BAB 32
Mama Mira sakit.
Kenyataan itu bagaikan meragut ketenangan Dahlia. Adik-adik pula, hanya Damia yang masih di rumah bersama mama. Apa yang boleh dilakukan oleh anak berusia sembilan tahun itu untuk membantu mamanya?
Dahlia tiada pilihan. Hujung minggu itu, dia bergegas ke rumah Mama Mira. Adik-adik telah ada bersama. Mama Mira kelihatan lesu. Empat hari dia ditahan di wad hospital swasta tanpa pengetahuan Dahlia. Mama tersenyum manis menyambut kehadirannya.
“Lia, mama tidak siapa-siapa lagi di sini,” mama mengadu.
“Papa Rasyid?” entah mengapa, Dahlia teringatkan suami Mama Mira.
“Dia dah tak ada, Lia.”
Lidah Dahlia kelu. Rupa-rupanya, Papa Rasyid telah meninggal dunia kira-kira dua minggu yang lalu.
“Mama nak ikut Lia balik kampong. Mama dah berbincang dengan adik-adik. Damia boleh teruskan persekolahan di sana. Kedai di sini diuruskan oleh Kartini dan mama dah lantik dua orang lagi pekerja untuk membantunya. Kartini memang boleh diharapkan. Mama boleh balik ke sini sekali sekala untuk memantau urusan perniagaan di sini.”
Dahlia menerima keputusan mamanya dengan senang hati.
“Lagi pula, apabila Adlina habis belajar. Dia akan ambil alih perusahaan mama di sini. Ashraf dan Addin pun jika ada tawaran melanjutkan pelajaran, mereka akan teruskan di sini.”
Dahlia tidak peduli siapa yang akan ambil alih perniagaan Mama Mira. Yang pastinya, dia sendiri sudah punya kerjaya dan ianya sudah cukup untuk menampung hidupnya seorang. Kalau boleh, dia ingin mencontohi keperibadian Rasulullah s.w.t. Baginda merupakan teladan kepada orang yang miskin dan lemah.
Baginda dilahirkan dalam keadaan yatim dan dibesarkan dalam keadaan fakir serta hidup dengan penuh zuhud meskipun kunci kekayaan ada padanya. Semua perilaku baginda, kalau boleh Dahlia ingin jadikan contoh tauladan dalam kehidupannya.
Semenjak saat itu, Mama Mira dan Damia tinggal bersama-sama Dahlia di rumah pusaka peninggalan arwah ibu dan ayah. Dahlia tidak lagi kesunyian. Dia juga tidak bimbang lagi dengan gangguan dan suara-suara aneh yang mengganggu tidur malamnya. Sepulangnya dari sekolah, Mama Mira sedia menanti di rumah. Hubungan antara mereka bagaikan pulih sepenuhnya.
Hinggalah tiba pada satu hari iaitu kira-kira dua bulan selepas mereka tinggal bersama, Dahlia pulang tetapi tiada Mama Mira yang menyambutnya seperti biasa. Dia mencari namun mama tiada di mana-mana. Timbul pula kebimbangan di hatinya. Sakit Mama Mira belum pulih sepenuhnya. Dia cuba menelefon tetapi tiada jawapan hanya minta ditinggalkan pesanan suara. Mungkin Mama Mira berada di luar kawasan liputan.
Lewat petang itu, Mama Mira pulang. Waktu itu Dahlia sedang berayun di buaian besinya selepas menyirami pokok-pokok bunga. Hatinya yang cemas kembali tenang melihat Mama Mira turun dari keretanya. Dia bangun menyambut kepulangan mama.
“Mama ke mana? Puas Lia telefon tapi tak berjawab.” Sebelum sempat Mama Mira menjawab, Damia turut menerpa ke arah mamanya.
“Mama ke ladang. Tengok-tengok apa yang patut. Lia sekali-sekala kena turun sama. Tengok orang-orang tu bekerja. Jangan diharapkan orang lain untuk menjaga harta-benda kita,” Dahlia terlopong. Memang dia tidak pernah ambil tahu tentang urusan ladang. Semuanya diserahkan bulat-bulat kepada Pak Akob anak-beranak.
Penerangan Mama Mira menyedarkan Dahlia tentang warisan yang ditinggalkan ayah. Sebagai anak, dia wajib mempertahankannya.
“Tapi ma, Pak Akob memang boleh diharap,” katanya membela diri.
“Kau percayakan dia seratus peratus?” Sekali ini Dahlia meneguk liur, payau.
“Kau pernah semak akaun kredit dan debit ladang? Berapa modal dan untung? Berapa banyak upah dikeluarkan untuk urusan penyelenggaraan? Mama lihat, banyak yang lari daripada sasaran asal,” Mama Mira memang hebat dalam urusan perniagaan. Mungkin mewarisi sifat ayah.
Kerana percaya Mama Mira lebih berpengalaman daripadanya, Dahlia menyerahkan urusan itu kepadanya. Namun Dahlia tahu, Pak Akob tidak mungkin menyeleweng. Mungkin hanya salah faham Mama Mira sahaja.
