Tuesday, 19 July 2011

Selumbar Kasih

BAB 6
Dahlia menyandarkan badannya di atas kusyen bas ekspres Transnasional yang ditumpanginya. Dia memejamkan matanya rapat-rapat seakan cuba melupakan secebis peristiwa hitam yang hampir mengaibkan dirinya.
Semakin cuba dilenyapkan, semakin kuat pula daya ingatannya datang bertamu.  Busuk bau mulut lelaki yang cuba menghirup kegadisannya bagaikan datang semula. Serta-merta Dahlia memegang dadanya menahan mual yang mendatang. Jijik. Itulah perkataan paling tepat untuk menggambarkan perasaannya tika ini.
Excuse me.”
Dahlia mencelikkan mata dan memandang sekilas lelaki yang mengambil tempat duduk di sebelahnya. Senyuman lelaki itu dibalas seadanya. Dahlia kembali memejamkan matanya. Atau lebih tepat lagi, Dahlia tidak berminat untuk berbicara dengan sesiapapun.
Bas terhenjut-henjut berlalu meninggalkan Stesen Bas Lenggong. Selamat tinggal kampungku. Selamat tinggal daerah kecilku. Dua bulan lagi kita akan berjumpa kembali. Dahlia memanjatkan doa agar perjalanan ini selamat tiba di destinasinya.
Bas memasuki  jalan besar. Pohon-pohon kelapa di kiri kanan jalan ditinggalkan perlahan-lahan, semakin lama semakin pantas. Dahlia membuang pandangnya keluar tingkap bas. Pohon-pohon di tepi jalan silih berganti, ladang kelapa sawit, ladang getah, kawasan memancing di Tasek Raban dan menyeberangi Jambatan Raja Muda Nazrin. Melewati bangunan Pusat Pekasam Kebangsaan, Kem PLKN Tangkas Kendiri dan Kem PLKN Desa Rimba. Semua direntasi sehingga melalui kawasan sawah padi. Panorama yang menarik turut mencerminkan kedamaian hidup di desa.
Sesungguhnya ibadah yang paling utama setelah ibadah-ibadah  wajib ialah berzikir. Terkenang ayah yang meminjam kata-kata itu daripada  Syeikh  al-Islam Ibn Taimiyah di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa.
Lazimilah kamu dengan berzikir Ya za al-Jalali wa al-Ikram. Itu pula adalah sabda Rasullullah saw yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, disampaikan ayah lewat tazkirahnya selepas usai membaca al-Quran.
Berfikir dan berzikir adalah dua jalan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Berzikir dengan nama-nama yang indah serta sifat-sifat Allah dan juga zikir yang bersesuaian dengan syariat. Dalam diam-diam, mulut Dahlia terkumat-kamit, berzikir.
Dua jam perjalanan, bas berhenti singgah di hentian rehat dan rawat untuk memberi peluang kepada para penumpang membasahkan tekak, mengisi perut yang kosong atau melepaskan hajat masing-masing.
Kerusi di sebelah Dahlia kosong. Mungkin lelaki itu telah turun di saat Dahlia asyik berzikir sambil melayani matanya dengan pemandangan indah di pinggir lebuh raya. Dahlia bangkit dan turun untuk menunaikan hajatnya. Membeli beberapa biji buah mangga dan dua tin minuman soya sejuk.
Perjalanan diteruskan dan bas akan berhenti di setiap dua jam perjalanan. Dahlia sempat melakukan solat jamak Zohor bersama qasar Asar. Hampir lapan jam berada di dalam perut bas, Dahlia tiba di destinasinya.
Dia bergerak perlahan-lahan sambil mengheret beg kecilnya yang beroda  menuruni tangga bas. Di bawah sana, tercegat Zamani yang sedia menanti ketibaannya.
Mereka saling berbalas senyuman. Zamani mengambil beg pakaian di tangan Dahlia dan menyorongnya hingga ke kereta. Selepas menyimpan beg di dalam bagasi Iswara Aeroback hijau metalicnya, Zamani menarik tangan Dahlia.
“Kita makan dulu, ya,” pelawa Zamani dan diiyakan oleh Dahlia. Perutnya juga sudah berkeroncong.
Setelah makanan yang dipesan tiba, mereka menikmatinya bersama-sama.
“Apa cerita di kampong?” Zamani memulakan bicara. Serta-merta peristiwa tiga hari lalu melintas di ruangan minda Dahlia.
“Emm…semua baik. Abang macam mana?”
“Alhamdulillah. Ok. Cuma, mak bertanya, bila dia boleh berkenalan dengan bakal menantunya.” Zamani mengenyitkan matanya ke arah Dahlia. Nakal. Entah betul entahkan tidak.
Dahlia tersenyum simpul mendengar gurauan Zamani.
“Makan perlahan-lahan,” tegur Zamani. Dahlia terhenti suapan. Terlalu lapar agaknya menjadikan dia makan agak cepat.
“Kunyah makanan lambat-lambat boleh mengurangkan kalori.”
“Iya?”
“Iya. Mengunyah dengan cepat boleh menghalang rembesan hormon yang penting untuk penghadaman bagi menimbulkan rasa kenyang.”
Bulat mata Dahlia memandang Zamani.
“Jika kunyah perlahan, ia akan merangsang rembesan hormon yang akan membuatkan kita berasa kenyang.”
Dahlia tersenyum mendengar penjelasan Zamani. Bakal guru Sains ini memang mempunyai banyak fakta tentang pelbagai benda dan alam.
“Cepat habiskan makanan tu. Jangan asyik mengelamun aje. Kita nak balik dah ni.”
“Hmm…sekejap suruh lambat. Sekejap suruh cepat. Yang mana satu nak ikut ni?” Dahlia sedikit merungut. Zamani yang telah selesai membasuh tangannya mencapai sehelai tisu di atas meja. Dahlia menghabiskan baki nasinya yang masih bersisa.
