BAB 35
“Lia, kau tahu tak? Makan budu boleh meningkatkan daya tahan tubuh, mengeluarkan sisa toksik dan menghalang kanser,” Dahlia tersenyum mendengar penjelasan Amril, teman gurunya yang mengejarnya hingga ke pusat sumber hanya semata-mata untuk memberitahu tentang hal itu.
“Ye la. Lia tahu, Am suka makan budu,”
“Lagi satu Lia, budu juga mampu meningkatkan IQ sesiapa yang memakannya kerana ia dapat merangsang sel-sel otak.”
“Wah, lepas ni bolehlah Am jadi pengedar budu tunggal di sini. Boleh kita promosi pada ibu bapa suruh belikan untuk anak-anak,” Dahlia sekadar mengusik Amril. Amril menggaru-garukan kepalanya.
“Iyalah. Betul juga, tu. Tak terfikir pulak Am. Pandai Lia mencetuskan idea.”
“Hai, Am. Dah banyak makan budu pun masih tak dapat nak fikirkan tentang tu?” Amril tersengih mendengar usikan Dahlia. Dia tahu, Dahlia hanya bergurau.
“Dah lama Am tak makan budu ni. Sebab tu otak Am berkarat.” Dahlia tertawa mendengar alasan Amril.
“Bila Am nak balik Kelantan?”
“Kenapa? Lia nak order budu ke?”
“Hahaha…tak adalah, Am. Kalau Lia nak budu, di Perak ni pun banyak.”
“Budu kat Perak tak sama dengan budu Kelantan, Lia oi!”
“Alah, budu Perak pun datang dari Kelantan juga la Am.”
“Ini budu yang mak Am buat sendiri. Pure punya. Pasti tak ada yang boleh lawan,” Amril menunjukkan isyarat bagus dengan ibu jarinya sambil mengecap bibir. Pasti dia teringatkan budu emaknya.
“Iyalah, kalau Am balik sana, Lia nak order budu mak Am sebotol.”
“Order budu aje ke? Orderlah anak mak Am sekali.”
“Anak mak Am? Siapa?”
“Am lah, siapa lagi?”
“Buat apa pula nak order Am?”
“Buat suami. Am janji, kalau Am jadi suami Lia, Am akan jadi suami yang mithali. Lia boleh duduk senang-lenang, goyang kaki. Semua kerja Am yang buat,” janji Amril sambil mengangkat tangan kanannya seakan berikrar.
“Isy, Am ni. Isteri apanya kalau duduk senang lenang goyang kaki aje. Sia-sia ajelah kahwin. Baik duduk membujang,” bantah Dahlia.
“Alah, Am. Kelantan punyalah banyak Cik Mek Molek comel lote, tak payahlah susah-susah nak cari orang Perak pula. Lagipun, Am sendiri cakap kan, Tak best duduk di Lenggong ni. Pekan kecil dalam hutan rimba banat. Tak meriah langsung,” sambung Dahlia lagi. Amril hanya tersenyum nakal.
“Apa nak buat, kalau hati dah terpikat. Lagipun, kalau dah kahwin nanti, kita duduk la di Kelantan.” Dahlia hanya tertawa mendengar omelan Amril, teman tapi mesranya. Tidak pernah terlintas di benaknya untuk menjadikan lelaki ini teman istimewanya. Telah ditutupkan rapat-rapat pintu hatinya agar tiada lelaki yang dapat menembusinya.
“Lia tak nak terima Am sebab Lia dah dapat kembali Zamani ke?” Dahlia tertawa kecil mendengar serkap Amril.
“Jangan main tuduh-tuduh, ya.”
“Tak tuduh tapi kebenaran, kan? Sejak perkhemahan hari tu, Lia nampak lebih ceria. Dalam sinar mata ada bahagia. Betul, tak?”
Dahlia sedar, dia senang berkawan dengan Amril. Amril teman serumah Aqashah. Mereka sama-sama bujang teruna. Mungkin masing-masing sedang mengintai-intai gadis yang berkenan di hati untuk dijadikan teman hidup.
Meskipun Amril dan Aqashah bersahabat baik tetapi perwatakan dua sahabat ini agak berbeza. Amril agak lepas laku dan berterus-terang manakala Aqashah pula agak pendiam dan memendam rasa. Terkadang, sukar untuk ditelah suara hatinya.
Bagi Dahlia sendiri, dia senang bersahabat dengan kedua-dua lelaki ini. Sekadar bersahabat, jauh sekali untuk memikat. Baginya, biarlah pengalaman lalu jadi pengajaran. Dia tidak akan terlalu mudah lagi untuk menggantung harapan setinggi langit kepada setiap lelaki yang rapat dengannya.
Zamani dan Haiqal, dua lelaki yang pernah mengetuk pintu hatinya, berlalu begitu sahaja saat bunga-bunga cintanya kian mekar. Cinta? Mungkin tiada lagi istilah cinta dalam diari hidupnya. Kalau boleh, Dahlia ingin menyibukkan dirinya agar dia bisa terlupa segala kepahitan yang melanda hidupnya. Dia tidak ingin dibelenggu oleh perasaan sepi dan sendu.
Dahlia sekarang adalah Dahlia yang kuat. Dahlia yang tidak akan menggantungkan nasibnya kepada lelaki dan perkahwinan. Dia bagaikan telah menutup langsung segala ruang yang boleh dibolosi perasaan cinta. Biarlah dia bercinta dengan kerjayanya, dengan anak didiknya, dengan kebebasannya. Dahlia ingin bebas. Bebas sebebasnya seperti burung di angkasa.
Agar dia bisa berdiri dengan ketetapan yang teguh. Tidak lagi mengalah pada perasaan yang satu itu. Jangan sampai dia menumpahkan air mata hanya kerana meratapi cinta yang kecundang. Hasrat hatinya kini hanya satu, dia ingin berjuang untuk memartabatkan agama Islam. Jika hasrat itu terlaksana, pastilah jiwanya akan lebih tenang tanpa kecintaan terhadap sesama makhluk berlainan jenisnya.
