Tuesday, 19 July 2011

Selumbar Kasih

BAB 41

Aqashah merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam kebaikan Mama Mira. Dia tidak tahu apakah bendanya itu tetapi dia merasakan perlu untuk melakukan sesuatu. Sedikit sebanyak, jiwa lelakinya dapat menghidu keinginan Mama Mira.
Dalam diam-diam, dia membuat permohonan untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana. Bukan dia sahaja malahan buat Dahlia juga. Semuanya dilakukan secara atas talian atau on-line sahaja. Dahlia tidak tahu. Cuma apabila permohonan mereka diterima dan mereka diminta untuk menghantar transkrip keputusan  ijazah pertama dan segala sijil lain yang diperlukan, barulah Aqashah memaklumkannya kepada Dahlia kerana Dahlia perlu menandatangani beberapa dokumen peribadi.
Pada mulanya, Dahlia memang betul-betul terkejut dengan kejutan yang dibuat oleh Aqashah tetapi akhirnya, dia akur dengan keputusan suaminya. Mungkin semua ini mampu membangkitkan semula semangatnya yang telah hilang. Kehilangan anaknya sedikit sebanyak mempengaruhi hidup Dahlia. Terkadang, dia murung tanpa sebab. Air matanya juga terlalu mudah tercurah walaupun atas hal yang remeh-temeh.
Aqashah telah merencanakannya sebaik mungkin. Semua ini perlu agar ianya tidak terlalu ketara di mata Mama Mira bahawa mereka ingin menjarakkan diri daripadanya. Tidak terlintas langsung di fikiran Aqashah untuk meminggirkan ibu mentuanya tetapi dia merasakan bahawa dia perlu melakukan sesuatu.
“Abang tahu, kita memerlukan masa untuk bersendirian dan menikmati keindahan alam rumahtangga kita. Memang abang tengok Lia tak kisah tapi abang tahu, jiwa isteri abang menderita. Maafkan abang kerana mengambil masa yang terlalu lama untuk memahami hati isteri abang,”  Jiwa Dahlia tersentuh dengan keprihatinan Aqashah.
“Abang, Lia akan tetap menyayangi abang walaupun abang tidak lagi sayang pada Lia. Lia akan tetap mencintai  abang walaupun abang tidak lagi cinta pada Lia. Lia akan tetap setia pada abang walaupun  abang tidak lagi setia pada Lia. Tapi percayalah….Lia akan pergi jauh dari sisi abang jika abang tidak lagi memerlukan Lia dan akan Lia simpan sayang, setia dan cinta Lia ini hanya untuk abang seorang.”
“Kenapa Lia cakap macam ni? Sesungguhnya abang menyayangi Lia dengan setulus hati abang. Seluruh kasih sayang, kesetiaan dan cinta ini hanya untuk Lia. Janganlah diragui kecintaan ini.”
“Maafkan Lia juga, bang. Lia ini yang terlalu mengikutkan perasaan.”
“Lia, lautan mana yang tidak bergelora. Bumi yang mana tidak basah ditimpa hujan. Kita hanya manusia biasa, Lia. Lupakanlah segala kesedihan yang lalu. Marilah kita bina hidup baru.”
Beberapa hari, Mama Mira murung setelah diberitahu tentang pemergian mereka. Dia tidak dapat menolaknya kerana Aqashah telah memberikan penjelasan yang terperinci tentang kepentingan pengajian ini. Dahlia pula mengisi masa-masa terakhir itu dengan mengemaskan beg pakaian mereka dan segala keperluan untuk dibawa bersama.
Mereka bakal melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Bandaraya Kuala Lumpur. Dan tanpa disangka-sangka, Mama Mira mempelawa mereka tinggal di rumahnya. Dahlia sendiri kurang percaya dengan tawaran itu tetapi ianya pasti akan lebih memudahkan mereka untuk berulang-alik ke pusat pengajian dan tidak perlu lagi memikirkan tentang masalah penginapan.
Hari keberangkatan tiba. Keruh wajah Mama Mira mengiringi pemergian mereka. Sebenarnya, hati Dahlia terasa amat berat untuk meninggalkan Mama Mira. Biar bagaimanapun layanan Mama Mira terhadapnya, dia tetapi menyimpan perasaan kasih yang tidak berbelah bagi terhadap wanita itu, wanita pertama dalam hatinya setelah pemergian ibu.
Kini, Dahlia kembali bergelumang dengan modul, tesis, kuliah dan  tutorial. Namun pembelajarannya kali ini lebih mudah kerana dia ditemani suami tercinta, Aqashah. Mereka memilih jurusan yang sama, Ijazah Sarjana Pendidikan. Ianya tidak terlalu sukar kerana mereka memang sudah terdedah dengan segala recam alam pendidikan. Alah bisa, tegal biasa.