“Ok, ikut abang balik rumah aje lah,” sahut Zamani cepat-cepat sambil tersenyum. Dahlia tergelak kecil mendengar gurauan Zamani. Jelas kelihatan lesung pipit di kedua belah pipinya.
Zamani terpegun menyaksikan keindahan itu. Tanpa disedarinya, dia mencuit pipi itu sehingga menyebabkan Dahlia tersentak.
“Kenapa,bang?”
Zamani serba-salah atas keterlanjurannya.
“Emm…tak apalah. Makan dulu. Lepas ni nanti, abang bagitahu,”  sahut Zamani menyembunyikan kekagetannya. Dia mengeluarkan sebatang rokok Dunhill dari kotaknya. Dinyalakan api lalu dengan penuh kenikmatan, dia menyedut dan menghembus asap hitam melegari ruang makan itu.
Dahlia memandang sekilas, kurang senang dengan perlakuan Zamani. Zamani seakan menyedari. Dia lantas bangun meminta diri untuk melepaskan giannya, merokok di tempat yang agak jauh sedikit dari situ.
Selesai menikmati hidangan serba ringkas itu, mereka bergerak menuju ke kereta. Zamani menghantar Dahlia sehingga ke blok penginapannya. Sewaktu Dahlia sedang terkial-kial menanggalkan tali pinggang kaledarnya, Zamani  segera membantu (atau lebih tepat lagi, mengambil kesempatan).
Wajah mereka terlalu hampir. Terdengar desah nafas Dahlia di telinga Zamani. Zamani bagai hilang pedoman. Sewaktu Dahlia mendongakkan kepalanya, pipi mereka berlaga. Bibir  Zamani pantas mengucup bibir Dahlia. Hangat. Dahlia tersentak. Melarikan wajahnya dan Zamani juga, kaku.
Segalanya berlaku dengan pantas. Seketika kemudian, terdengar esakan halus Dahlia.
“Maafkan abang, Sayang.”
“Kenapa buat Lia macam ni?”
“Abang tak sengaja. Abang tak dapat menahan perasaan abang,” Zamani tidak berselindung lagi. Betullah, apabila dua insan berlainan  jenis bertemu dan duduk bersunyi-sunyian, pasti ada insan ketiga di antara mereka berdua. Benar bukan mitos.
“Lia, kita kahwin,” kepala Dahlia terdongak mendengar saranan Zamani.
“Kita masih belajar, bang. Sabarlah dan tunggulah sehingga selesai kuliah kita ini.”
“Sabar ? Sampai bila kita mampu bersabar ? Ya, Lia boleh bersabar tapi abang tidak….”
Terpegun Dahlia mendengar ungkapan Zamani.
“Lia, dengar sini,” Zamani membetulkan duduknya. Menghadap Dahlia dan menatap wajah gadis itu di dalam kesuraman senja.
“Setiap kali bersama Dahlia, abang bagaikan terpanggang. Abang tidak dapat hanya memandang Lia  tetapi abang memerlukan lebih daripada itu. Abang dambakan kemesraan dan kehangatan Lia. Kita kahwin, ya, Sayang.”
Dahlia cepat-cepat menarik jemarinya dari genggaman Zamani. Tidak ingin peristiwa sebentar tadi berulang kembali.
“Bang, bercintalah kerana Allah. Kalau abang tidak dapat menahan nafsu abang setiap kali bersama Lia, kita hentikan pertemuan ini buat sementara waktu sehingga abang sudah mampu menahannya.”
Zamani mengeluh panjang mendengar penyelesaian yang dicadangkan Dahlia.
“Inikah sahaja jalan penyelesaian yang Lia ada?”
“Ya. Hanya inilah sahaja jalan penyelesaiannya. Kita hidup hanya sekali, bang. Jadi, jangan dicemari kehidupan yang sekali ini. Bukan hanya cinta sahaja yang menjadi tujuan utama kita hidup di dunia ini. Bagi Lia, tidak salah kita bercinta dan mencari cinta tetapi biarlah berada di landasan yang betul.” Zamani semakin terpukul dengan kata-kata Dahlia.
“Maafkan Lia. Bukan niat Lia untuk menasihati  abang tapi tujuan hidup Lia terlalu banyak. Lia wajib melunaskan janji Lia terhadap Allah semasa di Loh Mahfuz dulu. Hidup Lia sentiasa ditemani dua malaikat di kiri dan kanan bahu Lia ini. Yang menulis segala perbuatan buruk dan baik Lia. Begitu juga abang. Jangan kita kotori buku amalan kita, bang.”
Orang yang termasuk dalam golongan iffah ialah orang yang sempurna kelakuannya.  Zamani bagaikan  baru tersedar, dengan siapakah dia cuba bermain api. 





BAB 7

Dahlia membaringkan tubuhnya di atas tilam. Alina masih belum tiba. Mungkin pagi esok baru dia muncul.  Rumah keluarganya berhampiran kediaman mereka ini. Jadi, tidak timbul masalah kelewatan baginya.
Dahlia mengiring. Tidak. Terlentang. Pun tidak. Semuanya serba-salah, serba tak kena. Akhirnya, dalam keadaan terlentang, lengan kiri dijadikan bantal di belakang tengkuk manakala lengan kanan melintang di dahi (Alina  memberikannya  istilah tidur dengan antena di dahi kerana mengelamun atau memikirkan sesuatu).
Matanya dipejamkan. Dua peristiwa besar berlaku berturut-turut dalam hidupnya dalam tempoh tidak sampai seminggu ini. Peristiwa pertama, dia hampir diperkosa oleh seseorang yang tidak  dikenalinya dan peristiwa kedua juga masih melibatkan lelaki. Kekasih hatinya cuba melakukan sesuatu yang menjurus ke arah pemerkosaan juga tetapi secara lebih halus.