Kejadian manusia itu berpasang-pasangan. Bukan manusia sahaja malahan seluruh alam ini. Malam pasangannya siang. Bulan pasangannya matahari manakala lautan pasangannya daratan. Tapi kesemua pasangan itu tidak pernah bersatu. Malam tidak pernah bertemu siang, bulan juga tidak pernah bersua matahari. Itulah istimewanya manusia. Kerana pasangannya disatukan dalam ikatan yang suci. Dahlia akui hakikat itu. Namun apakan daya, pintu hatinya seakan tertutup untuk menerima kehadiran seorang lelaki.
Walaupun Zamani berhajat untuk menyambung kembali ikatan mereka yang terputus dahulu tetapi tidak mungkin bagi Dahlia. Cukuplah sekali dia menaruh harapan dan tenggelam dalam dunia percintaan yang asing dan tidak bertepi itu. Dia tidak mahu karam sekali lagi. Yang lalu, biarkanlah berlalu. Dia tidak mungkin akan berpaling ke belakang lagi.
Hidup mesti diteruskan. Dan hidup juga bukan semata-mata untuk mengejar cinta lelaki. Tidak. Bagi Dahlia, soal jodoh biarlah ALLAH yang tentukan. Dia tidak mahu jadi bodoh, menghambakan diri atas nama cinta dan akhirnya, dia sendiri yang lemas dalam permainan itu.
Pejam celik, pejam celik, diam tak diam, telah empat tahun Dahlia mengajar di Sekolah Kebangsaan Seri Bayu. Selama di sini, dia menjalinkan hubungan baik dengan anak-anak muridnya, ibu bapa, kakitangan sekolah dan rakan-rakan seperguruannya.
Rakan-rakan gurunya silih berganti, yang bertukar ke luar dan juga yang baru masuk mengajar. Amril pun sudah berpindah mengikut isterinya, setelah berkahwin lima bulan yang lalu. Dahlia masih di situ. Aqashah juga masih di situ. Aqashah? Kenapa tiba-tiba sahaja nama Aqashah hadir dalam hidupnya?
Hmmm…sebenarnya, dia memang agak akrab dengan Aqashah. Terutamanya selepas Amril berpindah. Mungkin kerana Aqashah yang paling lama di sekolah itu dan dia juga termasuk Cikgu Ain, antara tenaga pengajar terlama berada di situ. Hubungan Dahlia dan Aqashah memang ternyata agak serasi.
Aqashah terlalu baik orangnya. Tinggi budi pekerti dan tidak pernah mengambil kesempatan atas keakraban mereka. Cerita tentang Zamani telah lama berkubur. Haiqal pula entah ke mana hilangnya setelah mengahwini Salinah dua tahun yang lalu. Kahwin juga mereka meskipun Haiqal sendiri tidak begitu menyukai sikapnya dahulu.
Hanafi? Hanafi tidak hadir sewaktu majlis konvokesyen mereka kira-kira tiga tahun lalu. Alasannya, isterinya masih dalam berpantang anak sulung mereka. Alahai, pemuda yang pernah cuba memikatnya, rupa-rupanya telah terlebih dahulu menerima seruan perkahwinan. Menamatkan zaman bujangnya dengan teman sekampungnya.
Aiman pula? Sudah lama perkhabaran tentang pemuda itu lenyap dibawa angin lalu. Hanya sesekali Alina mengirimkan khabar berita dan sesekali juga saat berkesempatan melayari internet, Dahlia menatapi wajah teman baiknya itu di dinding facebooknya.
Dua bulan lagi, Dahlia bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 27. Bermakna, sudah 27 tahun dia menyedut udara di alam ciptaan ALLAH yang Esa ini. Namun, sehingga kini, dia masih bersendirian. Tanpa kekasih peneman sepi. Rutin hariannya tetap seperti biasa. Pagi-pagi ke sekolah, petang pula kalau tiada aktiviti kokurikulum atau kelas tambahan, dia akan pulang awal.
Hidupnya berjadual. Dahlia sudah biasa dengan rutin itu. Hanya sesekali dia ingin mengubahnya, bercuti ke luar daerah pabila tiba musim cuti sekolah. Sejak Mama Mira tinggal bersamanya, Dahlia tidak lagi diganggu. Tidur malamnya juga semakin tenang tanpa perlu risau dengan sang penceroboh. Mama Mira, Pak Akob dan Alang Bidin pula sedang sibuk dengan urusan tanam semula pokok kelapa sawit mereka.
Dahlia difahamkan bahawa mereka telah mendapatkan khidmat nasihat Pejabat Risda Daerah bagi menggantikan pokok sawit tua yang sudah tidak mengeluarkan hasil dengan anak sawit klon DxB. Kejayaan mereka mentadbir ladang dengan baik akan dapat memberikan pulangan yang menggalakkan.
Dahlia gembira melihat perubahan itu. Mama Mira bagaikan telah boleh menerima kehadiran keluarga Pak Akob membantu menguruskan ladang mereka. Namun perhubungan itu tetap ada pasang surutnya. Dahlia hanya mampu berdoa agar apa jua masalah yang melanda, ianya akan ditangani dengan bijak oleh kedua-dua pihak.
Adlina, selepas menamatkan SPMnya, dihantar ke kolej untuk mendalami ilmu perniagaan. Mama Mira memang menaruh harapan yang tinggi agar anak gadisnya itu dapat mengambil alih perniagaan tekstile dan butiknya. Addin sendiri telah menunjukkan tanda-tanda bahawa dia meminati bidang perniagaan. Mama Mira tidak perlu risau lagi. Hanya Ashraf yang agak sedikit liar.