Cuma, Dahlia masih merungut tentang perkara yang sama. Masih tetap perlu menghafal teori dan pencetusnya. Teori pembelajaran, teori  kognitif, teori behaviorisme, teori…., teori….. dan teori lagi. Aqashah  hanya tertawa mendengar rungutan isterinya. Belajar jangan ada lelah, nanti kalau sudah stress, sukar pelajaran mahu melekat di minda, itulah nasihat Aqashah.
Dahlia tahu, selain daripada seorang lelaki yang berkarisma, Aqashah memang bersemangat tinggi dan beriltizam. Dia menduduki peperiksaan STPM setelah bergelar guru dan selepas itu, menyambung pengajiannya untuk memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan secara Pembelajaran Jarak Jauh (PJJ).
Setelah menamatkan pengajian, mereka suami isteri membuat permohonan pertukaran tempat kerja. Walaupun bekerja di sekolah yang berlainan, namun keduanya  amat bahagia dalam meniti kehidupan alam berumahtangga.
Mereka tidak perlu lagi risau dengan hati-hati yang membenci mereka. Sesekali, hati Dahlia tersentuh juga saat kerinduan terhadap murid-muridnya di Sekolah Kebangsaan Seri  Bayu  bertamu. Mungkin kerana dia merindui keletah anak-anak kecil sedang kini, setelah memiliki master dalam bidang pendidikan, dia ditugaskan di sebuah sekolah menengah di ibu kota.
Perubahan yang amat ketara kerana jumlah pelajarnya yang berpuluh kali ganda lebih ramai daripada murid Seri Bayu. Pelajar-pelajarnya pula adalah anak remaja yang perlu dibaja hatinya dengan kasih sayang. Dijaga sebaiknya bagai kaca yang mudah pecah, jangan sampai tercalar ataupun retak, apatah lagi pecah berderai.
Bukan memanjakan anak didiknya tetapi Dahlia merasakan, tidak rugi mencurah kasih kepada mereka kerana apabila anak-anak ini merasakan diri mereka disayangi dan dihargai, mereka akan lebih menghormati kita. Itulah prinsip yang Dahlia pegang.
Menjaga anak-anak remaja ini lebih mudah rupanya berbanding dengan murid-murid di sekolah rendah. Amat ketara perbezaannya. Mereka ini telah pandai berdikari. Cuma, guru perlu bijak memainkan peranan agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang sentiasa mengintai peluang untuk menjerat anak-anak ini.
Iyalah. Memanglah mudah. Anak-anak ini sudah pandai menulis nama masing-masing. Sudah boleh membersihkan kelas tanpa perlu disuruh. Sudah  pandai menjaga kekemasan dan kebersihan diri malahan sudah sampai ke tahap melawa yang keterlaluan. Walaupun tidak di dalam kawasan sekolah, namun apabila spot check dilakukan, pasti segala macam khazanah dijumpai, lipstik, eye shadow, blusher dan entah apa-apa lagi yang Dahlia sendiri pun tidak pernah menggunakannya.
Dahlia tersenyum sendiri mengingati kejadian itu. Pelajar-pelajar yang tertangkap terpaksa dihadapkan ke Majlis  Disiplin Sekolah sebelum dirujuk kepada Guru Kaunseling. Dahlia bersyukur kerana semenjak dia menjadi guru Tingkatan Tiga Angsana, belum pernah lagi ada pelajarnya yang ditangkap kerana membawa barang larangan seperti rokok, VCD dan DVD lucah atau pun majalah porno ke sekolah.
Dia sering menasihati pelajar-pelajarnya agar tidak  melakukan perbuatan yang boleh merosakkan hidup dan masa depan mereka. Dahlia lebih banyak bertindak sebagai kawan kepada pelajar-pelajarnya. Mendengar dan empati dengan masalah mereka dan juga tidak memandang remeh akan segala permasalahan itu. Ini menyebabkan dia disayangi oleh pelajar-pelajarnya.
Bagi Dahlia sendiri, dia tidak ada masalah menghadapi pelajar-pelajar sekolah menengah ini ataupun murid-murid di sekolah rendah. Cuma cara pendekatannya sahaja yang mungkin berbeza. Saat ini, dia terkenangkan murid-murid tahun satunya sewaktu di Seri Bayu. Melayani karenah mereka, tertawa dengan telatah yang pelbagai, menyanyi bersama mereka….