Dahlia bingkas menuju ke almari cermin. Memandang wajahnya di dalam cerminan itu. Meraba bibirnya yang dilumati Zamani. Dahlia memejamkan matanya, menghayati kehangatan itu. Sesekali jiwanya meronta, menyatakan keinginan terhadap sesuatu yang terlarang.
Sentuhan Zamani yang meruntun di jiwa. Pandangan matanya yang membawa seribu pengertian. Keinginannya yang meluap-luap. Dahlia semakin melarut dalam anganannya. Nalurinya bergetaran.
“Ya, Allah. Kenapakah sebegini jauh lamunanku? Ya, ALLAH. Ampunilah hambaMu ini. Ya, ALLAH. Aku tidak layak untuk syurgamu namun aku juga tidak mampu untuk menanggung seksa nerakaMu.”
Air mata Dahlia berlimpahan. Dia mengongoi bagai anak-anak kecil dimarahi ibu.
Zamani. Kau tidak tahu penderitaanku. Aku anak terbuang, Zamani. Aku anak luar nikah, Zamani. Aku anak yang tidak diundang kehadirannya, Zamani. Masih mahukah engkau menerimaku seandainya engkau tahu hakikat diri ini?
Ibu, ayah…bantulah Lia. Lia perlukan ibu dan ayah di sisi Lia saat ini. Lia rindu ibu. Lia rindu ayah. Kepalanya kembali berdenyut-denyut. Rasa kesakitan pada bilateral frontalnya iaitu bahagian mata dan dahinya. Dahlia mengurut dahi dan lehernya perlahan-lahan.
Sujud dalam solat itu dapat memberi laluan kepada darah untuk sampai ke urat saraf yang sukar dimasukinya. Minda kamu akan lebih tenang dan stabil.
“Ayah?” sekali lagi ungkapan ayah hadir dalam imaginasi Dahlia. Dahlia bergegas menuju ke bilik air, mengambil wuduk dan menunaikan solat Isyak  dengan penuh khusyuk.
Selesai menunaikan solat, Dahlia berdoa dan berzikir. Sesungguhnya berzikir kepada ALLAH dengan zikir yang sebanyak-banyaknya adalah berzikir kepada-Nya pada waktu siang dan petang, pada waktu bermukim dan musafir dan di kala susah dan senang (Abdullah Bin ‘Abbas r.a).
Selesai bertafakur, Dahlia mulai mengeluarkan buku-buku rujukan dari kabinet atas di sisi meja belajarnya. Tiga buah buku Prinsip Teknologi Pengajaran dikeluarkan, menambahkan timbunan buku yang telah tersedia ada di  atas meja. Ada sedikit lagi bahan yang perlu dimasukkan untuk melengkapi assignment yang dibekalkan oleh Profesor Mariya, pensyarah Prinsip Teknologi Pengajarannya.
Dahlia menghidupkan komputer ribanya. Menekan butang on dan seterusnya menanti sehingga sistem itu bersedia untuk digunakan. Dahlia tersenyum senang. Lapan puluh peratus tugasannya hampir beres.
Mujurlah ada kemudahan Teknologi Maklumat (orang lebih mudah menyebutnya sebagai IT iaitu singkatan daripada Information Technology). Selalunya apabila disebutkan IT, apa yang tergambar di minda ialah komputer.
Walaupun hakikatnya definisi Teknologi Maklumat ini adalah lebih meluas iaitu meliputi kaedah, teknik, proses dan semua jenis perkakasan atau peralatan teknologi yang digunakan untuk memproses, menyimpan dan memindahkan maklumat dalam bentuk  elektronik.
Teknologi Maklumat ialah teknologi yang membolehkan kita merekod, menyimpan, memproses, mendapat semula, menghantar semula, menghantar dan menerima maklumat.
Dahlia semakin melarut dalam kerjanya. Jari jemarinya yang runcing pantas menekan  abjad dan nombor di papan kekunci.  Semua bahan yang dikumpulkan sebelum ini disatukan dalam satu ulasan yang panjang. Nota dan bahan tersebut diperoleh dengan mudah secara terus atas talian (on-line) setelah melayari pautan laman sesawang ataupun internet.
Ketukan di pintu mengembalikan Dahlia ke dunia nyata. Dia meligas, merenung jam di dinding bilik. Sudah menunjukkan hampir ke pukul sepuluh malam. Mungkin Alina yang mengetuk pintu.
Hmm…Alina lupa nak bawa kunci bilik ke? Sungut Dahlia sendirian sambil bangun menuju ke pintu. Tersembul wajah Alina dengan senyuman bersalahnya.
Sorry, Lia. Mengganggu.  Aku tertinggal kunci di rumah,” tanpa sebarang soalan, Alina bagaikan tahu apa yang bermain di minda Dahlia, terus memberikan penjelasan.
“Engkau dah tidur ke, Lia?”
“Emm…belum, tengah siapkan assignment Puan Mariya.” Dahlia berlalu menuju ke ruangan coffee corner.  Dua peket  teh susu tiga dalam satu Old Town dan dua biji mug dikeluarkan. Dituangkannya  serbuk putih kuning itu ke dalam mug-mug berkenaan dan selepas itu dimasukkan air panas.
Alina bergerak menuju ke katilnya. Meletakkan beg sandangnya di tepi bantal. Dia menanggalkan tudung hijau mudanya dan disangkut pada penyandar kerusi.
Dahlia menghulurkan mug berisi teh susu panas ke tangan Alina. Alina tersenyum sambil menyambut huluran itu. Dua tahun berkawan dan berkongsi kamar penginapan, mereka sudah tahu hati budi masing-masing. Dahlia baik dan bertemu pula dengan Alina yang juga baik budi pekertinya. Dua orang sahabat ini memang serasi.
