Tuesday, 19 July 2011

Selumbar Kasih

BAB 20

Dahlia memandu keretanya dengan berhati-hati  juga mematuhi piagam papan tanda had laju yang ditetapkan di jalan persekutuan itu. Kenderaan di awal pagi minggu ini agak kurang berbanding dengan hari-hari biasa. Selalunya  di waktu puncak inilah jalan raya agak sibuk. Mungkin penghuni  alam masih lagi di pembaringan, melepaskan lelah selepas seminggu penat bekerja.
Sejak ketiadaan ayah dan ibu, Dahlia sering pulang ke kampong. Menguruskan ladang getah dan kelapa sawit peninggalan arwah ayah. Dia perlu menandatangani cek bayaran gaji pekerja dan pengurusan ladang. Dahlia berkira-kira untuk menemui peguam ayah, Tuan Haji Daud Mansor. Mungkin dia boleh melonggarkan sedikit syarat pengurusan ladang-ladang itu agar bisa dikendalikan oleh Pak Akob seorang.
Rupa-rupanya, selama ini ayah masih menguruskan semua hal ehwal pentadbiran ladang. Sangka Dahlia, ayah telah menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada Pak Akob. Jika Dahlia tidak dapat pulang, Pak Akob dan Alang Bidin akan datang menemuinya di kampus.
Sesekali, Dahlia berselisih dengan beberapa buah lori besar membawa kayu balak. Hmmm… puncak bukit yang semakin gondol tampak berbalam-balam dipeluk kabus pagi. Kehijauan rimba semakin terhapus. Pohon-pohon besar ditebang tanpa ada sebarang usaha  untuk menanam semula.
Seminggu menghabiskan cuti di rumah Mama Mira, Dahlia bergerak pulang ke kampong halamannya. Kini, setelah berbaik-baik dengan Mama Mira, dia selalunya akan singgah di rumah Mama Mira dahulu sebelum bertolak pulang. Sekurang-kurangnya, dia  dapat berehat sebentar, melepaskan lelah kerana jarak pemanduannya yang jauh.
Pasak bumi kian terhakis. Tampak berlereng-lereng dijadikan laluan lori-lori besar memunggah hasil balak. Manusia semakin rakus sedangkan alam menentang dalam diam. Tanah  bukit yang rebak. Hujan lebat mengheret lumpur. Kawasan perumahan yang tidak pernah ditenggelami air, tiba-tiba sahaja mengalami banjir kilat.
Sungai sempit dilebarkan namun banjir tetap berlaku. Alam juga mulai marah namun manusia tetap menafikannya. Kerana wang, nyawa dipertaruhkan. Kerana wang, hutan warisan kian terhapus. Anak-anak cucu bakal kehilangan harta negara yang tidak ternilai harganya ini.
Dalam keghairahannya berbicara tentang alam. Fikiran Dahlia tiba-tiba melayang kepada gurindam 12 yang didendangkan ayah. Ayah tidak menghafal gurindam itu tetapi ayah membacanya dari buku lusuh yang berada dalam simpanan ayah sejak sekian lama.

Gurindam I
Ini gurindam pasal yang pertama:
Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang yang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah Ia dunia mudarat.


