BAB 38
“Lia, sampai bila Lia nak bersendiri?” pertanyaan yang terbit dari bibir Aqashah saat mereka selesai melatih murid-murid di padang untuk aktiviti olah raga.
“Sampai bila-bila.”
“Sampai bila-bila, bila?”
“Entahlah. Lia pun tak tahu,”
“Lia, alangkah indahnya nikmat yang Allah turunkan. Menjadikan manusia berpasangan-pasangan. Lelaki pelengkapnya wanita. Wanita pelengkapnya lelaki. Tidak inginkah Lia menjadi isteri yang melahirkan zuriat dan menambahkan umat Muhammad?”
Dahlia hanya membiarkan angin petang menyapu wajahnya yang semakin merona kemerah-merahan. Dia cuba menahan getaran di dadanya.
“Atau…Lia masih menantikan Zamani? Sedangkan Zamani entah ke mana ghaibnya. Mungkin sekarang dia sedang berbahagia bersama isteri dan anak-anaknya. Lia pula di sini masih mengharapkan kehadirannya.”
“Please, Shah. Tolonglah. Jangan diungkitkan kisah Zamani. Lia dah lupakan dia. Lia tidak pernah mengharapkan dia kembali lagi dalam hidup Lia.”
“Habis tu, apa yang Lia nantikan?”
“Lia tak nantikan sesiapa pun.”
“Lia nak tunjukkan yang Lia seorang kekasih yang setia? Lia rela tidak berkahwin semata-mata untuk membuktikan bahawa masih ada lagi kekasih yang setia dalam dunia ini?’
Dahlia membeku.
“Come on lah. Lia. Ini bukan dalam filem. Ini bukan cerita Hindustan. Setia sampai hujung nyawa dan akhirnya berkahwin dengan kekasih yang dicintai. Bangunlah, Lia. Pandanglah dunia ini dengan segala keindahannya. Jangan biarkan masa berlalu begitu sahaja. Sampai bila Lia nak meratapi kekecewaan itu?”
“Lia sudah tidak percayakan cinta dan lelaki lagi,” perlahan sahaja suara Dahlia berbisik.
“Bukan Shah suruh Lia percayakan lelaki. Tetapi Lia kena percayakan janji Allah. Selama di Kota Suci Makkah, Shah juga mendoakan agar Lia temui pencarian Lia di sana. Walau pun bukan Shah yang menjadi pilihan Lia, Shah redha. Shah cuma nak lihat Lia bahagia.”
Dahlia kelu. Dia menoleh menatapi wajah Aqashah.
“Lia, Allah berfirman dalam Surah Ar Rum ayat 21, Di antara tanda-tanda kebesarannya, diciptakanNya bagi kamu pasangan suami isteri dari diri kamu merasa ketenteraman antara satu dengan lain dan dijadikanNya kasih sayang dan belas kasihan antara kamu. Sesungguhnya di dalam hal itu menjadi keterangan bagi orang-orang yang berfikir.”
Dahlia masih membisu meskipun hatinya sedikit tersentuh.
“Lia, Shah pernah buat solat Istikharah. Shah temui Lia di sana. Walau pun Lia tak terima Shah. Shah tak kisah. Tapi Shah tahu, Lia lah tulang rusuk Shah yang hilang itu, insya Allah.”
Dan keremangan petang yang kian melarut itu menyaksikan air mata Dahlia meleleh menerjuni pipinya.
“Lia, maafkan Shah sekiranya Shah membuatkan hati Lia tersentuh. Tapi, semenjak Lia hadir dalam mimpi-mimpi dan hidup Shah, Shah merasakan bahawa antara kita ada satu ikatan jiwa yang menyatukan.”
Air mata Dahlia kian menderas. Memang dia akui, dia juga sering merindui pemuda itu, pemuda yang juga sering hadir dalam mimpi-mimpinya. Namun, sejauh manakah dia mampu membohongi hatinya?
“Lia, jangan disia-siakan usia muda Lia kerana muda tidak akan selamanya. Jangan sampai satu saat, Lia akan menyesal buat kali yang keduanya. Shah tidak mempertahankan lelaki tapi bukan semua lelaki tidak boleh dipercayai seperti anggapan Lia.” Suasana hening kembali menyelubungi mereka. Anak-anak sekolah semakin ramai yang bergerak meninggalkan padang. Dahlia dan Aqashah masih duduk di bangku panjang berhampiran makmal Sains, menghadap ke padang.
Dahlia menyeka air matanya supaya tiada yang melihatnya dan menaruh syak yang bukan-bukan. Murid-murid itu telah dilepaskan untuk pulang ke rumah masing-masing. Sebelum berlalu, mereka singgah bersalaman dengan Dahlia dan Aqashah.
“Lia, walaupun mungkin tiada rasa cinta di hati Lia tapi bagi Shah, cinta boleh disemai di dalam jiwa setelah berumahtangga.” Dahlia hanya membisu.
“Lia tak mahu pulang?” Aqashah bangun.
Sebagai jawapannya, Dahlia turut bangun mengekori langkah Aqashah.