Pagi itu Dahlia bersiap agak awal. Dia perlu segera sampai di gigi air kerana seawal jam enam pagi, rombongan sekolah akan berangkat ke Melaka. Dahlia diberi tugasan untuk mengawal murid-murid perempuan manakala Aqashah pula diminta untuk mengawal murid-murid lelaki.
Bas rombongan yang membawa empat puluh orang murid disertai dengan empat orang guru bergerak perlahan-lahan meninggalkan jeti. Hati Dahlia tercuit pilu. Teringatkan kenangan dia berulang-alik menaiki bas menuju ke pusat pengajian tempat belajar dulu.
Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini, dia sentiasa dihambat kenangan itu. Sesekali, terbit rindunya terhadap kamar kecilnya di Blok Kasih. Ustazah Rahmah juga sudah agak jarang dihubungi iaitu semenjak ustazahnya itu berhijrah ke bumi Mesir.
Bas yang mereka naiki terus bergerak laju. Memasuki jalan besar menuju ke Lebuh Raya Utara – Selatan. Sesekali terdengar suara anak-anak itu berbual sesama sendiri diselangi deruan enjin bas.
“Lia,” Dahlia mencelikkan mata mendengar sapaan itu. Tersenyum Aqashah di sisinya. Saat itu mereka berada di Hentian Rehat dan Rawat Tapah.
“Maaf, Shah ingatkan Lia tidur,”
“Kalau Lia tidur, kenapa nak diganggu?”
“Emm…Shah mengganggu Lia, ke? Maaf…” Dahlia tersenyum. Aqashah begitu cepat terasa.
“Tak adalah. Lia gurau aje. Shah tak tidur ke?”
“Tak…”
Sebenarnya tadi, Aqashah di bangku belakang sana. Dahlia pula duduk bersebelahan Maisarah, murid Tahun Enam.
“Mana Mai?” tanya Dahlia.
“Mai ke bilik air agaknya. Lia tak nak turun ke?”
“Tak nak lah..” Dahlia memandang ke luar tingkap. Matahari sudah mula memancarkan sinar terang pukul sepuluh pagi.
Dahlia memang agak rapat dengan Maisarah. Bukan dia memilih kasih atau hanya menyayangi murid tertentu sahaja tetapi nalurinya lebih rapat dengan Maisarah. Mungkin kerana dia bersimpati dengan situasi gadis kecil itu yang senasib dengannya.
Dahlia ingat lagi, kali pertama dia masuk ke kelas mereka setelah diarahkan oleh guru besar. Waktu itu mereka di Tahun Empat. Dahlia menyemak sijil kelahiran, nama penjaga dan nombor pendaftaran mereka.
Tiba pada sijil kelahiran Maisarah, degup jantungnya seakan terhenti. Ruangan pada nama bapa diisi dengan kenyataan ‘Maklumat tidak diperoleh’. Begitu juga untuk ruangan-ruangan lain yang berkaitan dengan maklumat bapa. Lama Dahlia termenung. Sehinggalah dia dikejutkan suara murid-muridnya berbual sesama sendiri.
“Maisarah,” seru Dahlia. Dia ingin mengenali gadis yang memiliki sijil kelahiran itu. Maisarah bangun sambil melontarkan senyum malu dan bergerak perlahan-lahan menuju ke mejanya.
“Cikgu, Maisarah anak luar nikah,” laung Rahmat yang duduk di penjuru kelas. Dahlia terperanjat mendengar perkataan kesat yang keluar dari mulut anak kecil berusia sepuluh tahun itu. Maisarah yang telah tiba di mejanya hanya tersipu-sipu, malu.
“Siapa nama awak?” Nyalang mata Dahlia memandang Rahmat.
“Rahmat.”
“Rahmat, tak baik cakap macam tu. Awak tahu ke apa makna yang awak cakap tadi tu?”
“Tahu, cikgu. Anak luar nikah tu anak yang tak ada bapa. Mak saya yang cakap. Mak saya kata Maisarah anak luar nikah,” lancar sahaja Rahmat menjelaskan. Hmm…inilah padahnya apabila orang tua berbicara tanpa beralas walaupun di hadapan anak-anak kecil.
Tidak ingin memanjangkan cerita, Dahlia memandang Maisarah.
“Maisarah,”
“Tahu, cikgu. Saya memang anak luar nikah. Kawan-kawan cakap macam tu. Semua orang kampong pun cakap macam tu,” sahut Maisarah. Dahlia terkedu.
“Maisarah, saya tak tanya itu. Saya cuma nak minta tolong. Boleh awak ke bilik guru ambil penimbang, saya nak timbang berat awak dan kawan-kawan sekelas,” Dahlia tidak tahu bagaimana idea itu boleh muncul secara tiba-tiba. Sebenarnya, tidak terlintas di fikirannya hendak menimbang berat murid-muridnya tetapi dia sengaja ingin mengalih tumpuan Maisarah.
Maisarah tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya dan berlari pantas ke bilik guru. Sejak itulah, seingat Dahlia, mereka menjadi kawan baik. Dahlia bersyukur, walaupun dia juga anak luar nikah namun masih tetap diberikan nama ayah sedangkan Maisarah…..
Setelah beberapa bulan di sekolah itu, barulah Dahlia tahu, bukan Maisarah seorang yang senasib dengannya. Ada lagi beberapa orang murid yang mengalami keadaan yang sama. Malahan, ada juga murid yang langsung tidak mempunyai sijil kelahiran. Atas keprihatinan pihak sekolah, perkara itu diajukan kepada pihak atasan untuk tindakan penyelesaian.
“Lia,”
Dahlia menoleh Aqashah di sisi.
“Kalau tak tidur, apa yang Lia menungkan?”
“Bukan menunglah, Lia sedang berfikir,” Dahlia berkata sambil melepaskan tawa kecil. Kagum dengan jawapan sendiri, agaknya.
