BAB 16
Sekali air sungai melimpah, sekali pasirnya pun berubah. Sedangkan pasir di sungai lagikan berubah, inikan pula hati manusia.
Kesepian kian mencengkam. Dahlia keseorangan. Zamani semakin jauh meninggalkannya hinggakan Dahlia tidak mampu untuk mengejarnya lagi. Biarpun tiada kata perpisahan dilontarkan namun Dahlia sedar, dia makin tersisih. Zamani bukan lagi peneman sepi dan pengubat rindunya.
Janjinya untuk sama-sama mengharungi hidup ini dalam apa jua keadaan hanya tinggal janji. Tiada lagi bicara mesra dan mesej-mesej di skrin telefon bimbitnya mahupun di laman facebooknya. Tiada lagi ungkapan indah di dalam kotak mesej peribadinya.
Pertemuan di dewan kuliah sekadar menandakan mereka masih bersama, pasangan dua sejoli, sehati sejiwa yang dikenali rakan-rakan dan pensyarah. Dahlia cuba menjejaki hati Zamani melalui luahan rasa di laman facebooknya.
Ada keluhan, ada harapan dan ada jua kebahagiaan. Dahlia makin keliru. Satu status yang ditulis oleh Zamani di laman sosialnya itu,”Dari mata turun ke hati…” Apakah maknanya itu? Ada banyak komen di bawahnya dan Dahlia cuba meneroka namun tidak banyak maklumat yang diperoleh. Memang Zamani kurang mengemaskini statusnya.
“Mungkin kita hanya ditakdirkan untuk jatuh cinta. Mungkin kita tidak ditakdirkan untuk bersama. Mungkin engkau bukan milikku dan aku juga tidak mungkin menjadi milikmu.”
Terkedu Dahlia menatap ungkapan yang singgah di skrin telefon bimbitnya. Rasa sayu dan sepi seketika.
Mungkin ini tanda penamat kisah kasih mereka. Zamani yang tidak pandai bersastera itu, tiba-tiba meluahkan kata-kata bermadah ini. Madah yang terlalu menghiris perasaan. Dahlia akur meskipun mesej itu tidak dibalasnya. Biarlah dan biarkan sajalah. Hanya dia dan Zamani yang tahu.
Beberapa detik kemudian, tiba pula mesej yang kedua, “Meskipun telah lama berduaan, namun terlalu berat bagimu untuk menuturkan kata-kata cinta? Susah sangat ke? Adakah selama ini hanya aku seorang yang terkejar-kejarkan cinta itu?”
Dada Dahlia terasa sebak. Memang dia tidak meluahkan kata cinta tetapi perlakuannya selama ini telah membuktikan cinta tersebut. Apakah cinta perlu dizahirkan dengan perkataan? Kenapa sukar sangat untuk Zamani memahaminya? Andai di hati tiada cinta, mana mungkin dia sanggup keluar bersama Zamani. Mana mungkin dia sanggup menemani pemuda itu bersama-sama melewati hari-hari mereka merangkak dewasa.
Kepayahan yang sukar untuk diterangkan. Dia sendiri pernah meluahkan kata cintanya namun Zamani tidak menumpukan perhatian saat itu. Atau mungkin kerana waktu itu, esakannya masih memanjang menyebabkan suaranya yang bergumam sukar difahami maksud ungkapanya.
Akhirnya, Dahlia mengambil keputusan untuk tidak terlalu memikirkan persoalan itu. Dia akan cuba melupakan segala apa yang telah berlaku. Dia mulai menganggap bahawa segala yang berlaku ke atas dirinya selama ini hanyalah merupakan lumrah kehidupan yang bakal ditempuhi oleh setiap remaja.
Dahlia tidak mahu lagi terbelenggu di dalam perasaannya sendiri. Sebelum perasaannya pergi terlebih jauh lagi, lebih baiklah dia menghentikannya sekarang juga. Dia tidak boleh terus dilekakan oleh angan-angannya.
Biarlah Zamani dengan cara hidupnya. Biarlah Dahlia pula dengan cara hidupnya. Pengertian kasih antara mereka terlalu jauh bezanya. Zamani mengharapkan sesuatu daripada perhubungan itu sedangkan Dahlia merasakan bahawa itu semua tidak penting. Yang pentingnya adalah kejujuran dan kesetiaan.
Dahlia memujuk hatinya untuk melupai Zamani. Pun begitu, Dahlia tetap mendoakan agar Zamani dikurniakan ALLAH sepasang mata hati yang dapat menilai sejauh mana kejujuran dan keikhlasan seseorang insan yang didampinginya.
Terkadang Dahlia terfikir, hidup ini umpama abjad. Huruf-hurufnya bertaburan tetapi setelah dicantumkan, ia akan membentuk perkataan dan perkataan-perkataan itu pula akan membina ayat yang bakal melahirkan isi hati.
Begitulah penghidupan di dunia ini. Jika dilihat sekilas pandang, tidak ada apa-apa ertinya. Tetapi setelah diadun dan dicorakkan, terbentuklah sebuah kehidupan yang nyata berlandaskan hukum dan adat.
Dahlia cuba bertindak sebijak yang mungkin. Dia ingin keluar dari dunia impiannya. Biarpun sulit, dia akan cuba untuk berpijak di bumi yang nyata.
Dia bangun dan menuju ke bilik air. Membasahkan wajahnya dan mengambil wuduk. Alina masih belum pulang. Mungkin dia bersama-sama Ikram. Pasangan dua sejoli yang semakin intim. Dahlia menghamparkan sejadah dan meletakkan sutrah di hadapannya.
Sengaja dia lakukan begitu sebagai persediaan andai kata Alina balik dan masuk ke bilik kecil mereka. Dengan adanya sutrah itu, Alina akan lebih mudah melintas untuk ke katilnya. Itu yang bermain dalam fikiran Dahlia. Dia ingin melakukan solat Isyak dengan tenang dan mengabadikan seluruh roh dan dirinya kepada ALLAH.
Sebagai hambaNya yang lemah, hanya itulah yang mampu dilakukannya saat ini iaitu berdoa dan berserah diri kepada ALLAH. Suratan kasih untuknya telah diputuskan. Mungkin juga kerana doanya selama ini agar dipertemukan jodoh yang sesuai dengannya. Mungkin Zamani bukanlah jodohnya yang dijanjikan oleh ALLAH.