Sejak itu, Mama Mira sering turun ke ladang walaupun urusan pembayaran dan pengeluaran cek masih ditandatangani oleh Dahlia. Bukan Dahlia tidak ingin turut serta tetapi dia selalunya sibuk dengan urusan di sekolah dan murid-muridnya. Pulang ke rumah, badan sudah penat dan memerlukan rehat untuk melepaskan lelah.
Hujung minggu pun kadang-kadang ada aktiviti di sekolahnya. Hari minggu pula adalah merupakan hari istirehatnya juga hari mendobi dan mengemas rumah. Mama Mira juga kini mulai menjalani hari-hari yang agak sibuk. Kalau tidak ke ladang, dia akan ke Koperasi Peladang. Dahlia mengkagumi kegigihan Mama Mira menguruskan hasil ladang mereka.
Sesekali, Dahlia bertandang ke rumah Mak Dah. Orang tua itu tetap ramah menyambut kedatangannya walaupun Mama Mira kelihatan agak kurang menggemari mereka. Mungkin kerana dia sudah terlalu lama di bandar sehingga terlupa akan kemesraan yang pernah dipupuk bersama keluarga ini.
“Mama Mira kamu ke mana Lia?” Tegur Mak Dah.
“Biasalah Mak Dah. Dia ke ladang.”
“Kamu tak ikut?”
“Tak. Lia nak bersihkan rumah dan basuh kain baju. Hari-hari minggu inilah Lia dapat menghabiskan masa di rumah.”
“Hemm…eloklah begitu.” Tangan Dahlia pantas mengopek ikan bilis Mak Dah dan dikeluarkan isi perutnya lalu diasingkan ke tepi.
“Apa yang eloknya, Mak Dah?”
“Eloklah. Anak dara duduk di rumah. Belajar mengemas dan memasak. Senang kalau dah berumah tangga nanti.” Dahlia tersenyum mendengar komen Mak Dah. Sebenarnya dia tahu, Dahlia memang pandai memasak dan boleh diharapkan ke dapur.
“Lagipun petang ni, ada majlis pengajian di surau, kan?”
“Aa…Lia ada nak bawa makanan ke?”
“Lia ingat nak buat kuih donut sikit la, Mak Dah.”
“Lia dah bancuhkan adunannya?”
“Belum.”
“Kalau gitu, bawalah tepung tu ke sini. Boleh kita buat sama-sama,” pelawa Mak Dah, menawarkan diri untuk membantu.
“Emmm…bagus juga tu. Nanti Lia ambilkan.”
“Hemm…sebelum Mak Dah terlupa, Lia bila lagi nak berumahtangga? Mak Dah rasa, umur Lia pun bukannya muda sangat lagi.” Dahlia termenung panjang mendengar pertanyaan dan ulasan selari Mak Dah.
“Lia marahkah? Mak Dah minta maaf la kalau menyinggung perasaan Lia. Mak Dah cuma bertanya ikhlas.”
“Err..tak apa Mak dah. Lia tak apa-apa. Belum ada jodoh agaknya.”
“Tak adakah Lia berkawan dengan siapa-siapa masa kat universiti dulu?” Dahlia teringatkan Zamani. Sudah terlalu lama dia tidak mendapat khabar berita tentang lelaki itu. Mungkin sekarang sudah berkahwin dengan Liyana.
“Lia dengar ke apa yang Mak Dah tanya? Tak baik anak dara suka termenung.” Dahlia tertawa kecil.
“Sebenarnya, ada yang bertanyakan tentang Lia,” Hmm…itu rupanya tujuan pertanyaan Mak Dah yang meleret-leret tadi.
“Siapa?” Ingin juga Dahlia tahu siapakah gerangan yang telah terpaut hati dengannya.
“Mail anak Wak Sarni. Dia masih di Port Dickson tetapi meminta emaknya mencarikan gadis di kampong ini untuk dijadikan calon isteri. Syaratnya, gadis itu mestilah seorang guru atau kerani,” Dahlia membiarkan Mak Dah terus berceloteh. Jengkel hatinya dengan syarat yang dikenakan oleh Ismail itu. Hmm…bukan hati yang dicarinya tapi pekerjaan yang menjadi keutamaan.
“Tak lama lagi tamatlah latihan Mail di PD tu. Sebab itulah dia suruh emaknya cepat-cepat carikan calon isteri,” Dahlia terus mendiamkan diri.
“Macam mana Lia? Lia setuju tak?”
“Tak apalah Mak Dah. Lia tunggu orang yang menyayangi Lia kerana diri Lia. Bukan kerana pekerjaan Lia yang dijadikan ukuran dan syaratnya. Berkahwin bukan untuk sehari dua. Kalau pekerjaan yang dijadikan sandaran, alamat tak bahagialah hidup Lia selamanya. Dia bukan nak kahwin dengan Lia tetapi dia nak kahwin dengan cikgu.” Kini, giliran Mak Dah pula yang terlopong mendengar hujahan Dahlia.