“Shah, sebenarnya ada satu rahsia yang Lia sembunyikan dari Shah…,” terhenti langkah kaki Aqashah mendengar halus suara Dahlia. Dia menoleh memandang ke arah gadis itu.
“Emm…boleh Shah tahu?” Dahlia kembali duduk di bangku panjang. Aqashah turut duduk di sebelahnya.
“Lia tak minta Shah janji apa-apa pada Lia tapi Lia harap Shah tidak akan menyisihkan diri dari Lia setelah Shah tahu rahsia ini.”
Aqashah semakin tidak sabar. Naluri ingin tahunya berkobar-kobar.
“Hmm…nasib Lia sama macam nasib Maisarah,” Dahlia berjeda. “Lia anak luar nikah. Ibu dan ayah yang menjaga Lia adalah nenek dan datuk Lia yang sebenarnya manakala mama Lia yang sebenarnya ialah orang yang selama ini Lia sangkakan kakak sulung Lia iaitu Mama Mira.”
Aqashah meneguk liur.
“Itukah sebabnya kenapa Lia menolak semua lelaki yang hadir dalam hidup Lia?”
“Ya.”
“Lia, sebenarnya Shah dah tahu status diri Lia.”Dahlia tersentak.
“Shah tahu? Bila? Daripada siapa?”
“Sewaktu mak dan ayah pergi merisik Lia hari tu, Shah ada bersama tapi Shah tak turut naik ke rumah Lia. Shah bersiar-siar sekitar kampong dan singgah di sebuah rumah berhampiran rumah Lia juga. Kalau tak silap, pak cik yang Shah jumpa itu namanya Pak Akob. Dia yang bagitahu semua rahsia tentang Lia.”
Kali ini giliran Dahlia pula meneguk liur.
“Habis tu, macam mana penerimaan Shah terhadap Lia sekarang?”
“Dulu dan sekarang sama sahaja. Kasih sayang Shah tidak pernah berkurangan. Jika diberikan keizinan, Shah ingin membuktikan kasih sayang ini dengan sebenar-benarnya iaitu setelah kita berumahtangga.” Dahlia semakin terharu dengan penjelasan Aqashah.
“Lia, rencah hidup ini pelbagai. Semua yang Allah jadikan ada hikmahnya. Kita tidak tahu sekuat mana iman kita sehinggalah kita diuji. Ini ujian dan ketetapan yang diutuskan buat Lia. Jika Lia merasakan bahawa ujian buat Lia ini sudah terlalu hebat, ujian buat orang lain juga ada yang lebih hebat.” Dahlia membungkam.
“Jangan ditangisi dan dikesali sejarah masa lalu yang tak mungkin dapat ditarik kembali. Kesilapan itu bukanlah berpunca daripada Lia. Lia hanya menjadi mangsa kepada keadaan. Syukurilah nikmat yang telah Allah limpahkan kepada Lia selama ini.”
Kata-kata dan nasihat Aqashah memberi kesan mendalam di jiwa Dahlia. Hatinya yang robek bagaikan dijalin semula dan dijahit satu persatu.
“Dalam hidup ini usahlah diharapkan semuanya yang baik-baik sahaja. Kita harus bersedia untuk berdepan dengan segala kebaikan dan keburukannya. Shah menyukai Lia dan ianya tiada kaitan langsung dengan status diri Lia. Malahan Shah akan rasa lebih tenang jika Shah dapat mengembalikan keceriaan hidup Lia. Fitrahnya hidup ini adalah berpasang-pasangan. Lia harus akur dengan ketetapan ini.”
“Shah…:,” setelah sekian lama menyepi, Dahlia terpanggil untuk bersuara. Aqashah menumpukan perhatian, ingin mendengar ungkapan selanjutnya dari bibir gadis idamannya itu.
“Ya, Lia.”
“Kenapa Shah sendiri pun tak kahwin lagi? Sekarang baru ingat nak kahwin. Shah pun bukannya muda sangat lagi. Apa… Shah pernah putus cinta juga ke?” Aqashah tertawa kecil mendengar tebak Dahlia.
“Emm…bukan Shah tak nak kahwin tapi Shah belum temui tulang rusuk Shah yang hilang tu.”
“Itu sajalah alasannya. Lia tak percaya.”
Aqashah menarik nafas panjang.
“Bukan Shah tak nak kahwin, Lia. Tapi waktu itu Shah masih punya tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Shah bukan berasal dari keluarga yang kaya-raya. Ayah pula meninggal waktu Shah baru selesai menghadapi peperiksaan SPM. Shah anak sulung. Adik-beradik lima orang. Mak pula hanya buat kuih jajaan dari rumah ke rumah,” Dahlia meneguk liur. Baru kali ini berkesempatan mendengar kisah hidup Aqashah.
“Selepas SPM, Shah mohon untuk memasuki maktab perguruan. Sementara itu, Shah menjadi guru sandaran dan guru ganti di beberapa buah sekolah. Duit yang Shah dapat itu, kami gunakan untuk perbelanjaan kami sekeluarga. Waktu itu, adik-adik masih kecil lagi. Kini, adik-adik Shah sudah berjaya dan bekerjaya. Ada yang sudah berkahwin. Cuma, abang long mereka ini sahaja yang masih bersendirian,” Aqashah berhenti seketika, menyusun kata-kata.
