Tuesday, 19 July 2011

Selumbar Kasih

PROLOG

Firman ALLAH s.w.t dalam surah al-Nisa’ ayat 34 yang  bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum  perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita.
Walau bagaimana jauh pun dia cuba melarikan dirinya daripada cinta yang bertandang namun ketetapan ALLAH itu adalah benar. Dia tidak mampu lari daripada ketetapan ini. Dia tidak mampu lagi untuk membohongi hatinya. Saat cinta telah bertamu dan memenuhi seluruh ruangan hatinya, dia tidak berdaya lagi untuk mengelaknya. Kini, dia pasrah dengan suratan takdirnya.
Dia mengenakan sepersalinan pakaian pengantin menggunakan kain songket rona ungu serta motif kerawang di bahagian dada baju kebaya labuh serta selendang panjang yang dijadikan layah. Tema ungu yang menjadi impian hari perkahwinannya kini direalisasikan.
Solekannya ringkas namun sudah cukup untuk menaikkan seri wajah pengantinnya. Dia tidak menempah mak andam atau melantik perunding imej untuk menatariasnya. Dia hanya menggunakan khidmat teman baiknya sewaktu di universiti, Alina untuk menyolek wajahnya. Wajah yang sentiasa manis itu bertambah ayu dengan sedikit sentuhan alat make-up.
Alina menyapukan bedak asas sehingga rata ke seluruh wajahnya sebelum menyapukan pemerah pipi warna merah jambu. Setelah itu barulah disapunya bedak debu dengan menggunakan berus besar ke serata wajah, dioles sesempurna yang mungkin.
Tidak disangka, Alina berbakat juga rupanya. Untuk solekan matanya pula, Alina menggunakan warna-warna tanah yang sesuai agak matanya tidak tampak terlalu galak dan garang. Pembayang mata disapukan dengan berus lembut di bahagian kelopak mata. Bulu matanya sudah cukup panjang dan memukau tanpa perlu menggunakan bulu mata palsu. Alis matanya yang lentik seperti seraut jatuh. Menambahkan jelita seorang anak gadis Melayu.
“Engkau duduk diam-diam, Lia. Aku bukannya pro. Nanti tak jadi mata Siti Nurhaliza, jadi muka Hantu Kak Limah Balik Rumah pula,” gurau Alina sambil tangannya lincah menatarias wajah teman baiknya itu, menyapu gincu bibir warna merah terang dan disudahi dengan pengilat bibir. Perutnya yang memboyot itu sesekali  menghimpit bahu temannya yang sedang disolekkan.
Riuh rendah suara tetamu di halaman, membangkitkan kemeriahan. Rakan taulan dan jiran sekampung datang meraikan hari bersejarah mereka. Saat kompang dipalu, dia sedar suami yang baru menikahinya semalam sedang dalam perjalanan menuju ke mahligai bahagia mereka. Hatinya berdebar-debar. Debar dan bahagia yang menyatu jadi satu rasa.
Cinta yang suci lahir dari hati sanubari yang jujur dan iklas. Akhirnya, dia temui cinta sucinya setelah sekian lama menyanggah takdir dan membenci cinta lelaki. Dia tidak pernah membenci lelaki tetapi saat cintanya dipermainkan dan status dirinya dipersoalkan, dia jadi takut untuk mendekati insan yang satu ini apatah lagi untuk memilih mereka menjadi teman hidupnya.
Kini, cintanya terlaksana sudah.  Ijab dan kabul termeterailah sudah. Menitis air matanya menahan perasaan sebak yang bertamu saat lafaz taklik dibacakan. Suasana ceria yang menyelubungi perkarangan masjid bertukar menjadi hening dan sayu. Segala debarannya kini telah berakhir. Dalam hatinya, dia berjanji, akan memastikan layanan terhadap suaminya mencukupi.
Dia ingin menjadi seorang isteri yang sebaik-baiknya di sisi Sang Suami. Mengasihinya dengan setulus hatinya. Saling melengkapi dalam membina kehidupan yang lebih bermakna. Apa yang pasti, dia tidak keseorangan lagi dalam menongkah arus kehidupan. Semoga ALLAH memberkati setiap langkah perjalanannya di dunia yang fana ini.





BAB 1

Dahlia anak terbuang. Meratapi nasib diri sudah tiada ertinya lagi. Apa yang pasti, hakikat tetap hakikat. Tidak mampu diubah walaupun seinci. Dahlia pasrah. Meskipun amat payah namun kini, kepasrahan itu adalah miliknya yang hakiki. Menangis hingga keluar air mata darah sekalipun tidak akan mampu mengubah ketetapan yang telah termaktub ini. Berkabung selama manapun tidak akan dapat merubah lakaran sejarah kelam dan takdir hidupnya.
Anak terbuang? Ya, memang dia anak terbuang atau lebih tepat lagi, anak yang tidak diingini kehadirannya. Nyaris nyawanya direntap dari badan saat kewujudannya disedari namun kudrat ALLAH tiada yang dapat menongkah. Sejak dari dalam kandungan lagi, janinnya Dahlia ingin dihapuskan. Kehadirannya bakal memporak- poranda hidup induknya. Jika boleh, dia perlu dihapuskan sebelum mudigah itu berubah menjadi janin. Sebelum sel tunggal yang dikenali sebagai ‘zigot’ itu berkembang biak dengan membelah diri hingga akhirnya menjadi segumpal darah.
“Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.” (Al-Qur’an, 23:14)
Anak yang tidak diingini itu terus berjuang menentang maut. Pastinya dia anak yang istimewa. Usaha induknya untuk melenyapkannya begitu sahaja tidak berjaya. Dia terus membesar bermula dari segumpal darah sehinggalah membentuk  suatu jasad bernyawa. ALLAH memeliharanya. Anak yang tidak diingini itu tetap dilindungi sehingga mencelikkan mata untuk menyaksikan sandiwara hidup di mayapada ini.
“Bacalah dengan (menyebut) nama  Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari ‘alaq (segumpal darah). Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah.” (Al- Quran, 96: 1-3).
Dahlia terlalu istimewa. Daripada 250 juta sperma yang bersaing, hanya seribu  sahaja yang berhasil mencapai sel telur. Dan daripada seribu itu pula, hanya satu  sahaja yang akan berjaya memasuki sel telur. Dan yang satu itulah yang membentuk  Dahlia kini.
Kejayaannya bersaing dengan berjuta sperma lain untuk menuju kepada telur ibunya telah membuktikan  bahawa dia anak yang kuat. Anak yang bijak dan anak yang berjaya. Biarpun dibenci, biarpun dimaki, biarpun ada yang meludah jijik namun Dahlia tetap Dahlia. Dahlia yang kuat dan tabah. Namun setabah manakah hati seorang Dahlia? Sekuat manakah dia menongkah arus?
Angin petang yang berhembus menerbangkan dedaunan kering yang berserakan di tengah halaman. Menyelak-nyelak rambut Dahlia yang berjuntai di dahi. Dibiarkannya angin lembut itu terus membelai tubuhnya. Otak Dahlia tepu. Terkadang terasakan dirinya di awangan. Mamai dan kosong. Sekosong ruangan angkasa tanpa udara. Tidak terlintas di akalnya untuk melakukan apa-apa. Segalanya kaku. Sepi dan bisu. Kalau boleh, Dahlia ingin tidur sahaja. Tidur dan tidak bangun-bangun lagi. Mungkin dia bisa temui kedamaiannya di sana.
Hampir seminggu jasad ayah dan ibu disemadikan nun sejauh enam kaki di dasar bumi. Saban waktu Dahlia tidak lupa menghadiahi mereka bacaan al-ikhlas dan surah al-fatihah. Kemurungannya sedikit terubat dengan bertemankan solat dan doa. Alhamdulillah, asuhan ibu dan ayah agar mengenal agama ALLAH tidak akan dipersiakan. Itulah pengubat jiwanya kini. Jiwa yang seakan telah layu dan kering-kontang dimamah kesedihan.