“Tak apalah Lia. Kalau Lia tak setuju, Mak Dah akan cakapkan nanti. Mak Dah cuma sampaikan amanat orang. Mak Dah harap Lia tak marahkan Mak Dah, ya,” Mak Dah terasa seakan-akan bersalah pula.
“Tak mengapa Mak Dah. Lia faham. Buat masa ini biarlah Lia sendiri dulu. Kalau ada jodoh nanti, kahwinlah Lia. Kalau tidakpun, Lia redha bersendirian.
“Mak Dah dengar cerita, anak Mama Mira kamu siapa tu? Addin dan Ashraf nak balik ke sini. Betul ke?”
“Balik sekejap Mak Dah. Diorang cuti sekolah,” Dahlia teringatkan adik-adiknya. Sudah besar panjang mereka kini. Teringatkan kenakalan mereka masa kecil-kecil dulu, mencuit perasaan Dahlia. Tidak sabar rasanya menunggu kepulangan mereka berdua.
“Lia balik dululah, Mak Dah. Nak ambil bahan-bahan untuk buat donut tu.”
“Lia makan tengah hari di sini sajalah nanti, ya. Mak Dah pun sorang saja ni. Pak Akob dan Alang Bidin biasanya jarang pulang makan tengah hari.” Dahlia tahu. Mereka mengupah seorang tukang masak untuk memasak makanan pekerja ladang. Pasti Pak Akob dan Alang Bidin di sana, makan bersama-sama pekerjanya.
Dahlia juga tahu, Pak Akob disenangi oleh kebanyakan pekerja-pekerja ladang. Dia pandai mengambil hati dan menjaga kebajikan para pekerja. Ini menyebabkan mereka tidak perlu mengupah pendatang asing kerana pekerja tempatan sanggup bekerja di bawah pimpinan Pak Akob.
Sedang mereka menikmati hidangan tengah hari, Pak Akob tiba-tiba muncul di ambang pintu dapur. Wajahnya keruh bagaikan ada masalah yang menimpa. Dahlia dapat melihat kegelisahan itu.
“Kenapa bang? Selalunya abang tak balik makan tengah hari? Mana Bidin? Saya tak dengar bunyi enjin kereta pun. Ada masalah apa?” Mak Dah mengeluarkan soalan yang bertubi-tubi. Yang mana satu mahu dijawab dan diterangkan terlebih dahulu. Akhirnya, Pak Akob mengambil keputusan untuk berdiam diri. Dia menghampiri mereka berdua.
“Pak Akob nak berbincang dengan Dahlia,” suara Pak Akob kedengaran mendatar. Dahlia terkedu. Selama ini, dia jarang berbual dengan Pak Akob. Selalunya, Mak Dah yang menjadi orang tengah antara mereka.
BAB 33
“Maafkan Lia, mama. Lia cuma nak bertanya,” Dahlia tercari-cari kata-kata yang sesuai agar tidak mengguris perasaan Mama Mira. Mama Mira menoleh ke arahnya selepas mengunci keretanya atau lebih tepat lagi kereta yang selalu digunakan oleh Pak Akob.
“Hem…tanya apa Lia?” Tegang suara Mama Mira.
“Kenapa mama ambil kereta Pak Akob?” Dahlia menuturkan kata-kata.
“Ambil? Kereta Pak Akob? Lia, kereta mewah ini dibeli dengan menggunakan duit syarikat. Duit hasil ladang kita,” pertama kali dia mendengar perkataan ‘syarikat’ dituturkan bagi merujuk kepada ladang mereka. Apakah produk ladang mereka telah naik taraf sehingga boleh menubuhkan syarikat? Dahlia sudah semakin jauh ketinggalan nampaknya.
“Kereta ini dibeli tunai, Lia. Tunai. Kau dengar tu? Mama dah semak semua penyata kira-kira. Tiada debit yang direkodkan. Mereka sewenang-wenangnya menggunakan duit kita untuk kepentingan diri sendiri.”
Dahlia semakin keliru. Kenapa Mama Mira benci sangat dengan Pak Akob? Walhal selama ini, Pak Akoblah yang banyak membantu mereka. Menguruskan ladang kelapa sawit dan kebun getah mereka. Mencari pekerja untuk mengusahakannya. Kalau tidak kerana jasa Pak Akob, sudah lama ladang-ladang itu terbiar begitu sahaja.
Memang mereka tidak pernah menggajikan Pak Akob. Biasanya, duit hasil ladang-ladang itu diserahkan kepada Dahlia dan selebihnya diambil oleh Pak Akob untuk belanja dirinya dan belanja pengurusan semula ladang.
Dahlia malas hendak bertekak dengan mamanya. Dia mengharapkan agar hubungan Mama Mira dan Pak Akob akan kembali pulih. Tidak mahu melihat mereka sekeluarga berantakan.