Bila rasa gembira eja saya,
S.A. sa, Y.A. ya, saya,
Bila rasa gembira eja baca,
B.A. ba , C.A. ca,  baca,
Bila rasa gembira eja buku,
B.U. bu , K.U. ku, buku,
Bila rasa gembira beginilah caranya,
Bila rasa gembira eja semua,
S.A. sa, Y.A. ya, saya. B.A. ba , C.A. ca,  baca, B.U. bu , K.U. ku, buku,
Saya baca buku.

Gamat satu kelas dengan suara murid-murid ciliknya. Namun Dahlia bahagia.
Tiba-tiba Dahlia merindui suara anak-anak kecil. Kalaulah Rabiatul Adawiyah ada, tentu dia pun sudah besar sekarang.

 “Lia, tolong mama. Lia kena tolong mama,” tersekat-sekat suara Mama Mira di corong telefon.
“Kenapa Mama? Apa yang berlaku?” tanya Dahlia sambil memegang perutnya yang semakin membesar.
“Ladang sawit dan getah telah dijual oleh Pak Akob. Mama tak tahu nak buat apa lagi.”
Dahlia terkejut dengan penjelasan itu.
“Macam mana boleh jadi begitu?”
“Salah mama juga kerana terlalu mempercayai Pak Akob. Dia bagitahu, ladang sawit dan getah tu tiada siapa nak usahakan. Ramai tenaga kerja telah lari ke bandar.”
“Bukankah mama yang bersama-sama Pak Akob menguruskan ladang-ladang itu?”
“Itu memang betul. Mama akui hakikat itu. Pak Akob cakap, dia perlu mencagarkan geran tanah itu ke bank untuk mendapatkan pinjaman bagi menguruskan kemasukan pekerja dari luar. Mama percaya bulat-bulat dengan cakap-cakap Pak Akob. Rupa-rupanya, Pak Akob lesap bersama-sama geran tanah itu.”
Mama Mira meneguk liur dan kemudian meneruskan lagi, “Pagi tadi, mama pergi ke ladang dan pemilik baru telah ada di situ.”
“Bagaimana dengan tanah dan rumah kita?”
“Tanah dan rumah ni tak ada apa-apa masalah. Lagipun, gerannya atas nama Lia, kan.”
Dahlia baru teringat, geran hak milik tanah itu ada padanya, di dalam fail clear holder bersama sijil-sijil pentingnya yang lain.
“Sekarang ni, mama nak buat apa? Mama dah maklumkan kepada Tuan Haji Daud Mansor, peguam ayah? Mama dah buat laporan polis, ke?”
“Mama dah buat laporan polis. Mama tak dapat hubungi Tuan Haji Daud Mansor. Dan sekarang, mama nak balik ke Kuala Lumpur. Mama takut untuk terus berada di sini. Pak Akob  mungkin ada mengupah orang untuk menyakiti mama.”
Pak Akob nak menyakiti mama? Bagaimana Mama Mira tahu semua itu?
“Pak Akob dan Mak Dah sekarang di mana?”
“Rumah mereka bertutup rapat dan berkunci. Dah dapat duit banyak, mungkin mereka dah cabut.”
Kasihan Mak Dah. Perempuan baik dan menyayanginya itu mungkin tidak tahu-menahu langsung akan perbuatan khianat suaminya. Dan persoalan yang satu lagi ialah Mama Mira akan kembali ke Kuala Lumpur. Ke rumahnya yang didiami Dahlia bersama suaminya. Mereka akan kembali tinggal serumah.
 “Bila mama akan bertolak balik ke sini?”
“Secepat mungkin. Mama sedang tunggu Damia balik dari sekolah. Sebaik sahaja Damia tiba, kami akan segera berangkat.”
Dahlia kembali mengusap-usap perutnya. Mungkin sekarang Mama Mira sudah berubah. Lagipun, Aqashah telah membeli sebuah apartment untuk mereka. Kalau mereka tidak betah tinggal bersama-sama Mama Mira, mereka boleh berpindah ke apartmen yang kini disewakan kepada seorang pekerja swasta.
Memang Mama Mira sudah banyak berubah. Dia tidak membenarkan Dahlia dan Aqashah berpindah ke rumah mereka. Alasannya agar dia dapat menjaga Dahlia sewaktu berpantang nanti.   Dahlia ingat lagi, waktu dia bertarung nyawa melahirkan Rabiatul Adawiyah, Mama Mira membawa Damia pulang ke Kuala Lumpur sedangkan dia telah diamanahkan Aqashah untuk menjaga Dahlia sepanjang peninggalannya untuk berkursus di Alor Setar.