ALLAH menarik balik anugerahnya yang ini, mungkin ALLAH akan memberikan anugerah yang lebih baik. Dahlia tenggelam dalam bacaan solatnya.
Alina tiba saat Dahlia sedang melipat kain telekungnya. Tergesa-gesa dia masuk ke dalam bilik dengan muka pucat tanpa darah. Dahlia sendiri sedikit terperanjat dengan kehadiran yang mendadak tanpa salam itu.
“Lia, engkau tahu apa yang aku nampak?” Dahlia kebingungan. Alina nampak Zamani dengan gadis itu lagikah? Alina nampak Zamani dan gadis itu berjalan berpimpinan tangan di Pantai Lidokah? Tapi, daripada raut wajahnya, Alina bukan nampak Zamani bersama pasangan barunya kerana Alina bagaikan ternampak hantu.
“Apa yang engkau nampak, Lina?” Soal Dahlia, kembali.
“Aku nampak kereta ayah engkau di tempat parkir.”
Dahlia tersenyum. Itu rupanya yang mencemaskan hati Alina.
“Petang tadi Pak Akob hantar dengan Alang Bidin. Untuk memudahkan Dahlia ke kuliah, katanya. Kenapa? Kau ingat kau dah jumpa hantu, ke?”
Alina mengurut-urut dadanya.
“Engkau ni buat aku panik la, Lia,” Alina sudah boleh bersuara tenang. Sebenarnya, Dahlia yang meminta mereka menghantar kereta itu untuk kegunaannya di universiti ini. Kebetulan, Pak Akob ada urusannya di sini, jadi mereka terus menghantarkan keretanya.
“Wah, lepas ni kita ke kuliah berkeretalah, ya?” ujar Alina.
“Kita? Siapa kita?” Alina berpura-pura merajuk mendengar ungkapan Dahlia.
“Alah, itupun nak merajuk ke? Siapa lagi yang aku nak bawa, Lina melainkan engkau seorang,” Alina tersenyum. Memang dia pernah mendengar, Dahlia berura-ura untuk mengambil keretanya bagi memudahkan urusannya di sini.
Sejak Zamani menyepi, dia semakin sukar untuk berurusan. Semakin patah kaki kerana tiada lagi kekasih yang sudi membantu di saat bantuannya amat diperlukan. Dengan adanya kereta ini, diharapkan agar dia lebih berdikari.
Zamani sendiri menampakkan riak wajah terkejut tatkala melihat Dahlia memandu sendiri kereta ke dewan kuliah.
“Lia boleh memandu? Lia dah ada lesen?” Dahlia hanya tersenyum. Selepas menduduki peperiksaan SPM, Dahlia telah belajar memandu dan memperoleh lesen menunggang motosikal dan memandu kereta. Selama dua tahun menjadi pasangan kekasih, masih banyak rupanya rahsia yang Zamani tidak tahu tentang Dahlia, gadis kampong yang serba kekurangan.
Tiba-tiba dia jadi teringin untuk mendampingi gadis itu lagi.
“Lia, boleh abang duduk di sini?” Aik, sejak bila kena minta izin ni?
“Emm…duduklah,” pelawa Dahlia sambil menutup buku Kaedah Pengajaran dan Pembelajarannya dan memandang ke arah Zamani, pemuda yang telah memutuskan cinta mereka. Selagi belum ada sebarang ikatan, janganlah disandarkan harapan yang melambung tinggi.
“Lia dah mula study?”
“Emm…tak ada apa yang Lia nak buat, Lia studylah,” ujar Dahlia tetap manis meskipun hatinya dilukai.
“Lia ok ke?”
“Emm…alhamdulillah, Lia ok,”
“Baguslah. Lia kena sentiasa ok supaya Lia boleh dapat sijil dekan nanti,” Zamani menjolok. Dahlia hanya tersenyum.
“Insya Allah. Doa-doakanlah.”
Udara petang yang nyaman di kawasan perbukitan ini berhembus tenang. Angin semilir meniup dedaunan kering, memutarkannya di udara dan menjatuhkan semula di dada hamparan rumput nan menghijau.
Daun kering itu seperti diriku, bisik Dahlia dalam hatinya. Diangkat, dilambung, dihiburkan dan akhirnya dibiarkan terdampar begitu sahaja sehingga datang lagi angin untuk bermain denganku, dengan perasaanku.
“Lia…,”
“Emm…”
“Abang rindukan kemesraan kita dulu. Abang inginkan kemesraan itu kembali,” luah Zamani berterus-terang.
Dahlia terkesima. Dia menoleh sekilas. Malu rasanya untuk menatap wajah itu lama-lama. Malu memikirkan bahawa dia pernah meluahkan perasaan cintanya lewat pertemuan mereka yang lalu. Nasib baik waktu itu Zamani tidak mendengarnya. Kalau tidak…aahh, pasti dia akan lebih malu. Nasib baik….
BAB 17
Shamira sendirian di kamar tidur. Dia ingin menyiapkan kerja rumah yang dibekalkan gurunya. Beberapa buah buku rujukan dikeluarkan dari kabinet di atas meja belajar. Memang Shamira seorang murid yang pintar dan berdikari. Dia tidak melepaskan tanggungjawab menyiapkan kerja berkumpulan itu kepada kawan-kawannya sahaja.
Sebelum memulakan perbincangan berkumpulan, dia lebih suka mengumpul maklumat terlebih dahulu. Nanti sewaktu perjumpaan diadakan, tidaklah mereka terkontang-kanting tanpa apa-apa bahan dan maklumat.
Shamira menyelak helaian demi helaian. Menyalin maklumat penting di atas test padnya. Tekun dia menyudahkan kerja-kerjanya. Walau pun baru berusia tiga belas tahun, namun Shamira telah menunjukkan minat dan ketekunannya dalam mengikuti pembelajaran di peringkat menengah rendah.
Ayah dan ibu ke majlis tahlil di pinggir bandar. Mereka berjanji untuk pulang awal iaitu seusai sahaja majlis tahlil berkenaan. Shamira tidak dapat turut serta kerana ingin menyudahkan beberapa tugasan sekolahnya yang masih belum selesai.
Zabidin mungkin sedang menonton televisyen di ruang tamu. Selalunya, malam-malam begini, Shamira jarang menonton televisyen. Dia lebih suka memerap di biliknya dan bergelumang dengan buku-buku pelajaran. Terkadang, di masa senggangnya, dia naik ke loteng untuk membaca buku cerita.