Sesekali, Dahlia menarik nafas panjang dan melepaskannya berat sekali. Cuba meredakan gelodak rasa dan beban sarat yang membusung di jiwa. Bukan dia menyesali takdir namun apa yang datang menimpanya terasa amat berat. Sesak dan menyempitkan. Bertimpa-timpa bagaikan hujan batu dan peluru, tanpa perisai yang dapat menepis dan menangkisnya. Perasaan hiba dan sayu  terus menyelubungi jiwa.
Kesedihan hatinya kerana ditinggalkan kedua insan  tercinta juga kesedihan yang berganda saat diketahui siapakah dirinya yang sebenar. Kebenaran yang tidak pernah dimpikannya. Kebenaran yang tidak pernah hadir dalam mimpi-mimpinya. Namun, saat ini, dia tidak bermimpi lagi. Segalanya telah terang dan nyata. Siapalah dia untuk menolak takdir Ilahi.
Selepas ayah dan ibu dipanggil menghadap Ilahi, barulah terbongkar rahsia dirinya. Dahlia terkejut amat. Andai kurang daya tahan, pasti dia bisa hilang pertimbangan dan akal fikiran. Ingin  rasanya dia menjerit dan melolong sekuat hatinya tetapi apakah akan terungkai segala kekusutan dengan jeritan dan lolongan itu? Kepada siapa ingin dijeritkannya? Kepada siapa ingin  dilolongkannya? Dan siapa pula yang akan mendengar jeritan dan lolongannya?
 Kebenaran itu tetap kebenaran meskipun pahit dan amat mengecewakan. Kenyataan yang perlu ditelan meskipun sekeras batu dan sepahit hempedu. Ayah dan ibu yang selama ini dikenalinya bukanlah ayah dan ibu kandungnya yang sebenar. Bagaikan dipanah petir dan halilintar, Dahlia menerima perkhabaran itu. Sebak dan sesak dadanya. Bagaikan luruh tangkai  nyawanya.
Ayah…ibu….kenapakah ini semua harus terjadi? Kenapakah setelah keberangkatan kalian, baru kuketahui hakikat diri kalian yang sebenarnya? Juga hakikat diriku? Selama ini, kalianlah ayah dan ibuku. Tempat aku bermanja dan bergantung harap. Tempat aku mencurahkan sepenuh kemanjaan dan harapanku. Aku ditatang bagai minyak yang penuh. Teramat kasih dan sayangnya kalian akan diriku.
Tidak pernah terlintas di fikiran Dahlia bahawa ayah dan ibu yang selama ini membelai dan mengasuh dirinya, yang selama ini dipanggil ayah dan ibu rupa-rupanya adalah datuk dan neneknya sendiri. Datuk dan nenek yang membawa diri jauh ke pedalaman negeri Perak bersama aib dan noda yang diolah oleh anak mereka sendiri iaitu ibu Dahlia.
Kakak sulung Dahlia yang selama ini dipanggil sebagai Mama Mira adalah ibu kandungnya yang sebenar. Usia Mama Mira sekarang sudah menginjak 34 tahun manakala Dahlia bakal menyambut hari lahirnya yang ke 20 hanya beberapa bulan sahaja lagi. Bermakna seawal usia ibu kandungnya 14 tahun Dahlia dilahirkan.
Rupa-rupanya bukan sengaja suka-suka, ayah dan ibu mengajarnya memanggil kakak sulungnya sebagai Mama Mira. Dahlia memang tidak menyangka kerana fikirnya, mungkin dia telah terbiasa dengan panggilan itu kerana mengajuk panggilan anak-anak saudaranya, Adlina, Ashraf, Addin dan Damia iaitu anak-anak Mama Mira.
Seminggu yang lalu, Dahlia masih punya ayah dan ibu. Seminggu  yang lalu juga, dia masih dapat mendengar suara dan tawa mesra mereka di hujung talian telefon bimbitnya. Seminggu yang lalu dia masih dapat mendengar kata nasihat dan peringatan  daripada ibu dan ayah. Namun, dalam sekelip mata, kebahagiaannya diragut. Dalam sekelip mata juga Dahlia menjadi  yatim piatu. Dan dalam sekelip mata itu juga, hidupnya berubah. Berubah seratus-peratus.
Suara riang ibu sewaktu memaklumkan bahawa mereka akan melawatnya di Blok Kasih masih terngiang-ngiang. Kerinduan mereka selama ini bakal ternoktah. Namun, siapa sangka ? Itulah kali terakhir dia mendengar suara ibu. Itulah juga kali terakhir dia mendengar tawa mesra ibu. Selepas itu, dia menantikan kehadiran ibu dan ayah dengan penuh sabar. Sejam, dua jam namun masih belum terlihat kedua insan yang dikasihi.
Resah dalam penantian, Dahlia cuba menghubungi mereka, namun panggilannya tidak berjawab. Doa dipanjatkan setulusnya agar keduanya selamat dalam perjalanan menemuinya. Ya ALLAH, Maha Suci ALLAH yang memudahkan ini bagi kami. Tiadalah kami berkuasa mempergunakannya jika tidak kerana kurnia ALLAH, sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Sehingga ke lewat petang, kelibat ibu dan ayah masih tidak kelihatan.
Dan dalam kelewatan itulah, Dahlia menerima panggilan kecemasan menyatakan ibu dan ayah terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa keduanya. Kereta ayah remuk. Hancur berkecai. Kecederaan yang teruk melibatkan jantung dan pendarahan rongga paru-parunya (haemothorax) menyebabkan ayah maut di tempat kejadian sebelum sempat dikejarkan ke hospital.
Ibu pula meninggal dalam perjalanan menuju ke hospital kerana mengalami kecederaan akibat tertikam (penetrating injury) benteng pembahagi jalan. Menurut saksi kejadian malang itu, kereta ayah Dahlia bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan yang dipandu laju dan terbabas ke tengah jalan semasa tiba di satu selekoh tajam .
Laporan statistik kemalangan jalan raya yang dilakukan oleh Statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) sendiri telah menunjukkan bahawa Malaysia mencatatkan satu angka kemalangan jalan raya yang amat tinggi berbanding dengan Negara Eropah atau Amerika Syarikat.
Biar apapun ulasan dan kesaksiannya, kejadian yang berlaku tetap telah berlaku. Tidak mampu dianjak walau sedetikpun. Yang hak kembali kepada yang berhak. Dahlia tidak menyangka, penantiannya petang Sabtu itu berakhir dengan peristiwa penuh tragis ini. Dia hanya dapat menyaksikan tubuh kaku ibu dan ayahnya tanpa  bicara pemanis kata lagi. Semuanya telah berakhir. Terpisahlah mereka kini. Semoga bakal berkumpul  lagi di dunia kekal abadi nanti iaitu dunia akhirat.
Yang pergi tetap akan pergi. Yang tinggal masih perlu meneruskan kelangsungan hidup. Dahlia telah dewasa dalam menjalani hidup ini. Dahlia telah mulai berdikari saat dia ditinggalkan. Ayah dan ibu tidak meninggalkan Dahlia sebatang kara. Rumah dan tanah tapak rumah ini telah pun ditukar menjadi milik Dahlia sewaktu ayah dan ibu masih hidup.
Kerana rumah dan tanah ini jugalah Dahlia mengetahui hakikat dirinya adalah ‘cucu’ kepada ayah dan ibu. Mama Mira melenting amat tatkala mengetahui geran tanah kampong ini telah lama menjadi milik Dahlia. Nasib baik Pak Akob iaitu bapa saudara sebelah ayah (sebenarnya datuk saudara Dahlia) menenangkan keadaan.
Tanah Dahlia bermakna tanah Mama Mira juga. Rumah Dahlia bermakna rumah Mama Mira juga kerana Dahlia adalah anak kandung Mama Mira. Darah daging Mama Mira. Terkedu Dahlia dengan insiden itu. Orang yang memusuhinya selama ini adalah ibu kandungnya sendiri.