Mama Mira tidak memikul amanah itu. Sebaliknya, dia meninggalkan Dahlia sendirian sedangkan saat itu Dahlia sudah sarat dan hanya menanti masa untuk melahirkan sahaja. Dia hanya pulang pada hari ketiga Aqashah di Alor Setar. Sangkanya, dia pulang dahulu dari Aqashah tapi rupa-rupanya, sewaktu dia tiba, Aqashah di hospital menemani Dahlia. Aqashah tidak mahu peristiwa lama berulang kembali. Tidak sekali-kali ditinggalkan isterinya bersendirian.
Memang itulah yang dilakukan Mama Mira. Dia mengotakan janjinya.
“Dialah yang menciptakan segalanya dengan sebaik-baiknya. Dia mulai menciptakan manusia dari tanah liat. Kemudian Ia menjadikan keturunannya dari sari air yang hina.”  (Al- Qur’an, 32:7-8)
 Dahlia  selamat melahirkan anak kembar lelaki, Irfan dan Danish tanpa sebarang komplikasi. Mama Mira menjaga Dahlia dan juga anak kembar yang dilahirkannya. Dahlia memanjatkan kesyukuran atas perubahan positif itu. Mungkin Mama Mira telah insaf daripada dosa-dosanya yang lalu.
Aqashah juga senang dengan keadaan ini. Kebahagiaannya berganda dengan kehadiran dua orang cahaya matanya ini. Menjaga Dahlia dan  kedua-dua kembarnya adalah suatu rutin yang tidak pernah menjemukan. Emaknya sendiri juga semakin kerap mengunjungi mereka dan terkadang berada selama dua tiga hari di rumah itu.
Kesuraman masa lalu mereka kian berarak pergi. Moga kebahagiaan dan keberkatan akan terus melingkungi hidup mereka sekeluarga. Semoga tidak ada lagi dugaan berat yang bakal mendatang. Itulah harapan Aqashah juga isterinya, Dahlia.
Setelah Dahlia pulih dan kembali ke sekolah, Mama Mira meminta kebenaran mereka untuk menjaga Si Kembar Danish dan Irfan. Walaupun agak keberatan pada mulanya, namun Dahlia dan Aqashah terpaksa akur demi menjaga hati mama. Mereka tahu, kini Mama Mira memang betul-betul telah berubah. 







BAB 42

Sejak akhir-akhir ini Mama Mira banyak menghabiskan masanya dengan berjemur di bawah panas terik matahari. Menanam pokok bunga dan mengemaskan batas sayur di belakang rumah. Tugas menguruskan butik diserahkan  kepada pembantu sehingga Adlina tamat pengajiannya. Adlina pun  memang sudah boleh diharap. Sesekali pulang bercuti, dia akan menghabiskan masanya di butik, memantau pekerja-pekerjanya.
Kini Mama Mira boleh meluangkan masa dengan melakukan kerja-kerja atau lebih tepat lagi, hobi yang disukainya. Duduk di tengah panas, berlindung di bawah terendak cinanya dengan baju besar dan seluar godoboh membuatkan Mama Mira sering kedahagaan dan banyaklah pula air yang diminumnya.
Namun, apa yang meresahkan Mama Mira, walau sebanyak mana air yang diminumnya, dia tetap mengalami kesukaran untuk membuang air kecil. Pada awalnya, dia menyangkakan bahawa itu hanyalah gejala sementara sahaja. Doanya, mudah-mudahan gangguan itu tidak berpanjangan dan dia akan kembali sihat tidak lama lagi.
Sangkaan Mama Mira meleset. Setelah berminggu-minggu menghadapi masalah sukar untuk membuang air kecil, barulah terbuka hatinya untuk melakukan pemeriksaan. Mama Mira bergegas ke hospital.
“Puan, selain daripada sukar untuk membuang air kecil, apakah lagi masalah yang puan hadapi?” Doktor yang bertugas mengajukan soalan.
“Emm… tak ada doktor,” Mama Mira seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu. “Oh ya, doktor. Saya juga menghadapi masalah gastrik, ujar Mama Mira, akhirnya.
Doktor Murad memandang wajah Mama Mira.
“Saya mahu puan jujur dengan saya. Saya juga ingin tahu sejarah sakit puan,” Mama Mira terpaksa mengalah. Dia menghulurkan satu sampul surat yang mengandungi dokumen berkaitan penyakit lampaunya. Doktor Murad meneliti dan akhirnya, memberikan pelbagai jenis ubat untuk membantu Mama Mira mengatasi kesakitannya.
Dahlia mulai mengesyaki sesuatu tatkala melihat Mama Mira yang tidak lagi ceria. Setelah bertahun-tahun tinggal serumah dengan Mama Mira, dia semakin memahami sikap dan perilaku mamanya. Dia cuba mendekati Mama Mira untuk menyelami masalahnya tetapi nampaknya Mama Mira masih belum bersedia untuk berkongsi penderitaannya.