Loteng itu adalah dunia kedua Shamira selepas bilik tidurnya untuk dia menelaah pelajaran. Dia banyak menghabiskan masanya di situ. Memerhati orang yang lalu lalang di jalan utama dan menanti ibu dan ayah pulang kerana dari atas loteng itu, Shamira boleh nampak hingga ke hujung jalan sana sebelum selekoh tajam menghala ke bandar besar.
Angin malam yang menderu semakin kencang. Petanda hujan akan turun. Terdengar bunyi pokok bergoyang dan suara angin yang mendesah kuat, menampar-nampar dedaunan dan sesekali menghasilkan bunyi yang agak menggerunkan. Shamira sedikit kecut namun dia tetap tidak berganjak dari meja studynya.
Terdengar detap-detap hujan yang bagaikan pasir kasar menyimbah di bumbung. Tidak lama kemudian, bumi yang gersang dibasahi air hujan. Malam masih awal tetapi Shamira bimbangkan keselamatan ibu dan ayah.
Mereka pergi terlalu lama. Mungkin selepas majlis berkenaan, mereka tidak dapat pulang. Hujan terlalu lebat disertai guruh dan kilat. Selalunya, jika angin kencang begini,ada pokok yang akan tumbang atau sekurang-kurangnya dahan reput yang menunggu masa untuk runtuh.
Mengenangkan itu, Shamira jadi gerun. Ya Allah, selamatkanlah perjalanan ibu dan ayah. Lindungilah mereka berdua. Shamira cuba berbaring di katilnya. Namun matanya tidak mahu lena. Fikirannya menerawang. Pulanglah ibu, pulanglah ayah.
Dalam berkira-kira itu, Shamira terlelap sehinggalah dia dikejutkan dengan satu bunyi dentuman yang kuat, bergegar. Seluruh bilik gelap-gelita. Shamira bangun meraba-raba, mencari lampu picitnya namun gagal. Dia terus meraba-raba mencari tombol pintu biliknya.
Sesekali kilat memancar. Dengan bantuan cahaya yang memancar itu, Dahlia bergerak menuju ke pintu bilik. Baru sahaja tangannya memusing tombol, tiba-tiba daun pintu itu seakan ditolak kasar dari luar.
Shamira jatuh terlentang. Sekilas cahaya kilat, Shamira dapat melihat jelas satu lembaga hitam. Tenaga gadis Shamira tidak mampu melawan kudrat lembaga hitam itu. Dalam deruan hujan yang menggila dan kilat sabung-menyabung, Shamira tertewas. Kesuciannya diragut tanpa rela.
Shamira menjerit kesakitan namun siapalah yang dapat mendengar suara jeritannya di tengah kepekatan malam ini. Setelah melunasi kemahuannya, Shamira ditinggalkan terjelepok bagaikan kain buruk di sudut bilik.
Ibu, ayah…tolong Mira. Shamira menangis dan terus menangis sehingga akhirnya dia jatuh terkapar tidak sedarkan diri.
Matahari yang memancar, menerobos masuk melalui jendela cermin. Memanah tepat ke wajah Shamira. Bagaikan mahu mengejutkan gadis manis itu daripada lena tidurnya. Gadis manis yang telah kehilangan mahkota kegadisannya semalam angkara perbuatan seseorang yang tidak dikenali.
Shamira bangun perlahan-lahan. Menarik selimut menutupi tubuhnya. Sekujur tubuhnya terasa sakit dan nyilu. Shamira tidak berdaya. Dia kembali terduduk di tempatnya. Cuba lagi untuk bangun dan jatuh semula. Ya ALLAH, sakitnya. Di mana ibu, di mana ayah?
Shamira menguak kain selimutnya. Ya ALLAH, darah. Shamira meraung namun suaranya hanya tersekat di kerongkong. Agak lama Shamira cuba memulihkan kekuatan diri. Setelah agak mereda, dia bangkit mengheret kakinya ke kamar mandi.
Dia mandi membersihkan dirinya dalam tangisan yang memanjang. Tidak tahu apakah yang telah berlaku ke atas dirinya. Apa yang dia tahu, dirinya telah disakiti. Kesakitan yang belum pernah dirasainya sebelum ini. Siapakah insan yang tergamak menyakitinya?
Keluar dari bilik air, Shamira terdengar suara orang bercakap-cakap di pintu pagar utama. Shamira menyelak langsir dan darahnya berderau tatkala melihat dua orang anggota polis sedang berkata sesuatu kepada Zabidin. Serius tampaknya mereka semua. Shamira cuba mengamat-amati perbualan itu tetapi dia tidak dapat menangkap butir bicaranya.
Adakah ianya ada kaitan dengan kehilangan ibu dan ayah? Ya, ibu dan ayah. Ke manakah mereka pergi saat Shamira menjerit meminta bantuan semalam? Zabidin? Zabidin pula di mana semalam?
Shamira bergegas menyarungkan pakaiannya. Dia ingin mengetahui perkhabaran yang dibawa oleh anggota polis berkenaan. Sewaktu dia hendak melangkah ke luar bilik, Zabidin telah tercegat di situ. Mata mereka bertautan.
Shamira ingin memberitahu kejadian yang menimpanya semalam tetapi dia berasa malu. Mulutnya terkunci.
“Mira dah siap? Cepat, kita ke hospital. Pak long dan mak long kemalangan.” Shamira kembali terhenyak. Air matanya merembes. Cepat-cepat dia mengekori langkah kaki Zabidin.
Mereka dibawa oleh dua orang anggota polis itu ke hospital tempat ibu dan ayah dirawat. Ayah tidak mengalami kecederaan yang parah. Hanya kakinya yang patah dan telah siap disimenkan, manakala ibu pula sudah mulai sedarkan diri.
Selama beberapa hari ini, mereka perlu dirawat di hospital ini sebelum dibenarkan pulang. Mak Dah dan Pak Akob datang membantu. Shamira lebih banyak menghabiskan masanya di hospital menemani ibu dan ayah selepas selesai sesi persekolahannya.
Ayah dibenarkan keluar setelah dua minggu menerima rawatan. Kini, Shamira menunggu ibu di hospital. Kesibukan hariannya berulang-alik menjaga ibu dan ayah menjadikan dia terlupa akan kejadian yang menimpa dirinya.