Thanks, Lia,” Dahlia hanya mengangguk sambil mengacau dan kemudian menghirup teh panasnya.
So, macam mana assignment? Dah siap?”
“Dalam proses,” sahut Dahlia sambil mulutnya memuncung ke arah komputer ribanya.
Alina meletakkan mugnya di atas meja sisi. Tangannya pantas membuka beg sandangnya, mengeluarkan sebuah management fail sambil tersenyum.
“Dah siap?” Dahlia menjongketkan keningnya, terpegun.
“Hmm…kena siap cepat-cepat sebab esok dah janji nak keluar dengan Ikram,” Dahlia tersenyum mendengar jawapan Alina.
“Macam mana kau dengan Ikram? Dah steady ke?”
“Dalam proses mengenal hati budi. Ha ha ha…” Alina tertawa panjang.
“Ok la tu. Aku doakan korang berdua sukses.”
“Amiinn…” Alina menadah tangan mendengar ungkapan Dahlia dan meraup ke wajahnya. Tawa mereka kembali berderai.
“Kalau nak tengok assignment aku, ambillah, sebagai guide line,” Alina mempelawa berbasa-basi.
“Tak apalah. Lagipun aku dah siap, tinggal nak semak ejaan dan tanda baca saja lagi.
Ok la kalau gitu.”
Alina bangun mencapai tuala dan masuk ke bilik air manakala Dahlia kembali menumpukan perhatian menyiapkan tugasannya. Dia menggunakan perisian Microsoft Word untuk memproses perkataan dan teksnya.





BAB 8

Hujan petang kembali menyirami halaman. Dahlia terlupa untuk membawa payung ke dewan kuliah. Sebenarnya bukan terlupa tetapi Dahlia memang tidak pernah membawa payung itu kerana dia sendiri tidak menyangka bahawa hujan akan turun selebat ini.
Dia berteduh di lorong pejalan kaki  berbumbungkan zink  biru tua. Tempias hujan membasahi kurung moden biru firus dan tudungnya yang  sedondon. Dahlia kesejukan. Dalam berkira-kira untuk melangkahkan kakinya, bahunya dicuit seseorang. Dahlia segera berpaling.
Tercegat Zamani di sisinya. Tersenyum anak muda berwajah Jericho Rosales itu.
“Mengelamun lagi?” Tebak Zamani.
“Tak adalah. Tengah mencari akal macam mana nak redah hujan ni.”
Zamani tersenyum simpul.
“Mari,” ajaknya sambil menarik tangan Dahlia ke bawah payungnya. Mereka berpayung merentasi padang permainan bola baling untuk ke dewan kuliah di seberang sana. Beberapa orang teman yang telah berada di dewan itu mulai bersiul-siul, mengusik pasangan romantis dua sejoli itu.
Dahlia hanya tersenyum, tidak berasa hati dengan usikan teman-temannya.  Profesor Madya Dr Zakaria Basir, pensyarah kursus Psikologi Pendidikan dan Kaunseling mereka juga tiba agak lewat. Dia juga kehujanan.
Biarpun ketelatan, Profesor Madya Dr Zakaria Basir tetap bersemangat meneruskan kuliah psikologi dan kaunselingnya. Beberapa orang teman telah mula menguap dan menampakkan mata kuyu mereka. Hmmm…hujan-hujan ni, layan tidur lagi baik.
Sebelum ini,  Profesor Madya Dr Zakaria Basir telah mendedahkan mereka dengan konsep asas psikologi pendidikan. Kini, dia sedang memperkenalkan pelajar-pelajarnya dengan teori-teori pembelajaran dan prinsip psikologi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Apahallah asyik belajar teori saja. Sepatutnya belajarlah secara praktikal. Buat amali. Kalau teori, semua orang boleh buat. Teori ini hanyalah pandangan dan pendapat  orang bijak pandai yang belum tentu dapat dibuktikan dengan kukuhnya.
Dahlia juga telah mulai penat. Kadang-kadang dia terfikir juga, sebagai seorang pensyarah psikologi, Profesor Zakaria sepatutnya tahu apakah yang diperlukan oleh pelajar-pelajarnya. Bercakap dan bercakap sahaja tanpa henti-henti selama tiga jam kuliah tidakkah memenatkan?
“Saya tahu, kamu semua penat. Penat dengar saya berceloteh panjang-panjang. Saya akan berikan kumpulan untuk kamu berbengkel. So,  minggu depan untuk sesi kuliah kita, saya nak setiap kumpulan membentangkan hasil pembengkelan.”
Haa…padan muka. Memang selayaknya Profesor Madya Dr Zakaria Basir jadi pensyarah psikologi. Dia tahu apa yang melintas di mindaku. Getus hati Dahlia, sebal.
“Cik Dahlia, cari kawan lagi tiga orang. Kumpulan awak bincangkan tentang teori-teori perkembangan manusia iaitu teori psikoanalitik, kognitif, behaviorisme, sosio-kognitif, etologikal dan ekologikal.”
Alamak, kena lagi. Teori pulak tu. Dahlia menjeling Zamani di sebelah yang hanya tersenyum sumbing.
“Haa…siapa yang nak sekumpulan dengan Cik Dahlia?” Profesor Zakaria Basir membuat pengumuman. Orang pertama yang mengangkat tangan sudah tentulah hero Jericho Rosalesnya, Zamani.  Dahlia senang hati. Sekumpulan dengan Zamani sudah tentu akan memudahkan kerjanya. Dia tidak pernah lokek dengan ilmunya dan sudah pasti dialah juga yang akan menjadi pembentang bagi kumpulan mereka.