Musuh? Ya, selama ini Dahlia menganggap Mama Mira memusuhinya. Setiap kali pulang menjengah mereka, Mama Mira jarang sekali menyapanya. Pandangan matanya penuh dengan kebencian. Nada suaranya tinggi melengking tatkala menyuruh Dahlia memandikan anak-anak kecilnya seramai empat orang itu.
Pernah sekali Mama Mira memukulnya dengan sebilah rotan  hanya kerana menuduhnya mencuri kerongsang mutiara Sabah yang baru dibelinya. Memang Dahlia tidak tahu-menahu langsung tentang kerongsang berkenaan tetapi Mama Mira tetap menuduhnya tanpa usul periksa.  Meminta dia memulangkan kerongsang berkenaan sedang benda itu tiada padanya. Bagaimana dia mahu memberi benda yang dia tidak ambil?
Nasib baiklah ibu cepat bertindak. Ibu merampas rotan di tangan Mama Mira dan memberi amaran kepadanya agar tidak memukul Dahlia lagi. Memang selepas itu Mama Mira tidak memukul Dahlia  tetapi di belakang ibu, dia curi-curi memukulnya juga. Dahlia pun rasa pelik dengan sikap Mama Mira. Melayannya bagai manusia yang tiada berperasaan.
Pernah Dahlia berbisik ke telinga ibunya perihal perangai  Mama Mira tetapi ibu memintanya bersabar.  Dahlia sendiri tidak menolak apabila diminta untuk menguruskan anak-anak saudaranya (yang sebenarnya, adik-adiknya sendiri) kerana Dahlia memang menyukai anak-anak kecil. Mungkin kerana dia sendirian di rumah, jadi kepulangan Mama Mira dan anak-anaknya memang dinanti-nantikan.
Sayang Dahlia kepada anak-anak kecil itu turut melorongkan pintu hatinya untuk menceburi bidang perguruan.  Kini, telah dua tahun dia di universiti perguruan untuk mengutip ilmu dan mempelajari kemahiran bidang pendidikan sebelum terjun secara langsung ke dalam bidang tersebut kira-kira tiga tahun lagi.
Ayah dan ibu pergi sebelum sempat Dahlia menghadiahi mereka segulung ijazah yang bakal dibanggakan. Sedikit rasa terkilan menyelinap di sanubarinya. Dahlia perlu redha dengan ketentuan ini. Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Dia haruslah sentiasa bersangka baik dengan ketentuan Allah. Ya Allah, daripadaMu kami datang, kepadaMu jua kami kembali.


BAB 2

“Kamu semua  datang ke sini adalah untuk dididik menjadi manusia guru. Manusia yang berilmu dan berwawasan tinggi. Kamulah manusia yang akan menjadi kesuma harapan bangsa dan  bakal mencorakkan masa depan generasi yang akan datang. Di tangan kamulah terletaknya tanggungjawab untuk memenuhi aspirasi negara demi mencapai kemajuan di dalam segala bidang.”
Dahlia mencatatkan sesuatu di dalam test padnya. Kata-kata perangsang dan nasihat yang sedang diluahkan oleh Puan Aishah, pensyarah Pedagoginya terus berkumandang memenuhi  ruang dewan kuliah.
Dahlia melontarkan pandangannya jauh ke luar. Peta mindanya kosong. Sekosong dada langit bersepuh awan kelabu. Kelihatan gerimis tipis sedang memutih di tengah padang permainan bola baling. Kedinginan yang memberikan seribu ketenangan. Namun kedinginan itu juga melayarkan sejuta kerinduan kepada ayahanda dan bonda tercinta yang telah pergi jauh.
“Kamu mestilah yakin atas apa yang akan kamu sampaikan apabila kamu telah berada di tengah-tengah masyarakat kelak. Setiap apa yang kamu lakukan dan setiap apa jua tindakan  yang  kamu  ambil akan menjadi perhatian umum. Oleh itu, kamu mestilah sentiasa berwaspada dan jangan cemari profesion kamu ini hanya kerana menurutkan kata hati dan nafsu semata-mata.”
Lontaran suara Puan Aishah seakan mengejutkan Dahlia daripada lenanya. Dahlia kembali berada di alam nyata. Cuba menekuni celoteh Puan Aishah yang lebih berupakan kata-kata nasihat itu. Begitulah Puan Aishah, tidak jemu-jemu membentuk dan membimbing bakal-bakal guru itu.
Meskipun begitu, ada juga dalam kalangan siswa-siswi itu yang mengambil kesempatan untuk melayani fikiran, berangan-angan atau menyambung mimpi yang masih belum sempat dihabiskan malam tadi. Dengan suasana yang dingin dan mendamaikan itu, pasti ada sesetengahnya seakan terpanggil untuk melelapkan mata.
Dahlia juga turut merasai bahang kantuknya tetapi dia masih mampu bertahan dan cuba menumpukan sepenuh perhatian terhadap segala butir perkataan yang keluar dari mulut Puan Aishah. Hanafi bangun mengemukakan soalan apabila majlis dibuka untuk sesi soal jawab. Dewan kuliah kembali segar. Dahlia hanya menumpukan perhatian terhadap soalan teman-temannya.
Dia merangkakan beberapa soalan yang hendak dikemukakan seandainya diberi peluang. Namun, sehingga ke akhir kuliah, soalan-soalan Dahlia hanya beku di dalam test padnya sahaja.
Dahlia bangun apabila dewan bersurai. Dia melangkahkan kakinya menuju ke kafetaria. Terdengar namanya dilaungkan. Dahlia segera menoleh ke belakang. Kelihatan Alina sedang terburu-buru mengekorinya.
Dahlia memberhentikan langkah dan tersenyum memandang Alina. Mereka beriringan menuju ke kafetaria, bergabung bersama rakan-rakan yang lain. Mereka menuruni Tangga Rapunzel. Sejak Dahlia di universiti ini, semua tangga telah diberikan namanya. Pandai pula dia mereka-reka nama itu.
Tangga Rapunzel? Kenapa ya? Rambut siapa yang digerbangkan di situ sehinggakan dongeng Rapunzel yang mendapat tempat? Sebenarnya, tangga itu yang paling tinggi  antara tangga-tangga yang terdapat di kampus ini. Seperti tangga naik ke menara yang menempatkan Rapunzel. Tertawa besar Alina saat Dahlia memberikan penerangan tentang asal-usul nama berkenaan dan dari mana dia mendapatkan cetusan ideanya.
Dahlia memang suka dengan cerita dongeng zaman kanak-kanaknya. Selain daripada Tangga Rapunzel, ada juga Tangga Maksiat dan Tangga Cinderella dikampus ini. Namun, di saat jiwanya yang sedang melara kini, dia tidak berminat lagi untuk memikirkan tentang Tangga Rapunzel, Tangga Cinderella atau Tangga Maksiatnya.

TIDUR  malam Dahlia sering terganggu sejak akhir-akhir ini. Tubuhnya serasakan tidak bermaya dan semakin lemah. Kepalanya sering kali sakit. Sakit di dalam kepala dan di atas tengkuk atau lehernya. Denyutannya yang semakin mencengkam. Bebanan kesakitan yang tidak pernah berkurangan. Tidak terdaya lagi rasanya untuk menggerakkan tubuhnya apatah lagi untuk bangun. Mungkin Dahlia mengalami tekanan akibat kehilangan ibu dan ayahnya secara mendadak.
Daya tumpuan terhadap pelajarannya juga agak sedikit goyah. Terkadang dia berasa pening. Tubuhnya serasakan ringan dan seakan-akan melayang-layang. Ada ketikanya hanya tangisan  yang mampu meredakan kesakitan itu. Air matanya yang tumpah sudah tidak terhitung lagi.  Apa salahnya menangis jika tangisan itu mampu meleraikan segala kegusaran yang membelenggu?
Namun, sejak beberapa malam ini, kesakitannya semakin menyengat. Dahlia cuba memejamkan mata. Membawa diri untuk belayar di alam mimpi namun gagal. Dahlia tidak mahu terus bergantung hidup dengan acetaminophen (Tylenol) mahupun naproxen (Aleve) yang diperoleh dari farmasi untuk meredakan kesakitannya.