“Hmm…berfikir, ya? Berfikir tentang apa? Boleh kita kongsikan bersama atau boleh Shah tumpang berfikir?” Dahlia tersenyum mendengar usikan Aqashah. Kemudiannya, dia kembali serius.
“Berfikir tentang muda-mudi kita hari ini. Tengok tu,” Dahlia memuncungkan mulutnya ke arah sekumpulan muda-mudi di sisi bas sewaan mereka. Berlonggok lelaki dan perempuan, penunggang dan pembonceng motosikal, sedang berehat-rehat di hentian rehat yang sama sambil bertepuk tampar tanpa segan-silu dan batas segala. Aqashah menjenguk ke arah yang ditunjukkan.
“Di saat Islam diinjak-injak, kita masih lagi sempat bergembira. Kita lupa tentang kesengsaraan saudara-saudara seIslam kita yang berjuang bermati-matian demi mempertahankan agama Islam tercinta,” Dahlia semakin emosi. Memang dia terlalu emosi kalau ianya melibatkan soal gejala sosial anak-anak muda.
“Mereka tidak sedarkah, segala perbuatan mereka itu banyak benar salahnya? Meruntuhkan maruah diri samalah seperti meruntuhkan agama Islam. Siapa lagi yang nak kita harapkan untuk mempertahankan agama kita sedangkan anak-anak muda sendiri tidak berusaha ke arah itu?”
“Ini hanyalah sebahagian contoh anak-anak muda yang karam dan hanyut dalam keindahan duniawi. Namun, Lia jangan lupa, masih ada golongan anak muda yang menjadi pejuang Islam.”
“Tapi berapa kerat? Itu pun hanya di sesetengah institusi sahaja. Kalau boleh, Lia nak turun bertanya, kamu semua ni belajar di mana? Sebab Lia rasa mereka inipun bukan calang-calang orangnya. Lihat sahajalah motosikal dan pakaian mereka. Sayang sungguh, anak-anak semuda ini sudah terlalu jauh hanyutnya.”
“Siapa yang nak kita salahkan? Guru? Ibu bapa? Pemerintah?”
“Kalau boleh, semua sekali perlu dipersalahkan tapi yang paling bersalah anak muda itu sendiri. Mereka dah boleh menggunakan akal fikiran sendiri. Kenapa perlu nak disalahkan orang lain atas keruntuhan akhlak sendiri? Lia pun tak ada mak dan ayah untuk membimbing tapi tak adalah terlintas di fikiran Lia untuk melakukan semua ni.”
“Lia lain. Lia ada kekuatan sendiri,” komen Aqashah.
“Ya. Setiap kita perlu ada kekuatan sendiri. Kekuatan yang bukan hadir sendiri tapi kekuatan yang perlu dipupuk dan dibina.”
Selepas berhenti rehat, mereka meneruskan perjalanan. Aqashah terus mengambil tempat di sebelah Dahlia manakala Maisarah duduk bersama teman-temannya.
“Maaf, kalau Shah bertanya,” suasana yang hening hanya ditemani ngauman enjin bas.
Dahlia biarkan Aqashah bertanya manakala dia cuba menjawab sejujurnya. Sememangnya selama ini, memang tiada rahsia sulit antara mereka. Dahlia sendiri pernah bercerita perihal Zamani kepada Aqashah.
“Lia tak teringin ke nak berteman?” pertanyaan Aqashah yang cuba mencetuskan tumpuan.
“Teman? Teman yang macam mana tu?”
“Teman berbicara, teman menangis, teman ketawa…eemmm…teman hidup,”
Dahlia tertawa senang mendengar pertanyaan-pertanyaan itu. Dahlia ingat lagi, dua tahun yang lalu, Amril pernah bertanyakan soalan yang sama dan jawapan Dahlia ialah, “Maaf, Am. Pintu hati Lia belum terbuka untuk menerima kehadiran seorang lelaki dalam hidup Lia. Cukuplah sekali hati Lia dilukai. Lia tidak sanggup untuk dilukai sekali lagi.”
Dan Amril pergi. Amril berkahwin dengan gadis pilihan keluarganya. Dahlia masih ingat. Di hari pernikahannya, Amril menghubungi Dahlia.
“Lia, Am nak tanya buat kali yang terakhir,”
“Ya, Am,”
“Betul ke Lia tak nak Am?”
“Am, kenapa tanya lagi soalan yang sama? Lia dah bagitahu, kan. Lia memang sukakan Am tapi Lia tak boleh kahwin dengan Am. Bukan dengan Am sahaja malahan dengan lelaki lain pun,” Amril terdiam di hujung talian.
“Am, kenapa?”
“Am nak pergi ke majlis akad nikah ni. Pengantin perempuan dah tunggu di masjid. Kalau Lia terima Am, Am akan batalkan pernikahan ini,” terang Amril. Hati Dahlia dihiris sembilu.
“Am pergilah. Am jangan tunggu Lia. Lia tak akan kahwin. Jangan fikirkan tentang Lia. Am dah nak kahwin. Jaga hati isteri Am. Lia doakan kebahagiaan Am,” Talian mereka diputuskan. Amril pergi. Tiba-tiba sahaja Dahlia merasakan dunianya sepi.
Malam itu, Amril menghubunginya lagi.
“Lia, Lia dah tidur ke?”
“Kenapa Am call Lia? Mana wife Am?”
“Wife Am ada di dapur, tolong emaknya mengemas. Am tak tahu nak buat apa. Dia tak bercakap pun dengan Am. Am pun tak tahu nak mulai bagaimana.”
“Hai, Am. Orang yang paling bijak menyusun ayat dan kata-kata ni tiba-tiba saja jadi kelu? Biar betul, Am,” sahut Dahlia sambil menggelekek tertawa. Sebenarnya, dia sikit rasa terhibur kerana dia merasakan bahawa dia akan terus kehilangan Amril selepas majlis akad nikahnya pagi tadi.
“I’m serious, Lia,” Amril bernada kesal.
“Okay, okay. I’m sorry, okay?”