“Tapi, yang datang ke rumah Lia hari tu, bukankah mak dan ayah Shah?” Aqashah tertawa kecil mendengar pertanyaan Dahlia.
“Ayah saudara Shah sebenarnya. Adik mak. Tapi sejak ayah tak ada, dialah pengganti ayah kami. Sampaikan terbawa-bawa panggilan itu hingga sekarang,” Dahlia semakin mengerti. Angin petang kian mendesah, menggugurkan dedaunan semarak di hujung padang.
“Shah…,”
“Ya, Lia….,”
“Jangan persiakan hidup Lia. Kasihi Lia sepenuh hati. Izinkan Lia menjalani hidup ini bersama-sama Shah selagi hayat dikandung badan.”
“Insya Allah, Lia,” bunga harapannya kian mekar di hujung dahan.
“Dan berjuang bersama-sama Lia di dalam Islam.”
“Insya Allah. Terima kasih, Lia.”
Senja kian melabuhkan tirainya, silir-semilir bertiup perlahan-lahan. Dua anak muda itu diselubungi kesayuan yang sukar untuk dimengertikan oleh insan lain. Hanya kedua mereka sahaja yang tahu apakah hasrat yang tersemat di jiwa masing-masing. Segala kata tiada maknanya lagi saat ini kerana mata mereka telah saling berbicara.
Kulemparkan gentar dan debar bila di sisimu kerana kau telah meyakinkan aku untuk menjadi seorang lelaki yang akan kau panggil suami. Aqashah tersenyum. Dahlia tersenyum. Senyuman yang tembus ke dasar hati. Dan alampun turut tersenyum menyaksikannya.
Berterbanganlah mereka di angkasa raya yang luas sambil menghirup udara segar di setiap tempat persinggahan. Serasakan hidup Dahlia lebih bermakna di atas kesudian Aqashah mencurahkan kasih dan sayang terhadapnya.
BAB 39
“Bang,” Dahlia telah siap berpakaian. Dihulurkannya baju kemeja dan seluar slack hitam kepada suaminya. Aqashah tersenyum menyambut pemberian Dahlia. Sejak mendirikan rumahtangga tiga bulan yang lalu, hidupnya semakin terurus.
Dahlia, teman sekerjanya kini telah menjadi teman hidupnya juga. Siapa sangka? Jodoh pertemuan, ajal maut semuanya dalam perencanaan Allah Taala. Dahlia sendiri tidak pernah menduga, Aqashah yang telah ditakdirkan untuk menjadi peneman sepinya.
Apa yang pasti, dia kini tidak kesepian lagi. Seluruh ruang kosongnya telah diisi dengan kehadiran Aqashah. Tanpa perlu bercinta segala, mereka akhirnya bersatu. Perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik juga. Baik? Adakah Dahlia dari keturunan orang yang baik-baik?
“Lia, abang nak keluar sekejap,” Aqashah memberitahu isterinya.
“Ke mana, bang?”
“Mama minta temankan ke Pejabat Risda,”
Sejak berkahwin, tidak pernah lekang mama dengan Aqashah. Dahlia bukan cemburu malahan dia rasa cukup bahagia. Mama Mira telah dapat menerima kehadiran Aqashah.
Pukul lapan pagi mereka pergi, sehingga sekarang, pukul empat petang, mereka masih belum pulang. Dahlia keresahan. Hendak dihubungi Aqashah, bimbang Mama Mira akan terasa hati.
Dahlia hanya mundar-mandir di dalam rumah. Sesekali, dia menjenguk ke luar. Bimbang sesuatu yang buruk menimpa suaminya. Tiga bulan yang lalu, Dahlia tidak seresah ini kerana tiga bulan yang lalu dia masih lagi bersendirian.
Dahlia tersenyum sendiri tatkala terkenangkan saat-saat Aqashah melamarnya buat kali yang kedua. Kali ini dia tidak menolak lagi. Dia hanya berserah kepada takdir. Mungkin sudah ditentukan Allah, jodohnya kuat dengan Aqashah.
Memang selama tiga bulan ini, Aqashah berjaya membuktikan kata-katanya. Malahan, dia turut melayan Mama Mira dengan baik. Mengambil hatinya sebaik mungkin kerana menyedari hakikat bahawa Mama Mira pernah membencinya dan menghalang perhubungannya dengan Dahlia.
Sebenarnya tadi, Dahlia ingin turut bersama-sama mereka tetapi Mama Mira tidak benarkan. Kata Mama Mira, Dahlia kena tunggu kepulangan Damia kerana Damia perlu dibawa ke kedai untuk membeli peralatan sekolahnya.
Menunggu Damia? Suatu perkara yang tidak pernah dilakukannya selama ini. Malahan Damia juga sudah boleh berdikari. Belum pernah sekalipun dia menyusahkan Dahlia dengan meminta membawanya ke mana-mana. Dahlia cuba menjernihkan mindanya. Dia tidak mahu berprasangka buruk terhadap mama.