Hampir sebulan juga ibu dirawat sebelum dibenarkan pulang. Ibu diminta agar lebih banyak berehat dan tidak melakukan kerja yang berat-berat. Rupa-rupanya pada malam hujan lebat itu, kereta yang dipandu ayah terbabas kerana mengelak dahan pokok yang sekah dan jatuh ke atas jalan.
Keadaan jalan raya yang gelap dan licin membuatkan ayah tidak dapat mengawal keretanya walau pun ayah memandu dengan berhati-hati. Tragedi yang menimpa ayah dan ibu bersamaan dengan tragedi yang menimpa Shamira.
BAB 18
Bilik kuliah gamat dengan suara siswa-siswi yang sedang berbincang untuk mengadakan gerak kerja luar sebagai salah satu tugasan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Dahlia dan teman-temannya berbincang tentang tempat yang akan mereka pilih untuk tujuan tersebut.
Akhirnya, kata sepakat diambil. Mereka memilih Pulau Tinggi untuk diterokai. Perlantikan untuk membentuk Ahli Jawatankuasa segera dibuat. Leong dilantik sebagai ketua ekspedisi ini. Dahlia pula dipilih sebagai bendahari. Nampaknya, semua bakal guru ini begitu teruja untuk mengikuti ekspedisi ini.
Suasana meriah turut dirasai walaupun ini semua baru permulaan kepada rancangan yang besar itu. Berbagai-bagai persiapan diatur dan segala rancangan berjalan lancar dengan bantuan dan kerjasama daripada semua ahli Unit 3C.
Hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Semua siswa-siswi itu berkumpul di perkarangan kampus induk. Bas telah tersedia untuk bertolak. Setelah semuanya sudah siap diperiksa dan dipastikan beres, perjalanan pun diteruskan.
Dahlia duduk bersebelahan Alina. Teman-teman lelaki pula lebih suka memilih tempat duduk di bahagian belakang bas. Terdengar suara Amin mengalunkan suara, menyanyikan lagu popular terkini dan diikuti oleh teman-teman yang lain. Suasana di dalam bas kembali gamat.
Ada yang tertawa dan bertepuk tangan. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk melelapkan mata. Siew Bee kelihatan tersengguk-sengguk di kerusi tetapi tidak dapat melelapkan mata kerana diganggu oleh Muniandy. Dahlia tidak melepaskan peluang untuk menikmati panorama alam di sepanjang perjalanan menuju ke Mersing.
Mereka tiba di Jeti Mersing dan menaiki bot untuk ke Pulau Tinggi. Bagi Dahlia, ini adalah pengalaman pertamanya berada jauh di tengah laut dan tekaknya mula terasa loya. Mungkin disebabkan mabuk laut.
Setelah agak lama dilambung ombak, bot yang dinaiki semakin menghampiri jeti Pulau Tinggi. Dari kejauhan tampak berbalam-balam jeti kecil yang terbina daripada kepingan-kepingan papan kecil disusun bagaikan pelantar sehingga ke tengah laut. Air laut yang tenang dan jernih dengan kehijauan dasarnya menggamit hati untuk diterokai.
Sesekali, bot teroleng-oleng diterpa angin laut. Suara riuh siswa-siswi itu kian membingitkan. Ada sahaja lelucon mereka yang meriuhkan suasana. Perasaan hati masing-masing sukar digambarkan, mungkin gembira dengan perjalanan jauh yang direntasi atau gembira kerana telah selamat tiba di destinasi.
Dahlia hanya tersenyum melihat gelagat rakan-rakannya sambil sesekali mencelah untuk menghidupkan keadaan. Alina dan Ikram sedang berbual mesra di hujung dek. Entah apalah topik yang yang diperbualkan oleh mereka memang sukar ditelah. Yang pastinya, pasangan itu kian menampakkan keserasian. Dalam diam-diam, Dahlia berdoa agar pasangan kekasih ini bisa mengekalkan hubungan bahagia mereka sehingga ke jinjang pelamin.
Bot kian merapati jeti. Akhirnya, mereka tiba di jeti kecil ini dan bersedia untuk mendarat. Sekumpulan camar putih bertenggek di atas batang kayu kering. Beberapa ekor lagi berterbangan berhampiran mereka bagaikan mengalu-alukan ketibaan siswa-siswi itu. Profesor Syed Jamal mengarahkan anak buahnya seramai 30 orang itu untuk memunggah barang-barang kelengkapan mereka ke tepi pantai.
Semuanya tampak berpeluh dan kepenatan. Mereka bekerja bersama-sama dalam keriuhan dan kegembiraan. Pasti perkhemahan kali ini akan menjadi satu pengalaman menarik yang bakal dikongsi bersama. Zamani sendiri tidak pernah melepaskan peluang untuk sentiasa berada di sisi Dahlia.
Terkadang, sengaja Dahlia melarikan diri darinya sekadar ingin menduga Zamani. Namun, sedetik itu juga Zamani pasti menyedarinya. Tidak langsung dibiarkan Dahlia berjauhan. Dahlia tersenyum sendiri. Terkenangkan detik manis permulaan kasih mereka.
Zamani begitu mengambil berat tentang dirinya. Mengekori setiap langkahannya. Saat itu sama seperti saat yang sedang mereka lalui kini. Dia bagaikan mendapat semula Zamani yang pernah meluahkan kata cinta dan dendam setianya. Tapi, kali ini tentulah amat berlainan. Di mindanya, masih jelas kata madah Zamani yang mengandungi pengertian bahawa mereka berdua tak bisa bersatu.
Profesor Syed Jamal mengarahkan anak buahnya mengemaskan segala peralatan dan mendirikan khemah. Suasana kembali meriah dengan jerit-pekik dan gurau-senda para pelatih yang sedang sibuk mendirikan khemah.
Beberapa pelatih lelaki yang ditugaskan untuk mencari kayu api telah pulang membawa beberapa ikat petai belalang yang jarang-jarang dapat ditemui. Pelatih perempuan pula sibuk menyediakan makanan dan minuman untuk habuan mereka yang berpenat-lelah itu. Dr. Dalilah, seorang lagi pensyarah perempuan yang turut serta dalam ekspedisi ini turut membantu siswa-siswi yang terkial-kial membetulkan tali khemah. Dahlia turut sama berpeluh membantu teman-temannya.