Suasana kembali sepi.
“Am. Am kan lelaki. Am suami. Tak kan Am nak tunggu wife Am yang mulakan bicara. Dia pun baru nak berkenalan dengan Am. Am ingat, Am sorang saja ke yang kena paksa kahwin? Ntah-ntah diapun sama,” Amril tergelak mendengar komen Dahlia.
“Kenapalah Lia tak nak kahwin dengan Am, ya? Kalaulah Lia yang jadi wife Am, tentu keadaan tak sesukar ini.”
“Betul tu, Am. Kalau kita yang kahwin, tentu sekarang ni kita tengah main kejar-kejar, kan?” sekali lagi meledak tawa Amril. Dahlia pun tertawa sama meskipun sebenarnya, dia sedang cuba mententeramkan hati temannya itu juga hatinya sendiri.
“Lia, Lia. Hidup Am tak kan sepi kalau ada Lia.”
“Am. Am kena terima hakikat. Sekarang Am telah menjadi suami orang. Am punya tanggungjawab yang besar. Am kena bimbing isteri Am. Kalau isteri Am bahagia, Lia juga akan turut bahagia. Sebagai wanita, Lia juga mengharapkan kebahagiaan wanita lain. Sayangilah isteri Am sepenuhnya, seikhlasnya. Lia hanya teman yang pernah hadir buat seketika dalam hidup Am.”
Itu penamat bicara mereka. Meskipun ada terselit rasa kasihnya terhadap lelaki itu, namun Dahlia tidak mampu untuk menerimanya. Pedih luka di hatinya masih belum bisa dirawati.
Cinta. Cinta. Cinta. Sebenarnya Dahlia sudah jemu dengan semua itu. Saat negara-negara Islam sedang bergelora, masih sibuk membicarakan tentang cinta. Tak ada perkembangan langsung. Sedangkan saat ini, kalau boleh, dia ingin terbang ke Negara-negara Timur Tengah untuk sama-sama mencari syahid di jalan Allah.
Dan kini, Aqashah mengulangi pertanyaan itu lagi. Untuk apa, ya? Sebenarnya, Dahlia selesa bersama Aqashah. Mereka memang akrab. Setiap kali bersama Aqashah, Dahlia rasa dilindungi dan dihargai. Sedikit demi sedikit, hatinya telah terbuka untuk memandang pemuda itu dan membuat penilaian. Penilaian telus dari hati yang ikhlas.
BAB 36
Sikap pelik Mama Mira pula sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi. Ada saja salah Dahlia di pandangan matanya. Apa saja yang Dahlia buat, serba tak kena. Dahlia telah mula merasai bahangnya.
Semuanya angkara Aqashah. Ya, Aqashah. Kenapa pula Aqashah? Aqashah datang menghantar ibu bapanya untuk merisik Dahlia. Merisik? Apa perlunya merisik lagi sedangkan Aqashah tahu kedudukan diri Dahlia.
Dahlia memang solo. Dahlia memang masih belum berpunya dan sampai bila-bila pun Dahlia tak akan berpunya. Kenapa Aqashah setegar itu? Datang merisik sedangkan jawapan ada padanya.
Sebenarnya, Dahlia boleh menolaknya mentah-mentah tapi dia tidak sampai hati. Dia tidak tergamak untuk menyatakan hakikat itu kepada kedua orang tua Aqashah. Tidak sabar menunggu musim cuti sekolah berakhir. Tidak sabar untuknya bersua muka dengan Aqashah. Berani betul Aqashah merisiknya.
Dan sekarang, lihatlah. Mama Mira marah-marah. Tapi, kenapa ya? Kenapa Mama Mira perlu marah-marah? Sepatutnya Mama Mira senang hati. Anak gadisnya yang sudah melangkaui usia remaja telah diintai jejaka. Sepatutnya, dia berbangga.
Ini tidak. Tiba-tiba sahaja dia berubah, bagaikan memusuhi Dahlia kembali. Terang-terang menunjukkan sikapnya yang seolah-olah tidak merestui perhubungan itu. Dahlia pun belum sempat lagi menyuarakan penolakannya, Mama Mira sudah terlebih-lebih pula.
Hari pertama persekolahan selepas cuti dalam semester, Dahlia kembali ke sekolah. Kalau sebelum ini, dia beria-ia nak jumpa Aqashah, nak membasuhnya habis-habisan tapi sekarang? Kalau boleh, dia tidak mahu terserempak dengan pemuda itu. Aqashah yang disangkanya pendiam dan lurus bendul itu boleh mengambil tindakan yang senekad itu.
Mungkin salah Dahlia juga. Terlepas cakap saat Aqashah bertanyakan tentang statusnya untuk kali yang entah ke berapa ratus. Dan sama seperti Amril, Aqashah menyangkakan bahawa dia masih menantikan Zamani. Lebih-lebih lagi selepas pertemuan mereka semasa program perkhemahan dahulu.
“Kalau berani, hantarlah wakil,” cabar Dahlia tidak bersungguh-sungguh tapi nampaknya, Aqashah memandang serius cabaran itu. Dan sebagai buktinya, itulah yang dilakukannya sebaik sahaja dia kembali bercuti. Menyesal? Apa yang nak Dahlia sesalkan? Terlajak perahu bolehlah diundur tetapi ini pula sudah terlajak kata-kata.
“Kenapa Lia?” Itu pertanyaan pertama yang keluar dari bibir Aqashah saat melihat wajah Dahlia yang masam mencuka.
Lidah Dahlia kelu. Dia tidak sanggup menuturkan kata-kata yang telah dikarangnya sejak sekian lama. Memandang wajah Aqashah seakan dia melihat kesungguhan di sebalik seraut wajah itu. Hatinya bagai disirami salju, dingin dan sayu. Atau entah ayat apa yang dibaca oleh Aqashah yang membuatkan lidahnya kelu tiba-tiba.