Sang Suria kian membahangkan cahayanya. Dahlia meneruskan pemanduan. Dalam hatinya tersemat satu hajat, dia ingin mencari buku puisi lama ayah. Dia ingin menyimpan buku itu dan sesekali bolehlah dia membaca karya  lama itu buat panduan hidupnya.
Ayah banyak bercerita tentang gurindam 12 yang diciptakan untuk seorang raja yang melalaikan tugasannya kerana menurut nafsu muda. Kerana puisi ini jugalah, raja berkenaan dapat disedarkan sehingga dia menjadi seorang raja yang adil dan saksama.
Banyak pengajaran dan nilai-nilai murni yang terkandung di dalam karya puisi yang agak panjang ini. Mungkin boleh dijadikan panduan buat Dahlia mengharungi kehidupannya di hari muka meskipun tanpa ayah dan ibu yang menjadi pendamping.
Kereta Dahlia  tersengguk. Dia menekan brek, mengejut. Sebuah Proton Saga tua tiba-tiba muncul dari simpang jalan kampong di sebelah kirinya dan terus memintas kereta Dahlia. Dahlia mengurut dadanya. Jika  dia tidak pantas menekan  brek, pasti keretanya merempuh Proton Saga itu.
Dia merungut sendirian, kesal atas apa yang baru berlaku sebentar tadi. Begitulah, sikap kurang sabar dan tidak berhati-hati di jalan raya mampu mengundang padah. Bila dah berlaku kemalangan, siapa yang perlu dipersalahkan? Semuanya masing-masing menunding jari, tak mungkin ada yang akan mengaku salah sendiri. Silap-silap, boleh berlaku pertengkaran dan pergaduhan besar kerana mempertahankan tindakan masing-masing. Sudah-sudahnya, menang jadi arang, kalah jadi abu.
Kereta Dahlia terus bergerak perlahan mengekori buntut Proton Saga di hadapan. Hendak memotong, di depan sana ada dua buah lori balak sedang berderetan bersama muatan saratnya. Dia mengerling meter kelajuan di hadapannya. Alamak! 30 km/j di jalan raya persekutuan. Alahai, pemanduan berhemat amat la pulak. Kalau begini, baik kayuh basikal ajelah pak cik oii… Dahlia hanya bermonolog sendiri. Dia menukar ke gear rendah.
Dua buah lori yang berderetan tadi telah  lama meninggalkannya, tiba di jalan lurus, Dahlia memberi isyarat lampu ke kanan dan cuba memotong namun gagal. Pemandu Proton di hadapan juga melajukan kenderaannya, seolah-olah tidak membenarkan keretanya dipintas Dahlia.
Dahlia terpaksa memperlahan Wiranya. Tiba di jalan raya berselekoh, Proton di hadapan kembali memperlahankan kenderaannya. Tiada peluang untuk Dahlia memotong lagi. Dahlia bersalawat kuat-kuat, cuba menahan amarah yang kian bertandang juga pelik dengan tingkah laku pemandu di hadapan.
Baik. Jalan di hadapan sudah lurus dan lapang. Mungkin ini peluang untuk Dahlia memintas. Dahlia segera menukar ke gear rendah dan kali ini,  Proton di hadapan seakan membenarnya. Tetapi sebaik sahaja kereta Dahlia di sisinya, pemandu Proton itu menghimpitkan kenderaannya ke arah Dahlia.
Dahlia cemas. Dalam kekalutan itu, sempat dia menoleh ke kenderaan di sebelahnya. Bukan ‘pak cik’ seperti yang diduganya  tetapi dua anak muda ranggi dengan wajah bengis menakutkan. Nasib baik Dahlia pantas menekan brek dan kereta itu terdorong ke depan.  Jantung Dahlia bergerak pantas. Dahlia memberhentikan kenderaannya di tepi jalan. Dia juga melihat kereta di hadapan turut berhenti di tepi jalan.
Dahlia makin cemas.
“Ya ALLAH, selamatkanlah hamba Mu ini,” Dahlia berdoa kuat-kuat sambil mengurut dadanya. Kereta di hadapan diundur dengan laju ke arahnya. Dahlia kematian ikhtiar. Apa yang mesti dilakukannya? Apa yang hendak dilakukan oleh dua orang anak muda itu? Pelbagai andaian buruk melintas di kepalanya.
Dahlia memasukkan gear satu. Kali ini dia nekad. Sebaik sahaja kereta di hadapan berada dalam jarak kira-kira tiga meter di hadapannya, Dahlia memusing stereng keretanya ke kanan, bersiap sedia untuk menekan minyak dan seterusnya meluncur laju di atas jalan raya.
Tangannya memegang kejap stereng itu namun kakinya yang menggeletar tidak mampu ditahankan. Dahlia bimbang jika cluthnya terlepas. Dia  segera memasukkan gear  dua dan seterusnya tiga. Apa yang pasti, dia tidak boleh terus berada di atas jalan raya yang sunyi ini.
Dahlia tahu, kira-kira 200 meter di hadapannya ada sebuah masjid tetapi dia tidak boleh berhenti di masjid itu kerana tiada sesiapa di situ sebelum  masuknya waktu solat fardhu. Tetapi Dahlia juga tahu, di belakang masjid itu ialah rumah Haiqal, teman sekelasnya waktu di sekolah menengah dahulu.
Dia pernah beberapa kali ke rumah itu bersama kawan-kawannya yang lain kerana mereka memang berkawan baik.  Dahlia membelokkan keretanya, memasuki lorong masjid menuju ke rumah Haiqal. Ada sebuah kereta di hadapan rumah itu. Mungkin kereta Haiqal.  Harap-haraplah…
Dahlia memberhentikan keretanya, menarik beg sandangnya dan bergegas keluar. Dia berlari ke muka pintu dapur kerana terlihat pintu itu sudah sedia terbuka.
“Assalammualaikum, mak cik, assalammualaikum, assalammualaikum…,”  Dahlia menjerit bertalu-talu sehingga mengejutkan tuan rumah yang sedang enak bersembang anak-beranak di meja makan.
“Kenapa? Kenapa ni?” terkam Mak Cik Piah dengan terkejut dan latahnya.
“Eh, Lia. Masuklah. Kenapa ni?” tersembul pula Haiqal. Kaget melihat wajah pucat Dahlia. Syukurlah.
Dahlia tidak   sempat menunggu  pelawaan kedua. Dia terus menerjah masuk dan menutup pintu dapur. Dan menangis-nangis sambil memeluk Mak Cik Piah. Orang tua yang masih terkejut dan masih dalam latahnya itu terus memeluk Dahlia dan menangis sama.
Setelah suasana agak tenang, barulah Dahlia bercerita tentang kisah yang berlaku ke atasnya. Haiqal menjenguk ke luar jendela, tertinjau-tinjau ke jalan raya.
“Aku rasa diorang tak berani datang cari kau di sini, Lia,” Haiqal bagaikan memberi jaminan.
Ayah Haiqal, Pak Cik Sudin bergegas keluar, memanggil beberapa orang jirannya. Mereka bergerak menuju ke jalan raya untuk memantau kereta Proton Saga dengan nombor plat yang diberikan Dahlia.
“Sempat juga kau catat nombor plat kereta tu, ya?”
“Maunya tak sempat, kereta tu tersengguk-sengguk di hadapan aku dalam empat atau lima kilometer la jugak,”
“Aku rasa diorang memang ada niat tak baik ke atas kau la, Lia,”
“Minum dulu air ni, nak,” sampuk emak Haiqal yang sudah reda dari latahnya. Lucu pula Dahlia melihat orang tua itu. Sekejap-sekejap menggaru-garu kepalanya dan sekejap-sekejap menangis bersama Dahlia sewaktu Dahlia mula sampai tadi.
“Kau ada bermusuh dengan siapa, Lia? Hmmm…mustahil pulak.  Setahu aku, kau tak ada musuh pun…,” Haiqal bertanya dan kemudian menjawabnya sendiri.
Dahlia sudah semakin menenangkan diri sambil menghirup kopi panas yang dihidangkan Mak Cik Piah. Hmm…enaknya, sambil dia menikmati kelazatan aroma kopi itu.
Terdengar riuh-rendah suara orang bercakap di luar rumah. Pak Cik Sudin dan jiran-jirannya, pasti.
“Tak ada dah. Kalau ada pun, tak mungkin  diorang nak tunggu kita datang belasah kot. Dah cabut dah,” kedengaran suara Pak Cik Sudin memberikan penjelasan. Suara riuh rendah itu semakin berkurangan dan tinggal hanya Pak Cik Sudin yang melangkah masuk ke ruang dapur itu.
“Lepas ni, Haiqal temankan Dahlia buat laporan polis,” Pak Cik Sudin memberikan arahan. Dahlia dan Haiqal mengangguk serentak.
“Lepas tu, datang semula ke sini. Kita berkelah sama-sama tengah hari ni,” pelawa pula Mak Cik Piah. Dahlia tiada alasan untuk menolak.
Mereka ke balai polis menaiki kereta Haiqal. Selesai membuat laporan, Dahlia kembali ke rumah Haiqal. Mak Cik Piah sedang menyiapkan hidangan tengah hari.
“Haa…Lia. Naik ke atas dulu, tukar baju. Baju kurung kedah dan kain batik ada mak cik letakkan atas katil tu. Mandi dan berehat dulu. Lia penat tu,”  Dahlia terharu dengan layanan mesra emak Haiqal. Dulupun, sewaktu di zaman persekolahan, mak Haiqal  memang melayannya dengan baik. Bukan dengan dia seorang tetapi dengan kawan-kawannya yang lain juga.
Ada satu perasaan halus menyelinap ke dalam nalurinya. Sifat keibuan Mak Cik Piah membangkitkan rindunya terhadap arwah ibu.
“Haa…apa tercegat lagi? Haiqal, tunjukkan bilik Lia,” Haiqal tidak membantah. Tangga kayu rumah papan itu didakinya. Dahlia menuruti langkah Haiqal.
Selesai menunaikan solat Zohor, mereka menghadap makan tengah hari. Ulam-ulaman kegemaran Dahlia, dicicah dengan air asam bergaul ikan bakar memang membuka selera.
“Hmm..sedaplah mak, air asam ikan bakar ni,”puji  Haiqal.
“Betullah, sedap. Selama ni, tak pernah pun awak buat air asam macam ni,” pintas Pak Cik Sudin.
“Hmmm…bukan saya yang buat, ni Dahlia ni, ha,” terang Mak Cik Piah sambil menunjuk ke arah Dahlia. Dahlia tertunduk, malu.
“Patutlah lain rasanya,” Pak Cik Sudin menambah ikan bakar  ke dalam air asamnya.
“Kalau hari-hari makan macam ni, sedap,kan?” giat pula Haiqal.
“Tak adalah, tak sedap manapun. Lia ikut resepi ibu,” sahut Dahlia.Ya, resepi ibu. Cili padi, belacan, bawang merah, limau kasturi, garam dan tomato dikisar bersama. Hiris tomato, bawang besar, daun kesum dan digaul bersama. Selepas itu, perah sedikit air limau kasturi. Hmm…pasti terangkat.
“Lia, bermalam di sini sajalah, ya,” saran Mak Cik Piah.
“Tak apalah mak cik. Biarlah Lia balik tengok rumah Lia dulu.”
“Mak cik bimbanglah nak lepaskan Lia balik sorang-sorang.”
“Mak cik jangan khuatir. Lia kena hadapi semua ini. Mak cik doakanlah kesejahteraan Lia. Ya, mak cik.”
Mak Cik Piah terdiam. Siapalah dia untuk menyekat pergerakan Dahlia.
“Sampai di rumah nanti, jangan lupa telefon mak cik, ya,” pesan Mak Cik Piah sewaktu Dahlia menyarungkan kasutnya di tepi tangga. Dahlia terharu dengan layanan baik dan keprihatinan Mak Cik Piah sekeluarga.