Selesai mengemas dan mendirikan khemah, siswa-siswi itu duduk berkelompok di tepi pantai landai untuk melepaskan lelah dan kepenatan. Dahlia turut menyertai teman-temannya di atas pasir putih bersih menghadap ke tengah laut. Mereka menyaksikan saat sang mentari masuk ke peraduannya. Amat indah kala itu. Warna jingga di kaki langit bagaikan lanskap horizon yang penuh misteri.
“Lia sayang, cantik, kan pemandangan ni?” Dahlia segera menyisih memberi laluan kepada Zamani duduk di sebelahnya. Bayu laut yang bertiup tenang menambahkan segar suasana. Dahlia menyedut dan melepaskan nafasnya dengan perasaan gembira. Dia rasa jiwanya tenang dan lapang berada di sini. Ketenangan dan kesegaran yang menyatu dalam jiwanya.
“Ya, memang cantik. Jarang kita berpeluang lihat sunset,” sahut Dahlia sambil memeluk tubuhnya. Lututnya dirapatkan hingga ke dada sambil matanya menangkap teman-temannya yang sedang bergolek di atas pasir.
“Lia sejuk?” begitu keprihatinan Zamani saat Dahlia menggigil kedinginan dihembus bayu laut. Dahlia hanya menggeleng-gelengkan kepala.
Apabila matahari telah mula membenamkan dirinya, suasana petang menjadi terlalu indah. Terasa diri masing-masing terlalu kerdil dibandingkan dengan keindahan alam ciptaan ALLAH ini. Perlahan-lahan Dahlia mengucapkan syukur kerana diberi peluang untuk menikmati keindahan alam maya ini.
“Lia nampak matahari tu?” Dahlia memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Zamani. Mataharinya telah lama hilang. Yang tinggal hanyalah cahaya merah di kaki langit.
“Inilah satu-satunya pemandangan yang paling indah yang pernah abang lihat,” Zamani terus bergumam.
“Lia, abang ingin Lia mengingati saat-saat indah ini. Abadikannya di lubuk hati Lia yang paling dalam. Keindahan dan keagungan alam ciptaan Illahi. Jarang kita berpeluang untuk menyaksikan keindahan ini. Dan jadikannya kenangan apabila kita semua telah tinggalkan tempat ini.” Dahlia membiarkan Zamani terus bermadah. Madah Zamani mengandungi pengertian yang mendalam. Mereka terus membiarkan diri disapu bayu laut begitu juga dengan teman-teman yang lain.
Pemandangan indah melihat matahari terbenam ditinggalkan sebentar. Mereka menunaikan solat Jamak Maghrib dan Qasar Isyak di tepian pantai nan permai itu. Sementara guru-guru pelatih Islam menunaikan solat, guru-guru pelatih bukan Islam pula mengambil kesempatan untuk terus menikmati sepenuhnya panorama alam di waktu senja begitu.
Selesai menunaikan kewajipan, senja pun berganti malam. Profesor Syed Jamal mengerahkan anak-anak buahnya menyediakan makan malam. Kerja yang dilakukan bersama-sama dalam suasana riang tidak terasa kesulitannya. Gurau-senda dan tawa mesra mengiringi setiap tugasan. Sesekali terdengar usikan dan sindiran yang sekadar untuk menghangatkan keadaan.
Setelah selesai, makanan dihidangkan. Mereka duduk berkeliling dan mulai menjamah hidangan dalam satu bulatan besar di tengah kawasan lapang bersimen berhampiran bangunan sekolah. Mungkin kawasan lapang ini dijadikan padang oleh murid-murid sekolah ini sewaktu sesi persekolahan.
“Lia asyik pandang-pandang sekeliling ni, kenapa? Berminat nak datang posting kat sini ke nanti?” usik Hanafi sewaktu dilihatnya Dahlia asyik meneliti bangunan usang sekolah kebangsaan tersebut.
“Hmmm… tak adalah. Lia cuma rasa sedih tengok bangunan usang ni. Jauh betul dari pembangunan. Bagaimana agaknya murid-murid di sini belajar, ya?”
“Iyalah, Lia. Lain tempat lainlah pula caranya. Pandangan kita memang begitu tapi ramai juga bekas murid sekolah ini yang dah berjaya dalam bidang akademik dan menjawat jawatan yang penting di tanah besar sana.”
“Hmm…kalau begitu, tiadakah usaha-usaha mereka untuk memajukan sekolah ini?”
“Mungkin dalam perancangan agaknya.”
“Harap-harap, begitulah.”
“Hai, rancak berbual. Apa cerita tu?” Zamani yang pergi menambah air minuman muncul tiba-tiba dan mencelah perbualan mereka. Bagi Hanafi, ianya biasa sahaja tetapi Dahlia rasakan ada kelainan dalam nada suara itu.
“Okay, Lia nak bantu kawan-kawan mengemas dulu,” pinta Dahlia sambil bangun meninggalkan dua jejaka itu. Zamani hanya terkebil-kebil memandangnya. Sejak mula lagi, Zamani memang tidak menyukai Dahlia rapat dengan Hanafi. Tiada apa sebenarnya tetapi hati mudanya melarang. Mungkin hanya kerana ada sedikit rasa cemburu.
Hanafi bukan tidak pernah cuba berbaik dengan Dahlia tetapi pergerakannya sentiasa diawasi Zamani. Aaahh….selagi mereka belum berkahwin, aku tetap ada peluang untuk mendekati Dahlia. Bisik hatinya.
Malam masih muda. Profesor Syed Jamal dibantu oleh Dr. Dalilah dari Fakulti Ekonomi mengarahkan anak buah mereka agar berkumpul di tepi pantai. Dia ingin memberikan penerangan ringkas tentang aktiviti yang akan dilaksanakan malam ini.
Tiga puluh orang siswa-siswi bersiap-sedia untuk menerima arahan Profesor Syed Jamal.
“Malam ini kita berehat dulu. Saya tahu, kamu semua penat setelah sehari suntuk dalam perjalanan ke mari,” Profesor Syed Jamal memulakan ucapannya.
“Pagi-pagi esok, barulah aktiviti kita bermula mengikut perancangan dalam jadual, faham?” Anak-anak muda itu mengangguk tanda faham dan deruan suara mereka bertingkah dengan suara ombak meng’iya’kan cadangan Profesor Syed Jamal.