“Kumpulan kedua pula akan berbincang tentang aspek-aspek pembelajaran, faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran, teori-teori dan pendekatan-pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.” Alahai, teori lagi.
Profesor terus rancak memberikan tugasannya. Bilik kuliah mulai berdengung dengan suara-suara siswa-siswi itu berbicara antara satu sama lain.
Dahlia menyelak modul Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, mencari topik perkembangan manusia.  Seorang kanak-kanak yang menggerak langkahnya yang pertama. Seorang remaja yang belajar merokok. Seorang kanak-kanak mendapatkan gigi susunya yang pertama. Seorang individu baligh. Semua itu adalah contoh perkembangan manusia.
Dahlia semakin tertarik. Topik yang dirasakan membosankan itu mampu meraih perhatiannya. Dia menyelak-nyelak lagi. Faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan manusia terdiri daripada faktor endogen (dalam individu) dan faktor  eksogen (luar individu).
Faktor endogen ialah faktor atau sifat yang dibawa oleh individu sejak dalam kandungan hingga kelahiran. Ianya merupakan faktor keturunan atau faktor pembawaan. Individu terjadi apabila bertemunya ovum daripada ibu dan sperma daripada ayah. Maka, individu akan mempunyai sifat-sifat ibu dan ayahnya.
Namun ada sesetengah anak yang langsung tidak mempunyai sifat-sifat seperti ibu dan ayahnya. Ada anak yang bijak dilahirkan dalam kalangan ibu bapa yang bermasalah dan kurang pintar. Ada juga anak yang jahat dilahirkan dari keluarga yang terkenal dengan kebaikan budi dan akhlaknya.
Orang pertama yang dikatakan menemui penjelasan menarik tentang baka atau gen ini ialah  Gregor Johann Mendel yang berasal dari Chechoslovakia. Anak sebenarnya terjadi daripada pertemuan dan percantuman dua sel benih, satu daripada ibu dan satu daripada ayah dan semua ciri-ciri yang boleh diturunkan kepada anak adalah diturunkan daripada sel-sel ini.
Aku? Aku mempunyai sifat ibu dan ayah? Bagaimana sifat ibu dan ayahku? Dahlia bermonolog.
“Kenapa Lia?”
Zamani menyedari keadaan Dahlia yang seringkali larut dalam pemikirannya.
“Dah nak mulakan discussion ke?” Zamani menelah.
“Emm..tidak. Lia cuma nak kenal pasti dulu apa yang kita kena bincangkan,” Dahlia lebih tertarik dengan isi kandungan modulnya. Dari segi fizikal, individu akan mewarisi sifat-sifat fizikal ibu bapanya seperti tinggi, bentuk badan, warna kulit, warna mata, warna rambut, temperamen dan sebagainya (Buss & Plomin, 1997).
Dia membelek-belek lagi. Mencari fakta dan bukti yang berlandaskan Islam. Mungkin ada pendapat ilmuan Islam yang diguna pakai namun hampa. Nampaknya, modul ini hanya merujuk kepada pendapat ilmuan barat  dan bukannya  al-Quran dan hadis. Namun, Dahlia tahu. Dia tidak boleh menentang arus. Apa yang dihidangkan, itulah yang dimakannya.
Namun, dalam diam-diam, Dahlia berjanji. Pulang dari kuliah ini, dia akan mencari fakta perkembangan manusia melalui terjemahan maksud al-Quran. Mungkin dia bisa menambahkan ilmunya.
Dahlia terkenangkan Mama Mira. Mama Mira putih, cantik. Rambut Mama Mira hitam pekat dan ikal mayang. Ayah? Siapakah ayah Dahlia. Adakah Papa Rashid, suami Mama Mira sekarang adalah ayah kandung Dahlia? Tapi Papa Rashid berkulit agak gelap. Rambutnya kerinting. Tiada ciri-ciri itu pada diri Dahlia.
Dahlia sedikit-sebanyak walaupun tidak keseluruhannya, mewarisi sifat-sifat fizikal Mama Mira berbanding Papa Rashid. Menurut kajian Mendel lagi, ciri-ciri yang lebih kuat atau dominan berkemungkinan besar diturunkan kepada anak-anaknya.
Tapi, orang-orang kampong pernah menegur, wajah Dahlia saling tak tumpah seperti wajah Alang Bidin. Alang Bidin? Ya, Alang Bidin. Matanya, hidungnya, mulutnya dan lekuk (lesung pipit) di pipinya. Semuanya bagaikan di’copy and paste’ daripada Alang Bidin. Mungkin kerana Alang Bidin bapa saudaranya, fikir Dahlia.
Terkenangkan Alang Bidin, Dahlia teringat peristiwa malang yang hampir memusnahkan masa depannya. Entah mengapa, setiap kali bayangan Alang Bidin melintas, tubuh Dahlia menggeletar, kepalanya berpusing. Dahlia cuba melenyapkan jelmaan itu daripada igauannya.




BAB 9
“Dahlia, balik  ke sini cuti nanti,” tegas suara Mama Mira di corong telefon bimbit mengarahkan Dahlia menurut kemahuannya.
Dahlia hanya terbata-bata. Pertama kali dalam hidupnya, Mama Mira mendesak dia berkunjung ke rumahnya. Mungkin kerana memikirkan Dahlia hanya sendirian selepas kehilangan ayah dan ibunya (datuk dan nenek sebenarnya).
Dahlia hanya mengiyakan. Pulang ke rumah Mama Mira adalah merupakan suatu perkara yang pelik dan asing baginya. Dahlia harap dia dapat menyesuaikan diri dengan keluarganya itu. Lagipun anak-anak Mama Mira (adik-adiknya sendiri) amat mesra dengannya.
Terkenangkan adik-adiknya, hati Dahlia sayu seketika. Adik-adik yang bijak dan petah berkata-kata. Dahlia merindui senyum tawa dan senda gurau mereka. Rasa tidak sabar untuk bertemu mereka.