BAB 21

Cuaca yang kian redup tidak mengganggu perjalanan Dahlia. Udara di dalam keretanya tetap disejukkan oleh pendingin hawa yang telah dipasang seawal dia bergerak tadi. Dia semakin hampir tiba di daerahnya. Pokok-pokok balak di puncak bukit bagaikan menggamit kepulangannya.
Pada awalnya, Alina ingin turut sama pulang ke kampong Dahlia. Kali terakhir dia ke kampong itu ialah sewaktu menziarahi jenazah arwah ibu dan ayah Dahlia. Keinginannya juga meronta-ronta untuk menikmati keindahan kampong halaman teman sekamar dan sekuliahnya ini.
Bagi orang yang tidak menyukaikan suasana kehidupan di kampong, pasti tidak akan temui sebarang ketenangan di sini. Kampong yang jauh daripada hiruk-pikuk suasana bising di kota. Kampong yang mati seawal jam enam petang.
Namun, di sinilah Dahlia temui ketenangan. Senja di daerah  inilah yang dinanti-nantikan. Walaupun mungkin tidak seindah senja di Pulau Tinggi, namun menyaksikan sang mentari tenggelam di balik bukit juga dapat membangkitkan nostalgia.
Saat remang kuning mewarnai suasana petang sehinggalah berlabuhnya sang mentari yang tersipu-sipu malu masuk ke peraduannya, pastikan dikenang hingga ke akhir hayat meski di manapun berada.
Membelok masuk ke lorong menghala ke rumah, mengundang kepiluan di dada Dahlia. Kepulangannya pasti tanpa sambutan ibu dan ayah. Tiada apa lagi untuknya di sini melainkan kenangan yang meruntun di jiwa. Kendatipun tiada apa-apa lagi yang tinggal untuknya, namun Dahlia tetap pulang menjenguk tinggalan ibu dan ayah dan yang penting sekali, menziarahi pusara abadi keduanya.
Dahlia memarkirkan keretanya. Kini, dia lebih berawas. Setelah memastikan tiada yang mengekorinya, dia melangkah keluar, menutup daun pintu depan dan membuka pintu belakang. Beg pakaiannya ditarik keluar. Setelah itu, dia mengunci keretanya. Melangkah ke beranda dengan penuh hati-hati.
Tanah di halaman basah. Mungkin Mak Dah baru selesai menyirami tanaman. Dahlia menjinjit beg pakaiannya, mendaki tangga ke beranda. Pintu utama yang bermangga dibuka. Setelah masuk, Dahlia cepat-cepat menguncinya kembali. Dia tidak ingin rumahnya dicerobohi lagi.
Sejak ibu dan ayah tiada, Dahlia terpaksa menjaga dirinya sendiri. Semua perkara yang selama ini dianggapnya remeh dan hanya dilakukan oleh ayah atau ibu, kini terpaksa diuruskannya sendiri.  Suis dipetik, menyalakan lampu kalimantang di ruang tamu.
Hanya kesepian yang menyambut kepulangan Dahlia. Dia meletakkan begnya di dalam bilik dan mengeluarkan tuala dari almari pakaian. Bergegas ke bilik mandi untuk membersihkan dirinya. Selepas menunaikan solat maghrib, Dahlia berzikir. Hanya zikrullah yang dapat menenangkan jiwanya. Seusai bermunajat, Dahlia mengambil kitab suci al-Quran,dia ingin membacanya sementara menantikan masuk waktu  solat fardhu Isyak.
Tiba-tiba dia terfikir untuk membaca al-Quran yang selalu digunakan ayah. Quran lama yang masih elok terjaga. Dahlia menuju ke bilik ibu dan  ayah. Bagaikan teragak-agak untuk mengetuk  pintu itu dan memberikan salam. Kelazimannya tatkala bertandang ke kamar ibu dan ayah.
Dahlia memulas tombol pintu dan sekali lagi hatinya dipagut rasa sayu. Semerbak haruman yang selalu dirinduinya mengisi ruangan kamar. Dia memetik suis lampu. Cahayanya menerangi segenap kamar. Dahlia membuka almari buku. Di dalamnya terkumpul kitab-kitab lama ayah. Memang di situlah ayah menyimpan kitabnya.
Dahlia pernah bertanya, kenapa ayah tidak letakkannya di dalam almari hias di ruang tamu seperti kebanyakan orang? Kata ayah, buku itu untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan sendiri. Bukan untuk dipamerkan dan ditunjukkan kepada tetamu yang datang. Seeloknya, buku agama diletakkan di dalam bilik khas  agar tidak timbul perasaan riak dan bangga diri.
Dahlia mengangguk tanda faham. Sudahnya, almari hias di depan hanya diisi dengan novel-novel dan majalah kegemaran Dahlia. Dahlia menarik al-Quran di rak yang paling atas. Itu juga pesanan daripada ayah. Al-Quran kitab suci agama Islam. Jangan diletakkan di bawah bahan bacaan atau ditindih benda lain. Pastikan al-Quran sentiasa  berada di  atas.
Sewaktu Dahlia menarik keluar al-Quran itu, turut keluar bersamanya sebuah kitab lama dan jatuh di atas permaidani. Dahlia menunduk untuk mencapainya. Sebuah buku catatan ibu dan kitab lama yang ingin dicarinya iaitu naskah yang mengandungi puisi-puisi gurindam 12 milik ayah. Buku catatan ibu disimpan kembali di atas raknya. Itu hak peribadi ibu. Ibu selalu berpesan agar tidak menceroboh hak peribadi orang lain tanpa izin tuannya.
Tidak terlintas di minda Dahlia untuk membacanya. Dia meletakkan kembali buku catatan ibunya di atas rak. Walaupun ibu telah tiada, namun Dahlia merasakan bahawa dia tidak punya apa-apa keperluan untuk membaca buku catatan ibu. Dia mengambil buku gurindam ayah dan membelek-beleknya.
Gurindam III
Ini gurindam pasal yang ketiga:
Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
niscaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan
tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.


Dahlia terleka dalam bacaannya.





BAB 22
Petang kian meredup. Dahlia berayun di buaian besi yang terletak di halaman rumah. Dia ingin menghabiskan bacaannya.

Gurindam IV
Ini gurindam pasal yang keempat:
Hal kerajaan di dalam tubuh,
jikalau lalai segala anggotapun roboh.
Apabila dengki sudah bertanah,
datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,
boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.

Tanda orang yang amat celaka,aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,
itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,
janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketur2.
Di mana tahu salah diri,
jika tidak orang lain yang berperi.

Dahlia nampak bebayang kereta menuju ke rumahnya. Dia menegakkan kepala. Kereta Haiqal bergerak perlahan-lahan masuk ke halamannya. Dahlia tersenyum lalu bangun menyambut ketibaannya.

Haiqal menapak keluar diikuti adik perempuannya  yang keluar dari pintu depan sebelah kiri pemandu. Dahlia bersalaman dengan Safiyyah, adik Haiqal.

“Kenalkan, Lia. Ini adik Haiqal, Safiyyah. Dia baru balik dari asrama pagi tadi.” Haiqal memperkenalkan  adiknya.

“Apa khabar, kak?” Sapa Safiyyah.

“Alhamdulillah, akak sihat,”

“Mak kirim salam,” sahut pula Haiqal sambil menguntum senyum.

“Ini buah tangan kiriman mak,”celah Safiyyah menghulurkan bungkusan plastik berisi penganan.  Dahlia menerimanya dengan ucapan terima kasih. Dia membuka tutup bungkusan itu. Hmm…pengat pisang. Penganan kegemarannya.

“Marilah masuk dulu,” pelawa Dahlia.

“Tak apalah, kami pun nak cepat ni. Kami nak ke pekan Lenggong sekejap, nak beli barang sekolah Safiyyah,” jelas Haiqal. Safiyyah hanya tersipu-sipu malu di sebelahnya.

“Mak yang pesan. Suruh singgah tengok-tengokkan akak,” sahut Safiyyah, jujur.

Dahlia mengucapkan terima kasih atas keprihatinan mereka sekeluarga. Ada hikmah rupanya kejadian tempoh hari. Dia bagaikan mendapat sebuah keluarga yang baru.

“Kot iya pun, duduklah dulu,” pelawa Dahlia.

“Hmmm…tak payah masuk ke rumahlah. Kita berbual di halaman ni saja,” cadang Haiqal. Dahlia tidak membantah. Dia  bergerak menuju ke buaian besinya. Penganan pemberian ibu Haiqal diletakkan di atas meja batu di sisi buaian. Haiqal dan Safiyyah mengekorinya. Mereka duduk di bangku mengelilingi meja batu itu.

“Duduklah dulu, ya. Lia ambilkan gelas. Lagipun air dah ada ni,” Dahlia berlalu ke dalam. Sebentar kemudian, dia keluar bersama dua biji gelas kosong, piring dan sudu. Sebenarnya, sebelum keluar rumah tadi, dia telah membancuh satu jug air oren dan menggoreng sepiring cucur udang. Kebetulan, datang pula dua beradik ini, dapatlah mereka makan bersama-sama.

“Mana Safiyyah?” tanya Dahlia sewaktu dilihat tiada Safiyyah bersama-sama Haiqal.

“Apa lagi. Hantu bunga tu. Nampak je banyak bunga, terus diterkamnya,” sahut Haiqal sambil mulutnya menjuih ke arah Safiyyah yang sedang membelek-belek sekuntum bunga mawar merah yang mekar di hujung ranting.

Dahlia duduk. Menuang air minuman dan mempelawa Haiqal makan. Safiyyah dibiarkan melayani  bunga-bungaan di taman kecil itu.

“Lia tak ada, siapa yang menjaga tanaman ni?” tanya Haiqal seakan hairan melihat taman yang terjaga rapi itu.

“Mak Dah yang jagakan,” sahut Dahlia sambil menghirup pengat pisang kiriman ibu Haiqal.

“Oooo…kalau tak silap, Mak Dah tu ada anak lelaki yang namanya abang Bidin,”

“Ya, betullah tu. Mesti awak kenal,kan,”

“Hmmm…kenal sangat. Minggu lepas,kan  dia kena tangkap. Mungkin dah bebas kot sekarang,”

Dahlia terkedu.

“Kenapa?”

“Eh, Lia tak tahu ke? Dia cuba mencabul kehormatan anak Pak Hasan tepi sungai tu,” jelas Haiqal satu-persatu.

“Hmm…Lia tak tahu. Apa yang berlaku?”

“Nasib baiklah belum diapa-apakan budak tu. Orang kampong sempat datang,” Dahlia semakin terkedu.

“Dia tu kan tak berapa betul sikit.”