“Prof, malam ni boleh kitorang lepak tepi pantai? Menikmati bayu laut.” Profesor Syed Jamal tersenyum mendengar usul itu.
“Boleh, apa salahnya. Sesiapa yang minat memancing dan membawa peralatannya, bolehlah ikut saya pergi memancing,” Mendengar pelawaan itu makin kuatlah suara anak-anak muda itu saling bertingkah. Hampir kesemua penuntut lelaki berminat untuk menyertai Profesor Syed Jamal.
“Oh, tak boleh. Kalau semua yang lelaki pergi, bagaimana dengan penuntut perempuan di sini? Dr. Dalilah pun lebih kurang sama dengan penuntut perempuan yang lain juga,” Setelah tapisan dibuat, hanya lima orang sahaja penuntut lelaki yang dibenarkan menyertai Profesor Syed Jamal.
Salah seorang yang tertinggal ialah Zamani. Hmm…seperti yang dijangkakan. Berhubung dengan Zamani selepas terjadinya perpisahan adalah sesuatu yang berbeza. Dahlia merasakan bagaikan dia berkomunikasi dengan orang asing. Seseorang yang baru dikenalinya hari ini.
Suatu saat, Dahlia begitu mengharapkan kehadiran Zamani. Dia paling takut akan kehilangan pemuda itu dan tiba di satu saat, dia bagaikan mendapat semangat untuk menjauhi pemuda itu. Bimbang hatinya bakal dilukai sekali lagi.
Selepas Zamani mengirimkan sms kepadanya tempoh hari, dia sudah belajar untuk melupai pemuda itu. Bukan senang dia memujuk hatinya agar tidak terlalu mengingati jejaka tampan Jericho Rosalesnya.
Wajah yang tampan sahaja tidak mencukupi jika tidak punya hati yang suci murni. Dahlia tidak salahkan Zamani. Seandainya dia di tempat Zamani pun, mungkin dia akan mengambil tindakan yang sama. Memikat seberapa ramai perempuan dan menguji mereka. Hanya yang melepasi ujiannya sahaja akan layak menjadi pasangannya. Hmm…macamlah dia tu glamour sangat. Sungut pula hati Dahlia.
Malam kian merangkak ke tua. Sekumpulan penuntut perempuan duduk berkumpul di tepi pantai mengelilingi ungun api kecil untuk memanaskan badan. Dahlia berbual dengan Alina sambil menyaksikan air pasang disimbahi cahaya bulan. Cantik berkocak-kocak, terumbang-ambing di dalam laut lepas. Ombak laut berkejar-kejaran menuju ke gigi pantai dan terhempas pada batu-batu yang berlonggokan di situ.
Dari jauh, kelihatan dua orang pemuda menghampiri mereka. Zamani dan Ikram.
“Hai, girls,” sapa Zamani lalu duduk bersebelahan Dahlia. Ikram pula hanya berdiri. Melihatkan Ikram tidak duduk, Alina lantas bangun untuk mengekori Ikram.
“Kami ke sana dulu, ya,” mereka berpamitan.
“Jangan jauh-jauh, bahaya tau,” Zamani sekadar menyakat. Ikram menunjukkan isyarat ‘o’ dengan jari telunjuk dan ibu jarinya sambil mengenyitkan mata. Mereka sama-sama tertawa. Dahlia menguis-nguis bara api dengan sebatang kayu kecil. Kakinya dibengkokkan sehingga lutut merapat ke dada.
“Sayang, kenapa senyap saja ni?” Dahlia meneruskan perlakuannya bagaikan asyik benar melihat puing-puing api yang dikuis memercik ke udara dan hilang ditelan udara sejuk.
“Walau pun kita dekat tetapi abang rasa kita semakin jauh,” Zamani mulai membuka pokok bicaranya.
Dahlia tetap membisu.
“Lia merajuk dengan abang ke, Sayang?” Dahlia tetap berjeda.
“Hmm…kalau abang ada salah, abang minta maaf. Kalau ada apa-apa yang membelenggu perasaan Lia, rungkaikanlah. Bagitahu abang apa masalahnya. Jangan terus berdiam diri begini. Abang tak tahu apa mahu Lia,” Zamani terus mencungkil. Dia memang bijak menyusun kata-kata.
Tanpa disangka-sangka, Dahlia teresak-esak. Sudah lama sendu itu cuba ditahankan. Sudah lama kepiluannya cuba dipendamkan. Namun kini, dia gagal. Dahlia tidak sekuat yang disangkakan. Naluri kewanitaannya tetap tersentuh dengan pujukan dan rayuan itu.
Melihatkan keadaan Dahlia, Zamani seakan panik.
“Kenapa, Lia? Apa yang sudah berlaku? Jangan menangis, Lia. Malu kalau kawan-kawan kita nampak.” Ahh, malu orang juga yang difikirkan, malu diri-sendiri mahu disembunyikan di mana?
“Lia, please Lia. Jangan terus-terusan begini. Jangan diseksa batin Lia dan jangan juga diseksa perasaan abang. Susah senang, kita bersama, kan?”
Dahlia semakin cair. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam kocek seluarnya. Menekan butang menu dan seterusnya bintang untuk mengaktifkannya. Dia terus menekan mencari menu mesej yang diterima. Ditelusurinya lagi hingga ke bawah dan setelah dijumpai apa yang dicari, terus dikliknya sekali. Terpampang mesej yang dihantar oleh Zamani lalu dihulurkan telefon bimbitnya kepada Zamani.
Zamani menyambut huluran Dahlia dengan ragu-ragu. Terpampang satu mesej di skrin telefon bimbit Dahlia,
“Mungkin kita hanya ditakdirkan untuk jatuh cinta. Mungkin kita tidak ditakdirkan untuk bersama. Mungkin engkau bukan milikku dan aku juga tidak mungkin menjadi milikmu.”
Zamani terus menilik. Mencari tarikh pesanan ringkas itu dihantar. Dia cuba mengingat-ingat sesuatu. Ah, sudah lama. Dia sudah ingat-ingat lupa. Yang pasti, mesej itu bukan dihantar olehnya. Siapakah gerangan pengirim pesanan itu dengan menggunakan telefon bimbitnya?