Ubat yang dibekalkan Doktor Murad tidak berkesan. Masalah Mama Mira tidak berkurangan malahan penyakit gastriknya semakin menjadi-jadi. Dia tidak tahan menderita lagi. akhirnya, Mama Mira ke hospital semula.
“Puan perlu menjalani rawatan rapi.” Mama Mira akur dengan saranan doktor. Setelah menjalani pelbagai pemeriksaan dan ujian, akhirnya pakar perubatan dapat mengesan masalahnya. Terdapat ketumbuhan pada hatinya.
Mama Mira termanggu.  Apakah maknanya ketumbuhan itu? Sekali lagi Mama Mira menjalani ujian kesihatan. Setelah menjalani ujian demi ujian, dia akhirnya disahkan menghidap BARAH HATI.
“Maafkan kami, puan. Barah ini telah mulai merebak ke bahagian lain,” Doktor Murad terdiam sambil meneguk liurnya.
“Ini menyebabkan pembedahan tidak dapat dilakukan ke atas puan.”
Mama Mira menarik nafas panjang. Bagaikan seketul batu besar menghempap kepalanya. Wajah anak-anaknya datang silih berganti.
“Mama, kenapa?” Dahlia tidak sabar lagi. Resah hatinya melihat Sang Ibu yang bagaikan kehilangan seri. Mama Mira hanya membisu. Matanya tertancap ke arah bourgenvillanya yang melambai-lambai diterpa angin petang.
Dahlia menghampiri Mama Mira, duduk di sebelah mamanya, mengelus rambutnya dan memicit-micit bahunya dengan penuh mesra.
“Kalau ada apa-apa yang boleh kita kongsikan bersama,” terlalu ikhlas ungkapan Dahlia.  Mama Mira tidak mampu menahan sendunya. Anak yang dibenci dan dicemburui secara diam-diam ini begitu prihatin akan keadaan dirinya. Rasa kesal kembali menghantui jiwa.
Dia berpaling lalu memeluk Dahlia, erat. Melepaskan esak tangis di bahu anakandanya. Kepada Dahlia, dicurahkan segala apa yang tersirat. Dia tidak sanggup merahsiakannya lagi.
“Mama, terimalah hakikat ini dengan hati yang terbuka. Bersikap positif dan marilah sama-sama kita berdoa mudah-mudahan ada rawatan lain yang sesuai untuk membantu mama,” Dahlia melontarkan pujukan berupa nasihat itu setelah tangisan mamanya mereda.

Hari ini, Dahlia sengaja mengambil cuti rehat khasnya.   Dia telah memaklumkan kepada Aqashah bahawa dia akan menghabiskan masa sehari ini bersama-sama Mama Mira. Aqashah memahami dan memberikan keizinan kepadanya.
“Kita perlu cari maklumat lengkap berkaitan penyakit mama. Lia sudah layari internet dan hari ni Lia nak bawa mama ke pejabat MAKNA (Majlis Kanser Nasional) untuk mendapatkan nasihat dan juga bimbingan daripada mereka yang arif tentang barah,” terang Dahlia kepada suaminya, panjang lebar.
“Lia nak abang temankan?” Aqashah menawarkan jasa baiknya.
 “Tak apalah, bang. Kami pergi sendiri. Nanti abang tolong hantar dan ambil anak-anak dari Taska, ya?” pesan Dahlia. Aqashah menganggukkan kepala.
Pejabat MAKNA mereka kunjungi. Sambutan yang mesra dan layanan yang baik daripada kakitangan di situ. Mereka diberikan penerangan terperinci tentang jenis-jenis barah, simptom-simptomnya dan kaedah rawatan yang bersesuaian.
“Pembedahan memang tidak boleh dilakukan tetapi saya ingin menyarankan agar puan mencuba cara lain pula.” Mama Mira berjeda sejenak mendengar penerangan itu.
“Puan pernah mendengar tentang terapi Aculife?”
Sekali lagi Mama Mira termenung panjang. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Baru kali pertama mendengar istilah itu, barangkali.






BAB 43

Hawa pagi terasa dingin sekali. Dahlia menyirami tubuhnya dengan air sejuk yang amat menyamankan. Rasa kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Rabbul Izzati kerana masih diberi peluang untuk menikmati kedinginan air dan hawa pagi ini.
            Selesai membersihkan badannya, Dahlia mengangkat wuduk untuk menunaikan solat Subuh. Sekembali ke kamar tidur, dilihatnya Aqashah juga sudah mulai menggeliat di atas katil.