Hampir ke pukul enam petang, sama ada bayang Damia mahupun Mama Mira dan Aqashah masih tidak kelihatan. Dahlia hanya berserah segalanya kepada Allah. Semoga suaminya sentiasa di dalam lindungan dan peliharaan Allah jua.
Pukul enam setengah barulah terdengar deruman enjin kereta memasuki perkarangan rumah. Terdengar pintu kereta dibuka dan ditutup, diikuti suara-suara kecil dan besar saling bertingkah. Dahlia mengamat-amati suara itu. Damia? Damia pun ada bersama mereka? Tapi kata Mama Mira…………..
“Maaf. Lia. Abang terlewat balik,” Aqashah mengusap mesra rambut isterinya walaupun Dahlia tidak menunjukkan riak kecewa.
“Kalau pun lewat, hantarlah mesej supaya Lia tahu abang di mana,” Dahlia seakan memprotes.
“Lia tak dapat mesej mama ke? Memang abang nak hantar mesej tapi mama kata dia dah hantarkan dulu.” Dahlia terkedu.
“Emm…Lia tak baca agaknya,” Dahlia sengaja berbohong walhal dia tidak menerima sebarang pesanan daripada Mama Mira. Masih lagi ingin membela mamanya.
“Lia tak marah, kan? Lagi pun, apa salahnya kalau abang nak mengambil hati mak mentua sendiri,” Dahlia memahami ketulusan hati Aqashah.
“Lia jangan bersangka buruk dengan mama, ya. Mama tu cuma nak menumpang kasih saja. Mama tidak pernah mendapat kasih sayang yang sewajarnya daripada arwah suaminya dulu.”
“Mama bagitahu abang?” Wah, sudah menjadi tempat mencurahkan isi hati pula suamiku ini. Desis hati Dahlia tapi dia cuba mempamerkan rupa manisnya agar tidak ketara resah di jiwa.
“Ya. Abang pun kasihan mendengar cerita mama. Sekurang-kurangnya, kita boleh menjadi tempat dia menumpang kasih,” Menumpang kasih lagi. Siapakah yang menumpang sebenarnya? Aku atau dia?
Dahlia tidak sanggup menyuarakan itu di hadapan Aqashah. Bimbang Aqashah menuduhnya cemburu buta. Dengan mama sendiri pun ada perasaan cemburu jugakah?
Pintu bilik mama terbuka lebar. Dahlia hendak ke dapur kerana tiba-tiba sahaja tekaknya terasa haus. Baru sebentar tadi, Aqashah ke dapur. Dia yang menawarkan diri untuk mengambil minuman buat Dahlia tetapi kemudiannya, kembali semula ke bilik mereka dan meminta Dahlia mengambilnya sendiri di dapur.
Hairan juga, kenapa mama tidak menutup pintu bilik tidurnya sedangkan selama ini, pintu bilik itu sentiasa bertutup rapat sehinggakan Dahlia sendiri tertanya-tanya, apakah rahsia yang ada di sebaliknya?
Bilik itu sebenarnya bilik ibu dan ayah tetapi semenjak Mama Mira tinggal di sini, dialah yang mendiami bilik itu. Dahlia menjenguk ke dalam bilik Mama Mira. Mama Mira yang hanya berbaju tidur kain nipis warna merah jambu, sedang tertiarap di atas katilnya. Baju tipis jarang itu pula terselak hingga menampakkan pangkal pahanya. Terselak atau sengaja diselak?
Dahlia menapak perlahan-lahan, menghampiri bilik itu. Dia ingin menutup pintunya. Tetapi sebaik sahaja ditarik daun pintu itu, ianya tersekat. Kenapa, ya? Dahlia memandang ke bawah, sebuah kotak besar dijadikan penghadang agar pintu itu tidak tertutup ditiup angin. Bermakna, pintu ini memang sengaja dibuka. Untuk apa, ya?
Dahlia kembali ke biliknya sambil membawa segelas air suam. Dilihatnya, Aqashah telah membungkuskan diri di dalam selimut tebal mereka.
“Bang, abang dah lena ke?” Tanya Dahlia, perlahan. Aqashah menyelak selimut perlahan-lahan dan menarik isterinya masuk bersamanya.
“Abang nampak apa yang Lia nampak?”
“Syyy…,” Aqashah memberi isyarat kepada isterinya. Bimbang didengar mama di kamar sebelah.
“Mama panas agaknya,” bisik Aqashah pula. Jadi, memang benarlah. Aqashah juga nampak apa yang Dahlia nampak.
Semenjak saat itu, Aqashah perlu lebih berawas. Mama Mira tidak segan silu berkemban di hadapannya. Sengaja mengelap rambut basahnya di hadapan Aqashah terutamanya saat Dahlia tiada bersama.
Sejak akhir-akhir ini, Dahlia semakin memahami, kenapa Aqashah kerap mengajaknya pulang lewat dari sekolah. Kalau pulang awal pun, mereka akan singgah makan dan bersiar-siar dahulu sebelum pulang ke rumah.
Kadang-kadang, Dahlia malu sendiri melihat gelagat mama. Mama sekarang sudah mula berdandan semula. Terkadang, lagaknya seperti anak gadis belasan tahun. Bajunya sendat seperti sarung nangka masak. Hendak ditegur, Dahlia tak sampai hati atau lebih tepat lagi, dia bimbang mamanya akan mengamuk.