“Ya. Lia pernah dengar orang cakap, dia jadi  begitu selepas berpisah dengan isterinya,” Haiqal tersenyum mendengar keterangan Dahlia.

“Tapi versi yang saya dengar lain pula,” sahut Haiqal.

Dahlia menahan sabar untuk mendengar cerita selanjutnya. Haiqal membetulkan duduknya sebelum memulakan cerita.

“Kau tahu Lia. Kampong kita ni agak tersorok dari bandar. Masa tu elektrik pun belum ada lagi. Semua orang kampong begitu teruja kalau ada persembahan wayang pacak yang didatangkan dari bandar.”

Ya, Dahlia tahu itu. Ibu dan ayah pernah bercerita mengenainya. Jika ada Jabatan Penerangan datang menayangkan cerita-cerita wayang, orang-orang kampong tidak akan melepaskan peluang itu. Selepas solat Maghrib, berduyun-duyunlah mereka datang ke padang sekolah untuk menyaksikannya. Membawa anak-pinak dan tikar bantal.

Waktu Dahlia dan Haiqal dilahirkan, wayang pacak sudah tidak beroperasi lagi kerana kebanyakan rumah di kampong itu telah memiliki peti televisyen mereka sendiri. Mungkin Haiqal mendapat maklumat ini daripada orang-orang tua atau ibu bapanya.

“Sekali tu, dekat nak pilihan raya,datanglah Jabatan Penerangan membawa filem baru di pawagam untuk ditayangkan. Kalau tak silap, kata mak cerita Hindustan…Bobby kot,”
Hmm…betullah. Maklumat   itu diperoleh Haiqal daripada ibunya.

“Nak dijadikan cerita, pita filem yang dibawa itu rosak agaknya. Asyik tersangkut-sangkut dan terputus-putus. Pembesar  suara pun macam tu. Walau pun begitu, orang kampong tidak berganjak. Tetap setia menunggu di situ meskipun hari telah larut malam. Hendak dijadikan cerita, entah macam mana, abang Bidin yang turut berada di situ, terpegang wayar generator yang membekalkan kuasa elektrik,” Haiqal meneguk air oren buatan Dahlia.

“Tiba-tiba saja siaran jadi ok. Tak terputus-putus lagi. bila abang Bidin lepaskan, siaran tu rosak semula. Atas permintaan orang ramai, berdirilah abang Bidin di situ sambil memegang wayar generator tu sampailah filem tu tamat. Balik dari situlah, abang Bidin jadi tak betul. Rupa-rupanya arus eletrik itu mengalir melalui badan abang Bidin untuk sampai ke bumi,”

Hampir tersembur pengat pisang di dalam mulut Dahlia. Cepat-cepat dia memekup mulutnya. Haiqal menghulurkan air minuman. Selepas itu, Dahlia tertawa sungguh-sungguh sampai air matanya mengalir. Safiyyah yang berada agak jauh dari mereka, turut tertoleh.

“Betul ke cerita ni, Haiqal?” Soal Dahlia setelah tawanya mereda.

“Entahlah.  Saya pun dengar cerita orang je. Tapi ada satu versi lagi yang saya dengar kenapa abang Bidin jadi begitu,”Kali ini Haiqal tampak lebih serius.

“Menurut cerita orang, abang Bidin jadi begitu kerana terkena sumpahan. Dulu dia pernah merogol anak gadis orang sehingga mengandung. Bapa budak perempuan itu tak tahu siapa yang punya angkara lalu membawa anaknya ke Mekah. Di hadapan kaabah, mereka berdoa agar orang yang membuat angkara itu diberikan balasan yang setimpalnya,”

Terdengar dehem di hujung laman. Mak Dah. Mungkin Mak Dah datang untuk menyiram pokok bunga. Muka Haiqal dan Dahlia pucat, ditoreh tak berdarah. Mereka saling berpandangan. Harap-harap Mak Dah tidak mendengar apa yang diperbualkan mereka sebentar tadi.

“Bila Lia sampai?” tegur Mak Dah ramah. Lega hati Dahlia. Dia menyalami Mak Dah.

“Petang semalam  Mak Dah tapi Lia belum sempat beritahu Mak Dah. Lia ingat nak ke rumah Mak Dah petang ni,”

“Hmmm….Mak Dah pun tak perasan Lia balik semalam. Mungkin selepas Mak Dah menyiram bunga agaknya.  Haiqal pula dah lama sampai?” tegur Mak Dah.

“Baru aje, Mak Dah.”

sorang?”

“Tak. Dengan Safiyyah. Tu…,” jawab Haiqal sambil menunding ke arah Safiyyah yang masih leka membelek-belek bunga di taman.

“Lia datang makan malam kat rumah Mak Dah la nanti,” pelawa Mak Dah sambil tangannya lincah memasang paip untuk menyiram bunga.

“Lia, Mak Dah dah pangkas pokok  rosel di belakang rumah tu. Dah merimbun sangat. Kalau tak dipangkas, nanti mati begitu sahaja. Buahnya pun banyak. Mak Dah dah ambil buahnya. Nanti bolehlah Mak Dah  buatkan jus rosel,” terang Mak Dah. Dahlia belum sempat ke belakang. Jadi, dia tidak perasan tentang keadaan pokok rosel ibu kalau tidak diberitahu Mak Dah. Rosel memang banyak khasiatnya, terutamanya di bahagian kelopak buahnya atau dipanggil kaliks. Ianya dapat mengurangkan tekanan darah tinggi dan yang paling utama ialah dapat memberikan kesan awet muda.

“Wah, Lia. Bagus betul. Banyak pokok herba di rumah Lia ni. Nanti bolehlah jadi usahawan herba pula, ya,” usik Haiqal.

“Hmm…molek juga tu. Nanti Lia jualkan kat Haiqal saja. Lagipun, Lia tak pandai nak cara pelanggan. Haiqal nak pokok apa? Kunyit? Cekur? Pegaga? Misai kucing? Limau purut? Sebut saja, nanti Lia hantarkan,” Haiqal tertawa mendengar gurauan Dahlia.

“Boleh tahan juga ya, Lia ni kalau bergurau,” komennya, perlahan.

“Apa pula berguraunya, Lia serius ni,” pintas pula Dahlia.

“Ya lah. Serius. Tapi rasanya, Lia cuma perlu jual daun-daunnya sahaja bukan pokoknya. Kalau jual pokok, nampaknya kena buka nursery la pulak,”

“Alahai, makin berkembanglah nampaknya bisness Lia nanti,” mereka berdua tertawa memanjang dengan kenyataan itu.

Haiqal terpaksa berpamitan selepas itu kerana dia dan adiknya perlu ke bandar untuk membeli peralatan sekolah Safiyyah. Mak Dah pun kembali ke rumahnya saat selesai rutinnya di halaman Dahlia.

Dua versi cerita tentang Alang Bidin berlegar-legar di dalam kepala Dahlia saat dia ditinggalkan sendirian setelah Haiqal dan Safiyyah berlalu pergi. Dia bersiap-siap pula untuk ke rumah Mak Dah.











BAB 23

Tahun terakhir Dahlia di universiti. Banyak projek yang hendak disiapkan. Banyak kajian yang hendak dilaksanakan.  Juga menjalani latihan praktikal di sekolah. Jadual hidupnya semakin padat. Dahlia sudah terbiasa  dengan semua itu. Terkejar-kejar sana-sini mencari maklumat dan bahan untuk menyiapkan tugasan. Bertemu pensyarah dan mengadakan  perbincangan dengan rakan-rakan sepengajian.

            Dia perlu bijak menguruskan masanya. Menyelesaikan tugas-tugas penting terlebih dahulu sebelum beralih kepada tugas-tugas sampingan dan seterusnya melakukan tugas-tugas lain yang agak remeh. Jadual hariannya memang padat. Bukan dia sahaja malahan teman-teman yang lain juga begitu. Mereka perlu mempersiapkan diri  untuk menempuhi peperiksaan akhir semester.

Kesibukannya melekakan sebentar perihal perkasihannya dengan Zamani. Mereka banyak menghabiskan masa bersama untuk menyiapkan tugasan. Dahlia lebih senang begitu. Senang tanpa adanya celahan kasih yang merosakkan jiwanya. Zamani pula biasa-biasa saja. Tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Sehinggalah pada suatu petang, Dahlia didatangi Hanafi, juga teman sekuliahnya yang sering dicemburui Zamani.

“Lia, kau masih dengan Zamani ke?” Dahlia faham maksud pertanyaan Hanafi.

“Ya. Masih. Kenapa?”

“Kau jangan nak bohong akulah, Lia,”

“Apa yang kau tahu?”