“Kalau Lia tak nak cakap dengan saya pun tak apa. Saya faham. Kalau orang dah tak sudi, apa lagi yang nak dikatakan. Maafkan saya kalau saya dah menyinggung perasaan Lia.” Hmm…Aqashah, sekejap-sekejap membahasakan dirinya ‘Shah’ sekejap-sekejap, ‘saya’. Seolah-olah dia sendiri pun masih lagi mencari identiti di sisi Dahlia. Dahlia tetap membatu sehinggalah Aqashah berlalu.
Keadaan mereka berdua kini agak berbeza dengan keadaan seminggu lalu iaitu sebelum cuti. Mereka sudah jadi seperti langit dan bumi atau mungkin juga seperti bulan dan matahari….dan tak mustahil pula seperti kutub janubi dan kutub utara.
Dahlia ke timur, Aqashah ke barat. Aqashah ke kantin, Dahlia di bilik guru. Dahlia di padang, Aqashah di pusat sumber dan selebihnya, Aqashah lebih banyak menghabiskan masanya di bilik Muzik.
Dahlia tahu, Aqashah kecewa. Cuma mungkin Aqashah yang tidak tahu bahawa Dahlia juga turut kecewa. Kalaulah Aqashah hadir sebelum Zamani meranapkan jiwanya, rasanya Aqashah tidak akan bertepuk sebelah tangan. Namun apakan daya, luka lamanya masih berdarah.
Dahlia buntu dalam mencari jalan penyelesaian. Dalam diam-diam, dia menghubungi Ustazah Rahmah. Niatnya untuk melancong sambil mengerjakan umrah dan semoga dia memperoleh ketenangannya di sana.
Pemergian tanpa lambaian perpisahan dan selamat kembali daripada teman-teman kerana Dahlia telah memohon kepada Pembantu Tadbir dan Pelayan Pejabat agar merahsiakan pemergiannya buat sementara waktu. Mujur juga guru besarpun sudi membantu. Biarlah dia membawa diri buat seketika demi meredakan gelora di jiwanya.
Dahlia berlepas ke Cairo dengan penerbangan EGYPT AIR MS 969 jam 2345 malam dan dijangka tiba di Cairo jam 0650 pagi. Tiba di bumi Mesir, sebuah negara di Afrika Utara, Ustazah Rahmah sudah siap sedia menanti di mahattah berkenaan. Gembira hati Dahlia tidak terkira. Ustazah Rahmah yang akan menjadi pendampingnya selama dia di tanah anbia ini.
Dahlia mengambil kesempatan itu untuk menikmati keindahan negara asing. Melupakan segala kesesakan yang mengganggu di jiwa. Semoga ketenangan ini memberikan ruang yang luas buat dia untuk menentukan hala tuju hidupnya. Mungkin tersembunyi hikmah di sebalik semua kejadian ini.
“Ahlan wa sahlan,” ucapan alu-aluan Ustazah Rahmah berserta kucupan mesra di kedua belah pipi dan dahinya. Setelah urusan imigresen dan bagasi selesai, Dahlia dibawa melawat sekitar Cairo sebelum ke kediaman ustazah di Iskandariah. Ustazah Rahmah turut menjadi pengajar di Universiti Al-Azhar cawangan Iskandariah. Tetapi kini, dia mengambil cuti semata-mata untuk meraikan kedatangan Dahlia dan menunaikan umrah bersama-samanya.
Selesai solat Zohor dan makan tengah hari, Dahlia dibawa ustazah yang lebih selesa dipanggilnya dengan panggilan Ummi Rahmah itu ke Masjid Amru Al-Ass iaitu sebuah masjid yang pertama dibina di Benua Afrika dan Masjid serta Maqam Imam Shafie.
Dahlia juga sempat ke Fayyoum sejauh 95 km. Di Fayyoum, dia melawat Tasik Qarun dan Kincir Air iaitu sebuah sistem pengairan zaman dahulu. Pada sebelah petangnya, dia balik ke Cairo.
Di kesempatan berada di negara Arab yang terpenting di Timur Tengah ini, Dahlia turut dibawa melawat ke monumen-monumen Mesir Purba seperti Piramid Giza dan Sphinx, juga Bazar Minyak Wangi dan sebagainya yang menjadi tarikan berjuta-juta pelancong luar negeri setiap tahun.
Menaiki bot, menyusuri Sungai Nil mengimbau kenangan Dahlia tatkala menaiki bot menyeberangi Sungai Perak untuk menuju ke sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Seri Bayu. Namun, menaiki bot untuk melancong adalah amat jauh bezanya dengan menaiki bot untuk menuju ke tempat mencari rezeki.
Empat hari di Cairo, Dahlia dibawa balik ke kediaman Ummi Rahmah di Bandaraya Iskandariah yang terletak di persisiran Laut Mediterranean. Perjalanan ke sana mengambil masa empat hingga lima jam.
Banyak lagi tempat-tempat bersejarah yang dilawati Dahlia seperti Maqam Nabi Daniel, Kebun Bunga Montaza dan Istana Raja Farouk. Hampir lenguh kakinya menjelajah ke seluruh pelusuk bumi Mesir.
Seminggu bersama-sama Ummi Rahmah, mereka bakal bertolak ke Madinah dan Mekah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk menunaikan umrah. Terharu hati Dahlia kerana tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mengembara sejauh ini. Cuti yang diambilnya pula bukanlah dua minggu seperti yang selalu diambil oleh orang lain untuk mengerjakan umrah tetapi sebulan.
Ummi Rahmah menjadi pembimbingnya dalam mengerjakan umrah. Umrah pada syarak ialah menziarahi Baitullah Al-Haram kerana mengerjakan tawaf, sai'e dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajibnya.
Kota Mekah dan Madinah, dua buah kota suci umat Islam mereka datangi. Di sinilah letaknya Kaabah dan Masjid Nabawi yang menjadi dambaan Dahlia untuk dikunjungi semenjak sekian lama.