Di rumah, mama yang lebih banyak melayani Aqashah. Baru tiba sahaja, mama sudah menyambutnya dengan minuman sejuk dan kini, dia tahu kesukaan Aqashah, kopi o panas dan karipap ubi keledek untuk minum petangnya. Saat Dahlia baru hendak mencapai teko, mama sudah siap dengan hidangannya.
Kalau dulu, mama lebih banyak menghabiskan masanya di ladang tetapi kini, masa terluangnya banyak dihabiskan di rumah. Paling terkejut Dahlia dibuatnya, saat ada perlawanan bola sepak di kaca televisyen. Mama Mira sanggup tidak tidur malam kerana menemani Aqashah menyaksikan perlawanan itu.
Setahu Dahlia, Mama tidak begitu meminati sukan bola sepak. Entah sejak bila dia sudah menghafal nama pemain-pemain handalan dunia. Ryan Giggs la, David Beckam la, Ronaldo la dan entah siapa-siapa lagi. Nama pasukan bola dunia pun dia tahu, kalau setakat Liverpool dan Manchester United itu memang sudah biasa meniti di bibirnya.
Dahlia tidak berani untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Bimbang jika Aqashah tersalah anggap dan untuk sementara waktu ini, sekurang-kurangnya dia tidak perlu mendengar bebelan Mama Mira atau melayani anginnya yang sering tidak menentu.
Di dalam setiap doanya, Dahlia sentiasa bermohon agar Allah memberikannya petunjuk dan ketabahan dalam menghadapi semua ini. Mungkin Aqashah tidak menyedari, dirinya kini jadi perhatian.
Teringat pula dia peristiwa semalam. Aqashah pulang menghantar dia ke rumah sebelum bergegas keluar semula untuk menjadi pengadil dalam perlawanan bola sepak MSSPK peringkat Zon Lenggong di Sekolah Kebangsaan Gelok. Dahlia tidak ikut serta dan dia ingin berehat sahaja di rumah sementara menantikan kepulangan Aqashah.
Sewaktu mereka balik tengah hari itu, Mama Mira tiada di rumah. Pada sebelah petangnya, Dahlia mencapai novelnya yang baru dibeli dan membawanya untuk dibaca di atas buaian besi sambil menanti kepulangan Aqashah. Mama Mira pula sudah siap berpakaian cantik dan asyik mundar-mandir sahaja di halaman rumah bagaikan sedang menantikan seseorang.
Dia kelihatan resah dan gelisah sahaja. Sesekali direnungnya telefon bimbitnya. Mendail dan mendekapkan ke telinganya. Kemudian, berjalan lagi. Dahlia sendiri sudah mula rasa terganggu dengan perlakuan itu. Hmm…kalau berterusan begini, mau layu rumput karpet ni, gumamnya.
“Mama kenapa?”tanya Dahlia, mohon kepastian.
“Mana Aqashah ni, tak balik-balik lagi? Kan dah petang ni?” Kenapa pula mama yang risaukan tentang Aqashah? Sebagai isteri, Dahlia yang lebih berhak mengetahui pergerakan suaminya.
“Aqashah ada program di sekolah, ma,” bagitahu Dahlia, jujur.
“Kalau ia pun, jawab la telefon ni. Ini tidak. Asyik suruh tinggalkan pesanan suara sahaja.”
“Tak ada liputan agaknya mama.”
“Huh!” Mama Mira berdengus.
“Mama nak ke mana sebenarnya?”
“Nak ajak Aqashah temankan ke bandar sekejap. Nak beli baja sawit.”
“Kalau gitu, marilah Lia temankan.”
“Tak payahlah. Kalau dengan Aqashah, dia boleh tolong angkat baja-baja tu masuk dalam boot kereta.”
“Tak apalah, mama. Kita minta tolong pekerja kedai tu yang angkatkan.”
“Hmm…tak payahlah. Dah lewat petang ni. Kedai baja pun dah tutup.” Hmm…tahu pun. Mama Mira berlalu ke dalam sambil merungut-rungut tanpa butir bicara yang dapat difahami. Geram benar nampaknya dia kerana gagal menghubungi Aqashah.
Dahlia pun hairan. Selama ini, mama mana pernah pergi beli baja. Selalunya urusan itu dilakukan oleh pekerja mereka sahaja. Lagi pun baja pula bukan perlu dibeli di kedai kerana apabila tiba masanya, lori pembekal akan datang terus ke ladang menghantar bekalannya.
Dahlia kembali duduk di buaian besi. Mencapai telefon dan menghantar mesej kepada suaminya,
“Abang, mama telefon banyak kali, kenapa tak angkat?”
“Dia nak apa?”
“Nak ajak abang ke bandar beli baja.”
“Tak mau la, Abang penat.”
“Okay, Lia faham. Balik bila?”
“Dah nak balik. Perlawanan dah selesai tapi abang solat dulu di sini.”
“Okay. Sayang abang.”
“Sayang Lia juga.”