            “Assalammualaikum,” sapa Dahlia, lembut.
            “Waalaikummussalam, awal Sayang bangun. Kata nak ambil cuti lagi hari ni. Tak jadi ke?” Aqashah bangun sambil menyelak selimut tebalnya. Dahlia tersenyum lalu membentangkan sejadah.
            “Memang Lia cuti tapi Lia dah janji nak temankan mama ke pejabat Aculife,” Aqashah hanya  berdehem lalu menarik tuala di ampaian. Sementara menantikan Aqashah, Dahlia mengeluarkan kain pelikat kemas berlipat dari dalam almari dan sehelai t-shirt putih tanpa kolar.
Persalinan itu diletakkan di birai katil untuk memudahkan Aqashah mencapainya. Aqashah tidak mengambil masa terlalu lama di bilik air kerana dia tahu Dahlia pasti menantinya untuk berjemaah bersama-sama.
Sewaktu menuruni anak tangga terakhir, matanya meligas sekeliling,   mencari Mama Mira namun kelibatnya masih tidak kelihatan. Dia menuju ke bilik anak-anaknya, Danish dan Irfan yang tidur sekamar. Anak-anak itu perlu diuruskan sebelum dihantar ke Taska. Sejak Mama Mira sakit, Dahlia tidak mahu lagi membebankan mamanya  itu dengan tugasan menjaga  Si Kembar Danish dan Irfan.  Mama Mira muncul di saat Dahlia sedang mengemaskan kolar baju Danish.
“Mama, nanti Lia siapkan sarapan,” Mama Mira hanya mengangguk lesu. Mukanya agak pucat.
“Mama tidur lenakah semalam?” soal Dahlia sambil bergerak ke ruang dapur diekori Mama Mira.
“Entahlah, Lia. Mama dah cuba tidur tapi tak mahu lena. Badanpun rasa tidak bermaya,” keluh Mama Mira.
“Mama tak cukup tidur, sebab itulah mama rasa lesu,” ulas Dahlia sambil tangannya mencapai periuk nasi, meramas ketulannya dan menggaulnya dengan sedikit  garam.  Tangan Dahlia lincah menghiris bawang putih dan bawang merah.
Selepas itu, dia memanaskan kuali. Sedikit minyak dituangkan untuk menumis. Cekap Dahlia melaksanakan tugasannya. Akhirnya, siaplah sarapan ringkas pagi itu, nasi goreng cendawan dan air teh kosong. Anak-anak pula lebih gemarkan roti bakar bermentega dan susu Fernleaf panas.
Seawal jam tujuh pagi, mereka semua telah berkumpul di meja makan untuk menikmati sarapan sebelum bergerak ke destinasi masing-masing. Danish yang masih pelat sebutannya, membacakan doa sambil diaminkan yang lainnya.
Pukul lapan pagi, Dahlia dan Mama Mira telah berada di atas jalan raya. Dahlia memandu dengan penuh hati-hati. Keadaan jalan raya agak sibuk sikit pagi ini. Masih ramai yang tergesa-gesa menuju ke tempat kerja kerana waktu yang semakin meninggi.
Mereka menuju ke pejabat Aculife kerana Mama Mira bercadang untuk mencuba terapi yang disyorkan. Kunjungan yang pertama itu diulangi lagi tetapi kali ini , mereka pergi pada waktu petang. Dengan itu, Dahlia tidak perlu mengambil cuti lagi.
Setelah mencuba beberapa kali, Mama Mira mulai merasakan perubahan positif pada dirinya.  Dia turut menggunakan Onian Aculife dan terapi Aculife. Akhirnya, Aqashah mencadangkan agar mereka membeli alat terapi Aculife berkenaan. Ini akan memudahkan Mama Mira untuk melakukan rawatan di rumah.
Sebulan lebih menjalani rawatan berkenaan, Mama Mira kelihatan lebih ceria. Dia tidak lagi mengadu tentang kesukarannya untuk membuang air kecil. Penyakit gastriknya juga sudah berkurangan. Kesihatannya semakin pulih. Dahlia amat gembira dengan perkembangan yang memberangsangkan ini.
Dia sentiasa berdoa agar penyakit Mama Mira ada penawarnya. Doanya menggunung, menaruh harapan agar penyakit Mama Mira segera sembuh.  

Keadaan Mama Mira semakin hari semakin merungsingkan Dahlia. Meskipun mama memberitahunya bahawa kesihatannya semakin pulih, namun Dahlia dapat merasakan bahawa mama  menyembunyikan sesuatu daripadanya. Kepada adik-adik dikhabarkan agar lebih kerap menziarahi mama yang semakin menunjukkan kelainan sikapnya.