Selama berada di Madinah, Dahlia mengambil kesempatan untuk menziarahi makam sahabat Rasulullah s.a.w dan tempat bersejarah Islam. Hatinya benar-benar sayu saat berkunjung ke Raudah. Belum pernah dirasai perasaan yang sebegini.
Dengan penuh khusyuk, dia berdoa dan memohon petunjuk agar Allah menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh kerana sesungguhnya, dia memang sedang menuju ke arah itu. Keinsafan yang dirasainya begitu mendalam.
Selama berada di Madinah iaitu sebelum berangkat ke Mekah, hampir setiap hari Dahlia berkunjung ke Raudah dan memanjatkan doa agar ditunjukkan kepadanya jalan yang benar, jalan yang diredhai Allah.
Tiba di Bumi Mekah, sekali lagi hati Dahlia dipagut rasa sayu saat terkenangkan sejarah Makkah yang bermula apabila Nabi Ibrahim a.s menerima perintah daripada Allah s.w.t agar meninggalkan anaknya, Nabi Ismail a.s dan isterinya Siti Hajar di gurun yang kering kontang lalu beliau kembali ke tempat asalnya.
Ceritanya bermula apabila Nabi Ibrahim a.s. yang mempunyai dua orang isteri; Siti Sarah dan Siti Hajar (ibu Nabi Ismail).
Pada satu ketika terjadi pertelingkahan antara kedua isteri tersebut sehingga Siti Sarah bersumpah tidak akan tinggal bersama-sama ibu Ismail dalam satu negeri. Kemudian turunlah wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya baginda bersama-sama anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi ke Makkah. Di waktu itu Makkah belum didiami manusia, hanya merupakan lembah pasir dan bukit-bukit yang tandus dan tidak ada air.
Apabila mereka tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah sepohon pokok yang kering. Di tempat inilah bangunan Kaabah yang ada sekarang. Tidak berapa lama kemudian, Nabi Ibrahim meninggalkan mereka dengan dibekalkan sekantong kurma dan sekibah air.
Siti Hajar memerhatikan sikap suaminya yang menghairankan itu lalu bertanya ;
"Hendak ke manakah engkau Ibrahim ?"
"Sampai hatikah engkau meninggalkan kami berdua di tempat yang sunyi dan tandus ini?".
Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab sepatah kata jua pun.
Siti Hajar bertanya lagi;
"Adakah ini memang perintah dari Allah ?"
Barulah Nabi Ibrahim menjawab, "ya".
Mendengar jawapan suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan hatinya tenteram. Ia percaya hidupnya tentu terjamin walaupun di tempat yang sunyi, tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan. Sedangkan waktu itu, Nabi Ismail masih menyusu.
Selang beberapa hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim habis. Siti Hajar berusaha mencari air di sekeliling sampai mendaki Bukit sofa dan Marwah berulang kali sehingga kali ketujuh (kali terakhir ) ketika sampai di Marwah, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya, bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan derasnya. Air itu adalah air zam-zam.
Di sini Siti Hajar bertemu dengan Malaikat Jibril dan Jibril mengatakan kepadanya, " Jangan khuatir, di sini Baitullah ( rumah Allah ) dan anak ini (Ismail ) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti. Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya".
Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu disebut dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:, " Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit ". Riwayat - At Tabrani dan Ibnu Hibban.
Sumber dipetik dari internet.
Dengan kewujudan Telaga Zam Zam itu, para pedagang dan kabilah-kabilah perdagangan pun mula muncul. Mereka tinggal di situ dan membuka penempatan baru. Dengan itu lahirlah Kota Makkah. Nabi Ibrahim a.s. melawat tempat di mana dia meninggalkan anak dan isterinya tadi. Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. kemudiannya membina Kaabah.
Ya Allah, aku ingin jadi setabah dan sekuat Siti Hajar.
Sebulan adalah satu jangkamasa yang agak lama dan Dahlia melalui setiap detik ini dengan penuh keinsafan. Tapi entah mengapa, sepanjang-panjang perjalanan ini, dia asyik teringatkan Aqashah. Aqashah dan Aqashah sahaja. Ia tidak mengganggu sebenarnya tetapi Dahlia sedikit terharu.
Aqashah yang jauh ditinggalkan di bumi Malaysia hadir setiap saat dalam hidupnya, dalam jaga dan tidurnya. Kata orang tua-tua, jika kita terlalu mengingati seseorang, itu tandanya dia juga sedang mengingati dan merindui kita. Rindu? Ya, Dahlia memang merindui Aqashah. Tiba-tiba saja hatinya dipagut rasa pilu.
Kepada Allah, Dahlia bermunajat, jika benarlah Aqashah yang ditakdirkan untuknya, dia akan redha dengan ketentuan itu. Sebulan lamanya merantau, Dahlia dapat menenangkan jiwanya yang bergelora. Banyak doa dilafazkan demi mencari keredhaan Allah.
Dahlia bersyukur kerana diberi kesempatan ini untuk menjelajah bumi Allah yang maha luas terbentang. Jika punya keizinan lagi, dia pasti akan kembali lagi ke sini. Sayu hatinya saat kaki melangkah menaiki pesawat untuk kembali ke tanah air.
BAB 37
“Assalammualaikum, Hajjah,” sapa Aqashah. Orang yang pertama menyambut ketibaannya, sesampainya di sekolah pagi itu. Tiada riak kecewa pada wajah itu. Hanya kegembiraan yang terpancar dari bening sinar matanya. Kebahagiaan yang tidak dapat disembunyikan. Dahlia terkaku.
“Lia sihat?”
“Alhamdulillah, Lia sihat. Aqashah?”
“Alhamdulillah, saya pun sihat cuma hati ini sedikit merindu orang yang jauh,” Wajah Dahlia merona merah.
“Macam mana orang Mekah?” Dahlia tertawa mendengar pertanyaan Aqashah.