“Ya ALLAH, ya Tuhanku. Tuhan yang tidak pernah tidur dan Tuhan yang tidak pernah mengantuk. Pejamkanlah mataku. Lenakanlah tidurku. Aku ingin tidur agar aku bisa melupakan segala kepahitan ini. Aku ingin berehat agar aku bisa bangun esok pagi dengan tubuh yang segar dan fikiran yang lapang. Ya ALLAH, ya Tuhanku, tenangkanlah jiwaku ini, lapangkanlah dadaku ini. ” Dahlia berdesis perlahan namun kantuknya tetap tidak kunjung tiba.
Sakit di kepalanya memang kesakitan yang amat, berdenyut-denyut, namun kesakitan di jiwanya lebih memeritkan. Kesakitan yang amat sukar untuk disembuhkan malahan menjadi semakin parah dari hari ke hari. Mungkin juga kerana dia terlalu banyak berfikir. Perasaannya terdera, jiwanya menderita. Penderaan dan penderitaan yang bagaikan tiada penyembuhnya.
Dahlia  bangun perlahan-lahan sambil menyelak selimut yang menyelubungi sekujur tubuhnya. Meluruskan tulang belakang dan urat leher serta membetulkan posisi badannya.   Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam adalah sangat berkesan  dan lebih betul bacaannya. Amal ibadat itulah benteng pengubat hati, penenang jiwa. Dahlia tercari-cari bagaikan dia terdengar seseorang menuturkan kalimah itu.
“Ayah?” Mata Dahlia melilau dalam kesuraman lampu tidurnya. Terpandang sesusuk tubuh Alina, teman kuliah dan juga teman sekamarnya itu yang sedang tidur berbungkus selimut tipis di katil sebelahnya. Mata Dahlia terasa berpasir. Dia merindui ayah dan ibunya. Kerinduan yang sepanjang masa bertandang di jiwa. Bagaikan terhidu haruman ayah dan ibu memenuhi ruangan kamar kecil ini.
Dahlia terbata-bata. Serasakan  bermimpi dan sesekali di alam sedar. Berat dan sarat kepalanya kian berkurangan. Dia bingkas menuju ke bilik air. Menggunakan sedikit masa untuk berwuduk, merasai kedinginan air di malam sepi yang amat menyegarkan dan kemudian tunduk menyembah dan sujud ke hadrat ALLAH Taala.
Dalam keheningan malam itu, Dahlia bermunajat. Mohon agar dipermudah segala urusannya. Mohon agar kesedihannya  tidak berlarutan. Mohon agar ditetapkan iman dan takwanya. Juga mohon agar diterima baik oleh keluarga mama dan papanya. Papa? Kenapa selama ini Dahlia tidak pernah mempersoalkan siapakah Abdullah di dalam sijil lahirnya?
Dia bangun perlahan-lahan. Menuju ke meja studynya dan menarik keluar laci kecil di sisi. Sebuah fail clear holder dikeluarkannya. Di dalam fail itu, terisi segala sijil dan maklumat tentang  dirinya.  Dahlia meneliti helaian demi helaian sijil dan maklumat dirinya. DAHLIA BINTI ABDULLAH.
Ayah Dahlia atau lebih tepat lagi datuknya bernama Abdul Ghani. Bukan Abdullah. Tetapi Dahlia tidak pernah mempersoalkan tentang nama itu kerana panggilan di kampong mereka untuk ayahnya ialah Pakcik Dolah atau Haji Dolah. Itulah nama ayahnya.
“Ibu, kenapa nama ayah Abdullah tapi dalam kad pengenalan ini tertulis Abdul Ghani?”
Mak Wan tersentak. Rahsia yang selama ini tersimpan kemas jatuh juga ke pengetahuan anaknya, Dahlia. Matanya tertancap ke  arah kad pengenalan suaminya di tangan Dahlia.
“Kenapa Dahlia ambil ic ayah?”
“Eeerrr…Lia nak basuh seluar ayah ni, terjumpa ic ayah dalam kocek…” sahut Dahlia ragu-ragu.
“Emm..memang orang dulu-dulu ada banyak nama. Atuk Lia nak namakan anaknya dengan nama Abdul Ghani manakala nenek pula ingin nama Abdullah. Maklumlah, anak lelaki sorang. Untuk menyelamatkan keadaan, ayah dinamakan Abdul Ghani dan untuk menjaga hati nenek, ayah dipanggil Abdullah.”
Sejak peristiwa itu, Dahlia tidak pernah lagi mempersoalkan tentang nama ayahnya. Dia percaya akan kata-kata ibu. Ibu seorang yang jujur. Ibu orang yang amanah. Ibu tidak pernah bercakap bohong malahan ibu juga melarangnya berbohong. Adalah mustahil ibu akan berbohong atau mengada-adakan cerita.
Begitu besar pengorbanan seorang datuk. Sanggup membawa diri ke sebuah kampong di pedalaman. Memperkenalkan dirinya sebagai Abdullah demi menjaga hati dan maruah cucunya yang suatu hari nanti akan dewasa dan sudah pasti akan bertanyakan soalan yang rumit ini.
Ayah  telah mempersiapkan dirinya lebih awal dengan menguburkan nama Abdul Ghaninya dan menggunakan nama Abdullah agar sama dengan nama bapa cucunya. Sebenarnya Abdullah bukanlah nama sebenar ayah Dahlia tetapi ianya adalah nama ayah kepada anak-anak yang tidak mempunyai ayah yang sah tarafnya.
Ibu? Nama ibunya Wan Amira binti Abdul Ghani. Apa yang hendak dipersoalkannya kerana ibunya memang dikenali sebagai Mak Wan. Bertepatanlah dengan namanya Wan Amira….ya, Amira…Mira… Mama Mira. Tidak nampak sebarang kejanggalanpun. Dan secara kebetulan juga nama arwah datuk, Abdul Ghani sama dengan salah satu daripada nama ayahnya.
Sekali lagi pelupuk mata Dahlia basah.
Seandainya ibu dan ayah ada di sini, Dahlia ingin memeluk mereka erat-erat. Ingin mengucapkan terima kasih atas pengorbanan keduanya. Mengasuh dan mendidiknya sehingga menjadi seorang manusia berguna seperti hari ini. Mengasihinya dengan sepenuh hati. Tidaklah hidupnya disia-siakan malahan dia diberi peluang untuk menghirup udara segar alam ini dan menikmati hidup yang sempurna.
Kalau sebelum ini, dia begitu tersentuh saat membaca dan mendengar berita tentang pembuangan bayi yang tidak  diingini hadirnya tanpa menyangka bahawa dia juga tergolong dalam golongan yang tidak diingini itu. Nasibnya baik kerana punya datuk dan nenek yang sanggup berkorban segala-galanya demi memastikan kesejahteraan hidupnya.
“Lia…”
Dahlia tersentak. Suara Alina mengejutkannya daripada lamunan yang panjang.
“Maafkan aku Lina. Aku mengganggu tidur kau ke?”
“Eerr… tidak. Sekarang sudah hampir enam pagi. Tidak lama lagi azan pasti berkumandang. Sudah masanya untuk bangun tidur.”
Dahlia mengerling jam loceng di meja sisi. Jam yang locengnya akan berbunyi tepat pukul 6 pagi tetapi pagi ini mereka bangun lebih awal daripada waktu yang disasarkan.
“Engkau tidak tidur semalam,Lia?”
Dahlia hanya membungkam.
“Jangan diikutkan perasaan, Lia. Lumrahnya kehidupan, beginilah. Yang pergi tetap akan pergi. Kita yang tinggal ini perlu meneruskan kelangsungan hidup dan yang pastinya, suatu hari nanti kita juga akan menyusuli mereka. Lambat atau cepatnya sahaja yang kita tidak tahu. Ibu dan ayah engkau pasti sedih kalau lihat kau terus-terusan begini.” Alina melunakkan suaranya.