“Kenapa engkau susah sangat nak terima kenyataan? Aku kan ada. Aku Farid Kamil yang boleh gantikan tempat  Jericho Rosales kau tu,”

Dahlia terbahak ketawa. Tahu rupanya Hanafi dengan nama jolokan yang diberikan teman-teman kepada mereka.

“Habis tu. Kalau engkau dah Farid Kamil, pergilah cari Lisa Surihani kau, hahaha…”

“Aku Farid Kamil yang nak cari Dahlia.  Lisa Surihani dah ada kekasih lain,”

“Maafkan aku, Han. Walaupun ditakdirkan aku putus dengan Zamani, aku tak mungkin akan terima kau,”

“Kenapa? Hina sangat ke aku ni, Lia?”

“Aku tak menghina kau, Han. Tapi itu prinsip aku. Mustahil aku dapat terima kau sedangkan kau tahu kisah aku dengan Zamani. Nonsense. Kalaupun aku nak cari pengganti, aku akan cari orang lain. Bukan teman-teman di kalangan kita.”

“Sungguh? Wah, pertama kali aku dengar prinsip yang sebegini,”

“Kau jangan hina prinsip aku,Han,”

“Aku tak hina, Lia. Aku kagum.”

“Ya. Kagum sangatlah tu.”

“Betul.”

“Betul? Tapi dari pandangan mata kau, aku dapat lihat, kau mencemikku, pandanganmu sinis.”

“Sungguh. Mukaku memang begini. Aku tak menghina kau.”

“Tapi, berat hati aku menyatakan, kau menyindir aku.”

“Okay. Aku kalah. Firasat kau memang tajam.”

Mereka sama-sama tertawa.

“Tapi, Han….,” tutur Dahlia setelah tawa mereka agak mereda.

“Ya?”

“Aku telah dimadukan sebelum berkahwin dengan Zamani.”

“Kau tahu kisah Zamani?”

“Ya. Zamani dengan Liyana.”

“Wah, satu lagi surprise. Aku tak tahu yang kau tahu tentang cerita ni. Aku baru bercadang nak menabur fitnah dan buat gosip. Hahaha….”

“Aik. Lelaki pun pandai nak bergosip?”

“Lelaki pun manusia biasa juga, Lia,”

“Hmmm, ya. Manusia biasa….”

“Peliklah engkau ni, Lia.”

“Apa yang pelik?”

“Kau dah tahu orang tu curang tapi kau masih juga menaruh harapan.”

“Aku bukan menaruh harapan. Aku perlu bersabar.”

“Bersabar? Bersabar sampai bila?”

“Sekurang-kurangnya aku perlu bersyukur kerana aku tahu kecurangan ni sebelum aku jadi isterinya.  Tuhan masih sayangkan aku.”

“Selepas bersabar, bersyukur pula. Memang engkau ni perempuan pelik, Lia. Payah nak jumpa ni. Lepas ni boleh awet letak kat muzium.”

“Kau permainkan aku, Han?”

“Tak. Aku tak permainkan kau tapi aku geram. Aku geram dengan kenyataan kau yang tak munasabah tu. Apa gunanya kau nak bersabar sedangkan kau tahu kecurangan dia?”

“Aku kena bersabar sekurang-kurangnya setahun ini. Selepas tamat  pengajian ini, kami akan bawa haluan masing-masing.”

“Kau sudah buat perjanjian itu dengan Zamani?”

“Tidak. Itu perjanjian antara aku dengan diriku. Aku tak boleh tinggalkan Zamani sekarang. Aku takut ianya memberi impak kepada pengajiannya. Tunggulah selepas kita berjaya mengakhiri pengajian kita di sini.”

“Baik. Aku tunggu dan aku juga ada nak buat satu perjanjian. Selepas kita menggenggam segulung ijazah dan seandainya waktu itu aku dan kau masih solo, aku akan melamar kau. Waktu tu kau tak kan ada alasan lagi untuk menolakku.”

“Hmmm…itu perjanjian kau, ya….bukan perjanjian aku.”

 Dan di saat ini, Dahlia masih terkenangkan perbualannya dengan Hanafi. Semuanya gara-gara pertanyaan Alina petang tadi.

“Lia, kau masih dengan Zamani?” Pertanyaan yang  sama seperti Hanafi,  juga jawapan yang sama seperti yang diberikannya kepada pemuda itu.

“Kau ni peliklah, Lia. Kau nak biarkan dia buat sesuka hatinya sahaja tanpa menghiraukan hati kau sendiri?” Alina juga menyatakannya pelik. Kenapa? Pelik sangatkah dia?Pelik kerana mempertahankan cintanya yang dipermainkan?

“Kau jangan risaulah Lina. Aku sedar aku hidup di alam nyata. Bukan cerita dalam novel atau filem. Setiap kisah cinta pasti berakhir dengan kegembiraan…happy ending. Tidak Lina, tidak. Kalau dalam cerita bolehlah dipertahankan cinta itu sehingga hujung nyawa kerana kesudahannya, pasti hero kawin dengan heroin,kan?”

“Woi, kalau penyudahnya sad ending, siapa nak layan filem tu? Rugilah penerbit…tapi, kau tak nak ke kahwin dengan hero kau tu?”

“Siapa cakap tak nak? Tapi  kalau dia sungguh-sungguh nakkan aku, dia akan datang melamarku betul-betul. Bukan cakap-cakap kosong penyedap cerita sahaja. Dia perlu buktikan. Kalau tidak, good bye sajalah,”

“Alahai, senangnya engkau buat keputusan, Lia. Kalau aku, Ikram tinggalkan aku, pasti aku meraung guling-guling sampai bengkak-bengkak mata. Engkau ni, aku tengok rileks je. Tak nak ke pertahankan cinta kau ni?”

“Hmm….aku sorang saja ke yang nak pertahankan? Dia pula macam mana? Lagipun….aku tak boleh pertahankan cinta aku sekarang sebab kami belum saling memiliki secara sah. Kalau dia memang sudah sah jadi suami aku, Insya Allah akan aku pertahankan hingga hujung nyawa. ”

“Wau, hebat betul falsafah kau, Lia. Mak cik suko, mak cik suko,” pekik Alina sambil berlari mengelak kotak tisu yang dibaling Dahlia.

Sebenarnya, Dahlia ada alasannya yang tersendiri. Dia punya sifat keegoan yang tinggi. Walau pun menyedari hakikat bahawa cintanya telah terputus di tengah jalan tetapi dia masih belum memaktubkannya lagi.

Dia tetap melayani Zamani seperti biasa sehinggakan pemuda itu turut menyangka bahawa Dahlia telah memaafkan dan boleh menerimanya semula. Tidak. Dahlia tak mungkin dapat menerima Zamani tetapi biarlah masa terus berlalu. Dia tidak mahu putus di saat ini kerana tidak mahu diketahui teman-temannya.

Dia perlu menjaga maruah dirinya. Kalau dia putus sekarang, maruahnya bakal tercalar. Bercinta, putus, bercinta, putus….senang sangat, seperti menyalin pakaian di badan. Bercinta bagai nak rak, tiba-tiba terputus begitu saja. Dia tidak mahu dikatakan perempuan murahan yang mudah bertukar ganti pasangan.

Biarlah di universiti ini, dia hanya punya seorang kekasih iaitu Zamani  bukan dua atau tiga seperti kebanyakkan teman-temannya yang kerap putus cinta. Bercinta dengan Zamani dulu pun bukan atas kehendak hatinya. Segalanya berlaku tanpa dirancang. Perasaan itu datang sendiri. Datang tanpa diduga dan datang tanpa paksaan.

Perasaan kasih sayang dan rasa dihargai. Walau apa pun yang berlaku, dia tidak akan menyalahkan Zamani seratus peratus. Mungkin kehendak mereka berbeza.  Mula-mula dulu, segalanya indah belaka. Namun, setelah lama bersama, barulah terserlah kekurangannya.

Bagi Dahlia, dia tidak terlalu memilih. Dia cintakan Zamani. Dan setelah diluahkan rasa cinta itu, bermakna dia telah terima Zamani sepenuhnya, segala kebaikan dan keburukannya. Zamani merokok tetapi Dahlia tidak pernah menghalangnya kerana dia tidak mahu Zamani berpura-pura di hadapannya.

Sekurang-kurangnya, dia masih memberi kebebasan kepada Zamani untuk melakukan kesukaannya. Kecualilah kalau Zamani sendiri yang ingin berubah, berubah kerana keinsafan yang datang dari lubuk hati yang luhur dan ikhlas. Bukan perubahan yang diada-adakan sekadar untuk memenangi hatinya.