Mama Mira lebih kerap mengasingkan dirinya  di loteng. Turun hanya pabila dipanggil untuk makan dan bersolat. Terkadang, makanan pun dihantar Dahlia ke pintu lotengnya. Dahlia tidak tahu apa yang dilakukan mama di situ. Sejak Mama Mira memerap di situ, bilik loteng kecil itu seakan menjadi tempat larangan bagi semua orang meskipun tanpa sebarang tanda arahan.
Dia teringat saat dia berbual dengan Adlina tentang tabiat  Mama Mira yang suka mengurungkan dirinya di situ pabila dirinya dilanda masalah dan kerungsingan. Mama Mira seakan temui kedamaiannya di situ. Dahlia terpaksa  meminta jasa baik pembantu kedai mama mencarikan seorang pembantu buatnya di rumah. Bukan untuk menguruskan rumahtangganya tetapi untuk menjaga kebajikan Mama Mira dan memantau keadaan kesihatannya semasa ketiadaan Dahlia ke sekolah.
Meskipun jarang dapat bersua dengan Mama Mira, namun Dahlia tetap sedaya upaya pulang awal agar dia dapat selalu berada berhampiran mama. Dahlia seakan cuba bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dia lebih banyak meluangkan masa untuk mendalami  pengetahuan tentang segala recam tentang barah, simptom-simptomnya dan cara mencegahnya.
Sambil membasuh pinggan mangkuk di sinki, Dahlia memasang telinga kalau-kalau Mama Mira memanggilnya. Dahlia  terdengar derap  langkah menuruni tangga. Mustahil Danish dan Irfan kerana kerana kedua-dua anak kembarnya itu berserta  Damia mengikut babahnya ke pasar malam. Dahlia kembali menelinga. Serentak dengan itu, loceng pintu dibunyikan.
Dahlia menjengah ke depan dan dia dapat melihat Mama Mira sedang membuka pintu utama. Siapa yang datang? Dahlia gagal menelah. Dia mengelap tangannya dan bergerak menuju ke arah Mama Mira.
“Siapa, ma?” tanya Dahlia.
 “Adlina,” sahut mama sambil tersenyum simpul memandang ke luar pagar. Baru Dahlia teringat, mama mungkin melihat kepulangan Adlina melalui tingkap kecil di loteng, syurga kecilnya itu. Tanpa melengahkan masa, Dahlia berlari-lari anak menuju ke pintu pagar sambil membawa seberkas anak kunci. Hidup di tengah kota,  rumah mesti sentiasa bermangga, bimbang dimasuki tetamu tidak diundang.
Gadis manis  dua puluhan itu tersenyum girang. Menyantuni Dahlia dengan bersalaman dan mencium tangannya. Dahlia memeluk erat adiknya yang kini bergelar mahasiswi  di sebuah universiti terkenal di tanah air.
“Cik Lia apa khabar?”
“Alhamdulillah, sihat,”
“Mama macam mana, Cik Lia?”
“Tu…”  Dahlia menjawab sambil memuncungkan sedikit mulutnya ke arah pintu utama.  Adlina berlari memeluk mamanya, melepaskan kerinduan yang terpendam.
“Lin cuti berapa lama?” tanya Mama Mira setelah puas mendakap anaknya. Meskipun masih lemah tetapi dia tetap cuba mempamerkan kegembiraannya. Adlina memimpin mamanya ke sofa. Mereka melabuhkan punggung di situ.
“Biasalah, ma. Dua minggu,” Dahlia meminta diri ke dapur untuk menyudahkan kerjanya.
Dua minggu Adlina di rumah, Mama Mira gagahkan diri untuk turun makan bersama. Pembantu rumah juga diberi cuti panjang sehingga ke hujung minggu yang kedua. Namun masuk hari yang ketiga, Mama hanya berbaring di katilnya.  Dahlia tahu, Mama Mira sengaja mempamerkan keceriaannya agar tiada siapa yang tahu akan penderitaannya.
Aqashah yang mengetahui makanan kesukaan Mama Mira, selalu meminta Dahlia menyediakannya. Pandangan Mama Mira terhadap Aqashah juga sudah berubah menjadi pandangan kasih sayang daripada ibu mertua terhadap menantunya. Bukan lagi pandangan penuh bernafsu hasutan iblis laknatullah.
Sedikit sebanyak, timbul keinsafan di hati Mama Mira. Mungkin ini balasan Tuhan terhadapnya yang pernah menaruh perasaan serong terhadap anak menantunya. Sesekali, Mama Mira  mengurut dadanya yang sebak.