Hujung minggu itu, Dahlia bergerak menuju ke rumah ibu kandungnya. Tiba di halaman rumah, suasana sepi menyelubungi kediaman itu. Ke mana perginya Mama Mira? Adik-adik pula di mana? Dahlia tertanya-tanya.
Dia membunyikan loceng pintu. Sepi. Tekan sekali lagi. Dan setelah tiga kali menekannya, barulah dia terlihat kelibat seseorang menyelak langsir di dalam rumah. Dahlia menarik nafas lega.
Pintu utama terbuka lebar. Mama Mira dengan wajah yang agak keruh, bergerak menuju ke pagar dan membuka kunci mangganya.
“Assalammualaikum, mama,” sapa Dahlia bersopan.
“Waalaikummussalam,” hambar.
Pintu pagar terbuka lebar.
“Masuklah,” masih kedengaran dingin.
Dahlia teragak-agak sebelum melangkahkan kaki mengekori Mama Mira.
“Adik-adik mana, ma?” mata Dahlia melilau ke sekitar rumah. Sebuah pasu besar berisi bunga hidup terhias indah di atas meja bulat betul-betul di tengah ruang tamu itu. Cantik rumah ini, desis Dahlia kagum.
“Ada di atas, menonton televisyen agaknya.”
Dahlia dibawa ke sebuah bilik di tingkat bawah berhampiran tangga. Terkuak sahaja pintu itu, hati Dahlia sekali lagi dicuit rasa kagum. Bilik yang terhias indah dengan sebuah katil kelamin bercadar satin gaya keinggerisan. Langsirnya juga daripada corak kain yang sama.
Mungkin ini bilik tamu, fikir Dahlia.
“Masuklah,” pelawa Mama Mira. Ada sedikit kemesraan (agaknyalah). Dahlia meletakkan beg sandangnya di atas katil bersaiz queen itu. Beg pakaiannya diletakkan di sisi katil. Mama Mira berlalu pergi meninggalkan Dahlia sendirian.
Dahlia menghantar pemergian Mama Mira dengan pandangannya. Setiap kali terlintas wajah Mama Mira di fikirannya, Dahlia seringkali terbayangkan keadaan Mama Mira sehingga tercipta dirinya di dalam rahim sang ibu.
Kini, Mama Mira berada nyata di hadapannya. Sekali lagi bayangan itu melintasi mindanya. Di manakah Mama Mira bergelandangan dulu? Di lorong manakah? Di hotel murahan manakah? Di bawah jambatan manakah? Siapakah lelaki bangsat yang telah meniduri mamanya?
Lelaki bangsat ? Lelaki bangsat itu mungkin ayahnya. Dahlia menarik nafas, sesak. Dia sudah cuba membuang prasangka itu jauh-jauh, namun dia tidak mampu.
Kadang-kadang dia berasa berdosa yang amat kerana membayangkan situasi yang sedemikian rupa. Tapi hati ini tidak dapat dibohongi.
Lamunan Dahlia terhenti tatkala terdengar suara riuh-rendah menghampiri biliknya. Adik-adiknya yang seramai empat orang itu menerpa ke arahnya dengan wajah riang. Dia lantas bangun memeluk mereka. Keempat-empatnya berebut untuk memeluk Dahlia serentak. Dahlia tertawa melihat kelakuan adik-adiknya.
Setelah keadaan agak mereda, Dahlia mencempung Damia, adik perempuan yang paling kecil berusia tiga tahun ke atas ribaannya. Adik-adik yang tiga orang lagi duduk di sisinya. Masing-masing tidak sabar-sabar untuk bercerita.
“Cik Lia cuti berapa lama? Nanti boleh kita pergi jalan-jalan tepi pantai,” Adlina, anak sulung Mama Mira (anak kedua sebenarnya kerana Dahlia adalah anak yang sulung) menyarankan.
“Cik Lia, kita pergi berkelah, ya,” Ashraf, adik Adlina pula memberikan cadangan.
“Alah, mandi laut la, Cik Lia,” tokok Addin tidak mahu ketinggalan. Si kecil Damia tidak mempedulikan semua itu. Dia menarik-narik tudung ungu muda Dahlia. Dahlia mencium pipinya bertalu-talu. Geram melihat pipi gebu Damia.
“Ya, ya, nanti kita pergi semua sekali,” Dahlia menenangkan adik-adiknya.
Horey!!!” serentak mereka menjerit kegembiraan.
Dalam keterujaan itu, mereka dikejutkan dengan kedatangan Mama Mira di pintu bilik.
“Hmm…sementara engkau bercuti ni, bolehlah kau tengokkan budak-budak ni sekejap, ya Dahlia. Mama kena ke Seremban, ambil barang kedai,” rendah nada suara Mama Mira. Ada udang di sebalik batu rupa-rupanya.
“Tak apa, mama. Apa salahnya,”
Horey!!!” sekali lagi budak bertiga itu terjerit kegembiraan. Damia tidak mempedulikan itu semua kerana dia leka membelek manik-manik putih bersinar di tepi tudung Cik Lianya.
Dalam masa seminggu ini, Dahlia akan tinggal di sini menemani adik-adiknya. Pembantu Mama Mira turut sama menemani Mama Mira ke Seremban mengambil barang pesanan pelanggan. Dahlia rasa lebih bebas melayani budak-budak itu tanpa kehadiran Mama Mira.
Rasanya Mama Mira tidaklah begitu memusuhinya. Cuma, Dahlia hairan, mengapa selama hayat ayah dan ibu, Mama Mira tidak pernah mahu menunjukkan kemesraan terhadapnya ?