Penderitaanku terlalu berat, Alina. Kalaulah kau tahu, aku ini anak terbuang. Anak luar nikah. Pasti kau juga akan tahu sehebat mana penderitaanku. Sekuat mana penderitaan yang mendera di jiwaku. Dahlia hanya bermonolog di dalam hatinya. Takdir ini datang tanpa diundang. Alina telah lama berlalu ke dalam bilik air.
Dahlia menutup kembali fail clear holdernya. Dimasukkan semula ke dalam laci meja.  Biar apapun yang berlaku, Dahlia perlu kuat. Dahlia perlu tabah.  Dia kini hanya bersendirian. Tiada siapa lagi yang bakal diharapkan menjadi pembimbingnya. Ayah dan ibu  telah jauh meninggalkannya. Hanya kematangan akalnya sendiri yang mampu menghindarinya daripada segala kesilapan.
Dahlia tidak mahu melakukan sebarang  kesilapan yang boleh memusnahkan seluruh hidup dan masa depannya. Biarlah dia anak luar nikah. Biarlah dia anak yang tidak disahkan tarafnya. Asalkan dia tahu diri. Asalkan dia tetap  menjaga tatasusila dan keperibadiannya. Asalkan dia tetap memikul Islam di pundaknya.
Dahlia ingin  jadi seorang insan yang  kuat dan tabah meskipun tidak setabah  Siti Khadijah dan secekal Rabiatul Adawiyah mahupun Siti Hajar. Walau apapun yang berlaku, Dahlia mesti kuat. Kuat Dahlia Kuat. Setelah Alina keluar dari kamar mandi, Dahlia mengambil giliran untuk menggunakannya.
Tugas rutin harian yang perlu dilangsungkan seperti biasa meskipun jiwa sentiasa meronta keresahan. Ya, ALLAH. Tabahkanlah hati seorang Dahlia. Tunjukilah dia jalan yang benar, jalan Engkau redhai. Ya ALLAH, janganlah disesatkan hati hambaMu ini. Ampunilah segala dosa-dosanya. Semoga dia tergolong dalam golongan hambaMu yang bertakwa. Amin….

BAB 3
“Sayang, kita nak ke mana?”
Sepi.
“Sayang, kita nak ke mana?”
Masih lagi sepi.
“Sayang…”
Dahlia terkejut mendengar lontaran suara itu. Dia kembali berada di alam nyata. Pertanyaan temannya itu menyedarkan dia bahawa mereka sekarang berada di persisiran pantai.
“Emm…apa?”
“Jauh mengelamun. Jangan terus-terusan bersedih, Lia. Lia sedih, abang juga sedih,” ungkapan berbaur pujukan keluar dari bibir Zamani. Pemuda kacak, teman sekuliahnya  merangkap kekasih hatinya.
Dahlia hanya melepaskan keluhan. Mujur ada Zamani yang menjadi teman pengubat sepinya. Makan minumnya  terjaga meskipun dihimpit kehibaan yang sarat. Zamani tidak akan membiarkannya menanggung derita, menjeruk rasa sehingga melupakan waktu makan dan kelaparan.
Menyedari keadaan Dahlia yang seakan tiada tempat tujuan, Zamani memberikan isyarat lampu ke kiri dan membelokkan keretanya  ke suatu hentian rehat di tepi Pantai Lido. Cuaca petang yang cerah. Sekumpulan camar putih menghiasi dada langit, berterbangan bebas di angkasa raya nan luas terbentang. Menyambar ikan yang sesekali timbul di permukaan selat.
Keriangan anak-anak kecil di tapak senaman melatari pemandangan. Ibu bapa yang bergandingan sambil memerhatikan anak-anak mereka bermain tidak mampu menyentuh perasaan Dahlia. Kedinginan angin petang yang menyegarkan tidak mampu membelai jiwanya yang bergelora dirundung kemelankolian.
Zamani sengaja membawa Dahlia ke situ sebagai terapi mindanya. Dia tahu, Dahlia sukakan anak-anak kecil. Pasti hatinya sedikit terhibur melihat keletah anak-anak yang bermain di situ. Lama dibiarkannya Dahlia mengelamun. Agar Dahlia bisa membasuh dukanya.
Di luar sedarnya, Dahlia membuang pandang ke arah sepasang kekasih yang sedang memadu kasih tanpa segan silu di hadapan anak-anak kecil yang sedang berlarian dan berlompatan itu. Pandangannya kosong kerana bukan objek di hadapannya itu yang menjadi fokus tumpuannya.
Pandangannya masih terus terlekat ke arah muda-mudi itu sehingga menarik perhatian Zamani untuk menoleh ke arah yang sama. Zamani melirik senyum dan menatap wajah Dahlia. Perlahan-lahan jemarinya merayap ke tangan Dahlia.
“Kenapa Sayang? Teringin nak buat macam tu, ke?”
Dahlia tersentak. Bagaikan baru tersedar kesalahannya memandang sesuatu yang terlarang.  Pandangannya kini jatuh tepat ke mata Zamani. Mata yang memancarkan cahaya kasihnya selama ini. Dahlia cuba mencari kesungguhan di sebalik kata-kata itu.
“Tak payahlah nak tengok orang. Kalau nak , kita pun boleh buat macam tu.” Kata-kata itu bagaikan halilintar memanah tangkai hati Dahlia. Direntap kasar tangannya dari genggaman Zamani. Mukanya merona merah kerana menahan malu dan marah.
Zamani. Engkau tahu, tak? Kerana perlakuan jijik itulah aku ini terlahir ke dunia. Lahir tanpa nama ayah. Lahir tanpa taraf yang disahkan. Lahir bersama aib dan nista. Membawa malu kepada datuk dan nenekku. Hati  Dahlia menjerit dan meraung. Zamani, aku menyayangimu. Janganlah kau cemari kasih sayangku ini. Dahlia hanya menjerit dan meraung di dalam hati.
Sebak dada Dahlia. Dia bangun meninggalkan Zamani yang masih terpinga-pinga. Menyedari keceluparannya, Zamani turut bangun mengekori langkah kaki Dahlia. Dahlia mengenakan  blouse biru bercorak abstrak dipadankan dengan jeans biru dan tudung gaya Syria gabungan cotton viscose dan pelangi sifon silk di bahagian layer menambah ayu kepada si gadis pemakainya.
“Lia, maafkan abang. Abang tidak bermaksud untuk menyakiti Lia.Maafkan abang, Sayang.”
Dahlia melewati bangku-bangku taman. Angin  semilir Selat Tebrau menyapu pipinya. Suara ombak di pantai menggamit rindunya pada dua insan yang telah jauh meninggalkannya. Meskipun jauh tapi sentiasa bersamanya. Menemaninya ke mana-mana. Setia menghuni di dasar hatinya. Dan dia tidak ingin mengusir bayangan itu sampai bila-bila. Biarlah keduanya terus berada di tempat yang teristimewa di hatinya.
“Abang tahu, salah abang, Lia. Abang minta maaf. Abang janji abang tak akan cakap macam tu lagi.”
Ungkapan maaf yang bersungguh-sungguh dan bertalu-talu itu meleburkan amarah Dahlia. Dia memperlahankan langkahannya. Mereka kembali beriringan. Tidak terniat di hatinya untuk melukai hati pemuda itu.
Kini, Zamani lebih berhati-hati dalam menuturkan kata-kata. Bimbang hati gadis idamannya bakal terguris lagi.
Petang kian berarak ke penghujungnya.  Mereka perlu segera kembali ke desa penginapan sebelum tirai senja berlabuh tiba. Ada tugasan wajib yang perlu dilaksanakan. Zamani tidak banyak karenah. Hanya menuruti kemahuan Dahlia yang ingin segera beredar dari kawasan rekreasi dan riadah itu.
Kawasan yang semakin dicemari dengan kehadiran pemuda-pemudi yang berpasang-pasangan. Anak-anak kecil yang berlari riang diawasi ibu bapa masing-masing semakin mereda. Hanya sesekali ditingkah suara tangisan si kecil yang tidak mahu pulang bagaikan belum puas bermain gelongsor dan menunggang kuda-kuda buatan di situ.