Dahlia juga terperasan. Terkadang, sikap Mama Mira agak pelik. Tiada angin, tiada rebut, tiba-tiba sahaja sikapnya boleh berubah pada bila-bila masa. Elok-elok tertawa bahagia, tup-tup memuncungkan mulut dan menarik muka empat belas.
Terkadang, Dahlia rasakan mereka bukan seperti anak dan emak tetapi lebih kepada kakak dan adik. Terkadang, Dahlia juga terpaksa beralah apabilanya mamanya telah mulai menunjukkan muka mencerut asam kepingnya.
Dahliapun sukar menyelami perasaan mamanya. Pernah sekali, Dahlia membeli sehelai baju kurung moden kain lace berhias labuci tetapi Mama Mira tertarik dengan baju itu. Tidak ingin melihat mamanya merajuk, Dahlia serahkan baju itu kepada Mama Mira, sebagai hadiah katanya. Mama Mira tersenyum senang dengan pemberian itu.
Hampir setahun tinggal serumah, Dahlia masih tidak dapat memahami mamanya.
Kepulangan Addin dan Ashraf mungkin dapat meredakan sedikit perasaan Mama Mira. Namun rupa-rupanya, kepulangan mereka juga membawa seribu satu masalah lagi. Ashraf merayu-rayu meminta mama memberikannya wang kerana dia perlu membayar saman. Nasib baik saman sahaja, kalau dipenjarakan, lagi parah jadinya.
Umur baru setahun jagung tapi sudah ada keinginan untuk memandu kereta. Walaupun baru di bangku sekolah menengah rendah, Ashraf sudah boleh memandu kereta. Dahlia tidak tahu, selama ini, Ashraf curi-curi memandu kereta ibunya. Lagipun bukannya susah sangat hendak mengendalikan kereta auto seperti kereta bapa kawannya yang dicuri pandu.
Cuti dua minggu lepas, Ashraf ke rumah temannya. Mereka mencuri pandu kereta ayah kawannya itu dan entah apa malangnya, mereka tertangkap dalam saman laju. Nasib baik, ayah kawannya hanya meminta dia membayar saman. Kalau dituduhnya, Ashraf memandu keretanya yang dicuri, lagi parah jadinya. Silap-silap haribulan, mungkin Ashraf akan dibuang atau sekurang-kurangnya digantung persekolahan.
Dahlia ingatkan hanya satu itu sahaja perbuatan salah Ashraf tetapi rupa-rupanya tidak. Dia turut mencalarkan kereta ayah temannya itu. Entah bagaimana pula calarnya, tidak pula dijelaskan secara terperinci oleh Ashraf. Cuma, ayah temannya meminta ganti rugi tiga ribu ringgit. Tiga ribu ringgit? Tentu kerosakannya teruk.
Dahlia trauma bila disebutkan tentang kemalangan kereta. Kenangan lama pasti mengimbau di benaknya tentang kehilangan ayah dan ibu tercinta akibat kemalangan di jalan raya.
“Ponnn…,” Tersentak Dahlia dengan bunyi hon itu. Dia mengurut-urut dadanya. Agak tidak bersetuju dengan cara pemandu itu membunyikan hon keretanya. Dahlia menyisih ke tepi. Bukan dia berada di tengah jalan raya pun. Dia sedang berjalan di lorong pejalan kaki yang disediakan.
Kereta itu berhenti di sebelahnya dan cermin tingkap diturunkan.
“Lia,” Dahlia menoleh.
“Mail?”
“Dah tak kenal? Marilah naik. Mail hantarkan. Lia nak ke mana?” Maunya tak kenal. Mail yang merisik tentang dirinya melalui Mak Dah. Mail yang hendak berkahwin dengan cikgu atau kerani itu.
“Emm… tak apalah. Lia pun dah dekat ni. Lia nak ke kubur mak dan abah saja,”
“Marilah naik. Apa salahnya. Biar Mail hantarkan,”
“Terima kasih sajalah Mail. Sengaja Lia nak berjalan kaki sahaja,” Dahlia menolaknya dengan cara yang berhemah.
“Marilah. Mail pun ada nak bincang satu perkara penting dengan Lia, ni,” sepertinya Mail sedang mengajak Dahlia ber’dating’.
“Emm… tak apalah, Mail. Lagipun Lia rasa tak berapa manislah dipandang orang.” Dahlia berkata dengan lembut tetapi tegas.
“Marilah. Lagipun bukan selalu Mail dapat jumpa Lia,” desakan Mail yang berterusan itu menjadikan Dahlia lemas dan rimas.
“Maaf, ya, Mail. Lia tak boleh,” kali ini dia nekad. Mail ditinggalkan. Dahlia terus bergerak laju. Mail hanya terkulat-kulat memandang langkahnya. Gear satu dimasukkan, pedal minyak ditekan, berdesup kereta itu melintas Dahlia, meninggalkan asap hitam pekat, bergumpal di udara seakan melepas geram.