Tersenyum Dahlia membaca mesej suaminya. Tiada masa bercinta sebelum kahwin bagi mereka. Selepas berkahwin, baru belajar bercinta. Berkirim-kirim pesanan melalui telefon bimbit. Namun kehangatannya tetap dirasai. Bercinta di bawah naungan kasih Illahi.
BAB 40
Dahlia menyalami ibu mentuanya. Tangan itu diciumnya. Sebagai balasannya, emak Aqashah mengucup dahi dan kemudiannya, memeluknya erat. Sudah lama rumah itu tidak dikunjungi mereka. Aqashah mengambil peluang cuti sekolah ini untuk membawa isterinya menziarahi emak dan keluarganya.
Gembira hati orang tua itu tidak terkira.
“Terima kasih Lia. Kerana menceriakan hidup Aqashah.” Saat itu mereka sedang bersantai di beranda manakala Aqashah bersama adik-adiknya, Danial dan Waldan ke surau menunaikan solat Asar.
Dahlia terpegun. Tutur kata emak mentuanya bagaikan tersirat seribu maksud yang terpendam.
“Kenapa mak? Selama ini hidup abang tak bahagiakah?”
“Bukan tak bahagia tapi dia mengorbankan kebahagiaannya demi untuk membahagiakan orang lain.” Dahlia teringatkan cerita Aqashah tentang keadaan keluarganya dulu.
“Mak, abang pernah bercinta ke?” Entah mengapa, timbul pula hasrat di hatinya untuk mengorek rahsia suaminya. Emak mentuanya hanya tertawa kecil.
“Dia tu perahsia orangnya. Bukannya pernah bagitahu apa-apa. Kalau nak tahu, kena tanya Helmi. Mereka dua beradik tu memang rapat sejak kecil. Tapi sejak Helmi kahwin, dah jarang-jaranglah mereka bercerita.” Helmi ialah adik Aqashah yang ketiga.
“Manalah tahu, kalau-kalau abang pernah kecewa,” kali ini giliran Dahlia pula tertawa kecil.
“Dia ni jenis orang yang susah nak jatuh cinta, Lia. Dulu mak risau juga kalau-kalau ada yang tak kena dengan dia. Pernah juga mak ingat nak carikan ubat supaya dia nak kahwin.”
“Alahai, mak ni. Buat apa cari ubat. Carilah perempuan, baru boleh dibuat isteri,” mereka sama-sama tertawa.
“Betul Lia. Masa tu mak betul-betul risau. Ingatkan anak mak ini tak sempurna orangnya. Syukurlah sekarang dia dah kahwin dan Lia pun mak tengok dah nampak perut tu,”
Dahlia tersenyum mendengar kata-kata emak mentuanya. Dia mengusap-usap perutnya. Benih cinta mereka berdua sedang mekar di dalam sana.
“Ya, mak. Sebab itu abang nak sangat Lia jumpa mak. Susah betul nak balik. Banyak program di sekolah. Ini pun abang yang minta sangat-sangat supaya kami dikecualikan dari program cuti sekolah ni.” Dahlia bagaikan mengadu perihal kerjanya.
“Tak apalah Lia. Mak faham. Mak ni kalau boleh, nak Lia berpantang di sini tapi kasihan pulak Aqashah sorang-sorang di sana.”
Cadangan emak mentuanya memang bagus tapi tak mungkin Dahlia dapat menunaikannya. Menghabiskan pantang di rumah mak mentuanya manakala Aqashah dibiarkan bersama-sama Mama Mira? Tak mungkin. Sedikit perasaan cemburu menyelinap di jiwanya. Sedangkan aku ada bersama pun, Mama Mira mengambil kesempatan untuk menggoda, apatah lagi sekiranya aku jauh di sini. Oh, tidak….
“Abang, mak minta Lia cuti bersalin di sini,” Dahlia sengaja menduga suaminya saat mereka berbaring di peraduan untuk melelapkan mata. Aqashah terdiam.
“Lia setuju ke?” Aqashah bersuara setelah sekian lama membisu.
“Lia ikut abang. Abang setuju?”
Aqashah berpaling menghadap isterinya. Rambut Dahlia diusapnya penuh mesra.
“Lia. Berilah peluang untuk abang menjaga isteri abang sendiri. Abang nak mandikan Lia. Abang nak sediakan tungku dan air panas untuk Lia. Abang nak tengok wajah anak kita hari-hari. Merasai dia membesar di hadapan mata abang. Boleh, kan?”
Dahlia terharu dengan hasrat dan permintaan Aqashah. Tidak dijangkanya jawapan Aqashah sedemikian.
“Abang tak akan tinggalkan isteri abang ini bersendirian tanpa abang walau pun seketika melainkan ALLAH yang memisahkan jasad dan roh kita. Abang ingin sentiasa di samping Lia. Menyayangi Lia dan merasai sentuhan kasih Lia. Abang ingin mengasihi Lia dengan setulusnya. Sanggupkah Lia berjauhan dengan abang?”
Dahlia sudah mula teresak-esak. Hati Aqashah yang ingin diduga tetapi rupa-rupanya, hatinya sendiri yang terduga.