“Orang Mekah baik-baik sahaja,” Aqashah tersenyum dengan gurauannya sendiri.
“Macam ni la baru seronok. Happy saja,” kebahagiaan semakin menyelubungi hidupnya.
“Hai, Aqashah. Happy nampak?” Halim yang tiba kemudian menegur temannya itu.
“Aik, biasa la, Lim. Awek dah balik tentu senang hati,” selamba sahaja Aqashah membalas usikan temannya itu. Mereka sama-sama tertawa. Hanya Dahlia yang terbata-bata.
Beberapa orang murid sudah mula terjenguk-jenguk di pintu bilik guru sambil menyebut nama Dahlia. Dahlia bagaikan mengerti tujuan anak-anak muridnya itu. Dia sendiri sudah tidak sabar untuk menemui mereka kerana dia juga merindui mereka. Dicapainya beg tangan dan buku ringkasan mengajarnya. Dia ingin segera masuk ke kelasnya, kelas Enam Bestari.
Sebungkusan kurma dan buah-buahan kering dari bumi Mesir dan beberapa botol air zam zam ditinggalkan di bilik guru buat hidangan teman-teman gurunya dan sebagai buah tangan sekembalinya dari mengerjakan umrah.
Dia bergegas ke kelas. Peminat-peminat kecilnya itu berlumba-lumba menghampirinya, bersalaman dan kemudian, menghujaninya dengan pelbagai pertanyaan. Ada yang membawa buku ringkasan, tak kurang juga yang berebut hendak membawa beg tangannya dan paling akhir sekali, bungkusan beg kertas di tangan.
“Cikgu, cikgu pergi ke mana?”
“Kami ingatkan cikgu dah pindah.”
“Cikgu Aqashah cakap cikgu pergi kahwin.”
“Isy, tak adalah. Cikgu Aqashah cakap cikgu pergi umrah, la.”
Dahlia biarkan murid-muridnya dengan pertanyaan dan persoalan itu. Hanya apabila tiba di kelasnya barulah dia menceritakan perihal yang sebenarnya sambil mengeluarkan buah tangan yang dibawanya. Beberapa orang murid lain dari kelas sebelah turut terjenguk-jenguk.
Apabila Dahlia melambai ke arah mereka, beberapa orang yang tersipu-sipu malu pada mulanya, turut mengajak teman sekelasnya menghampiri Dahlia. Mereka menyalami Dahlia dan turut menikmati buah tangan yang dibawa.
Hari-hari Dahlia semakin menenangkan. Dia tidak memikirkan sangat tentang hajat hati Aqashah. Baginya kini, dia hanya ingin menyusur arus bukan menentangnya seperti selalu. Rupa-rupanya, ada hikmahnya apabila dia mengambil sikap untuk bersahaja dan tidak merumitkan pemikirannya.
Jiwanya semakin tenang. Cuma terkadang, semasa di rumah, dia melihat sikap Mama Mira yang agak keterlaluan. Terkadang, Dahlia dilayannya seperti anak-anak kecil, dimarahi sesuka hati. Juga kerana tidak mahu merumitkan keadaan, Dahlia cuba mengelakkan diri. Dia lebih banyak menghabiskan masanya di sekolah.
“Cikgu Lia, Faizal curi pensel saya,” Dahlia tersentak mendengar laungan Zarith dari mejanya. Dahlia mendongakkan kepalanya.
“Betul, Faizal?” Faizal hanya mengeraskan diri di bangkunya.
“Faizal, Zarith, ke mari,” Dahlia memanggil anak-anak lapan tahun itu ke mejanya.
“Kenapa ni Zarith?”
“Faizal curi pensel saya. Pensel tu mak saya yang beli,” adu Zarith.
“Faizal?”
“Ini pensel saya,” Faizal tidak mahu mengalah.
“Bak sini. Saya nak tengok penselnya,” terketar-ketar Faizal menghulurkan pensel berkenaan. Hmm…patutlah pun. Pensel Mickey Mouse. Memang menjadi kegilaan murid-murid.
“Betul ini pensel Faizal?” Faizal teragak-agak untuk menjawabnya.
“Faizal, kalau ini bukan pensel kamu, kamu kena kembalikan kepada tuannya. Kita tak boleh ambil barang yang bukan kepunyaan kita,” nasihat Dahlia.
“Tapi, saya jumpa pensel ni tepi tong sampah. Tak ada siapa yang punya. Saya ambillah.”
“Aik, bukankah Zarith dah mengaku, ini pensel dia? Bermakna pensel ni dah ada tuannyalah,”
Dahlia menyerahkan pensel itu kepada Zarith.
“Betul ini pensel kamu, Zarith?”
“Betul, cikgu,” Zarith kelihatan sungguh gembira.
“Lain kali, kalau kamu sayang barang kamu, simpan elok-elok. Kalau sayapun, jumpa pensel ni di tepi tong sampah, saya ambil sebab saya ingat orang dah buang. Betul tak, Zarith?” Zarith mengangguk-anggukkan kepala.
“Bukan salah Faizal, tahu? Faizal cuma ingat pensel ini sudah dibuang. Betul tak, Faizal?” giliran Faizal pula mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Baiklah. Zarith boleh duduk dulu. Faizal, belajar rajin-rajin. Kalau keputusan peperiksaan kamu nanti ada peningkatan, saya akan hadiahkan pensel Mickey Mouse kepada kamu. Nak?” pantas Faizal mengangguk-anggukkan kepalanya.
Itu sahajalah yang boleh dibuat janji oleh Dahlia kerana Faizal bukan dalam kumpulan murid arus perdana. Jika dia meminta syarat untuk mendapat tempat pertama, pasti Faizal tidak akan termampu untuk menggapainya. Tetapi sekurang-kurangnya, dia harap Faizal akan berusaha lebih gigih lagi.
No comments:
Post a Comment