“Sayang, temani abang ke kedai sebentar, ya. Ada barangan yang nak dibeli.” Dahlia hanya menganggukkan kepalanya menandakan persetujuan.
Mereka singgah di Kedai Mesra Petronas.
“Emm…tak nak ikut?” Zamani mengajukan soalan tatkala melihat Dahlia hanya menyandarkan badannya di kereta ketika dia memberhentikan kenderaan itu.
“Tak apalah. Dahlia tunggu di kereta aje.”
Zamani tersenyum lalu menolak daun pintu keretanya.
“Jaga diri baik-baik. Kunci pintu ni. Jangan main mata. Abang pergi sekejap saja,” pesan Zamani sebelum berlalu meninggalkan kekasihnya. Dahlia tergelak kecil mendengar gurauan Zamani.
Dahlia hanya tersedar tatkala Zamani mengetuk cermin keretanya. Mengelamun lagi, rungut Zamani.
“Nah, teh uncang Lipton,” Dahlia termangu-mangu melihat perlakuan Zamani. Baru dia terperasan, banyak barang yang dibeli Zamani dan sebungkus teh dihulurkan kepadanya.
“Kenapa?”
“Balik nanti, ambil uncang teh ni. Celup dalam air sejuk dan letakkan pada mata hingga rasa sejuknya hilang.”
“Kenapa?”
“Kenapa lagi?...sebab mata Sayang tu dah bengkak. Tuamkan dengan air teh ni supaya kapilari di sekitar mata tu mengecut. Dan bengkak bawah mata Sayang tak akan kelihatan lagi.” Penjelasan Zamani panjang lebar sambil membetulkan stering keretanya.
Dahlia terkesima. Perlahan diraba mata kirinya.
“Nampak sangat ke mata Lia bengkak?”
“Hmm…dah berapa lama Sayang tak mengadap cermin? Mata bengkak, hidung merah. Jangan sampai ada yang cakap abang mendera Sayang pula.”
Lelucon Zamani tidak menjadi. Dahlia makin serius. Dia menarik cermin pandang belakang di hadapan Zamani. Hmm…dia sendiri sudah lupa bilakah kali terakhir dia membelek wajahnya di cermin.
“Balik nanti tengok cermin di rumah, Sayang. Cermin ni abang nak guna. Nak pandang belakang.” Zamani membetulkan kembali cermin pandang belakangnya.
Dahlia kembali terhenyak di kerusinya. Senja kian berlabuh, menyerkupi alam.
“Lagipun, mak abang cakap, tak baik tengok cermin senja-senja ni,”  omel Zamani sambil mengerling ke arah Dahlia.
“Kenapa?”
“Eeemm… macam pandang belukar katanya. Dari jauh nampak cantik dan indah dipandang. Siap dibuat lukisan dek orang. Lukis gambar gunung la, air sungai, air terjun….itu pandangan dari jauh. Cantik, kan?”
Dahlia menoleh ke sisinya, seakan tertarik dengan penjelasan Zamani. Rasa-rasanya, dia pernah membaca tentang hal ini tetapi di mana, ya? Hmm…mungkin melalui novel-novel lama yang pernah dibacanya.
“Tapi pabila hutan itu dihampiri, semakin dekat semakin hodoh rupanya. Bergunung-ganang, berbukit-bukau, berlopak-lopak….bayangkanlah kalau manusia macam tu.”
Kecindan Zamani kali ini menjadi. Dahlia tertawa besar mendengarnya.
“Tapi kata ibu, jangan tengok cermin waktu malam,” sangkal Dahlia setelah tawanya agak mereda. Ibu? Ibu lagi. Dahlia rindu ibu…. Di mana- mana saja ada ibu dan ayah. Jauh di mata, dekat di hati. Dan dirasakannya hari demi hari, mereka semakin dekat di hatinya. Hadir bersama bunga-bunga kenangan yang kian mekar di hujung memori.






BAB 4

Dahlia duduk bersantai di atas buaian besi di halaman rumahnya. Di sinilah dulu mereka sekeluarga menghabiskan masa bersama pada waktu petang dan malam sambil menghirup udara segar, bersih dan nyaman. Mendengar suara burung malam bersahut-sahutan.
Di bawah limpahan cahaya bulan dan bintang, di sinilah juga  tempat mereka sekeluarga merehatkan fikiran sambil berbual dan menikmati hidangan ringan. Selepas menunaikan solat Isyak di surau berhampiran, ayah pasti akan melepaskan lelahnya di buaian ini.
Ayah akan memulakan ceritanya. Memang ayah pandai bercerita. Selepas menyiapkan kerja sekolahnya, Dahlia akan meminta ayah bercerita sambil berayun di buaian. Kadang-kadang, cerita belum tamat tapi Dahlia telah terlena di pangkuan ayahnya.
Cerita akan bersambung lagi. Esok dan esok sehinggalah tamat atau sehingga Dahlia puas. Terkadang, ayah terpaksa mengubah cerita asal kerana mengikut kemahuan Dahlia. Cerita Bawang Putih dan Bawang Merah paling menyedihkan Dahlia.
Berhari-hari Dahlia murung dan muram. Makan dan minum tidak ketentuan. Semua bawang putih ibu, Dahlia buangkan ke dalam tong sampah. Dahlia tak suka bawang putih sebab Bawang Putih jahat. Ayah terpaksa ubah cerita.
Di akhir cerita, Bawang Putih insaf. Bawang Putih jadi baik dan amat menyayangi adiknya Si Bawang Merah. Dahlia sangat gembira. Dahlia tidak bersedih lagi. Dahlia sudah mula makan bawang putih dalam masakan ibu.
Itu cerita semasa Dahlia belum begitu lancar membaca. Apabila Dahlia sudah mula mengenal huruf, membatang suku kata dan membunyikan perkataan,  ayah belikan buku cerita kanak-kanak untuk Dahlia. Penggal kedua tahun satu, Dahlia sudah lancar membaca, mengatasi rakan-rakan sekelasnya yang lain.
Minat yang ayah pupuk terus bercambah. Dahlia paling suka jika diminta oleh guru untuk bercerita di hadapan kelas. Kawan-kawannya bertepuk riang setiap kali Dahlia mengakhiri ceritanya. Kerana kepetahan Dahlia, dia menjadi murid kesayangan guru-gurunya.
Dahlia diarak ke sana ke mari untuk menyertai pertandingan bercerita sehingga ke peringkat kebangsaan. Ceritanya berkesan. Gaya bahasanya bersahaja. Suaranya jelas dan kurang melakukan kesalahan tatabahasa. Semua itu memberi kelebihan kepada Dahlia untuk meraih perhatian juri hakim.
Sewaktu Dahlia di Tahun Dua, ayah meminta Dahlia membacakan cerita Bukan Salah Ibu Mengandung. Ayah cakap, ayah penat. Ayah teringin nak dengar suara Dahlia membaca. Cerita itu bukan kepalang panjangnya, sebuah novel yang menarik tetapi Dahlia sudah lupa siapa pengarangnya.
Itulah novel pertama yang Dahlia baca. Sehari suntuk Dahlia membacakannya untuk ayah. Berhentinya cuma untuk makan tengah hari dan bersolat. Cerita yang sedih sehinggakan air mata Dahlia mengalir tanpa henti.  Dahlia teruskan bacaan dalam tangisan dan esakan. Ayah juga turut tersentuh hatinya melihat kesugulan Dahlia.
Dan melalui novel itu juga Dahlia belajar satu peribahasa “seperti lipas kudung”. Ayah kata makna perumpamaan itu ialah seseorang yang bekerja dengan cepat atau laju dan sampai mati pun Dahlia tetap akan mengingati maknanya itu.
Selepas itu, Dahlia mula meminjam buku di perpustakaan sekolah. Novel paling panjang dan paling tebal yang pernah Dahlia baca ialah cerita Puteri Dua Belas. Hampir seminggu baru Dahlia dapat menghabiskan cerita itu.