Dahlia sendiri sebenarnya masih mengharapkan kasih Zamani. Bukan menolaknya terus tetapi dalam diam-diam, dia ada sasaran tempoh masanya yang ditetapkan seperti yang dinyatakannya kepada Hanafi dan Alina. Sekiranya Zamani bersungguh, datanglah melamarnya. Dia masih punya Mama Mira atau sekurang-kurangnya, Pak Akob dan Mak Dah.

Seandainya sehingga ke akhir pengajian, masih tiada ikatan  antara mereka (sekurang-kurangnya ikatan pertunangan) , Dahlia akan membawa haluannya sendiri.

Sabar sahajalah melayan karenah Zamani. Hanya setahun sahaja lagi. bukannya lama pun. Kalau selama ini dia boleh bersabar selama tiga empat tahun, kenapa pula  dia tidak boleh bersabar di saat-saat terakhir ini? Selepas ini, mereka akan kembali ke daerah masing-masing. Mereka akan bebas membuat pilihan sendiri.

Dan pilihan Dahlia pula ialah…. Bersendirian…..hingga takdir dan masa yang menentukan. Ya ALLAH, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jauhkan kami dari seksa api neraka.








BAB 24

*“Zikir lidah tanpa hati hanya sebagai suatu usaha untuk tidak memberi ruang kepada lidah berkata-kata dengan sesuatu yang tak berfaedah sedangkan dari sudut keberkesanan terhadap peribadi tidaklah boleh diberi apa-apa jaminan.”

Dahlia menumpukan sepenuh perhatian terhadap ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Uthman El-Muhammady.

“Adapun zikir hati tanpa lidah pula ada jaminan keberkesanannya terhadap peribadi, namun lidah yang tak punya tugas hanya tinggal sebagai anggota zahir dipersiakan peranannya. Kecuali hal ini menjadi terlebih baik ketika lidah dan anggota-anggota zahir yang lain sedang sibuk menguruskan hajat-hajat keduniaan yang tidak bertentangan dengan syarak dalam keadaan memasang niat melaksanakan amal soleh kerana Allah, kerana hal ini juga termasuk dalam pengertian zikir.”

Dewan Konvesyen Pusat Islam Negeri Johor sunyi-sepi. Seluruh audiens memberikan tumpuan kepada ceramah agama yang disampaikan.

“Hal yang sama jika lidah dihentikan berzikir semata-mata untuk mengelak dari diserang penyakit riya’.”

Dahlia mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda dapat memahami penerangan yang diberikan dengan lebih jelas. Telah dua bulan dia menghadiri ceramah agama yang disampaikan di dewan ini. Perihal Zikir Ma’thurat ini begitu menarik perhatiannya.

Sejak berkereta sendiri, Dahlia lebih banyak mengisi malam-malamnya dengan menghadiri kuliah agama bersama Ustazah   Rahmah, pensyarah kanan di Fakulti Agama dan Hal Ehwal Islam universitinya. Hubungannya dengan Ustazah Rahmah yang lebih selesa dipanggil Ummi Rahmah juga tambah akrab.

Tiba di satu ketika, sampai juga ke pengetahuan Zamani perihal aktivitinya yang terkini. Itu pun terbongkar saat Zamani mengajaknya menyaksikan pertunjukan Tarian Kuda Kepang di Dewan Mawar, Johor  Bahru. Memang Dahlia pernah menyuarakan keinginannya untuk menyaksikan  pertunjukan itu andai punya kesempatan. Bukan tiada aktiviti gamelan dan kuda kepang di universitinya tetapi dia  ingin menyaksikannya daripada para penggiat seni sebenar yang memang berbakat besar.

Dia ingin melihat sendiri persembahan seni yang dikatakan menggabungkan pengaruh Jawa dan Islam itu. Pengaruh Jawanya terlihat pada pakaian yang dipakai oleh para penarinya manakala pengaruh Islam pula dikatakan berkaitan dengan cerita yang disampaikan di dalam tarian tersebut.

 Tarian ini mengisahkan tentang peristiwa peperangan di zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya lalu kuda kepang dicetuskan sempena sembilan orang wali Jawa (Wali Songo) yang menyebarkan agama Islam dengan penuh bersemangat dan gagah berani.

Zamani tidak memberikan sebarang respon negatif tatkala Dahlia menolak pelawaannya. Cuma katanya, “Patutlah Lia selalu tolak pelawaan abang untuk keluar pada waktu malam. Kenapa rahsiakannya?”

“Lia tak pernah rahsiakan. Lagi pun, abang  tak pernah bertanya. Seganlah Lia nak bagitahu.”

“Benda yang baik kenapa perlu disembunyikan? Abang ingatkan Lia dah tak sudikan abang.”

“Tak sudikan abang? Apa maksudnya tu?” Dahlia tertanya-tanya.

 Zamani tidak menyahut. Sebagai balasannya, dia merenung mata Dahlia dalam-dalam.

“Kenapa pandang Lia macam ni?” tanya Dahlia kehairanan.

“Maafkan abang, Lia. Abang pun tak faham kenapa hubungan kita jadi begini?”

“Apa maksud abang?”

Zamani menarik nafas panjang. Menyedutnya dalam-dalam dan melepaskannya dengan berat sekali.

“Maafkan abang, Lia. Abang berdosa kerana menyangkakan yang bukan-bukan.”

“Apa yang abang sangkakan?”

“Abang ingat apabila Lia sudah tidak sudi untuk keluar bersama abang, bermakna Lia juga tidak sudi lagi untuk bercinta dengan abang. Abang ingatkan Lia sudah lupakan abang, sudah buang jauh diri abang dari dalam hidup Lia.”

Dahlia berdebar-debar. Bagaikan tersembunyi suatu rahsia besar yang bakal diluahkan Zamani. Dia menghela nafas panjang. Ya, Allah. Tabahkanlah hati hambaMu ini. Tenangkanlah jiwaku dalam menerima segala ketetapan ini. Mungkinkah ungkapan yang bakal diluahkan Zamani adalah penamat kisah cinta mereka berdua?

“Lia, secara jujur, abang nak tanya Lia. Sudikah Lia menjadi suri hidup abang?”

Dahlia terharu.

“Abang, setelah Lia luahkan kata cinta dan sayang  terhadap abang, bermakna hanya abang sahaja yang bertakhta di hati Lia.”

“Lia masih menyintai abang?”

“Selamanya, bang. Lia akan menyintai, mengasihi dan menyayangi abang sepenuhnya. Selagi hayat dikandung badan. Selagi ada bulan dan matahari. Selama mana yang diizinkan ALLAH.” Luah Dahlia tanpa berselindung.

“Kenapa sekarang? Kenapa tidak dari dulu Lia luahkan kata cinta ini?”

“Kenapa bang? Kenapa ini yang menjadi persoalan abang? Sudah lama kita bercinta. Apakah segala perhatian dan kasih sayang Lia selama ini tidak cukup untuk membuktikan cinta Lia terhadap abang?”

Zamani meraup mukanya. Bagaikan ada suatu rahsia yang masih belum terungkap.

“Lia bahagia bersama abang?”

“Hmmm….” Dahlia mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Lia….”

“Hmmm…”

“Abang sayang Lia.”

“Lia juga sayang abang.”

“Abang tahu…”

“Abang jangan tinggalkan Lia, ya.”

“Tidak, sayang…”

“Abang…”

“Hmm….”

“Abang jangan mempersia-siakan hidup Lia, ya.”

“Ya, Sayang. Abang berjanji. Abang tidak akan mempersia-siakan hidup Lia. Cuma, abang takut. Abang takut Lia yang akan tinggalkan abang.” Ada getar di hujung suaranya.

“Abang…”

“Ya….”

“Jangan cakap begitu.”

“Kenapa?”

“Lia takut untuk mendengarnya.”

“Lia, berdoalah agar kita dapat disatukan. Abang juga menyayangi Lia. Cuma, kita hanya dapat merancang, Tuhanlah yang bakal menentukan segala-galanya.”

“Lia sentiasa berdoa, bang. Semoga ALLAH mendengar doa Lia.”

“Lia tak menyesal bercinta dengan abang?”

“Apa pula yang Lia nak kesalkan?”

“Manalah abang tahu…”

Angin laut Selat Tebrau bertiup tenang di petang yang permai itu.

“Lia…”

“Hmmm…”

“Kalaulah ditakdirkan suatu masa nanti kita terpaksa berpisah, apakah Lia akan membenci abang?”

“Apa yang Lia boleh buat kalau sememangnya jodoh  tidak menyebelahi kita. Tak kanlah Lia nak marahkan abang pula. Kenapa abang timbulkan persoalan ini?”