Zamani kehilangan kata-kata. Liyana? Ya, hanya Liyana yang pernah meminjam untuk menggunakan telefon bimbitnya. Terlupa dia akan nama Dahlia yang ditulis di dalam telefonnya ialah Sayangku. Tapi, Liyana biasa-biasa saja. Tiada apa-apa perubahan pun pada riak wajah dan gerak-geri gadis itu. Semuanya tetap sama macam biasa. Tidak seperti Dahlia yang terus menyepi selepas menerima mesej tersebut.
Bagaimana Zamani mahu memecahkan kebuntuan ini? Memberitahu bahawa pesanan ini bukan kiriman daripadanya memang sudah pasti akan menempah maut. Bagaimana dia mahu bercerita tentang Liyana? Sekali lagi mautnya sedia menunggu. Akhirnya…
“Maafkan abang, Lia. Abang tidak bermaksud apa-apa dengan kata-kata itu. Maafkan abang andainya Lia tersinggung dengan kata-kata itu.”
Esakan Dahlia semakin menipis. Mungkin sedikit termakan dengan pujukan Zamani.
“Lia, abang ingin kita seperti dulu. Abang rindukan suasana kemesraan kita yang lalu. Lia, Lia dengar tak? Abang inginkan Lia kembali. Lia, Liyana…,” Owh, Zamani tersasul menyebut nama itu. Jadi, namanya Liyana, ya. Hati Dahlia membengkak kembali.
Dia bangun meninggalkan Zamani yang terkebil-kebil seperti cicak tertelan kapur di atas pasir putih pantai yang terhampar indah. Siapa sangka dia boleh tersebut nama Liyana di hadapan Dahlia. Semakin pudarlah impiannya untuk mendapatkan kembali kasih Dahlia.
Kalau pun pada setiap simpang
Kita bertemu
Sedang aku tidak lagi menyapamu
Mengertilah
Bahawa hatiku yang telah terhiris
Darahnya masih menitis.
Kau tidak perlu membuang waktu
Memujukku dengan janji-janji manis
Atau harapan yang indah-indah
Kerana aku tidak mungkin akan lupa
Sebuah pendustaan yang telah kau lakukan
Pun begitu atas nama kemanusiaan
Dosa itu telah kumaafkan.
BAB 19
Mentari pagi kian memancarkan cahayanya. Dahlia termengah-mengah mendaki anak tangga Cinderella, memanjat bukit menuju ke Dewan Serbaguna. Hmm…bagaimana pula tangga ini mendapat namanya? Sebenarnya, pernah beberapa kali saat menuruni anak tangga yang agak curam ni, kasut Dahlia tercicir. Apabila berbual dengan rakan-rakan yang lain, mereka juga pernah mengalami nasib yang sama. Sejak itulah tangga ini mendapat namanya, Tangga Cinderella.
Dan saat ini, Dahlia sedang mendakinya sekali lagi. Harap-harap kasutnya tidak tercicir lagi kali ini. Dia ingin segera tiba di puncak sana. Hari ini ada program Bicara Bahasa dan Sastera di Dewan Serbaguna. Telah diumumkan bahawa beberapa orang penulis terkenal tanah air akan hadir dan turut sama memeriahkan program berkenaan. Dahlia tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini. Sudah lama dia berhajat untuk bersua muka dengan penulis-penulis terkenal tanah air. Ada juga beberapa orang penulis muda akan turut bersama-sama.
Dahlia tidak menghiraukan peluh yang mulai merenek dan meleleh di dahi menerjuni pipi hingga ke dagunya. Dia mengesat dengan belakang tangannya. Beberapa ekor burung layang-layang terbang rendah dengan kicauan nyaring, seolah-olah menyapa Dahlia yang termengah-mengah menyusun langkah. Dia mesti bergerak pantas. Burung layang-layang terbang rendah petanda hari nak hujan.
Cuaca cerah sahaja, awan hitam hanya ada setompok kecil di dada langit. Dahlia pernah terbaca satu rencana, pabila burung layang-layang terbang rendah petanda hari hendak hujan. Kenapa ya? Kerana makhluk ALLAH yang satu ini iaitu haiwan, cukup peka dengan perubahan cuaca alam. Kelekatu di dalam tanah akan segera keluar dari tempat persembunyian mereka kerana bimbang air hujan akan menenggelami kediaman mereka.
Berbondong-bondonglah mereka keluar untuk menyelamatkan diri. Dan pada tika ini jugalah, sang burung layang-layang akan mengambil kesempatan untuk menangkap mangsanya, kelekatu dan anai-anai yang melata di atas muka bumi, sebab itulah burung layang-layang terbang rendah.
Hmmm… Dahlia kesuntukan masa untuk meneliti kebenaran teori itu tika ini. Ada urusan lebih penting untuk disegerakan. Nasib baik hari ini dia memakai seluar panjang kain cotton dan blause polos berenda warna kuning langsat dipadankan dengan tudung warna sedondon. Kain cotton penyerap peluh yang paling baik dan tubuhnya jadi sedikit dingin.
Langkahannya dipercepat. Dia hampir-hampir jatuh tersungkur tatkala kakinya tersangkut di anak tangga terakhir. Kasutnya terlucut. Memang bertepatanlah dengan namanya, Tangga Cinderela. Dahlia cepat-cepat mencapai kasutnya dan disarungkan kembali ke kaki. Nasib baik tiada yang melihat, kalau tidak…malulah jawabnya. Hmm…nasib baik lagi.
Dia tidak mahu ketelatan. Dari dalam sana telah terdengar ngauman pembesar suara. Mungkin salah seorang daripada penulis yang hadir sedang memberikan ucapan. Dahlia tiba di pintu dewan tatkala para penonton sedang memberikan tepukan di atas ucapan pengerusi majlis yang telah mengakhiri ucapan alu-aluan dan kini sedang menjemput penulis pertama untuk menyampaikan ucapan.
Dahlia menarik nafas dalam-dalam, menyusunnya agar lebih teratur. Beg sandang kain cottonnya dibuat mengelap peluh. Hmm…itulah padahnya kalau susah sangat nak bawa tisu. Beg pun terpaksa digunakan. Nasib baiklah beg itu baru dibasuh. Masih wangi, masih berbau downy.