Kali ini, ayah tidak lagi memaksa Dahlia untuk membacakan keseluruhan cerita itu untuknya. Dahlia hanya bercerita tentang sinopsis cerita berkenaan kepada ayah.
Selepas itulah,  sedikit demi sedikit, baru Dahlia tahu, banyak cerita yang pernah ayah ceritakan dulu telah ditokok tambah untuk disesuaikan dengan seleranya. Si Tanggang Anak Derhaka dalam cerita ayah sudah jadi batu tetapi akhirnya jadi manusia semula apabila Dahlia menangis meminta ibu Si Tanggang menarik balik sumpahannya.
Kata Dahlia, “Ibu Si Tanggang tu ahli sihirkah ayah?”
Tertawa besar ayah mendengarnya. Ibu di sisi turut tersenyum-senyum.
“Kenapa Lia tanya macam tu?”
“Abis tu, hanya ahli sihir sahajalah yang boleh sumpah-sumpah orang,kan.” Kali ini, ibu turut tertawa besar bersama-sama ayah.
Dahlia tersenyum sendiri mengingati keasyikan ayah melayani  karenahnya.
Ayah juga turut bercerita tentang kisah nabi-nabi. Kisah sahabat-sahabat Nabi Muhammad saw yang amat mengasihinya. Dia terkenangkan Abu Bakar Al-Siddiq iaitu sahabat terbaik Nabi. Cerita bagaimana Abu Bakar masuk ke dalam gua mendahului Rasullullah untuk memastikan keselamatannya.
Abu Bakar menutup semua lubang yang terdapat di dalam gua menggunakan serbannya yang dipotong-potong, bimbang ada ular atau binatang berbisa seperti  serangga menyakiti Rasullullah.
Abu Bakar turut menutup salah satu lubang dengan kakinya sambil dia meriba kepala Rasullullah yang terlena di pangkuannya. Seekor kala jengking dikatakan telah menyengat kakinya. Abu Bakar tidak berganjak kerana khuatir Rasullullah akan terjaga. Dia menahan kesakitan sehingga air matanya mengalir.
Rasullullah saw ketika mengetahui kejadian itu, segera mengusap kaki Abu Bakar sehingga sembuh dengan izin Allah. Begitulah betapa setia dan kasihnya sahabat-sahabat Nabi kepadanya.
Sebaik mana pun ayah, namun Dahlia tetap menghormatinya. Paling Dahlia takut waktu ayah mengajarnya mengaji, mengenal huruf jawi dan menyebut nama-nama serta sifat-sifat Allah. Rotan kejap teguh di tangannya. Walaupun rotan itu tidak pernah singgah di tubuhnya, namun Dahlia sentiasa berawas.
Langsing suara ayah menegur bacaannya.  Membuatkan dia terketar-ketar. Sebab itulah sebelum ayah pulang dari surau, Dahlia cepat-cepat membuka muqaddam di hadapan ibunya sebelum ibu ke dapur untuk menyediakan makan malam.
Saat ayah tiba di kaki tangga, Dahlia telah menyudahkan bacaannya. Berkat kesungguhan dan ketegasan ayah itu, Dahlia telah khatam al-Quran seawal usianya sembilan tahun iaitu sewaktu dia di tahun 3 persekolahan rendah.
Seusai makan malam, mereka anak beranak akan menghabiskan masa di halaman rumah itu. Dahlia berasa tenang dan puas berada di ruangan ini. Ruangan terbuka dihiasi bunga-bungaan kesayangan ibu. Ditemani udara dingin yang segar, meresap ke seluruh tubuh.
Ibu…ayah…Dahlia rindu. Matanya dipejamkan rapat-rapat sambil membayangkan kehadiran ayah dan ibu tercinta. Merasai kasih sayang mereka yang tulus dan murni sekali lagi.
Melihatkan cara pendidikan yang ayah dan ibu berikan kepadanya membuat Dahlia terfikir. Bagaimana ibu kandungnya boleh terjebak dengan kancah penzinaan sedangkan ayah dan ibu mendidiknya dengan penuh sempurna. Ayah dan ibu sama yang mendidik Mama Mira.
Dalam berkira-kira itu, Dahlia alpa terhadap sepasang mata yang asyik memerhatikannya. Dengan penuh rakus dan jiwa yang bergelora. Tubuh Dahlia yang dibaluti baju kurung kain cotton merah jambunya seakan ditelanjangi oleh mata nakal itu.
Tatkala hari kian merangkak ke senja, Dahlia melangkahkan kakinya menuju ke beranda. Masuk ke dalam rumah dan terlupa menyelak daun pintu utama. Selesai menunaikan solat Maghrib, Dahlia berdoa panjang.
Doa buat Rasullullah dan para solihin, doa buat kaum muslimin dan muslimat, doa buat roh ayah dan ibunya juga doa buat dirinya sendiri. Terdengar derik di pintu utama. Dahlia memasang telinga.
“Ah, bunyi Si Putih atau tikus agaknya.” Dahlia terus tenggelam dalam rayuan dan permintaan terhadap ALLAH Taala.
Semasa Dahlia sedang berkira-kira untuk menanggalkan telekungnya, tubuhnya dikapuk dari belakang. Dahlia meronta-ronta cuba melepaskan diri. Namun pelukan itu semakin erat. Dahlia kehabisan tenaga. Pakaiannya direntap satu persatu. Kesuraman malam dalam cahaya lampu yang malap memustahilkan Dahlia untuk mengenal wajah pencerobohnya.
Tubuh Dahlia dibanting ke atas katil. Terasa sakit seluruh sendi dan tulang temulangnya. Penyerang itu semakin ganas. Nafsunya bergelora untuk menguasai seluruh tubuh Dahlia. Seketika, lelaki itu telah berada di celah kedua belah kakinya.
“Dahlia, jika ada yang menyerangmu , jangan cepat meronta. Cuba bertenang, tarik nafas dalam-dalam, kumpulkan tenaga. Biarkan dia alpa seketika kerana menyangka engkau telah beralah. Setelah itu, mulakanlah serangan balasmu ke tempat-tempat tertentu terutama mata dan alat sulitnya. Di situlah terletaknya kelemahan musuhmu.”
Dahlia bagaikan terdengar kembali suara ayah memberikan tunjuk ajar. Ayah pernah mengajarnya ilmu persilatan sebagai bekalan untuk mempertahankan diri. Kini,di saat ini, ilmu berkenaan pasti berguna buat menyelamatkan maruah Dahlia.
Dahlia membatukan dirinya. Penyerang itu semakin ghairah. Mungkin menyangka Dahlia juga turut terbuai oleh belaian kasarnya.
Dengan lafaz Bismillah, Dahlia menolak tubuh lelaki itu sekuat khudratnya, mencakar mukanya dan dengan pantas kaki kanannya menendang alat sulit lelaki itu. Terdengar suara lengkingan mengaduh kesakitan. Dahlia tidak melepaskan peluang itu. Lampu picit di atas meja sisi dicapai lalu dihentak ke kepala penceroboh itu.
Sekali lagi terdengar suara lengkingan lelaki itu serentak dengan lompatannya terjun keluar menerusi tingkap bilik yang sedikit terkuak.
Dahlia menggeletar ketakutan. Dia segera memetik suis lampu biliknya menggantikan lampu tidur yang suram kelam. Pakaiannya dipungut satu persatu dan disarungkan ke tubuhnya. Dan tanpa disangka-sangka, baju lelaki berkenaan juga ada di situ, tidak sempat dibawa lari bersama.
Jijik untuk memegangnya dengan tangan, Dahlia mendapatkan penyapu dan menguis t-shirt  biru tua itu dan meniliknya seketika. Serasakan dia pernah melihat si pemakainya. Mustahil. Itu yang terlintas di fikirannya. Dia tidak mahu untuk menuduh atau mengesyaki sesiapa pun.
Namun dalam diam-diam, Dahlia bertekad untuk mencari penceroboh itu. Lambat atau cepat, pasti akan dijejaki jua. Si Putih, kucing kesayangan mereka sekeluarga datang menggesel-gesel di kakinya sambil mengiau-ngiau kecil seolah-olah memujuk Dahlia agar bertenang.