Seminggu selepas Adlina kembali ke kolej, Mama Mira memanggil Dahlia  duduk di sisinya. Hati Dahlia bergetaran, jiwanya meruntun. Apakah ini alamat awal yang Mama Mira akan meninggalkan mereka? Apakah dia ingin menyampaikan amanat terakhirnya?
Dengan langkah yang diatur kemas satu persatu, Dahlia menuju ke kamar Mama Mira. Mengetuk pintu kamarnya, perlahan.
“Masuk, Lia,” terdengar sayup suara mama menyahutnya dari dalam sambil diiringi batuk-batuk kecil. Dahlia memusing tombol pintu dan menguaknya ke dalam. Kelihatan  mama sedang berbaring di katilnya. Sebenarnya, baru sebentar tadi dia masuk ke bilik ini, membuka jendela dan menyapu debu yang mungkin hinggap  di celah-celah perabot kayu jati.
Dan sewaktu dia sedang menyapu di halaman, Kartika (perawat mama) berlari memanggilnya, menyampaikan pesan mama.
“Ya, ma,” Dahlia semakin merapati katil mamanya.
“Duduk di sini, Lia,” seru mama sambil mendongak memandang Dahlia dan meraih tangan anaknya itu agar rapat ke sisinya. Dahlia semakin berdebar-debar. Situasi ini terlalu asing baginya.
“Mama ada nak sampaikan satu rahsia besar buat Dahlia yang selama ini mama pendamkan sendirian,”
Mama Mira terbatuk-batuk lagi. Dahlia mengurut lembut dada mamanya.
“Maafkan mama kerana selama ini melayan Dahlia dengan buruk. Mungkin inilah balasan di dunia yang harus mama tanggung kerana cuba memporak-porandakan hidup Dahlia,” Dahlia semakin kelu. Dia bimbang melihat keadaan mamanya tetapi dia juga tidak tertahan lagi untuk mendengar rahsia besar yang ingin disampaikan oleh mama.
Air mata Mama Mira mengalir walaupun dia cuba menahannya. Dahlia menyeka air mata yang semakin meluruh di pipi mama.
“Mama, bertenanglah. Jangan menangis,” pujuk Dahlia kerana dia sendiri kehilangan arah melihat keadaan mama begitu.
“Ya, Lia. Mama  tak boleh menangis. Mama kena kuat. Mama perlu sampaikan berita ini sebelum mama menutup mata ini buat selama-lamanya,” Suara mama  beransur perlahan, menyebabkan Dahlia terpaksa merapatkan telinganya ke mulut Mama Mira.
Berita yang disampaikan Mama Mira memang amat mengejutkan. Dahlia terkaku sebentar. Seluruh pergerakan alam seakan terhenti. Dada Mama Mira berombak-ombak. Dahlia ingin meraung sekuat hatinya tapi dia perlu lebih tabah menghadapi saat getir begini.
“Mama, bertenanglah. Bawa mengucap. Lia dah lama maafkan mama. Lia juga nak mohon ampun dan maaf daripada mama seandainya  selama Lia bersama mama ini, Lia ada mengguris hati dan perasaan mama. Mama, mengucap ma,”Dahlia menahan sedu.
Mulut Mama Mira terkumat-kamit melafazkan syahadah menurut bacaan Dahlia dan ucapan La illah ha’illallah  berkali-kali sehinggalah tangan mama lemah di dalam genggaman Dahlia. Aqashah yang baru pulang bersama anak-anak kembarnya terpaku di muka pintu kamar.
“Mama,” Damia menerpa masuk, memeluk mama yang kaku di pembaringannya. Ke manalah agaknya gadis ini pergi semasa mamanya sedang nazak tadi. Berdiri di belakang mereka ialah Kartika. Dia kelihatan termanggu-manggu dan kelelahan. Mungkin dia pergi mencari mereka ini di merata tempat dan saat ketibaan sudah terlewat, mama terlebih dahulu dijemput kembali Penciptanya dalam pangkuan Dahlia, anak tersisih yang pernah dibenci.
Dahlia meraup muka mamanya sehingga matanya yang sedikit terbuka, tertutup rapat.
“Abang, hubungi Adlina, Addin dan Ashraf,” Dahlia seakan memberi arahan kepada Aqashah yang masih tegak terpaku di muka pintu bilik. Mendengar suara Dahlia,barulah dia bagaikan tersedar dan bergegas keluar. “Juga Mak Dah dan Pak Akob,” sambung Dahlia lagi sebelum terlupa. 
“Sudah Damia. Jangan menangis lagi. Mari kita uruskan jenazah mama sebaik mungkin,” Dahlia mengusap bahu dan belakang adiknya. Damia membalikkan tubuhnya, memeluk Dahlia dan melepaskan tangisnya.

No comments:

Post a Comment