“Lia. Maafkan abang. Abang buat Lia menangis. Abang buat Lia bersedih sedangkan abang telah berjanji untuk membahagiakan Lia buat selamanya. Tiada lagi air mata yang bakal tertumpah sia-sia.”
“Bang. Memang Lia menangis tapi tangisan ini bukan tandanya Lia sedang bersedih malahan Lia teramat bahagia. Tidak sia-sia penantian Lia selama ini. Rupa-rupanya ALLAH menganugerahi Lia dengan seorang suami sebaik abang.”
“Jangan dipuji abang, Lia. Abang hanya menjalankan tanggungjawab dan kewajipan abang. Lia adalah amanah ALLAH untuk abang. Tak akan abang sia-siakan amanah yang sebaik Lia.”
“Bang, Lia sekadar menguji. Lia sendiri tidak sanggup berjauhan dari abang walaupun sedetik. Lia juga ingin menjadi isteri yang diredhai. Ampunilah Lia kalau Lia buat hati abang terguris. Ampunkan Lia, bang.” Dahlia sudah mulai teresak-esak.
“Syyy…Lia jangan menangis. Tak elok baby dengar. Jangan menangis sayang. Kalau mak dengar, nanti mak ingat kita bergaduh pula.” Dahlia memeluk erat suaminya.
Hati Dahlia lapang sepanjang berada di rumah emak mentuanya. Dia kembali merasai kasih sayang seorang ibu. Emak juga melayannya dengan baik sekali lebih-lebih lagi jika Dahlia teringinkan sesuatu. Dikerahnya Aqashah untuk mendapatkannya. Dahlia hanya tertawa. Dia sendiri tidak terniat untuk membebankan suaminya dengan permintaan yang bukan-bukan.
Saat kembali ke rumah mereka, Dahlia rasakan begitu sayu untuk meninggalkan emaknya. Sepanjang jalan dia menangis. Tak tahu kenapa air matanya begitu murah sekarang. Hatinya mudah tersentuh amat. Aqashah diamkan sahaja. Mungkin pembawaan ibu mengandung agaknya.
Perut Dahlia semakin sarat. Hendak bangun, Aqashahlah tempat dia berpaut. Hendak duduk, di lengan Aqashah jugalah dia berpegang. Cuma saat ada Mama Mira bersama, dia cuba membataskan kemesraan itu. Tidak mahu menimbulkan kejengkelan di hati yang memandang.
Mama Mira seolah-olah tidak melihat keadaan Dahlia. Tidak sesekali ditanya khabar anak itu yang baru pertama kali merasai pengalaman mengandungkan anak sulung. Aqashah juga tidak berani meninggalkan Dahlia sendirian.
Sehinggalah suatu hari, Aqashah diminta untuk menghadiri kursus perubahan sukatan pelajaran selama tiga hari. Berat hati Aqashah untuk meninggalkan isterinya sendirian.
“Lia ambil cuti, ya? Ikut abang ke Alor Setar,” pujuk Aqashah.
“Apalah abang ni. Malulah Lia. Nanti orang cakap, tak boleh nak berenggang langsung.”
“Bukan macam tu, abang bimbang nak tinggalkan Lia.”
“Lia tak apa-apalah, bang. Lagipun, kalau Lia ikut abang, Lia nak buat apa? Lia bukannya boleh berjalan jauh pun. Doktor dah pesan, Lia kena banyak berehat.”
Berat sungguh hati Aqashah hendak meninggalkan Dahlia. Tapi apakan daya. Demi tugasnya, dia terpaksa berkorban.
“Ayah pergi tak lama, ya, sayang. Anak ayah jaga mama baik-baik ya,” pesan Aqashah sambil mengusap-usap perut Dahlia. Dahlia sendiri sebenarnya terasa berat hati untuk berpisah dengan Aqashah.
“Mama, saya amanahkan isteri saya ini dalam jagaan mama sepanjang saya berkursus,” Aqashah berpaling ke arah Mama Mira sambil meninggalkan pesanannya. Mama Mira hanya mengangguk-anggukkan kepala.
Dahlia terus melambai ke arah Aqashah sehingga suaminya hilang di hujung selekoh. Rasa sayu hatinya ditinggalkan. Selama mereka berkahwin, inilah kali pertama dia ditinggalkan. Timbul pula rasa kesal di hatinya kerana tidak menerima pelawaan suaminya untuk mengikutnya ke Alor Setar.
Namun, Dahlia perlu kuat. Dia tidak bersendirian lagi. Anak di dalam kandungannya sudah mula menendang-nendang. Gerakannya yang aktif menandakan bahawa dia sihat di dalam sana. Dan hanya menunggu masa dan ketika yang sesuai sahaja untuk menguak keluar ke dunia ini.
Dahlia melangkah ke dapur dengan hati-hati. Tekaknya terasa sangat haus. Selalunya, Aqashah yang mengambil minuman untuknya. Sejak berbadan dua ini, dia sering berasa dahaga yang melampau. Setabung air yang dibawa ke bilik telah pun habis.