BAB 10
“Cik Lia, tengok ni, apa yang Lin dapat,” Adlina yang berusia sebelas tahun itu berlari-lari sambil kedua-dua tangannya menggenggam sesuatu.
Dahlia yang sedang menyusun pinggan di atas hamparan plastik biru itu segera menoleh ke arah adiknya. Mereka berlima mengisi percutian ini dengan berkelah di tepi pantai. Damia yang tidak lekang dari sisi Dahlia sedang bermain-main dengan sebuah pinggan plastik.
Dua orang adiknya, Ashraf dan Addin berlari mengekorinya, ingin tahu apakah yang diperoleh kakak mereka. Ketiga-tiganya tercunggap-cunggap menghampiri Dahlia. Dahlia menumpukan perhatian ke arah genggaman tangan Adlina.
Adlina membuka genggamannya perlahan-lahan. Seekor ketam kecil berwarna jingga merayap keluar dari celah-celah jemarinya. Adlina ketawa senang. Adik-adiknya merengus kerana terasa dipermainkan.
“Macamlah best sangat dapat anak ketam tu,” rungut Ashraf, kecewa.
Dahlia hanya tertawa melihat gelagat adik-adiknya. Anak ketam itu diletakkan di atas pinggan kecil permainan Damia. Semakin galak Damia bermain dengan permainan barunya sambil mulutnya becok memperkatakan sesuatu yang kurang difahami kerana sebutannya agak pelat.
Adik-adiknya kembali berlari ke gigi air. Ombak laut yang tidak begitu kuat, sesekali menghempas ke pantai, meninggalkan buih putih dan kemudian pergi dan kembali lagi dan lagi, berulang-ulang kali tanpa letih dan jemu. Dahlia mengkagumi keindahan alam ciptaan Illahi.
Telefon bimbitnya memperdengarkan ringtone lagu InsyaAllah dendangan Maher Zain menandakan ada panggilan masuk. Dahlia merenung skrin dan tertera nama Zamani. Setelah tiga hari bercuti, inilah kali pertama Zamani menghubunginya.
“Sayang, apa khabar? Abang rindu,” Dahlia tergelak kecil mendengar suara Zamani menyatakan penanggungan jiwanya.
“Sayang tak rindu kat abang ke?” Dahlia masih lagi tergelak-gelak.
“Tak adalah. Biasa saja,” Dahlia hanya berbohong. Hakikatnya, dia sentiasa merindui lelaki itu. Merenungi telefon bimbitnya sepanjang masa tanpa alpa sambil menantikan panggilan dari jauh dan akhirnya penantian itu ternoktah saat ini.
“Ya lah, orang dah jumpa anak-anak saudaranya, mana nak ingat kat kita lagi,”keluh Zamani berpura-pura merajuk.
Dahlia terus melayani perbualan Zamani sambil matanya mengawasi Damia di sisi dan adik-adiknya yang lain bermain di gigi air. Cuti semester kali ini akan diisi bersama adik-adiknya sebelum dia kembali ke kampong untuk menjenguk rumah peninggalan ayah dan ibu.
Zamani masih menyangka bahawa mereka adalah anak-anak saudara Dahlia seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini. Pasti Zamani akan terkejut besar seandainya suatu hari nanti, rahsia sulit ini terbongkar.
Petang terus merangkak tiba. Dahlia mengajak adik-adiknya kembali ke rumah mereka. Teksi yang membawa mereka tiba dua jam kemudian  di halaman rumah. Puas hatinya dapat membuatkan adik-adiknya gembira. Walaupun hakikatnya, budak-budak itu belum tahu pertalian sebenar antara mereka. Cik Lia yang selama ini disangkakan ibu saudara mereka adalah kakak yang dikandung dan dilahirkan oleh ibu yang sama iaitu Mama Mira.
Pada sebelah malamnya, Dahlia mengambil peluang untuk mengajar adik-adiknya mengaji al-Quran. Ilmu sedikit yang ada dalam dirinya dimanfaatkan sebaik mungkin. Selepas itu dia memantau Adlina membuat latihan kerana tahun hadapan, Adlina bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Seminggu berada di rumah itu, Mama Mira pulang. Dia membawa banyak kain pasang, baju kurung dan tudung pelbagai jenis untuk dijual di kedainya. Apa yang menjadi kemusykilan Dahlia, selama dia di sini, tidak sekalipun dia melihat kelibat Papa Rashid.
Ingin bertanya, timbul rasa segan di hati. Mungkin betul cakap-cakap orang kampong sebelum ini. Mama Mira berkahwin dengan suami orang. Dia isteri kedua Papa Rashid dan sebagai orang yang bermadu, dia mestilah tahu membawa diri.
Mama Mira yang seminggu ke luar daerah kelihatan keletihan. Dia ke dapur untuk mendapatkan sedikit minuman. Tiba di ambang pintu, dia kelihatan sedikit terperanjat. Dahlia di dapur sedang memasak sambil dibantu adik-adiknya. Damia pula leka membelek anak patung Barbie di sisi Dahlia yang bersila menghiris bawang.
Adlina mengeluarkan periuk dan meletakkannya di atas tungku manakala Ashraf membasuh pinggan dibantu Addin yang mengelap dan meletakkannya di atas rak. Satu pemandangan yang amat asing baginya. Budak-budak ini masuk ke dapur? Hmm…memang pelik.
Mama Mira membatalkan hasratnya untuk mencari air minuman di dapur. Dia bergerak perlahan-lahan menuju ke biliknya. Mendapatkan air minuman di dalam refrigerator kecil dalam kamar tidurnya.
Selesai membasuh pinggan mangkuk, Dahlia membenarkan adik lelakinya yang berdua itu naik ke bilik untuk menonton televisyen sambil membawa Damia bersama. Dia terus di dapur untuk menyediakan makan malam bersama Adlina.