BAB 34
“Cikgu-cikgu, minggu depan kita akan terima sekumpulan tetamu. Mereka akan berkampung selama seminggu di sekolah kita. Pasukan Pengakap dari negeri Selangor. Sebenarnya, mereka nak bermalam di Lata Seri Bayu tetapi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini, mereka meminta kebenaran untuk menggunakan padang sekolah kita,” guru besar memberikan penerangan yang panjang lebar semasa perjumpaan khas bersama-sama staf Sekolah Kebangsaan Seri Bayu sebentar tadi.
“Berapa orang yang datang, cikgu?” Cikgu Maimon mencelah.
“Saya difahamkan seramai empat puluh orang bersama empat orang guru pengiring. Saya minta cikgu-cikgu dapat memberikan kerjasama.”
“Apa yang kita kena buat?”
“Emm… sebenarnya, kita cuma diminta untuk menyediakan tempat tapi kita juga perlu bersedia kerana mereka hendak menggunakan padang sekolah kita. Saya harap, Cikgu Aqashah dapat sediakan khemah. Khemah yang dah ada tu perlu diperiksa semula. Saya dah minta kebenaran untuk melibatkan sama murid-murid kita.”
“Murid mana yang kita nak libatkan? Kalau persatuan Pengakap sahaja, tentulah tidak ramai sebab murid kita sedikit.”
“Saya rasa, lebih baik kita libatkan semua murid Tahap Dua dari tiga buah persatuan beruniform iaitu Pengakap, Puteri Islam dan PBSM,” cadang satu suara.
“Saya pun fikir begitu juga. Jadi, guru-guru persatuan akan terlibat sama untuk mengawal murid-murid.” Guru besar bersetuju.
“Maaf, saya bertanya, yang datang ni murid-murid sekolah rendah jugakah?”
“Oh, ya. Saya terlupa nak bagitahu. Pelajar-pelajar sekolah menengah. Mereka akan menjadi kakak dan abang angkat kepada murid-murid kita. Saya minta Cikgu Dahlia dapat bahagikan murid-murid kita kepada beberapa kumpulan untuk memudahkan pengurusan murid semasa ketibaan pasukan itu nanti,” guru besar terpaksa bertindak sebagai pengerusi kerana guru penolong kanan kokurikulum bercuti hari ini.
“Cikgu Ain datang esok, saya akan minta dia buat satu kertas kerja. Kita akan cuba minta sponsor YB untuk tujuan penyediaan makanan. Mungkin juga kita perlu adakan mesyuarat AJK PIBG untuk meminta bantuan orang kampong bagi menjayakan program kita nanti.”
“Cikgu, saya rasa memang kita patut buat perjumpaan dengan ibu bapa dan ketua kampong. Mungkin kawasan jeram itu juga perlu dibersihkan secara bergotong-royong. Lagipun, kawasan itu sudah jarang dikunjungi sekarang ini,” cadang Cikgu Amril.
“Itu jangan cikgu-cikgu risaukan. Saya sudah berhubung dengan ketua kampong. Beliau akan bermesyuarat dengan ahli JKKK dan memang akan menganjurkan satu program gotong-royong untuk membersihkan kawasan lata.”
Dahlia teringatkan lata yang disebutkan oleh guru besar itu. Memang dia pernah ke sana waktu di sekolah menengah dahulu tetapi sebaik sahaja dia mengajar di sini, dia bagaikan terus terlupa akan kewujudan lata berkenaan. Mungkin inilah peluang untuk dia ke sana lagi.
Perbincangan terus dilakukan. Persiapan diatur sebaik mungkin untuk menyambut ketibaan tetamu mereka. Dahlia antara orang yang paling sibuk. Kawasan sekolah juga perlu dipastikan bersih. Walaupun program itu diadakan semasa cuti sekolah tetapi semua guru terpaksa mengorbankan waktu seminggu daripada cuti akhir tahun ini untuk turut serta dalam program yang dianjurkan.
Pagi yang dingin. Dahlia meredah jalan menuju ke sekolahnya. Dia sepatutnya tiba sebelum rombongan dari Selangor tiba. Di jalanan, dia berpampasan dengan beberapa orang ibubapa yang mungkin dalam perjalanan balik selepas menghantar anak-anak yang terlibat dalam aktiviti ini ke sekolah.
Tiba di perkarangan sekolah, sudah ramai teman gurunya menunggu. Dia turut bergabung bersama mereka untuk menyambut ketibaan tetamu. Ketua kampong dan anak-anak buahnya, tidak ketinggalan untuk turut serta. Keadaan begitu rancak dan meriah bagaikan ada satu pesta lagaknya.
Bas rombongan tiba di tepi jeti dan disambut oleh guru besar dan AJK PIBG yang sudah bersedia sejak awal pagi tadi. Mereka dibawa ke perkarangan sekolah dengan berjalan kaki. Dari celah-celah orang ramai itu, Dahlia bagaikan ternampak bayangan seseorang yang dikenalinya. Ah, mustahil. Mungkin dia hanya berilusi. Tetapi, mungkin juga tidak kerana bayangan itu kian menghampirinya.