“Abang cuma takut kalau-kalau…”

“Ah, bang. Kalau ditakdirkan suatu masa nanti kita terpaksa berpisah, Lia tetap ingin berbaik-baik dengan abang. Walaupun tidak sebagai kekasih, sebagai sahabat pun tidak mengapa.”

“Betul apa yang Lia katakan ini?”

“Betul…apa, abang tidak percaya?”

“Lia sanggup hidup menderita bersama-sama abang?”

“Susah senang, suka derita bukan kita yang  tentukan, bang. Jika itu yang telah tersurat dan terpaksa Lia tempuhi, Lia akan mendepaninya jua asalkan Lia dapat terus bersama-sama abang.”

“Sanggup Lia maafkan segala kesilapan abang yang lalu? Sanggup Lia terima segala keburukan abang?”

 “Abang, apabila Lia mencintai abang, bermakna Lia juga telah bersedia untuk menerima segala keburukan dan kebaikan  abang.”

“Entahlah, Lia. Abang jadi semakin takut dengan ketulusan cinta Lia itu. Mampukah abang membalasnya?”

“Abang, kenapa baru sekarang abang timbulkan rasa takut itu? Bukankah abang yang inginkan Lia mengasihi abang dengan setulus hati Lia? Nah, sekarang abang telahpun memilikinya.

“Lia, mendengar bicaramu serasakan terlalu rendah diri abang di sisi Lia. Mampukah abang jadi kekasih yang setia? Mampukah abang memiliki rasa kasih seagung kasih Lia terhadap abang?”

Petang kembali suram dan menyepi. Hanya kedengaran suara ombak yang sesekali menghempas ke pantai.

“Semuanya sudah terlambat, Lia. Abang ingatkan selama Lia menyepi ini, Lia dah buang abang. Buang jauh dari hidup Lia. Abang bukan abang yang dulu lagi Lia.”

Dahlia tersentak.

“Kenapa, bang? Apa yang telah berlaku pada abang? Bagitau Lia kalau boleh Lia bantu.”

Suasana hening seketika.

“Lia. Abang tahu. Lia akan membenci abang kalau Lia tahu semua ini.”

“Abang kenapa? Bagitahu dulu, baru Lia boleh tetapkan keputusannya. Benci atau tidak.”

“Entahlah Lia. Sukar untuk abang perkatakan. Lia tak mungkin memahaminya.”

“Katakanlah, bang. Lia ingin mendengarnya.”

Zamani menyoroti wajah Dahlia. Mencari ketulusan di sebalik wajah polo situ. Dahlia ternantikan ungkapan seterusnya dari bibir Zamani.

“Lia, terus-terang abang katakan, abang bahagia selama beriringan dengan Lia. Meskipun sebelum ini abang pernah kecewa dalam mencari cinta sejati tetapi abang  bersyukur kerana dipertemukan pula dengan seorang gadis sebaik Lia.”

Zamani berjeda.

“Lia, belum pernah abang nikmati cinta yang semurni cinta Lia. Secara jujur ingin abang katakan, abang berterima kasih kepada Lia yang terlalu banyak membantu abang mencari tapak hidup baru setelah beberapa kali gagal meraih kebahagiaan.” Nada suara Zamani kedengaran mendatar tetapi penuh emosi. Dahlia masih memakukan diri.

“Lia…”

“Hemmm…”

“Cinta yang suci memerlukan pengorbanan yang hakiki.”

“Ya.”

“Lia, andainya sesuatu terjadi antara kita, sanggupkah Lia berkorban?”

“Lia sanggup lakukan apa sahaja demi kebahagiaan kita.”

“Lia, andai ditakdirkan abang terpaksa mengahwini gadis lain dan sesudah itu barulah abang mengahwini Lia, sanggupkah Lia menerimanya?”

Dahlia tersentak sekali lagi.

“Kenapa abang cakap macam tu?” mata Dahlia merenung ke wajah Zamani.

“Kalau abang sudah mengahwini gadis lain, kenapa pula abang mesti mengahwini Lia? Lia tidak mahu dituduh merampas kasih orang.” Masih ada tanda tanya  di wajah itu. Zamani terus menyepi.

“Kenapa abang mesti mengahwini gadis lain? Kenapa tidak dengan Lia sahaja?” Kedengaran sayu dan mendalam suara Dahlia. Tersentuh hati Zamani mendengar suara keluhan Dahlia.

“Maafkan abang, Lia. Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak perbuatan, beginilah akibatnya.” Mata Zamani merah menahan tangis.

“Lia tak pernah minta apa-apa daripada abang. Lia hanya ingin bersama abang. Beriringan menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini dan menumpukan seluruh perhatian, kasih sayang dan kesetiaan Lia sebagai isteri abang yang sah.” Tangisan Dahlia mulai memecah suasana.

“Jangan menangis lagi, Sayang. Tolonglah. Pandanglah wajah abang. Abang pohon keampunan Lia. Ampunilah abang di atas segala perbuatan abang selama ini.” Dahlia menyeka air mata yang mengalir di pipinya.

“Abang, berilah Lia peluang untuk bersama-sama abang.”

“Jangan begini, Lia. Bangunlah daripada mimpi ini. Maafkan abang, Lia. Abang tidak dapat menjanjikan bahagia buat Lia. Tabahkanlah hati Lia, terimalah kenyataan ini.”

“Abang tak sayang Lia lagi?”

“Lia, abang terlalu menyayangimu dan kerana kasih sayang inilah abang tidak mahu mengecewakan Lia. Abang ingin melihat kebahagiaan Lia tetapi bukan dengan abang. Lia, terimalah hakikat ini. Abang tidak dapat bersama Lia. Lia terlalu baik sedangkan abang…..abang orang berdosa, Lia. Abang tidak kuat, Lia. Abang telah tertewas. Maafkan abang, Lia.”

Zamani berjeda seolah-olah kehilangan kata-kata. Lama dia membisu seakan telah kelu lidahnya untuk menuturkan ungkapan yang seterusnya.

Sedikit demi sedikit, Dahlia mulai mengerti. Dibiarkan Zamani dalam kebersendiriannya buat seketika. Dahlia mengumpulkan seluruh kekuatannya yang masih ada.

“Abang, maafkan Lia kalau Lia tersalah teka tapi…. adakah abang telah lakukan dosa yang besar itu?”

“Maafkan  abang, Lia. Abang telah terlanjur. Abang tidak kuat menahan godaan.”

“Ya, ALLAH. Kenapa abang lakukan perbuatan yang terkutuk itu? Kenapa rosakkan diri abang dengan kemungkaran ini?” Dahlia mulai menangis. Menangis sungguh-sungguh. Seluruh semangatnya terbang melayang. Zamani panik melihat keadaan Dahlia.

“Maafkan Lia, bang. Lia gagal untuk membantu abang. Lia berdosa kerana membiarkan abang hanyut dalam dosa.”

“Lia, abang yang bersalah. Kenapa Lia nak kesalkan diri Lia pula?”

“Ya, ALLAH. Dosa abang itu tak terampun, bang. Kecuali setelah abang menjalani hukumannya tapi siapa yang akan menghukum abang dengan hukuman Islam itu, bang? Bertaubatlah, bang. Bertaubatlah. Kembalilah ke jalan yang diredhai ALLAH.”

“Lia, kalau abang bertaubat, mahukah Lia menerima abang kembali?”

Dahlia terdiam. Berat untuk menyatakan keputusannya.

“Bang, kalau abang bersama Lia, bagaimana pula dengan gadis yang abang nodai itu? Lia tidak sanggup untuk hidup bahagia di atas linangan air mata orang lain, bang.”

“Lia, abang akan bertanggungjawab. Abang akan mengahwini gadis itu tapi setelah itu, abang akan mengahwini Lia.”

“Bang, kalau abang sudah berkahwin dengan dia, kenapa abang nak mengahwini Lia pula? Lia tidak  rela dimadukan, bang. Biarlah Lia menarik diri daripada permainan cinta ini, bang.”

“Abang kasihankan Lia.”

“ Abang jangan risau. Lia kuat. Lia pernah menghadapi kehilangan yang lebih besar sebelum ini. Pasti juga Lia akan kuat untuk mendepani kehilangan ini.”

Segala yang tersirat telah pun tersurat. Kini, tiada apa lagi yang perlu dipertahankan. Dahlia kembali menjadi Dahlia yang dulu. Dahlia yang sendirian tanpa kekasih hati menemani sepi. Mungkin benar bisikan hatinya sebelum ini, Zamani tak mungkin menjadi miliknya. Mungkin betullah kata Hanafi, firasatnya tajam.