Dalam berhati-hati itu, Dahlia terpijak sesuatu di tengah jalan. Entah apakah benda itu, Dahlia tidak tahu. Dia gagal mengimbangi badannya. Tangannya cuba mencapai apa sahaja yang ada di sisinya namun gagal. Dia jatuh terduduk dengan satu hentakan yang agak kuat.
Dahlia meraung kesakitan. Memanggil Aqashah bertalu-talu sehinggalah dia menyedari bahawa Aqashah tiada bersamanya. Memanggil Mama Mira dan memanggil Damia namun tiada siapa yang datang sehinggalah matanya mulai berkunang-kunang.
Dia nampak seseorang menerpa ke arahnya sebelum seluruh alam ini gelap-gelita.
Aqashah bergegas pulang sebaik sahaja berita kemalangan yang menimpa isterinya diketahui. Dahlia yang dimasukkan ke wad kecemasan masih belum sedarkan diri. Aqashah bagaikan lumpuh seluruh tubuhnya.
Ya ALLAH ya tuhanku, selamatkanlah isteriku. Ya ALLAH ya Tuhanku, selamatkanlah anakku. Ya ALLAH Ya Tuhanku, selamatkanlah kedua buah hatiku ini, nyawaku ini.
Waktu kejadian, Mama Mira dan Damia tiada di rumah. Sehingga ke saat ini, mereka masih belum tahu tentang kejadian yang menimpa Dahlia. Nasib baik Mak Dah yang kebetulan ingin melawat Dahlia tiba waktu itu. Dia yang memberikan pertolongan sehingga Dahlia dibawa ke hospital.
Berita yang dibawa oleh doktor kemudiannya, bagaikan petir yang merentap tangkai nyawa Aqashah. Isterinya masih belum sedar manakala anaknya tidak berjaya diselamatkan. Jenazah anak perempuan mereka diuruskan oleh pihak hospital dan Aqashah akan membawanya kembali ke kampong mereka untuk dikebumikan.
Dahlia masih belum diberitahu tentang kejadian itu. Aqashah tidak tahu bagaimanakah untuk mengkhabarkannya. Pasti Dahlia akan kecewa. Dia tidak sanggup melihat kekecewaan isterinya, insan yang amat dikasihinya.
Aqashah cuba bertenang. Jenazah anaknya disambut dan dibuka penutup mukanya. Wajah suci seorang anak kecil yang masih belum kenal dunia, dosa dan pahala. Aqashah mencium dahi dan pipi jenazah yang bagaikan tersenyum dalam lena yang panjang.
“Rabiatul Adawiyah, nantikan ayah dan ibumu di pintu syurga,” bisik Aqashah kepada anaknya. Memang itulah nama yang ingin diberikan seandainya anak mereka perempuan.
Sekembalinya dari pusara, Aqashah mengunjungi Dahlia. Dia tidak akan tinggalkan isterinya keseorangan lagi biar apapun yang melanda. Hatinya tersentuh saat melihat Dahlia yang masih lagi lena di peraduannya tanpa mengetahui kehilangan anakanda tercinta.
“Bang…” Aqashah tersentak. Dahlia mulai sedar. Harus bagaimana dia ingin bercerita tentang Rabiatul Adawiyah? Harus Bagaimana dia menjawab pertanyaan isterinya tentang keadaan Rabiatul Adawiyah?
Aqashah menghampiri katil isterinya perlahan-lahan. Dia duduk di bangku sambil menggenggam erat tangan isterinya. Dahlia membukakan matanya perlahan-lahan.
“Bang, Rabiatul Adawiyah. Lia jumpa anak kita, bang. Rabiatul Adawiyah cantik sekali. Dia nantikan kita di pintu syurga,” Air mata Aqashah mengalir. Dia tidak pasti, Dahlia hanya meracau atau Dahlia memang sudah mengetahui tentang kehilangan anak mereka.
“Lia, syyy…Lia, berehatlah. Jangan banyak berfikir. Jangan banyak bercakap,” Aqashah lihat ada air mata yang mengalir dari tubir mata Dahlia. Dia menyeka air mata itu dengan jemarinya.
“Bang, maafkan Lia. ALLAH benarkan kita meminjam Rabiatul Adawiyah buat seketika dan kini ALLAH mengambil kembali pinjamannya itu. Lia redha, bang.” Aqashah sendiri tidak pasti dari manakah Dahlia tahu tentang pemergian anak mereka kerana dia baru sedar saat ini. Mungkin naluri keibuannya membuatkan dia lebih mengerti.
Sesungguhnya kepunyaan ALLAH apa yang diambilnya dan kepunyaanNya pulalah apa yang diberiNya. Tiap-tiap sesuatu di sisiNya adalah dengan ajal yang tertentu, maka suruhlah dia (ibunya) bersabar dan berserah diri kepada ALLAH. Riwayat Imam Bukhari dan Muslim r.a dari Usman bin Zaid r.a.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda : Bahawa sesungguhnya kanak-kanak kecil yang mati itu menarik kedua ibu bapanya masuk ke dalam syurga.
Ya ALLAH, tabahkanlah hati Dahlia dalam menerima dugaanMu ini kerana aku tidak tahu sekuat manakah jiwanya menongkah derita.
No comments:
Post a Comment