Dahlia terjengok-jengok ke dalam mengintai tempat duduk yang masih kosong. Bahagian belakang memang sudah penuh. Biasalah, semua orang berlumba-lumba untuk duduk di belakang. Kalau dapat tempat duduk yang paling akhir seperti mendapat satu kemenangan. Tiada siapa yang berminat untuk memenuhi ruang kosong di hadapan. Dahlia bagaikan merungut kepada dirinya sendiri.
Padah datang lewat, rasakanlah. Dahlia mengatur langkahnya satu-persatu menuju ke bangku nun jauh di hadapan dewan. Alamak, dah terpaksa ni, redah aje lah. Terasa benar sepatunya berdetup-detap di dewan yang sunyi sepi kerana menantikan penulis pertama menuturkan kata-kata. Cover ! Cover!
Akhirnya, Dahlia selamat tiba di kerusi yang paling depan sebelah kiri. Nampaknya jadi pemandu kapal koreklah dia kali ini. Lega hati Dahlia setelah melabuhkan punggungnya di situ. Pemandu kapal korek pun pemandu kapal koreklah asalkan aku dapat turut serta dalam majlis ini, katanya memujuk hati. Beratus pasang mata yang tadi memerhati langkahannya seperti bowling kinetik, kini mulai menumpukan perhatian ke pentas.
Bicara Bahasa dan Sastera sempena Bulan Bahasa Kebangsaan memang dinanti-nantikan Dahlia kerana pada masa inilah dia berpeluang untuk bertemu dengan penulis-penulis dan penggiat sastera yang diminatinya. Tahun lepas, pihak fakulti menjemput penggiat sastera di bidang teater. Pelbagai ilmu dan pengalaman dalam bidang itu dikongsikan bersama.
Walaupun Dahlia tidak meminati teater tetapi dengan adanya pendedahan seperti itu, ia akan menambahkan lagi pengetahuannya. Ada juga sesekali diadakan majlis bacaan puisi dan gurindam. Terbuai hati Dahlia diulit gurindam yang mengasyikkan. Seorang penggiat sastera terkenal yang berusaha mengumpulkan dan memperdengarkan gurindam-gurindam tradisional warisan melayu lama, mengalunkan suaranya yang gemersik hingga mengembalikan nostalgia Dahlia kepada ayah dan ibu.
Ayah selalu mendodoikannya dengan gurindam-gurindam lama itu sambil meriba kepalanya di atas buaian besi di halaman rumah. Selalunya, ayah bergurindam selepas menghabiskan sesebuah cerita sedangkan Dahlia masih belum terlena. Ayah bergurindam sehinggalah Dahlia terlelap.
Gurindam Jiwa dalam filem lakonan Nordin Ahmad dan Latifah Omar yang didendangkan ayah kembali mengisi peta mindanya. Menggamit kerinduan pada ayahanda tersayang….
Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
( P )
Anak cina pasang lukah,
Lukah dipasang di Tanjung Jati,
Di dalam hati tidak ku lupa,
Sebagai rambut bersimpul mati.
( korus )
( L )
Batang selasih permainan budak,
Daun sehelai dimakan kuda,
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali juga.
( P )
Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman,
( L )
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.
( L & P )
Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja,
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.
Nantikan saya di pintu syurga. Ayah, ibu…nantikan Lia di pintu syurga. Pelupuk matanya basah. Airmatanya mengalir di bawah sedar.
Dahlia kembali berada di alam nyata saat dia berdiri untuk bersalaman dengan Aryanna Anne, penulis muda tanah air yang karya-karyanya menjadi kegilaan remaja masa kini. Saat pertama kali terpandang wajah itu, dia seakan kurang percaya. Gadis manis berkulit putih kuning dengan rambut ikal mayang melepasi bahu ini adalah penulis remaja yang selalu menulis tentang kerohanian dan kemurnian Islam.
Hati Dahlia berdetap, kurang mempercayainya. Mustahil seorang penulis yang bercerita tentang keindahan Islam berpenampilan sebegini. Kebaya pendek ketat tersarung di tubuhnya yang kecil molek dengan kain batik lepas berbelah hingga ke paha. Cermin mata hitam besar dicekak di atas kepalanya.
Dahlia beristighfar di dalam hati. Tidak baik menilai orang sedemikian. Akupun tidak sesempurna mana. Mungkin selama ini dia membayangkan penulis novel idolanya ini seorang yang menjaga auratnya menjadikan dia sedikit kaget apabila yang dilihatnya kini berlainan daripada apa yang dibayangkan.
Sesi Bicara Bahasa dan Sastera hari ini berjalan lancar. Hati Dahlia puas dapat bertemu insan-insan yang diminatinya dalam bidang sastera. Dia mengintai-intai ke persekitaran mencari kelibat Alina namun hampa, sahabatnya itu berjanji untuk turut sama dalam majlis ini. Mungkin dia telah pulang seusai sesi soal jawab tadi iaitu sebelum majlis temu mesra ini.
Namun demikian, Dahlia tetap melilau ke serata, masih berharap. Nun di hujung dewan, Zamani melambaikan tangan.
“Lia, makan jom,” ajak Zamani bersahaja. Tidak banyak karenah, Dahlia menuruti Zamani ke kafetaria. Tempat yang paling selesa untuk bertemu janji. Mereka menikmati minuman horlicks panas dan bihun sup. Dahlia cuba bersikap setenang mungkin. Sesekali, jiwa terasa pilu. Agak sukar untuk mengubah pandangannya terhadap pemuda yang pernah bertakhta di hatinya ini.
Mungkin masih ada kesempatan buat mereka untuk menyulam kasih. Siapa tahu?
“Lia, petang nanti teman abang ke bandar, ye?” Zamani sekadar memancing. Dahlia mendongak, kurang percaya dengan pelawaan itu.
“Maaf, bang. Lia dah ada janji dengan Alina petang ni,” Dahlia teringat Alina yang masih belum ditemuinya sejak keluar bilik pagi tadi.
“Hmmm…,” dehem Zamani. Ada sedikit nada kehampaan di situ.
Apakah hati Dahlia akan kembali terbuka untuk menerima semula cinta Zamani? Masihkah ada tempat untuk seorang insan bernama lelaki di sudut hatinya? Bagaimana pula dengan Zamani sendiri? Seteguh manakah cintanya? Sekuat manakah janjinya? Segalanya tak bisa dijawab sekarang kerana perjalanan hidup mereka masih terlalu jauh.
No comments:
Post a Comment