Dahlia berbaring di atas tilamnya. Dia cuba melelapkan mata. Mulutnya berdesis memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Semoga maruahnya dilindungi. Semoga dirinya sentiasa dalam peliharaan ALLAH jua. Entah apakah malang nasibnya hari ini. Badan Si Putih dipeluk erat. Sebagai peneman tidurnya kini.
Dalam kepayahan itu, akhirnya Dahlia terlelap juga. Semoga hari esok yang menantinya bakal menjanjikan kebahagiaan.






BAB 5
Sudah beberapa hari Dahlia menghabiskan cuti semesternya di rumah kampong peninggalan arwah ibu dan ayah. Dan sudah beberapa hari juga dia tidak melihat kelibat Alang Bidin, sepupunya iaitu anak Pak Akob. Alang Bidin? T-shirt biru tua? Dahlia teragak-agak. Tak mungkin. Dahlia cuba melupakan seraut wajah yang sering membayanginya sejak kebelakangan ini.
Kini, sedikit sebanyak, Dahlia mulai mengerti mengapa dia diminta untuk memanggil Bidin sebagai Alang dan bukannya abang. Hakikat sebenarnya, Alang Bidin adalah merupakan  sepupu kepada  ibu kandungnya, Mama Mira dan kalau sudah begitu pertalian antara mereka, sudah tentulah Alang Bidin adalah bapa saudara Dahlia.
Dahlia meneguk liurnya. Terasa kelat dan payau. Wajah Alang Bidin berlegar-legar di kepalanya. Alang Bidin merupakan sepupu yang paling akrab dengannya walau pun ibu dan ayah selalu menghalangnya berbaik-baik dengan Alang Bidin. Pembetulan, bukan sepupu tetapi bapa saudara. Ah, sukar bagi Dahlia untuk mengubah kebiasaan itu.
Dahlia masih ingat, ayah pernah memberitahu bahawa Alang Bidin pernah tinggal bersama  ayah dan ibu di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur? Ini bermakna ayah pernah tinggal di kotaraya metropolitan tersebut. Tapi bila? Seingat Dahlia, sejak dia kenali dunia ini, di sinilah tempat tinggalnya. Tempat dia dilahirkan dan dibesarkan.
Alang Bidin yang lima belas tahun lebih tua daripadanya selalu bertindak sebagai pelindung utamanya. Mengambilnya di sekolah kalau ayah terkadang lewat untuk berbuat demikian. Walaupun waktu itu Alang Bidin telah berusia di awal dua puluhan tetapi dia hanya menetap di kampong. Tidak seperti anak muda lain yang lebih gemar ke bandar-bandar besar.
Mungkin sebelum itu, Alang Bidin tinggal bersama ayah dan apabila ayah pulang menetap di kampong, Alang Bidin mengambil keputusan untuk mengikutnya kembali ke daerah ini. Segala kemungkinan itu pasti ada.
Alang Bidin pernah mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan keluarganya tetapi  dia tidak kekal lama dengan wanita itu. Mereka berpisah setelah Alang Bidin sendiri terpergok isterinya sedang berbuat onar di atas katil perkahwinan mereka bersama bekas kekasihnya iaitu jiran sekampung mereka.
Bilik rahsia yang menjadi kesaksian hubungan cinta mereka dan sepatutnya juga menjadi lokasi terlarang bagi orang asing, dijadikan tempat oleh isterinya untuk berlaku sumbang.
Kecewa dengan kejadian itu, Alang Bidin mengambil keputusan untuk tidak berkahwin lagi. Sehingga kini, Alang Budin jadi duda tanpa anak.
Dahlia sudah siap berpakaian. Mengenakan blaus hitam dipadankan dengan denim biru dan tudung muslimah putih. Menyapu wajahnya dengan bedak tipis, Ronasutra 01 cream peach dan secalit gincu bibir berwarna merah muda. Dia akan berangkat kembali ke kampusnya pagi ini.
“Assalammualaikum Mak Dah, assalammualaikum,” Dahlia melaung beberapa kali sehingga kedengaran derak pintu rumah Mak Dah dibuka.
“Oo…kamu Lia. Masuklah. Maaf, Mak Dah tak berapa dengar suara kamu tadi.”
“Tak apalah Mak Dah. Lia datang ni nak bagitahu, Lia dah nak pulang ke kampus. Ini kunci rumah Lia.”
Semenjak ketiadaan ayah dan ibu, juga saat Dahlia berada di kampus,Mak Dah dan keluarganya yang dititipkan untuk memantau rumah mereka itu. Masih tetap memanggilnya Mak Dah meskipun Dahlia telah tahu sepatutnya isteri Pak Akob ini berpangkat nenek saudara dengannya.
“Masuklah dulu, Lia. Nanti Mak Dah buatkan air,” Dahlia teragak-agak namun kakinya cepat sahaja menanggalkan sandal. Kurang manis menolak pelawaan orang lebih-lebih lagi di saat dia ingin melakukan perjalanan yang jauh, itu  pesanan  ibu.
Melangkah ke ruangan tamu Mak Dah menggamit kenangan Dahlia ke saat usia kanak-kanaknya. Di ruangan inilah tempat Dahlia sering menghabiskan masa senggangnya. Membantu Mak Dah menyiang ikan bilis sambil menonton televisyen.
Kadang-kadang memicit kaki Mak Dah yang kepenatan selepas seharian berada di sawah menuai padi. Memang hubungannya dengan keluarga ini akrab sejak dia kecil lagi. Orang tua itu juga tidak keberatan untuk memanjakan Dahlia seperti dia melayani anak cucunya yang lain.
“Alang Bidin mana, Mak Dah?” soal Dahlia ketika Mak Dah tunduk menuangkan kopi ke cawannya.
“Hmm…ada di biliknya, berehat. Tiga  hari lepas dia jatuh motosikal.” Terkejut Dahlia mendengar perkhabaran itu. Patutlah dia tidak nampak kelibat Alang Bidin. Rupa-rupanya Alang Bidin kemalangan.
“Teruk ke Mak Dah?”
“Teruk jugalah.  Pahanya bengkak dan kepalanya luka.”
Teringat Dahlia peristiwa tiga hari lalu, mahkota kegadisannya hampir dicerobohi. Di bawah sedarnya, Dahlia menggenggam erat hujung bajunya bagaikan ada seseorang yang cuba merentap baju itu. Kepala Dahlia berdenyut tiba-tiba. Dia memegang dahinya sambil mengerutkan kening.
“Kenapa Dahlia?”
“Err… tak ada apa-apa Mak Dah. Macam mana boleh jadi begitu?”
“Alah, Dahlia. Bukan engkau tak tahu perangai Alang Bidin kamu tu. Nampak aje  dah berumur  tapi akalnya masih pendek macam budak-budak muda aje. Naik motor broom ke sana, broom ke sini. Senja ke, Maghrib ke, sampai tak ingat nak balik ke rumah. Dah sakit ni, barulah memerap di rumah saja.”
Dahlia hanya membatukan diri mendengar penjelasan Mak Dah. Dia tahu, Alang Bidin jadi sedikit nanar (orang kampong menyebutnya sebagai sasau) selepas kehilangan isterinya. Teramat sayang dia akan isterinya tetapi apakan daya, madu yang diberi, tuba pula balasan yang diterimanya.
Dahlia menghirup perlahan kopi pahit buatan Mak Dah. Sedap dan menyegarkan.
“Tak apalah Mak Dah. Lia minta diri dulu.”
“Lia jaga diri baik-baik di tempat orang, ya.”
“Insya Allah, Mak Dah. Terima kasih.”
Dahlia menyalami Mak Dah dan mencium tangan orang tua yang kini bagaikan pengganti ibunya itu.
Mak Dah menghantar Dahlia hingga ke pinggir jalan besar. Tanpa disedari mereka, sepasang mata sedang memerhatikan pergerakan mereka dari balik jendela bilik Alang Bidin. Mata nyalang yang penuh dendam.

No comments:

Post a Comment