Saya ambillah ‘eskalator’ sambil cakap, “Pak cik, ni bukan eskalator, ni remote tv,”
Sekali lagi, berderai tawa Dahlia. Ada-ada saja cerita Aqashah.
“Sampai sekarang ni saya panggil dia Pak Cik Midon Eskalator. Saya sorang je, orang lain tak tahu,” Mata Dahlia sudah mulai berair mendengar cerita Aqashah.
“Satu hari nanti, saya nak bawa Lia ke kampong saya, berkenalan  dengan Pak Cik Midon Eskalator,” janji Aqashah.
“Hemm… boleh,” Dahlia teruja.
“Amboi, kemain happy lagi merpati dua sejoli ni,”usik Cikgu Halim yang baru melangkah masuk ke kantin. Dahlia tersipu-sipu, cover malu.
“Alah, Lim. Bagi la peluang kami yang bujang-bujang ni nak bergembira. Engkau lain la, anak pun dah setengah dozen,” balas Aqashah bersahaja.
“Nak bagi peluanglah ni. Ha..apa lagi, berguraulah. Bergurau,” sahut Cikgu Halim sambil menceduk sendiri bihun goreng ke pinggannya.
“Macam mana nak bergurau. Engkau ada sama kat sini,” Aqashah beralasan.
“Tak apa, aku duduk je kat sini tapi aku tak dengar apa-apa. Kalau aku dengar pun, aku tak faham,” sekali lagi, meledak pula tawa Dahlia mendengar kecindan Cikgu Halim.
            Selesai makan, Aqashah memulangkan kalkulator Dahlia yang dipinjamnya tadi.
“Terima kasih,”
“Kasih dalam pertimbangan,” sahut Dahlia, sekadar bergurau dan berlalu pergi meninggalkan Aqashah dan Halim di kantin.
“Haa…dengar tu, Shah. Kasih dalam pertimbangan. Ada harapan lagi tu. Apa lagi? Kalau aku jadi engkau, aku tak akan lepaskan peluang ni,” Cikgu Halim menggiat.
“Alah, Lim. Orang baru keluar ‘U’, mustahil masih solo. Ntah-ntah dah tetap pun tarikh nikahnya,” Aqashah bagaikan mengeluh.
“Hei, kawan. Jangan mengalah dulu. Belum cuba, belum tahu.”
Ya. Belum cuba, belum tahu. Tapi, sudikah Dahlia menerimanya? Dalam diam-diam, Aqashah memasang angan.

No comments:

Post a Comment