Asam pedas ikan pari. Menurut Adlina itu adalah masakan kegemaran mama. Dahlia menyediakan bahan-bahannya. Bawang putih, bawang merah, cili merah dan lengkuas ditumbuk bersama.
Adlina membantu membersihkan ikan pari. Dahlia menumis sedikit halba dan bahan-bahan yang ditumbuknya sehingga naik bau. Kemudian, dia memasukkan air dan perahan air asam jawa. Setelah itu, barulah dimasukkan ikan pari, bunga kantan, daun kesum dan garam. Biarkan  sehingga mendidih. Siap.
Selepas itu, mereka menyediakan resepi kedua, sayur campur goreng. Selepas menumis bawang putih, bawang merah dan cili merah, Dahlia memasukkan udang hidup dan sedikit tempe yang dipotong dadu. Adlina memerhatikannya sambil belajar.
Sedikit sos tiram dimasukkan untuk mendapatkan rasa sayur campur goreng yang lebih enak. Dan selepas itu barulah Dahlia memasukkan sayur campurnya lalu dimasak sehingga empuk.
Mama Mira berpura-pura tidur sewaktu Dahlia mengejutkannya untuk makan malam. Dahlia menghampiri mamanya perlahan-lahan. Melihat mama yang seakan lena di peraduan, sekali lagi minda Dahlia bergentayangan.
Inikah mama yang mengandung dan melahirkan aku? Inikah mama yang menyerahkan mahkota kegadisannya untuk diragut oleh seorang lelaki yang bukan bergelar suami? Mustahil wanita yang memiliki wajah selembut ini sanggup melakukan perbuatan mungkar dan terkeji itu.
Dahlia mengeluh perlahan. Sifat peribadi seseorang tidak dapat dinilai secara lahiriah sahaja. Mama Mira membukakan matanya perlahan-lahan. Memandang Dahlia yang masih merenungnya.
“Mama, makan malam dah sedia,” sapa Dahlia menyembunyikan rasa terkejutnya.
“Solat Maghrib dulu baru makan,” Mama Mira memberikan cadangan.
Dahlia menganggukkan kepala sambil berlalu menuju ke biliknya.
Mama Mira sudah bersedia di meja makan namun anak-anaknya tiada seorang pun yang kelihatan. Aneh dengan keadaan itu, dia bangun perlahan-lahan menuju ke bilik Dahlia. Sekali lagi Mama Mira dikejutkan dengan suasana yang baru di rumahnya.
Dari dalam bilik itu kedengaran seperti suara berlagu. Siapa yang menyanyi? Apa lagunya? Mama Mira menolak daun pintu perlahan-lahan. Sebaik sahaja daun pintu terkuak, Mama Mira dapat melihat dengan jelas, anak-anaknya sedang mengaji al-Quran di bawah bimbingan Dahlia.
Mama Mira terpanar seketika. Perlahan air jernih turun di pipinya. Dia merapatkan kembali daun pintu itu agar tiada siapa yang melihat gelagatnya. Dia berlari menuju ke biliknya. Menghamburkan tangisan semahu-mahunya. Sedih hatinya melihat situasi sedemikian.
Dia dikejutkan saat pertama kali kakinya melangkah masuk ke rumahnya sendiri.   Situasi yang berbeza dan sangat asing (sebenarnya sangat mendamaikan) dengan kedatangan Dahlia. Dahlia anak yang dulunya tidak direstui kehadirannya ke dunia ini.
“Lin tahu apakah maknanya Quraan?” tanya Dahlia sebaik sahaja adik-adiknya menutup al-Quran selepas menyelesaikan bacaan mereka.
“Tak tahu, Cik Lia,” pantas Addin menjawab.
“Quraan itu maknanya bacaan. Al-Quraan pula ialah Kalam ALLAH swt yang merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. Membacanya adalah merupakan satu ibadah,” terang Dahlia panjang lebar. Mengangguk-angguk kepala adik-adiknya seperti burung belatuk.
“Cik Lia, ustaz Lin ada cakap, al-Quraan diturunkan secara beransur-ansur. Kenapa ya?” Dahlia tersenyum mendengar pertanyaan Adlina.
“Ada banyak hikmahnya al-Quran diturunkan sedemikian rupa. Antaranya ialah agar isinya lebih mudah dimengertikan dan dilaksanakan. Jika diturunkan secara serentak, manusia mungkin enggan atau keberatan untuk melaksanakan suruhan dan larangan Allah yang terlampau banyak secara sekaligus.”
Sekali lagi adik-adiknya mengangguk seperti belatuk menebuk lubang mencari serangga di batang kayu reput. Semoga mereka faham apa yang aku sampaikan, desis Dahlia perlahan.
“Turunnya sesuatu ayat al-Quran juga adalah sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi. Ini akan lebih mengesankan dan berpengaruh di hati,” Dahlia meneruskan penerangan setakat ilmu yang diketahuinya.
“Baiklah, ada masa nanti Cik Lia akan ceritakan lagi. sekarang ni mari kita pergi makan malam. Adlina pergi panggil mama dulu, ya,” Dahlia menutup tazkirah pendeknya pada malam itu.
Adik-adiknya berlumba-lumba menuju ke meja makan. Dahlia hanya tersenyum. Dia bangun menyusun telekung dan sejadah yang telahpun disusun oleh adik-adiknya agar lebih kemas.
“Ayat-ayat yang diturunkan di Mekah atau sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah dinamakan ayat-ayat Makkiyah manakala ayat-ayat yang diturunkan di Madinah atau sesudah Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah dinamakan ayat-ayat Madaniyah,” bagaikan terdengar-dengar suara Ustazah Wan Kalsom memberikan penerangan sewaktu dia berada di dalam kelas tingkatan Lima Cempaka, tiga tahun yang lalu.

No comments:

Post a Comment