“Lia, ini Lia, kan?”
“Err…ya, Lia.” Dahlia berpaling. “Zamani?”
“Ya, Zamani. Lia dah lupa?”
“Tak………Lia terkejut.” Dahlia tidak menipu. Dia memang betul-betul terkejut.
*******************************************************************
“Sayang nak pergi ke mana?”
“Apa?”
“Sayang nak pergi ke mana?”
“Apa?”
“Sayang nak pergi ke mana? Tak dengar ?” Zamani memperkuat suaranya. Dahlia tertawa kecil.
“Dengar…………..”
“Habis tu, kenapa tanya banyak-banyak kali?”
“Nak suruh abang ulang banyak-banyak kali.”
“Ooo…gitu. Nakal, ya.” Zamani segera menarik hidung Dahlia. Terkejut Dahlia dibuatnya. Zamani berlari memanjat bukit sambil dikejar oleh Dahlia. Termengah-mengah mereka mendaki bukit itu.
Dahlia kepenatan. Dia tidak dapat mengejar Zamani lagi. Dia duduk melepaskan lelah di tepi tebing. Zamani menoleh ke belakang dan terlihat Dahlia nun jauh di tengah-tengah bukit. Dia segera berlari menuju ke arah Dahlia. Dahlia berpura-pura tidak memandangnya. Zamani semakin mendekati Dahlia.
“Kenapa? Lia sakit ke?” termengah-mengah Zamani mengajukan soalan.
“Yee…abang kalah.” Dahlia menarik tangan Zamani dan mereka berguling ke tanah yang landai sambil ketawa girang.
Tiba-tiba suasana jadi sepi. Zamani memandang Dahlia yang berada di sisinya. Segalanya berlaku dengan pantas. Zamani mengucup dahinya, lembut. Dahlia terkejut. Benar-benar terkejut. Dia tidak menolak perbuatan Zamani tetapi air matanya jatuh satu-persatu.
“Kenapa Lia?”
“Kenapa buat Lia macam ni?”
“Maafkan abang, Lia. Abang tidak sengaja. Abang tak dapat kawal perasaan abang.” Zamani meluahkan rasa kesalnya.
Dahlia bangun dan duduk di sebelah Zamani.
“Bukan salah abang. Lia yang salah. Lia tak dapat nak jaga diri Lia sendiri.”
“Jangan cakap begitu, Lia. Abang tak buat apa-apapun. Abang cuma cium Lia. Tak boleh ke?”
“Sejak bila Lia kata boleh?”
“Lia, maafkan abang, ya. Abang janji, lain kali abang tak akan buat lagi.”
Dahlia mengesat sisa-sisa air mata yang tumpah di pipinya.
“Lia, kita kawin, ya.”
“Bila?”
“Cuti semester nanti.”
“Hisy, mana boleh!”
“Kenapa pula tak boleh?”
“Malulah Lia. Baru setahun di sini dah nak kahwin. Kita ada empat tahun lagi, tau.”
“Habis tu, tak kan abang asyik nak pandang Lia saja. Nanti kalau abang tak dapat nak kawal perasaan abang, Lia juga yang susah.”
“Sabarlah dulu, bang. Empat tahun sahaja lagi.”
“Lia tak sudi nak kahwin dengan abang ke?”
“Bukan tak sudi tapi belum sampai waktunya, kan.”
Bayu Laut Selat Tebrau berpuput lembut, menerbangkan juntaian rambut Zamani yang jatuh di dahi. Beberapa orang kanak-kanak dengan ditemani ibu bapa masing-masing kelihatan berlari-lari riang di perkarangan Istana Besar Johor Bahru. Dahlia dan Zamani mengalihkan pandangan kepada kanak-kanak itu.
“Lia, nanti abang nak ramai anak, ya.”
“Berapa ramai abang nak?”
“Enam orang. Tiga lelaki, tiga perempuan.”
Dahlia tersenyum mendengar angan-angan Zamani. Dia membiarkan Zamani terus mengelamun tentang masa depannya.
“Salah seorang daripada anak kita nanti mestilah bernama Alifah Ilyana.”
“Nama apa, bang?”
“Alifah Ilyana.”
“Kenapa mesti Alifah Ilyana?”
“Abang sukakan nama tu. Lagipun maknanya bagus.”
“Apa maknanya, bang?”
“Mudah mesra dan lembut.”
“Habis tu, yang lain-lain tu nak namakan apa?”
“Yang lain-lain tu, kita fikirkan kemudianlah…” Zamani menutup bicaranya dengan senyuman penuh makna.
Mereka terus menghirup udara segar di kawasan perbukitan itu. Langit petang tampak cerah dengan gumpalan awan putih yang memayungi bumi. Angin laut terus menderu meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa kedua anak muda yang sedang dilamun cinta itu.
Perlahan-lahan Dahlia mengalunkan irama lagu ‘Tanjung Puteri’ dan perlahan-lahan juga Zamani menurutinya. Mereka menyanyi sambil menikmati keindahan alam ciptaan ALLAH yang Maha Agung ini.