“Abang, Lia cuma ingin tahu, apakah salah  dan  dosa yang telah Lia lakukan sehingga abang tergamak untuk menghancurkan segala harapan dan impian yang Lia bina selama ini?”

Air mata Dahlia kembali bercucuran.

“Lia tiada salah apa-apa terhadap abang. Abang malu untuk bersama-sama Lia. Abang tidak layak untuk bersamamu, Sayang. Abang banyak melakukan dosa. Abang malu, Lia.”

“Abang, cukuplah memuji Lia. Lia sedar siapa diri Lia. Lia tahu kekurangan diri Lia. Lia izinkan abang mencari kebahagiaan sendiri meskipun jiwa Lia menderita dengan keputusan ini. Lia doakan semoga ALLAH masih sudi untuk mempertemukan kita biarpun di suatu alam yang lain. Ketahuilah, bang. Lia tetap ingin bersama-sama abang walaupun setelah Lia tahu apa yang abang lakukan.”

“Lia, sesungguhnya tidak akan abang temui lagi seorang gadis sebaik Lia yang akan menyayangi abang melebihi kasih sayang Lia terhadap abang. Lia, izinkan abang untuk terus menyanjungimu di sepanjang hidup ini meskipun nanti kau tidak menjadi milik abang. Ingatlah Lia. Abang tidak mahu Lia hidup menderita bersama abang. Sekarang ini, Lia mungkin bahagia tetapi abang takut Lia akan menyesal dan menderita apabila bersama abang kelak.”

“Abang, kalau boleh, Lia ingin  jadi seperti Siti Zubaidah yang sanggup berjuang bermati-matian, menyamar, mengembara dan berperang demi untuk menyelamatkan kekasih hatinya, Zainal Abidin. Tapi apakan daya, Lia bukannya Siti Zubaidah dan abang pula bukanlah Zainal Abidin.”

“Lia, berdoalah ke hadrat Illahi agar dipertemukan  jodoh kita. Abang ingin bersama Lia cuma abang tidak mampu melakukannya di saat ini. Maafkanlah abang, Lia.”

“Abang, kembalilah kepada Lia seandainya abang kecundang di dalam perjalanan mencari cinta sejati. Lia tetap setia menanti kepulangan abang biarpun seribu tahun lagi.”

Seluruh alam turut menyaksikan keharuan itu dan irama Tanjung Puteri pun menyerkupi alam.

“Abang, cuma satu pinta Lia. Jangan sampai perkara ini diketahui teman-teman kita. Biarlah kita jalani kehidupan di kampus ini seperti biasa. Izinkanlah Lia untuk menutup tirai pengajian kita di sini dengan kenangan yang manis-manis. Jangan disebut tentang hal ini lagi. Biarlah hal ini hanya Lia dan abang sahaja  yang tahu. Boleh? Lia mohon sangat, bang.”

“Maksud Lia, kita tetap berlakon seperti pasangan kekasih di hadapan teman-teman?”

“Ya. Itulah maksud Lia. Semoga masih ada kenangan manis yang bisa kita ciptakan di sini. Mungkin kita lebih bahagia sebagai teman, bukan kekasih.”

Zamani terpaksa akur dengan keputusan Dahlia. Sekurang-kurangnya dia tidak kehilangan Dahlia secara mendadak. Sekurang-kurangnya, dia telah melepaskan beban yang selama ini terpikul sarat di jiwanya.

“Bang, setiap peristiwa yang berlaku hari ini, satu hari kelak akan menjadi sejarah. Oleh itu bang, marilah kita ciptakan kenangan yang terbaik pada hari ini untuk  menjadi sejarah terbaik pada hari depan,” tiba di sini, Dahlia terdiam. Cuba mengumpulkan sisa-sisa kekuatan yang masih berbaki.

“Lagi satu, bang. Lia minta sangat. Kalau abang nak keluar dengan budak perempuan tu, bawalah dia jauh dari kawasan bandar dan kampus kita. Jangan sampai terserempak dengan teman-teman kita. Lia malu kalau ada yang menyampaikan, terserempak abang berdua-duaan dengan gadis itu.”

Zamani tersentak.

“Ada teman yang nampak abang ?”

“Ya.” Dahlia mengangguk. “Bukan teman-teman sahaja. Lia pun pernah dua kali terserempak abang dengan gadis itu tapi abang tidak menyedarinya. Lia hanya memandang dari jauh dengan penuh kesedihan, dengan hati yang terluka,” Dahlia semakin berani menyuarakan rasa hatinya setelah Zamani mengakui keterlanjuran dengan pasangan kekasih gelapnya sebentar tadi.

“Jadi selama ini, Lia pura-pura tak tahu kegiatan abang?”

“Bukan pura-pura tapi Lia tidak sanggup mendepani hakikat itu. Hakikat bahawa Lia bakal ditinggalkan. Lagi  pun Lia ingatkan abang hanya bersahabat dengan gadis itu. Kalau bercinta pun, sama seperti  bercinta dengan Lia. Tak perlu sentiasa berdua-duaan apatah lagi berpegang-pegangan tangan. Rupa-rupanya, bersama dia, abang telah pergi lebih jauh dari itu. Lia ingatkan, Lia masih punya harapan untuk bersama abang.”

Dahlia rasakan sedikit kelainan. Dia lebih bebas menyuarakan pendapatnya setelah antara dia dan Zamani tidak punya harapan lagi. Setelah mereka kembali bersahabat. Setelah mereka tak mungkin lagi bersatu sebagai pasangan kekasih.

“Lia tak marahkan abang?”

“Marah?Apalah gunanya kemarahan Lia kalau semuanya sudah terlambat.”

“Atau sekurang-kurangnya berdendam dengan abang.”

“Dendam? Tiada istilah dendam dalam hidup Lia. Lia ingin sentiasa hidup dalam ketenangan, jauh dari rasa sakit hati dan dendam kesumat. Cukuplah segala penderitaan atas musibah yang menimpa Lia selama ini. Dan Lia harap kita masih kekal sebagai sahabat hingga bila-bila.”

Sampai di situlah penyudah cinta mereka. Mungkin kerana doa Dahlia selama ini agar dipertemukan dengan jodoh yang serasi dengannya. Dahlia tidak minta dijodohkan dengan Zamani. Dahlia cuma minta jodohnya yang diredhai Allah. Mungkin Zamani bukan jodohnya yang diredhai Allah. Dahlia redha dengan semua ini. Hakikat yang pahit namun terpaksa ditelannya. Dia pasrah.

Zamani pergi di saat hatinya benar-benar mengasihi pemuda itu. Pemuda yang memujuknya saat dia berduka. Pemuda yang bukan sekadar berkongsi kisah suka duka hidupnya malahan turut berada di dalam kesukaan dan kedukaannya. Dahlia merintih sendiri. Putus cinta bukan bermakna mati tetapi kehilangan Zamani seolah-olah turut mematikan hidupnya.

Bohonglah kalau Dahlia katakan bahawa dia tidak sakit hati dan kecewa. Namun apa yang dapat dilakukannya lagi? Segalanya sudah terlambat. Kalaulah waktu ini bisa diundur sedikit lagi, pasti segala kesilapan ini tidak akan terjadi. Mana mungkin  waktu ini bisa kuundur.


Ya ALLAH, ya Tuhanku.
Kurniakanlah aku petunjuk dan hidayahMu. Jauhi diriku daripada perbuatan mungkar dan maksiat. Lorongkanlah aku ke jalan yang benar dan Engkau redhai. Ya ALLAH, ya Tuhanku. Sesungguhnya hanya Engkaulah yang Maha Mengetahui segala isi hati hambaMu ini.

Ya ALLAH,
 Mengapa begini pantas masa berlalu? Sia-siakah hidupku selama ini tanpa sebarang perjuangan ke arah menegakkan agamaMu?

Ya ALLAH,
Ampunilah hambaMu yang alpa ini. Izinkanlah aku mencurahkan kasihku kepadaMu.

Ya Rahman Ya Rahim,
Terimalah aku sebagai kekasihMu yang suci kerana aku tidak punya kekasih melainkan Engkau yang abadi.

Ya Tuhanku,
Tabahkanlah hatiku ini dalam mengharungi liku-liku hidup di dunia ini.

Duhai  masa, kenapa secepat ini engkau pisahkan kami? Setelah rasa cinta yang memutik dahulu kian segar mekar dan mewangi di laman hatiku? Pada siapa dapat kuadukan segala keresahan ini? Duhai langit yang membiru, duhai awan yang memutih, duhai angin yang bertiup…dengarlah resahku. Resah dan gelisah yang kian menyatu dalam sendunya.

No comments:

Post a Comment