Petang kian berangkat ke penghujungnya, memaksa keduanya bergerak meninggalkan kawasan perbukitan di halaman Istana Besar Johor Bahru dengan seribu kenangan yang indah dan bakal diingati sepanjang usia.
“Lia mengajar di sini? Sekolah rendah?” Lontaran suara Zamani mengejutkan Dahlia dari lamunannya. Kenangan percintaan kampus mereka lenyap semerta.
“Kenapa? Tak percaya?”
“Tak adalah. Kawan-kawan lain ke sekolah menengah. Lia pula ke sekolah rendah. Rasa hairanlah juga.”
“Apa yang nak dihairankan. Guru kelas pra-sekolah pun lepasan universiti.”
Zamani hanya mengangguk-anggukkan kepala.
“Lia dah kahwin?” Dahlia tertawa kecil mendengar pertanyaan Zamani. Dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Abang pun masih solo. Mungkin ada hikmahnya kita dipertemukan semula.”
Dahlia hanya tersenyum. Setelah dua tahun lebih tidak bersua, dia bagaikan sudah lupa bagaimana mahu mencintai pemuda ini semula. Malahan, dia juga sudah lama tidak mendengar ungkapan cinta. Setelah kering air matanya tertumpah kerana menangisi kehilangan cintanya, mustahil dia dapat menerima Zamani semula, semudah ini.
Tapi, hati seorang Dahlia, siapakah yang dapat menduga?
“Lia,” Dahlia berpaling. Waktu itu dia sedang duduk-duduk di atas sebongkah batu besar di tepi Lata Seri Bayu sambil memerhatikan anak-anak muridnya mandi-manda. Bimbang sesuatu yang buruk menimpa jika anak-anak itu tidak diawasi. Dalam keseronokan mereka bermain, terkadang anak-anak ini lupa akan keselamatan diri.
Zamani datang dan duduk di sebelahnya.
“Mana Aqashah?” tanya Zamani.
“Dia pulang ke sekolah sekejap. Kenapa?”
“Selalunya, dia yang menemani Lia sampaikan abang tidak punya kesempatan untuk mencelah,” Dahlia tertawa kecil mendengar rungutan Zamani.
“Lia ada hubungan istimewakah dengan dia?” sekali lagi Dahlia tertawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Masihkah ada cemburu yang bersisa di hati Zamani?
“Kenapa nama Aqashah yang abang bangkitkan sedangkan yang selalu menemani Lia ialah Amril,” Dahlia cuba membetulkan kenyataan.
“Abang tidak melihat sinar ceria di mata Lia sewaktu bersama Amril tetapi abang lihat sinar kebahagiaan itu sewaktu Lia bersama Aqashah,” Dahlia terdiam mendengar ulasan Zamani. Sinar ceria? Sinar kebahagiaan? Apakah ertinya itu?
“Lia, terus-terang abang katakan, sudah lama abang tidak melihat sinar cinta yang membara di mata Lia. Dan abang tahu, saat ini tiada lagi sinar itu untuk abang.” Dahlia segera menoleh ke arah Zamani. Memandangnya tepat-tepat.
“Ya, Lia. Abang tak nampak lagi sinar cinta itu di mata Lia sekarang. Lia memandang abang dengan pandangan kosong tanpa perasaan cinta yang membuak-buak seperti dulu. Tanpa sebarang kerinduan walaupun sudah lama kita tidak bertemu.” Kalaulah sejak dulu lagi Zamani dapat membaca makna sinar matanya, kenapa dulu dia dikhianati?
Sebenarnya, memang tiada lagi sinar cinta di mata Dahlia. Tidak untuk Zamani dan tidak juga untuk Aqashah malahan tidak juga untuk mana-mana lelaki di atas muka bumi ini. Ingin Dahlia luahkan ungkapan itu buat santapan telinga Zamani tetapi dia tidak sampai hati. Biarlah. Biarlah dalam masa seminggu ini, dia hanya mendengar keluh-kesah Zamani. Namun untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya, tidak akan sekali-kali.
Untuk apa dia mencurahkan perasaannya? Untuk menagih simpati? Atau untuk menagih kembali kasih Zamani? Tidak. Tidak sama sekali. Dia bimbang, jika Zamani mengetahui prinsipnya kini, Zamani akan terus-terusan memujuknya. Bukan bimbang hatinya bakal cair semula tetapi bimbang jika dia bakal melukai hati Zamani dengan kenyataannya yang mungkin agak keterlaluan.
Biarlah Zamani tidak tahu. Biarlah Zamani menyangka bahawa dia punya hubungan istimewa dengan Aqashah. Sekurang-kurangnya, dia terselamat untuk kali ini.
Seminggu bersama, mereka berpisah sekali lagi. Kini, perpisahan yang terjadi tidak sesakit perpisahan yang lampau. Kesakitannya telah lama dilupainya namun masih berbekas hingga kini.
Sesekali,
Aku mencari dirimu
Di celah dedaun yang kering.
Sesekali,
Aku mencari helaian dedaun waktu
Yang gugur satu…satu.
Sesekali,
Kuhimpunkan nyanyian beburung pagi
Lalu kusangkut di tiang hari.
Sesekali,
Pabila hujan mula gerimis
Mentari mulai luruh
Kau tiada lagi di sini…
Aku masih menghitung jejari senja
Melewati waktu.
Aku tidak akan mengutip namamu
Di antara pemusafiran hidup ini
Seperti selalu
Jika takdir menentukan kita.
Itu adalah lebih baik
Jika tidak,
Aku tidak dapat berbuat apa-apa.
“Satu soalan yang Lia nak tanya sebelum kita berpisah,” Zamani menoleh ke arah Dahlia.
“Bukan satu, sepuluh soalan pun, tanyalah. Abang akan cuba menjawabnya.”
“Kenapa abang tak kahwin dengan Liyana?”
“Emmm….kata ibu, dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu ialah wanita yang solehah.” Dahlia tidak mengerti.
“Apa salahnya dengan Liyana?”
“Kata ibu lagi, hendaklah kamu memilih wanita-wanita yang perawan kerana sesungguhnya mereka itu lemah lembut kata-katanya. Boleh melahirkan anak yang banyak, kurang tipu daya dan sentiasa cukup dengan yang sedikit,” Dahlia semakin tidak mengerti. Zamani bukan bercakap berlandaskan kata ibunya tetapi menggunakan hadis segala.
“Lia, awasilah kamu dari zina kerana pada zina itu ada empat perkara. Pertama, menghapuskan kejernihan pada wajah. Kedua, memutuskan rezeki. Ketiga, dimurkai ALLAH s.w.t dan keempatnya ialah kekal di dalam neraka,” mendengar hadis riwayat Imam At Tabrani r.a yang dibacakan oleh Zamani itu membuatkan Dahlia semakin mengerti gelodak yang melanda jiwa anak muda itu.
“Kenapa abang tak ambil dia? Selamatkan dia dan maruahnya yang abang cemari dulu?”
“Memang itulah niat abang. Abang telah bertaubat dengan taubat nasuha dan abang ingin memikul tanggungjawab atas apa yang abang perbuatkan. Tapi…ianya tidak semudah itu. Liyana bukanlah seorang gadis yang mudah untuk dibentuk dan dikawal. Katanya, abang ini terlalu kolot. Dia tidak mahu dikongkong. Biarkan dia dengan cara dia. Akhirnya, kami terpaksa memilih haluan hidup masing-masing.” Terdengar Zamani mengeluh perlahan.
“Mungkin semua ini adalah balasan Tuhan atas dosa abang mengecewakan Lia. Maafkan Abang, Lia. Abang pohon keampunan Lia. Jangan belenggu hidup abang dengan dosa-dosa yang abang lakukan terhadap Lia.” Dahlia tersentak.
“Kenapa? Adakah abang masih diburu oleh dosa-dosa yang lalu?”
“Selamanya. Hidup abang selama ini pun memang tidak pernah tenang. Tidur malam abang sering terganggu. Rasa bersalah dan penyesalan masih menghantui hidup abang,” Zamani semakin membongkar kisah perjalanan hidupnya setelah dunia kampus mereka tinggalkan.
“Kenapa abang tak hubungi Lia?”
“Abang malu.”
“Malu? Hmm… malu dengan Tuhan adalah lebih mulia dibandingkan malu dengan makhlukNya.”
“Sebab itulah bila bertemu Lia di sini, abang rasakan bahawa abang memang dilorongkan untuk bertemu Lia. Abang ingin mohon keampunan yang amat dan abang harap hidup abang akan lebih tenang selepas ini.”
“Kenapa tak jumpa Lia di hari terakhir kita di kampus?”
“Abang malu.”
“Malu lagi?”
“Abang ini orang berdosa, Lia. Abang terlalu takut seandainya dosa abang ini tidak diampunkan.”
“Abang, ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, bang,”
“Bukan keampunan ALLAH yang abang bimbangkan kerana abang tahu, ALLAH mengasihi hamba-hambaNya yang bertaubat dan memohon keampunan. Tapi, abang ingin mohon keampunan Lia. Seorang insan yang pernah abang sakiti hatinya. Maafkan dan ampunkan abang, Lia.”
“Ya ALLAH, bang. Kenapa begini sekali abang merendahkan diri abang? Siapakah Lia untuk menghukum abang dengan dosa-dosa abang? Tentang kesalahan abang terhadap Lia, sudah lama Lia maafkan abang. Tidak tersimpan dendam di hati Lia.”
“Syukur, Lia. Abang harap, hidup abang selepas ini akan lebih tenang. Abang juga doakan agar Lia berbahagia di samping Aqashah.”
Aqashah lagi? Ah, biarkanlah Zamani terus dengan firasatnya. Dahlia hanya mendiamkan diri.
No comments:
Post a Comment